Sunday, January 04, 2015

33 Cara untuk Kekal Kreatif

Banyak betul cara untuk kekal kreatif. Senarai yang asal dalam Bahasa Inggeris. Untuk perkongsian ini, aku dengan susah payah menterjemahkannya (ikut pemahaman aku) sekali dalam bahasa ibunda kita. Kalau salah terjemahan aku, ikut sahajalah apa yang kau faham, nok.

1. Buat suatu senarai. Make a list

2. Bawa buku catatan ke mana-mana. Carry a notebook everywhere

3. Cuba penulisan bebas. Try free writing

4. Jauhi komputer. Get away from the computer

5. Dekatkan diri kepada hal-hal kerohanian. Be otherworldly

6. Buang rasa rendah diri. Quit beating yourself up

7. Ambil masa untuk berehat. Take breaks

8. Menyanyi dalam bilik air. Sing in the shower

9. Minum kopi atau teh. Drink coffee/tea

10. Selidik asal usul kau. Know your roots

11. Dengar muzik/lagu baru. Listen to new music

12. Bersifat terbuka. Be open

13. Kelilingi diri kita dengan orang-orang yang kreatif. Surround yourself with creative people

14. Dapatkan maklum balas. Get feedback

15. Bergabung. Collaborate

16. Jangan putus asa. Don't give up

17. Praktis, praktis, praktis. Practice, practice, practice

18. Jangan rasa bersalah jika berbuat silap. Allow yourself to make mistakes

19. Melawat tempat baru. Go somewhere new

20. Tonton filem asing. Watch foreign films

21. Bersyukur. Count your blessings

22. Banyakkan rehat. Get lots of rest

23. Ambil risiko. Take risks

24. Langgar peraturan. Break the rules

25. Lebihkan membuat perkara-perkara yang kita suka. Do more of what makes you happy

26. Jangan paksa diri. Don't force it

27. Baca satu mukasurat daripada kamus. Read a page of the dictionary

28. Cipta satu rangka kerja. Create a framework

29. Hentikan menjadi sempurna di mata orang lain. Stop trying to be someone else's perfect

30. Idea datang? Catatkan terus. Got an idea? Write it down

31. Bersihkan meja/tempat kerja. Clean your workspace

32. Berseronok-seronok. Have fun

33. Habiskan sesuatu kerja yang sudah dimulakan. Finish something

Sudah tentu ada senarai di atas yang tidak sesuai untuk diamalkan dalam kehidupan seharian...kerana senarai ini hanya untuk mereka yang menceburkan diri dalam bidang penulisan (termasuklah menulis dalam blog, di mana kita perlu kekal kreatif, kan?), bidang seni dan lain-lain bidang yang melibatkan kerja-kerja kreatif.

Oleh itu, renung-renungkanlah dan selamat beramal :)

Sunday, April 06, 2014

Sisi Terang "Star Trek Into Darkness"


Star Trek Into Darkness. Sudah hampir sebulan yang lepas aku menonton filem ini (nota 2014: sebulan yang telah melangkau hampir setahun pada hari ini), tetapi baru hari ini berkesempatan untuk merebiunya (alasan). Filem ini adalah antara filem yang aku tunggu-tunggu tarikh tayangannya - dengan penuh debaran - sebagaimana tertunggu-tunggunya seorang bakal pengantin kepada tarikh pernikahannya...hahaha!

Apa yang boleh aku kata, filem ini sangat bagus dan melangkaui jangkaan. Perkara ini sangat-sangat menggembirakan kerana semasa muda-muda dahulu aku memang meminati "Star Trek" melalui siri "Star Trek: The Next Generation."

Filem ini merupakan kesinambungan kepada filem "Star Trek" yang diterbitkan pada tahun 2009. Walaupun filem ini hanya sebuah fiksyen sains, tetapi ada beberapa kekuatan yang aku lihat melaluinya.

Kekuatan pertama filem ini adalah pada plot twist-nya yang sangat berkesan. Watak Khan (Benedict Cumberbatch yang sangat omphh...heuheu) dan Admiral Marcus (Peter Weller) amat mengelirukan sehinggakan aku berasa was-was siapa sebenarnya yang berada di pihak yang benar. Walaupun kesudahannya boleh diagak dan semua peminat "Star Trek" tahu siapa Khan sebenarnya, tetapi apa yang berlaku di tengah-tengah cerita sehingga membawa kepada klimaks adalah sesuatu yang tidak terjangka. Jadi, kepada para penulis (termasuk penulis skrip) yang mahu belajar mencipta dan menulis plot twist yang bagus, aku sarankan agar mereka menonton filem ini sebagai salah satu rujukan. Berbaloi-baloi!

Kekuatan kedua filem ini terletak pada lakonan mantap hampir setiap pelakonnya. Bukan sahaja lakonan yang mantap, tetapi keserasian (chemistry) setiap pelakon begitu menyerlah. Seronok dapat melihat keakraban di antara Captain Kirk (Chris Pine) dan Mr. Spock (Zachary Quinto). Hubungan 'bromance' mereka memang menjadi. Namun yang paling menyerlah pada pandangan aku sudah tentunya watak Khan yang dibawa oleh Benedict Cumberbatch. Walaupun menyerlah, aku rasa lakonannya tidaklah sehingga menenggelamkan watak Captain Kirk. Ada keseimbangan.

Kekuatan ketiga filem ini terletak pada dialog-dialog yang diucapkan oleh para pelakon. Ada yang suka bermetafora (watak Bones), dan banyak juga dialog-dialog yang surreal. Aku paling suka babak di mana Spock cuba menerangkan kepada Uhura mengapa dia memilih untuk tidak beremosi. Ia momen yang surreal dan sangat mengesankan sehinggakan aku rasa aku yang terlebih emosi menonton babak itu. Ironik sungguh.

Banyak sebenarnya yang boleh dipelajari daripada filem ini (maksud aku dari aspek penulisan semestinya). Bagi aku, ia adalah antara filem yang terbaik yang pernah ditayangkan pada tahun 2013. Titik.

Nota kaki: Lama betul aku simpan entri ini dalam draf. Ini merupakan entri yang sepatutnya habis ditulis pada tahun lepas. Ada sedikit yang aku tak habis tulis. Bukan banyak pun. Tapi baru hari ini dapat habiskan sebab rasa semangat dapat tengok semula filem "Star Trek" 2009 pada malam tadi...hahaha!

Nota kaki tangan: Selepas menonton filem ini aku jadi minat gila dengan Benedict Cumberbatch. Dah lama tak ada perasaan macam ni...kakaka!

Sunday, January 05, 2014

Azam 2014

Tahun ini - seperti kebanyakkan tahun-tahun yang lepas - aku tidak membuat/menyenaraikan apa-apa azam yang mahu dicapai.

Jadi, apa signifikannya entri ini dengan tajuk di atas?

Entahlah.

Namun, izinkan aku bercerita (macam tajuk novel RAM pula) akan suatu penemuan yang pada pendapat aku amat berguna untuk dikongsikan dengan mereka yang tidak mempunyai ataupun tidak mahu menanam azam.

Pada suatu hari di penghujung tahun 2013, aku terbaca satu post di wall FB Sis Zabrina. Dia menulis yang dia baru sahaja selesai membaca sebuah buku yang membuatnya berasa pening-pening lalat.

Aku baca lagi statusnya itu. Katanya, dalam buku itu dinyatakan bahawa menanam azam tahun baru itu adalah suatu perkara yang sia-sia. *Terkejutnya....*

Ia (azam) jarang-jarang dapat dicapai. Baiklah, yang ini betul juga. Contoh paling dekat adalah diri aku sendiri. Jarang sangat aku dapat mencapai azam aku kecuali azam untuk tidak membuat azam. Masuk tahun baru sahaja terus tercapai azamku itu. Ahaks!

Rasa ingin tahu terus membuak-buak, jadi aku teruskan pembacaan.

Walaupun tanpa azam, itu tidak bermakna kita tiada arah tuju atau tiada apa-apa yang hendak dicapai untuk tahun tersebut. Disebabkan itu, penulis buku mencadangkan agar kita memilih satu perkataan untuk dijadikan panduan atau perangsang untuk kita mencapai cita-cita pada tahun tersebut.

Ya, satu perkataan sahaja.

Gembiranya rasa hati aku dapat tahu benda-benda sebegini. Sama rasanya seperti memenangi sebakul buah-buahan sebanyak 2 kali!

Jadi, tahun ini aku tidak akan menanam apa-apa azam. Aku cuma memilih satu perkataan sahaja untuk dijadikan perangsang untuk aku mencapai apa yang aku mahu capai --

DISIPLIN.

Itulah perkataan yang aku pilih untuk tahun ini. Disiplin dalam apa jua yang akan aku lakukan dalam hidup aku - tidak kiralah dalam membayar bil dan hutang tepat pada masanya, menyimpan duit setiap bulan, ataupun...menulis dengan lebih kerap (kalau boleh setiap hari...pergh!).

Begitulah ceritanya...

* Aku juga akan terus berdisiplin untuk menggunakan kata ganti nama 'aku' dalam entri-entri seterusnya, insya-Allah. Lagipun orang tak guna 'saya' dalam monolog atau ayat naratif dalam novel. Kan?

Sunday, October 13, 2013

Fobia Berbicara

Kita semua punya FOBIA. Apa ketakutan anda?

Bagus punya soalan.

Soalan di atas adalah sebahagian daripada 'blurp' di belakang sebuah buku. Yang pastinya saya tidak takut kepada buku ini. "Fobia" tajuknya. 16 buah cerpen isinya. 16 orang penulisnya. ROMAN penerbitnya.

Kulit buku Fobia yang dicuri dari laman web Roman. Maaf ya, pak! Saya tolong promosi ni...hee~

Daripada 16 buah cerpen yang terkandung di dalamnya, 1/4 daripadanya saya anggap sebagai karya terbaik dan merupakan favourite saya.

Cerpen-cerpen yang bertuah itu adalah:

1. "Panggil Aku Algojo" oleh AttOkz Dikulgai

Cerpen ini adalah satu-satunya cerita yang mengupas isu yang berat - Islamophobia. Dikupas tentang sejarah bermulanya Islamophobia di dunia barat - dari zaman perang salib ke saat runtuhnya World Trade Center di New York, Amerika Syarikat - dan juga pergolakan dan penindasan yang berlaku di dunia Islam akibat fobia tersebut. Itu semua hasil daripada perbualan seorang pemuda Islam dengan teman bicaranya di sebuah kafe milik seorang lelaki bernama Bush. Apa? Bush? Jeng...jeng...jeng...

4.5*

2. "Komplot" oleh Dayang Noor

Apa yang boleh saya katakan tentang karya Dayang Noor ini? Saya rasa apa sahaja yang ditulis oleh beliau tidak begitu menghampakan saya sebagai seorang pembaca. Termasuklah cerpen ini. Seperti biasa gaya penulisan beliau begitu santai dan lucu. Kisahnya tentang budak-budak sekolah yang saling mahu 'mengenakan' rakan sekelas yang dianggap sebagai 'musuh'. Apa kena-mengena hendak 'mengenakan' dengan fobia? Haaa...bacalah. Kita tengok siapa yang kena...

4.5*

3. "Mencari Akhir" oleh Orkid

Saya bukanlah peminat kisah-kisah tentang suami isteri, cintan-cintun dan yang seangkatannya. Tetapi cerpen ini menarik minat saya kerana pada pendapat saya ia ditulis dengan baik sekali (saya pasti penulis tentunya sudah biasa menulis cerpen). Apalagi ceritanya yang mengisahkan seorang isteri yang menderita pentheraphobia - ketakutan yang melampau terhadap ibu mertua. Siapa yang tak takutkan ibu mertua, kan? Tak dapat pula saya hendak menjawabnya...sebab saya tak ada pengalaman. Ahaks!

4*

4. "Makna Hidup" oleh Maimun Abdullah Hadi

Saya tak tahu hendak komen apa tentang cerpen ini. Saya pasti sesiapa yang membacanya akan berasa sebak. Sekarang pun saya sudah terasa sebaknya...mahu ambil tisu...huu...

4.5*

Cerpen-cerpen yang lain bukanlah tidak bagus. Semuanya bagus cuma tidaklah termasuk yang terbaik pada hemat saya. Saya senaraikan tajuk-tajuk lain yang terdapat dalam Kumpulan Cerpen Fobia ini:

1. "Permainan" oleh Amirul Johari - 2.5*

2. "Patung" oleh Norhanisamila - 2.5*

3. "Senja Oh Senja" oleh Azrin Fauzi - 3*

4. "Telefon Berbunyi" oleh Hidayatus - 2.5*

5. "Musuh yang Nyata" oleh Eliyyah - 3*

6. "Bilik F-0131-4" oleh Faizal Sulaiman - 3.5*

7. "Aku Bersamamu" oleh Muhammad Fatrim - 3.5*

8. "Nama Aku Nami" oleh Nensirati Supahan - 2*

9. "Mati" oleh Fatin Liyana - 2.5*

10. "Keras" oleh Nurharyati Ishak - 3.5*

11. "Takdir" oleh Nurhayyu Fitrah - 3.5*

12. "Keris Si Iblis" oleh Sharina Elisa - 2*

Tahniah kepada semua penulis! Semoga terus sukses dalam bidang penulisan dan terus menghasilkan karya-karya yang lebih baik.

Tahniah juga kepada grup Buku Tiga Lima (BTL). Kumpulan Cerpen Fobia ini merupakan hasil daripada aktiviti yang dijalankan untuk disertai oleh ahli grup. Jadi, saya kira kebanyakkan penulisnya adalah merupakan ahli grup BTL.

Sunday, September 22, 2013

"Prisoners" yang Menjerat Jiwa

"Prisoners." Filem ini bukanlah menceritakan tentang kisah banduan yang berada dalam penjara. Bukan juga kisah banduan yang melarikan diri. Sebenarnya, tiada langsung watak banduan dalam filem ini.

Jadi, ada apa dengan Prisoners? Ada Hugh Jackman dan Jack Gyllenhaal...haha!

Ok, serius. Pertama sekali, filem ini berunsur suspens dan thriller. Namun selain daripada kedua-dua unsur tersebut, filem ini penuh dengan emosi. Dan emosi yang ditunjukkan oleh kedua-dua pelakon di atas melalui lakonan yang begitu mantap memang sangat mengesankan. Kita dapat rasakan apa yang mereka rasa. Bak kata pepatah; berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tidak dapat tidak kita akan berasa simpati dengan Keller Dover (Hugh Jackman) yang kehilangan anak perempuannya yang berusia enam tahun akibat diculik, dan Detektif Loki (Jake Gyllenhaal) yang seringkali menemui jalan buntu dalam tugasannya untuk mencari dan menangkap penculik sebenar kanak-kanak tersebut (dan juga kerana melihat matanya yang sering terkelip-kelip membuatkan saya terfikir dia hanyalah manusia biasa, bukan seperti watak detektif macho yang seolah-olah tiada kelemahan seperti yang sering digambarkan dalam filem-filem Hollywood yang lain...aih...).

Latar cuaca filem ini yang kelam dan suram - musim sejuk yang kadangkala diikuti dengan hujan lebat - juga sangat membantu menaikkan mood jiwa kacau yang dialami oleh setiap watak. Kita boleh rasakan kesedihan dan kegalauan yang dirasai oleh mereka. Bukan itu sahaja. Kesejukkan yang digambarkan dalam filem ini seolah-olah dapat saya rasakan (bukan sebab pendingin hawa dalam panggung) lalu membawa saya kembali merasai kesejukkan musim sejuk dan musim luruh semasa berada di negara orang. Brrr...sejuk betul...(eh, nak beritahu juga...hehe!).

Salah satu kekuatan filem ini pada pendapat saya adalah bergantung kepada dialognya. Walaupun tiada dialog yang boleh dikatakan memorable tetapi dengan dialoglah filem ini bergerak dengan pantas walaupun dari segi visualnya mungkin kelihatan agak perlahan (mungkin kerana faktor latar cuaca yang suram itu). Kalau penonton memberi sepenuh perhatian kepada setiap dialog yang diucapkan oleh para pelakon terutama sekali suspek utama dalam filem ini, saya percaya mereka mungkin dapat meneka dengan tepat siapa penculik sebenar. Saya dapat meneka, tetapi penulis skrip/pengarah sangat bijak mengelirukan dengan adanya suspek baru dan bukti-bukti baru. Memang sepanjang filem ini berjalan, kepala ini tidak berhenti-henti tertanya-tanya dan juga rasa geram dengan suspek utama yang tidak mahu bercakap. Dialognya banyak tergantung-gantung...sengaja hendak mengacau-bilaukan fikiran penonton. Satu lagi, setiap kejadian dan penemuan baru yang didapati walaupun nampak seperti tidak signifikan, namun sebenarnya ia mempunyai hubungkait dengan penculik sebenar.

Filem ini berdurasi hampir 2 jam setengah. Namun, saya tidak terasa langsung masa telah berlalu sepanjang itu. Alih-alih filem ini tamat begitu sahaja saat Detektif Loki terdengar bunyi tiupan wisel di sekitar kawasan rumah penculik. Walaupun sebelum itu anak Keller Dover yang diculik berjaya ditemui dan diselamatkan, tetapi nasib beliau sendiri tidak diketahui. Pengarah seolah-olah sengaja membiarkan para penonton tertanya-tanya dan membuat andaian mereka sendiri. Apakah Keller Dover akan diselamatkan? Ataupun adakah dia akhirnya akan mati sendirian dalam lubang bawah tanah milik penculik anaknya sendiri kerana Detektif Loki telah berlari lintang pukang akibat menyangka dia telah terdengar bunyi wisel yang ditiup oleh hantu kanak-kanak yang telah mati dibunuh penculik. Ahh...segalanya mungkin. Hal ini membuatkan saya terfikir, 'Prisoners' yang dimaksudkan sebenarnya adalah para penonton. Penonton dikurung dengan pertanyaan dan emosi yang masih kuat walaupun setelah habis menonton filem ini.

...dan sayalah penonton yang masih 'dikurung' dengan pertanyaan yang sangat mengganggu emosi itu. Arghhh!! Geramnya!

Geram-geram pun saya rasa filem ini berhak mendapat 4 bintang. Antara filem terbaik yang saya tonton pada tahun ini selepas "Star Trek Into Darkness."

Monday, September 16, 2013

Kata-kata Hikmah

"Jika hidupmu penting, jangan malas." - Pak Mario Teguh

Hidup saya terlalu penting untuk jadi malas.

Berusaha! p(^_^)q

Saturday, July 27, 2013

Puisi Mengarut

Here I am
Staring at the blank page...

...and typing,

"Here I am
Staring at the blank page..."