Tuesday, January 24, 2012

Buku-buku Yang Habis Dibaca dan Sedang Dibaca

Dalam tiga minggu pertama 'bercuti' ini, banyak masa saya dihabiskan dengan membaca; selain daripada makan, tidur dan makan, tidur. Setakat semalam, sudah sembilan buah buku saya berjaya habiskan. Kalau mengikut standard saya yang kadang-kadang satu buku mengambil masa sebulan untuk dibaca, bilangan di atas boleh tahan banyak juga. Nasib baiklah ada banyak buku-buku yang dibeli sebelum ini (ada yang dari tahun 2010) yang belum lagi dibaca. Inilah masanya untuk saya cuba menyusutkan bilangannya. Yiha!

Berikut adalah tajuk-tajuk yang sudah habis dibaca:

Rahsia Agenda Alam Hitam - Zehann Ur Rakhie (hampir-hampir hendak tulis Rahsia Agenda Awang Hitam...hehe)

Micro - Michael Crichton & Richard Preston

Twenties Girl - Sophie Kinsella

Pelangi Biru - Abdul Manaf Abdul Kadir

Taman Rasidah Utama - Abdul Manaf Abdul Kadir

Kandang Cinta Kita - Matt Romeo

Grimms' Fairy Tales - Brothers Grimm

The Samaritan's Secret - Matt Rees

Si Mata Kencana - Abdul Manaf Abdul Kadir

Sekarang saya sedang membaca Takdir: Cahaya Yang Tidak Terpadam, karya Hilal Asyraf.

Wednesday, January 18, 2012

Saya dan Ovarian Cyst - Satu Advencer 1

Di mana Segalanya Bermula

Saringan kesihatan (heath screening). Untuk pertama kali dalam hidup, saya mengambil keputusan untuk membuat saringan kesihatan.  Apa hendak jadi, jadilah! Saya perlu tahu tahap kesihatan saya berada di paras mana. Nekad betul saya rasa. Untuk membuktikan betapa serius dan nekadnya diri ini, saya mula mencari pusat-pusat kesihatan atau hospital-hospital (anda dinasihatkan agar tidak membuat saringan kesihatan di hospital) yang ada menawarkan khidmat saringan kesihatan. Setelah puas membuat pertimbangan, akhirnya saya memilih MJ Health Screening Centre kerana begitu kagum dengan video mengenai proses menjalani saringan kesihatan yang terdapat di laman webnya itu.

Maka pada hari dan tarikh yang telah ditetapkan iaitu pada hari Jumaat, 25/11/2011 saya memberanikan diri untuk pergi membuat saringan kesihatan tersebut. Daripada mula saya membuat temujanji hingga ke hari temujanji, saya telah tetapkan dalam diri bahawa apa sahaja keputusan saringan kesihatan ini, saya akan menerimanya dengan hati yang terbuka dan fikiran yang positif. Ya, memang itu yang saya tanamkan dalam minda walaupun dalam hati Tuhan sahaja yang tahu apa yang saya rasa sepanjang perjalanan saya ke MJ Health Screening Centre itu. 

Ujian Sonogram

Setelah mendaftar, menukar pakaian, ditemuduga dan diberikan taklimat; sambil menunggu ujian dimulakan, saya ditanya oleh nurse yang memberi taklimat tadi, "You sudah rasa mahu kencing, kah?"

Janganlah dihairankan jika anda ditanya begitu nanti kerana untuk membuat ujian sonogram yang melibatkan Gynaecology ultrasound yang menggunakan teknik transabdominal (teknik yang lagi satu adalah transvaginal; hanya sesuai untuk orang yang telah berkahwin secara sah atau tidak sah), sebaik-baiknya pundi kencing kita perlu dibiarkan penuh.

Setelah berkali-kali ditanya dan berkali-kali juga saya jawab saya memang sudah rasa hendak terkencing, saya diminta menunggu di hadapan pintu bilik yang pertama. Nama saya sudah terpampang di skrin LCD yang terletak di atas pintu. Belum sempat saya melabuhkan punggung di sofa, saya sudah dipanggil masuk. Wah! Efisien sungguh!

Setelah berbaring dan perut saya disapukan gel, doktor memulakan scan. Kagum sungguh saya melihat organ-organ di dalam badan saya walaupun kadangkala saya sebenarnya tidak tahu apa yang saya sedang lihat. Ada masanya nurse (doktor tidak berapa peramah sampai saya terlupa namanya) akan beritau apa yang sedang di-scan; mungkin kerana melihat dahi saya yang sedang berkerut tetapi malu hendak bertanya...hehe...Sebenarnya doktor juga akan melabel setiap organ yang sedang di-scan. Semua organ di bahagian abdomen di-scan kecuali usus yang hanya boleh dilihat melalui x-ray abdomen nanti. Apa-apa pun saya berasa kagum melihat organ-organ saya. Comel-comel rupanya saiz organ dalam badan kita ini, ya. Maha suci Allah! 

Penemuan Yang Tidak Disangka-sangka

Selepas itu doktor meneruskan scanning di bahagian peranakan. Seperti biasa beliau tidak bersuara. Tetapi apabila beliau sedang scan di bahagian kiri perut, saya lihat air muka doktor berubah seperti orang yang kehairanan. Berkali-kali beliau scan di tempat yang sama sambil tangannya yang satu lagi bermain dengan keyboard di monitor untuk membesarkan imej yang sedang di-scan.

'Ah, sudah!' Kata saya dalam hati. Ada rasa cemas tetapi saya cuba berlagak cool. Tidak mahu bertanya selagi doktor sendiri tidak memberitahu apa yang beliau nampak. Apa yang saya buat hanya merenung siling sambil berdoa agar tiada apa-apa yang tidak diingini yang ditemui oleh doktor.

Tiba-tiba doktor bersuara, "Nurse, please check whether Dr. Yong is available?"

'Ah, sudah! Siapa pulak Dr. Yong ni?' Saya bertanya dalam hati.

Sementara menunggu Dr. Yong datang, baharulah doktor memberitahu saya apa yang beliau nampak. Di ovari kiri saya ada cyst yang sudah agak besar. Sudah melebihi 5 cm. Menurut doktor, jika saiznya masih kecil dan tidak melebihi 2 cm, doktor biasanya akan berikan ubat untuk mengecutkan cyst. Katanya lagi biasanya cyst mengandungi cecair tetapi yang beliau nampak pada saya ini ia kelihatan solid iaitu jenis complex ovarian cyst. Huh! Sedangkan perkataan shopping complex saya tidak suka mendengarnya, inikan pula complex ovarian cyst. Complex ovarian cyst, what??

Mengapa selama ini saya tidak tahu akan kewujudan cyst ini? Tentu ada simptom-simptomnya, bukan?

Doktor tanya ada rasa sakitkah semasa haid (senggugut)? Tiada.

Haid datang tidak tetap? Haid saya datang dalam jangkamasa yang normal. 

Heavy bleeding? Ya, dalam sehari atau dua hari saya akan mengalami aliran yang tenat semasa haid. Mungkin ini simptom saya. Entahlah.

Tetapi doktor seperti tidak puas hati apabila saya beritahu bahawa saya tidak mengalami rasa sakit terutama sekali semasa haid. Hendak buat macam mana. Memang betul saya tidak ada masalah itu. Kalau sakit sudah lama saya mengadu dengan doktor yang biasa saya kunjungi seperti semasa pertama kali saya diserang senggugut (yang juga merupakan kali terakhir...alhamdulillah) pada tahun 2007 dahulu. Setelah di-scan memang tiada cyst atau fibroid pada masa itu.
Tidak lama kemudian Dr. Yong sampai. Doktor menunjukkan imej cyst saya di monitor dan meminta pendapat beliau. Setelah meneliti imej tersebut, Dr. Yong mengesahkan apa yang doktor suspek. Memang ia merupakan complex ovarian cyst.

Setelah Dr. Yong meninggalkan kami, doktor menasihati saya untuk merujuk hal ini kepada pakar perbidanan dan sakit puan. Saya bertanya kepada doktor, untuk kes saya ini biasanya apa yang doktor pakar akan lakukan?

"You mean the management?"

"Yes"

Doktor kata itu bergantung. Kalau seperti kes saya, takut cyst itu akan pecah atau twisted. Jalan terakhir biasanya surgery. Gulp! Surgery...satu lagi perkataan yang saya tidak suka. Surgery, what?? 

Ujian Perlu Diteruskan

Doktor meneruskan ujian sonogram yang masih ada lagi berbaki. Ini baharu ujian pertama, mereka sudah menjumpai sesuatu. Bagaimana dengan ujian-ujian yang lain nanti? Kalau tidak kerana saya sudah menyiapkan minda dengan berfikiran positif, rasanya mahu saya akan menangis di situ. Tetapi mungkin tidak. Saya tidak biasa menangis depan orang lain, apalagi orang yang tidak dikenali.

Jadi, saya jalani setiap ujian sehingga habis dengan hati yang terbuka. Menjelang tengah hari, keputusan akhir saringan kesihatan siap dan ia diterangkan kepada saya oleh seorang doktor. Nampaknya tahap kesihatan saya agak memuaskan. Ada beberapa masalah kecil yang saya perlu jaga dan berhati-hati, tetapi ia tidak begitu membimbangkan.

"And for your cyst, you need to refer to your Gynae."

Bila masa pula saya ada Gynaecologist peribadi. Terpinga-pinga saya dibuatnya sambil menyoal balik kepada doktor, "My Gynae?"

"Yalah, your Gynae. You're married, right?"

"I'm not married yet."

Doktor menyemak semula status saya. Beliau terangguk-angguk.

"Oh, you're still single. Never mind. See your Gynae, ok."

'Eh, doktor ni. Lempang kang.' Dalam hati.

Luar hati, "Ok." 

Hari Yang Panjang

Sepanjang perjalanan pulang memang banyak perkara yang saya fikirkan. Berserabut juga fikiran. Soalan yang biasa ditanya jika kita ditimpa sesuatu situasi yang tidak menggembirakan, "why me?" ada juga meracuni fikiran. Tetapi saya kuatkan juga semangat. Allah tidak akan memberi ujian melebihi apa yang boleh ditanggung oleh hamba-Nya, bukan? Pasti ada hikmah di sebaliknya. Cuma saya perlu berusaha sedikit untuk merungkaikannya.

Hari Jumaat itu merupakan hari yang panjang bagi saya.


Nota: Begitulah bagaimana saya mengetahui tentang kehadiran ovarian cyst dalam tubuh saya. Walaupun agak sedih, tetapi saya rasa bersyukur kerana Allah telah membuka pintu hati saya untuk melakukan saringan kesihatan tersebut. Kalaulah saya tidak melakukannya, entah apalah yang akan terjadi. Mungkin cyst ini akan pecah yang akan menimbulkan kesakitan yang teruk. Daripada tidak sakit, menjadi sakit. 

Ovarian cyst sebenarnya masalah yang common bagi wanita. Tetapi malangnya ramai yang tidak ambil tahu, termasuklah saya. Saya ini ibarat, 'sudah terhantuk baru terngadah.' Sebab itu saya mengambil keputusan untuk berkongsi pengalaman saya di samping menyelit serba sedikit maklumat tentang ovarian cyst ini. Di samping itu, suka juga saya mengingatkan anda agar meluangkan masa untuk membuat saringan kesihatan. Bukannya perlu buat selalu. Setahun sekali sahaja. Bukankah mencegah itu lebih baik daripada merawat? 

Don't let our ignorance becomes common. Ignorance is not bliss. It's a disease.

Akan bersambung...(harap-harap entri bersiri ini tidak akan ambil masa sampai setahun...hehe)    

Friday, January 06, 2012

Rahsia Agenda Alam Hitam: Kelahiran Mufrad

Ini merupakan novel pertama yang saya berjaya habiskan selepas menjalani pembedahan. Ia merupakan karya Zehann Ur Rakhie. Saya rasa ramai yang tidak begitu mengenali penulis ini. Begitu juga dengan saya. Sebenarnya saya ada beberapa kali mendengar tentang novel ini dan nama penulisnya, tetapi belum berkesempatan untuk mendapatkannya. Apabila sudah dapat, saya tidak lengah-lengah memulakan pembacaan walaupun agak mengambil masa juga untuk menghabiskannya.

Novel ini hendak dikatakan seram, tidaklah seram sangat. Hendak kata tidak seram, seramlah juga. Itulah keistimewaan cerita dalam novel ini. Cuma saya rasa kalau penulis boleh perbaiki cara beliau menulis, cerita ini akan jadi lebih menarik untuk dibaca. Apa yang saya maksudkan dengan perbaiki cara menulis adalah kerana kadang-kadang ceritanya melompat-lompat daripada satu babak ke babak yang lain tanpa ada pembahagi (entah betul atau tidak istilah ini) babak. Jadi saya rasa ada sedikit rasa 'kucar-kacir' apabila membaca babak yang melompat-lompat ini.

Kalau saya yang menjadi editor novel ini (perasan sekejap) saya akan menyuruh penulis buat seperti saranan saya di atas dan juga saya akan menyuruh beliau tambah lebih banyak bab. Bukan bermaksud dia perlu memanjangkan lagi cerita tetapi membuat bab baharu di babak-babak yang sesuai. Bayangkanlah...novel ini ada 653 mukasurat, tetapi cuma ada 22 bab! Untuk novel yang setebal itu saya rasa jumlah bab yang sesuai adalah dalam 50 - 60 bab atau lebih.

Dari segi gaya bahasa, penulis menggunakan bahasa yang mudah difahami walaupun cerita dalam novel ini berlatarkan akhir kurun ke-15 hingga akhir kurun ke-17. Lega betul saya rasa. Gaya bahasanya pun tidaklah begitu 'sastera.' Terus-terang saya suka dengan gaya bahasa yang digunakan. Pada saya, novel ini memang 'sedap' dibaca.

Berkenaan dengan watak utama. Sepanjang saya membaca, tertanya-tanya juga siapa sebenarnya watak utama dalam novel ini? Adakah Syeikh Ibrahim, seorang pendakwah yang disegani di Kg. Lubuk Gua? Atau Slamat, seorang Sakai yang menjadi anak angkat dan pengikut setia Syeikh Ibrahim? Atau Kiai Jamal, seorang alim yang saya kira mempunyai karamat dan merupakan sahabat baik Syeikh Ibrahim? Atau Radin Indra Gurana, Raja Alam Hitam itu sendiri? Rupa-rupanya watak utama/hero hanya muncul hampir di penghujung novel ini. Dialah Massurya Syah anak kepada Radin Indra Gurana yang dibela oleh Syeikh Ibrahim. Beliau ini yang dikatakan akan menentang Alam Hitam itu sendiri. Sebagai seorang yang lahir dari keturunan Alam Hitam tetapi menjadi penentangnya yang paling utama, saya ada dua perkataan sahaja untuk beliau - anda seksi! Boleh dikatakan Massurya Syah ialah hero daripada novel berbahasa Melayu yang paling seksi selepas Mikhail. Atau mungkin lebih seksi daripada Mikhail...hmmm...maafkan saya Tuan RAM.

Keseluruhannya, saya sangat berpuas hati dengan novel ini. Tetapi ada lagi satu dua perkara lagi yang saya tidak puas hati dengan penulis. Wahai Tuan Zehann Ur Rakhie, perkara mungkar dan 'kecantikan dan kejelitaan' seseorang wanita itu tidak perlulah ditulis secara terperinci. Sebabnya dalam novel ini ada cerita tentang alim ulama', ada disebut ayat Quran dan hadis, tetapi ada pula dua perkara di atas. Bukankah lebih elok jika ia diceritakan secara umum atau secara metafora?

Apa-apapun, bagi peminat-peminat novel genre seram/thriller/misteri/fantasi...dapatkanlah novel ini. Novel ini ada sambungannya iaitu Rahsia Agenda Alam Hitam: Vamprha. Saya belum ada lagi novel ini. Agaknya ada sesiapa tak yang sudi menghadiahkannya kepada saya? Hikhik... 

Monday, January 02, 2012

Azam Tahun Baharu

Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2012 kepada pembaca blog ini.

Di tahun 2012 ini saya berazam untuk membuat azam yang simple sahaja. Mahu tahu apa azam saya pada tahun ini? Azam saya adalah:

1. Mahu banyakkan makan sayur-sayuran
2. Mahu banyakkan makan buah-buahan
3. Mahu banyakkan minum air 

Simple, bukan?

Saya juga berhasrat untuk berkongsi pengalaman saya menjalani pembedahan membuang ovarian cyst enam hari yang lepas. Harap dapat dijadikan panduan dan pengajaran kepada gadis-gadis di luar sana. Sebabnya semasa membuat research mengenai cyst sebelum dan selepas menjalani pembedahan, saya mendapati hampir tiada wanita bujang yang menceritakan pengalaman mereka (mungkin sebab malu atau sebab saya sendiri yang tidak habis mencari atau ada sebab-sebab lain). Yang ada kebanyakkannya ditulis oleh wanita yang sudah berkahwin. Jadi saya rasa tidak salah untuk saya berkongsi. Semoga ia akan memberi manfaat kepada pembaca.

Baiklah, saya berhenti di sini dahulu. Mahu minum pati ikan haruan...uhuhuhu~