Sunday, October 13, 2013

Fobia Berbicara

Kita semua punya FOBIA. Apa ketakutan anda?

Bagus punya soalan.

Soalan di atas adalah sebahagian daripada 'blurp' di belakang sebuah buku. Yang pastinya saya tidak takut kepada buku ini. "Fobia" tajuknya. 16 buah cerpen isinya. 16 orang penulisnya. ROMAN penerbitnya.

Kulit buku Fobia yang dicuri dari laman web Roman. Maaf ya, pak! Saya tolong promosi ni...hee~

Daripada 16 buah cerpen yang terkandung di dalamnya, 1/4 daripadanya saya anggap sebagai karya terbaik dan merupakan favourite saya.

Cerpen-cerpen yang bertuah itu adalah:

1. "Panggil Aku Algojo" oleh AttOkz Dikulgai

Cerpen ini adalah satu-satunya cerita yang mengupas isu yang berat - Islamophobia. Dikupas tentang sejarah bermulanya Islamophobia di dunia barat - dari zaman perang salib ke saat runtuhnya World Trade Center di New York, Amerika Syarikat - dan juga pergolakan dan penindasan yang berlaku di dunia Islam akibat fobia tersebut. Itu semua hasil daripada perbualan seorang pemuda Islam dengan teman bicaranya di sebuah kafe milik seorang lelaki bernama Bush. Apa? Bush? Jeng...jeng...jeng...

4.5*

2. "Komplot" oleh Dayang Noor

Apa yang boleh saya katakan tentang karya Dayang Noor ini? Saya rasa apa sahaja yang ditulis oleh beliau tidak begitu menghampakan saya sebagai seorang pembaca. Termasuklah cerpen ini. Seperti biasa gaya penulisan beliau begitu santai dan lucu. Kisahnya tentang budak-budak sekolah yang saling mahu 'mengenakan' rakan sekelas yang dianggap sebagai 'musuh'. Apa kena-mengena hendak 'mengenakan' dengan fobia? Haaa...bacalah. Kita tengok siapa yang kena...

4.5*

3. "Mencari Akhir" oleh Orkid

Saya bukanlah peminat kisah-kisah tentang suami isteri, cintan-cintun dan yang seangkatannya. Tetapi cerpen ini menarik minat saya kerana pada pendapat saya ia ditulis dengan baik sekali (saya pasti penulis tentunya sudah biasa menulis cerpen). Apalagi ceritanya yang mengisahkan seorang isteri yang menderita pentheraphobia - ketakutan yang melampau terhadap ibu mertua. Siapa yang tak takutkan ibu mertua, kan? Tak dapat pula saya hendak menjawabnya...sebab saya tak ada pengalaman. Ahaks!

4*

4. "Makna Hidup" oleh Maimun Abdullah Hadi

Saya tak tahu hendak komen apa tentang cerpen ini. Saya pasti sesiapa yang membacanya akan berasa sebak. Sekarang pun saya sudah terasa sebaknya...mahu ambil tisu...huu...

4.5*

Cerpen-cerpen yang lain bukanlah tidak bagus. Semuanya bagus cuma tidaklah termasuk yang terbaik pada hemat saya. Saya senaraikan tajuk-tajuk lain yang terdapat dalam Kumpulan Cerpen Fobia ini:

1. "Permainan" oleh Amirul Johari - 2.5*

2. "Patung" oleh Norhanisamila - 2.5*

3. "Senja Oh Senja" oleh Azrin Fauzi - 3*

4. "Telefon Berbunyi" oleh Hidayatus - 2.5*

5. "Musuh yang Nyata" oleh Eliyyah - 3*

6. "Bilik F-0131-4" oleh Faizal Sulaiman - 3.5*

7. "Aku Bersamamu" oleh Muhammad Fatrim - 3.5*

8. "Nama Aku Nami" oleh Nensirati Supahan - 2*

9. "Mati" oleh Fatin Liyana - 2.5*

10. "Keras" oleh Nurharyati Ishak - 3.5*

11. "Takdir" oleh Nurhayyu Fitrah - 3.5*

12. "Keris Si Iblis" oleh Sharina Elisa - 2*

Tahniah kepada semua penulis! Semoga terus sukses dalam bidang penulisan dan terus menghasilkan karya-karya yang lebih baik.

Tahniah juga kepada grup Buku Tiga Lima (BTL). Kumpulan Cerpen Fobia ini merupakan hasil daripada aktiviti yang dijalankan untuk disertai oleh ahli grup. Jadi, saya kira kebanyakkan penulisnya adalah merupakan ahli grup BTL.

Sunday, September 22, 2013

"Prisoners" yang Menjerat Jiwa

"Prisoners." Filem ini bukanlah menceritakan tentang kisah banduan yang berada dalam penjara. Bukan juga kisah banduan yang melarikan diri. Sebenarnya, tiada langsung watak banduan dalam filem ini.

Jadi, ada apa dengan Prisoners? Ada Hugh Jackman dan Jack Gyllenhaal...haha!

Ok, serius. Pertama sekali, filem ini berunsur suspens dan thriller. Namun selain daripada kedua-dua unsur tersebut, filem ini penuh dengan emosi. Dan emosi yang ditunjukkan oleh kedua-dua pelakon di atas melalui lakonan yang begitu mantap memang sangat mengesankan. Kita dapat rasakan apa yang mereka rasa. Bak kata pepatah; berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tidak dapat tidak kita akan berasa simpati dengan Keller Dover (Hugh Jackman) yang kehilangan anak perempuannya yang berusia enam tahun akibat diculik, dan Detektif Loki (Jake Gyllenhaal) yang seringkali menemui jalan buntu dalam tugasannya untuk mencari dan menangkap penculik sebenar kanak-kanak tersebut (dan juga kerana melihat matanya yang sering terkelip-kelip membuatkan saya terfikir dia hanyalah manusia biasa, bukan seperti watak detektif macho yang seolah-olah tiada kelemahan seperti yang sering digambarkan dalam filem-filem Hollywood yang lain...aih...).

Latar cuaca filem ini yang kelam dan suram - musim sejuk yang kadangkala diikuti dengan hujan lebat - juga sangat membantu menaikkan mood jiwa kacau yang dialami oleh setiap watak. Kita boleh rasakan kesedihan dan kegalauan yang dirasai oleh mereka. Bukan itu sahaja. Kesejukkan yang digambarkan dalam filem ini seolah-olah dapat saya rasakan (bukan sebab pendingin hawa dalam panggung) lalu membawa saya kembali merasai kesejukkan musim sejuk dan musim luruh semasa berada di negara orang. Brrr...sejuk betul...(eh, nak beritahu juga...hehe!).

Salah satu kekuatan filem ini pada pendapat saya adalah bergantung kepada dialognya. Walaupun tiada dialog yang boleh dikatakan memorable tetapi dengan dialoglah filem ini bergerak dengan pantas walaupun dari segi visualnya mungkin kelihatan agak perlahan (mungkin kerana faktor latar cuaca yang suram itu). Kalau penonton memberi sepenuh perhatian kepada setiap dialog yang diucapkan oleh para pelakon terutama sekali suspek utama dalam filem ini, saya percaya mereka mungkin dapat meneka dengan tepat siapa penculik sebenar. Saya dapat meneka, tetapi penulis skrip/pengarah sangat bijak mengelirukan dengan adanya suspek baru dan bukti-bukti baru. Memang sepanjang filem ini berjalan, kepala ini tidak berhenti-henti tertanya-tanya dan juga rasa geram dengan suspek utama yang tidak mahu bercakap. Dialognya banyak tergantung-gantung...sengaja hendak mengacau-bilaukan fikiran penonton. Satu lagi, setiap kejadian dan penemuan baru yang didapati walaupun nampak seperti tidak signifikan, namun sebenarnya ia mempunyai hubungkait dengan penculik sebenar.

Filem ini berdurasi hampir 2 jam setengah. Namun, saya tidak terasa langsung masa telah berlalu sepanjang itu. Alih-alih filem ini tamat begitu sahaja saat Detektif Loki terdengar bunyi tiupan wisel di sekitar kawasan rumah penculik. Walaupun sebelum itu anak Keller Dover yang diculik berjaya ditemui dan diselamatkan, tetapi nasib beliau sendiri tidak diketahui. Pengarah seolah-olah sengaja membiarkan para penonton tertanya-tanya dan membuat andaian mereka sendiri. Apakah Keller Dover akan diselamatkan? Ataupun adakah dia akhirnya akan mati sendirian dalam lubang bawah tanah milik penculik anaknya sendiri kerana Detektif Loki telah berlari lintang pukang akibat menyangka dia telah terdengar bunyi wisel yang ditiup oleh hantu kanak-kanak yang telah mati dibunuh penculik. Ahh...segalanya mungkin. Hal ini membuatkan saya terfikir, 'Prisoners' yang dimaksudkan sebenarnya adalah para penonton. Penonton dikurung dengan pertanyaan dan emosi yang masih kuat walaupun setelah habis menonton filem ini.

...dan sayalah penonton yang masih 'dikurung' dengan pertanyaan yang sangat mengganggu emosi itu. Arghhh!! Geramnya!

Geram-geram pun saya rasa filem ini berhak mendapat 4 bintang. Antara filem terbaik yang saya tonton pada tahun ini selepas "Star Trek Into Darkness."

Monday, September 16, 2013

Kata-kata Hikmah

"Jika hidupmu penting, jangan malas." - Pak Mario Teguh

Hidup saya terlalu penting untuk jadi malas.

Berusaha! p(^_^)q

Saturday, July 27, 2013

Puisi Mengarut

Here I am
Staring at the blank page...

...and typing,

"Here I am
Staring at the blank page..."

Saturday, June 15, 2013

Quote of the Day

David McCullough used to say, "Writing is thinking. To write well is to think clearly. That's why it's so hard."

Oh! No wonder it's hard for me to write and even update this blog regularly. Ahaks!

We - humans - are so full of excuses, don't you think? But I am 100% agree with Mr. McCullough; writing IS a hard work.

*Sigh*

Sunday, June 09, 2013

Dilema Tuan, Puan

Puan Ainon Mohd., Pengerusi PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. telah memberikan tiga tips komunikasi perkhidmatan pelanggan. Menurut beliau,

1. Semua pelanggan lelaki dibahasakan sebagai 'Tuan'.

2. Semua pelanggan wanita yang diketahui sudah bersuami dibahasakan sebagai 'Puan'.

3. Semua pelanggan wanita yang tidak diketahui akan status perkahwinannya pula dibahasakan sebagai 'Cikpuan'.

Rasanya bukan setakat itu sahaja, dalam urusan rasmi juga sesuai dipraktikkan tips komunikasi di atas.

Di kesempatan ini saya ingin juga menambah sedikit ilmu penggunaan kata nama Tuan/Puan ini. Kalau dalam surat rasmi, penggunaan nama panggilan yang betul lagi tepat adalah Tuan. Bukan Puan, bukan Cikpuan, melainkan Tuan sahaja - tidak kira penerima surat itu lelaki atau perempuan.

Sebenarnya, semasa saya sekolah menengah dulu (tingkatan 2, 3), cikgu BM sudah ajar cara menulis surat rasmi yang betul. Cikgu saya ini pula bukan calang-calang guru. Beliau merupakan salah seorang panel penulis buku teks "Bahasa Malaysia" untuk sekolah menengah. Cikgu Ayob Jantan namanya.

Namun apabila memasuki alam pekerjaan, saya terikut-ikut dengan apa yang biasa ditulis oleh rakan-rakan sekerja iaitu menggunakan nama panggilan Tuan/Puan dalam surat rasmi yang ditulis dalam dwi-bahasa. Mungkin sebab mereka menterjemah "Sir/Madam" terus ke dalam Bahasa Melayu, maka terjadilah kesalahan tersebut.

Mulai sekarang saya tidak mahu mengikut cara 'biasa' yang ternyata tidak betul itu. Kalau bukan kita yang mulakan, siapa lagi? Semuanya keranamu, Tuan.

#Bak kata Puan Nisah Haron, betulkan yang biasa, biasakan yang betul. Atau adakah, biasakan yang betul, betulkan yang biasa? Hmm...apa-apa sajalah. Janji betul.

Sunday, March 24, 2013

Suku Masa Earth Hour 2013

Gelap lampu
Malam bergelap
Gelap semua

Tiba-tiba...
Tap!

Terang lampu
Malam pun jadi terang
Terang semua

Hampa...
Misi menyelamatkan dunia tidak berjaya!

* Itulah cerita Earth Hour saya yang tidak berjaya akibat 'diganggu' oleh salah seorang penghuni rumah.

(-_-)

Sunday, February 17, 2013

Peraturan Menulis oleh Neil Gaiman

Neil Gaiman, antara penulis novel yang terkenal. Saya mengenali beliau setelah menonton filem "Stardust" yang diadaptasi daripada novel beliau dengan tajuk yang sama. Saya terlalu sukakan filem tersebut (salah satu faktornya adalah hero filem ini yang kacak setelah berambut panjang...hehe) sehingga saya mengambil keputusan untuk membeli novelnya itu. Terbukti ia bukan keputusan yang sia-sia walaupun sebenarnya saya lebih sukakan jalan cerita dan ending (serta heronya yang kacak) dalam filem berbanding dengan novel tersebut.

Sebenarnya saya bukanlah hendak bercerita tentang Neil Gaiman. Atau tentang "Stardust." Atau tentang hero yang kacak itu kerana ketiga-tiganya saya sudah berikan pautan. Saya hanya mahu berkongsi 8 peraturan menulis yang disarankan oleh Neil Gaiman seperti di bawah ini (sharing is caring-lah katakan):

 Sumber imej: Writer's Write

Selamat menulis!

Sunday, January 13, 2013

The Tower: Satu Analisis

Kejadian Hari Sabtu

Hari Sabtu semalam tidak seperti hari Sabtu yang biasa saya lalui - duduk di rumah sambil membaca buku atau 'membaca' mukabuku. Hari Sabtu semalam saya menghabiskan masa dengan cik Ita - dia hendak membeli baju untuk menghadiri majlis perkahwinan sahabatnya, saya pula hendak membeli hadiah perkahwinan sahabat saya.

Sebenarnya itu sahaja tujuan kami. Menonton wayang tidak termasuk dalam agenda kami; seperti komen Ita semasa kami sedang makan tengahari merangkap makan malam pada hari Sabtu semalam, "Kak, tengok wayang tak termasuk dalam list aku hari ni."

Tetapi alang-alang sudah lalu depan panggung wayang, biar sampai beli tiket wayang. Dan antara 'nak dengan tak nak,' kami sepakat mengambil keputusan menonton filem "The Tower" iaitu sebuah filem Korea (sebab tiada banyak pilihan filem di TGV Capsquare...pffftt).

Perasaan saya biasa-biasa sahaja, memandangkan saya bukannya peminat drama atau muzik K-pop walaupun sudah menjejakkan kaki ke negara itu. Ita sebenarnya yang mencadangkan kami menonton filem ini. Katanya trailer filem ini sangat menarik. Saya ikutkan sahaja.

Dan terbukti filem ini memang menarik dan tidak mengecewakan. Sekali-sekala menonton sebuah filem bukan bikinan Hollywood ternyata mampu membuka minda saya untuk berfikir tentang suatu kejadian yang telah berlaku lebih kurang 12 tahun yang lepas di negara asalnya Hollywood.

Fokus utama filem ini adalah menara berkembar yang menempatkan apartmen-apartmen mewah di tengah-tengah bandar Seoul yang dinamakan Tower Sky (untuk sinopsis bolehlah baca di sini) dan watak-watak utama yang mewarnainya. Yang menariknya, menara berkembar ini sekali pandang ada iras-iras (macam muka orang pula iras-iras...kuikui) dengan Menara Berkembar Petronas terutama sekali pada jambatan tergantung yang menghubungkan antara River View Tower dengan City View Tower dalam filem ini. Tidak pasti sama ada struktur bangunan Menara Berkembar Petronas dijadikan sebagai sumber inspirasi atau ia hanyalah satu kebetulan? Atau kita biarkan sahaja soalan ini tergantung...bukan penting pun untuk dijawab, kan? 

Kejadian 9/11

Mengapa saya kata filem ini mengingatkan saya kepada kejadian runtuhnya World Trade Centre di New York pada 11 September 2001? Mudah sahaja. Kejadian dalam "The Tower" adalah lebih kurang sama dengan kejadian pada tarikh di atas. Kedua-duanya dilanggar oleh 'benda terbang' - WTC dilanggar pesawat Boeing (kononnya), manakala Tower Sky dilanggar helikopter - lalu menyebabkan kebakaran yang dahsyat. Namun, apa yang terjadi seterusnya adalah berbeza sama sekali.

Sebagai permulaan, River View Tower yang dilanggar oleh helikopter dalam filem ini tidak runtuh dengan cepat sebagaimana cepatnya South Tower (56 minit selepas dilanggar) dan North Tower (102 minit selepas dilanggar) dalam kejadian 9/11 (rujuk di sini).

Saya pasti penulis atau para penulis filem "The Tower" telah melakukan penyelidikan yang rapi apa yang akan berlaku sekiranya sesebuah bangunan pencakar langit dilanggar oleh kapal terbang atau helikopter. Boleh dikatakan apa yang dihidangkan dalam filem ini lebih logik dan boleh diterima akal berbanding dengan apa yang dihidangkan oleh pentadbiran George W. Bush dalam kejadian 9/11.

Kejadian dalam filem ini bermula pada malam menjelang hari Krismas sehinggalah ke pagi hari Krismas. Untuk beberapa jam (ini hanya anggaran saya) tingkat menara yang dilanggar helikopter dilanda kebakaran dan terus merebak ke beberapa tingkat yang lain. Namun, belum ada tanda-tanda ia akan runtuh. Berdasarkan simulasi komputer, River View Tower tetap akan runtuh setelah beberapa jam dilanggar akibat struktur bangunan yang semakin rapuh dimakan api. Namun untuk membiarkan menara itu runtuh sendiri adalah satu tindakan yang tidak bijak kerana ia sudah semakin condong dan akan runtuh - seperti pokok yang ditebang - ke arah City View Tower. Secara tidak langsung City View Tower juga akan runtuh akibat ditimpa oleh River View Tower. Oleh sebab itu, pihak bomba dan pihak pengurusan menara mengambil keputusan untuk memasang bom di beberapa bahagian dalam bangunan River View Tower dan di tapak bangunan bagi meruntuhkannya demi untuk menyelamatkan City View Tower (dan sudah pasti bangunan-bangunan lain di sekitarnya).

WTC, dua buah menara yang dibina dengan begitu kukuh sehingga dikatakan boleh menahan impak pelanggaran kapal terbang; apalagi helikopter ataupun piring terbang, akhirnya runtuh akibat dilanggar kapal terbang. Nampak kata kunci di perenggan atas iaitu condong? Ini langsung tidak terjadi dalam kejadian 9/11. Dalam masa kurang 2 jam kedua-dua menara WTC runtuh dengan begitu sempurna iaitu dalam satu garisan lurus terus ke bumi. Langsung tidak menyembah bumi. Sama caranya dengan runtuhan River View Tower setelah bom diletupkan, atau mana-mana bangunan yang diruntuhkan secara terancang. Ironik.

Pada mulanya saya akui memang saya percaya WTC runtuh akibat dilanggar kapal terbang. Tetapi saya mula rasa curiga apabila saya menonton Buletin Utama pada waktu itu yang melaporkan bahawa pihak CIA atau FBI (tidak pula saya ingat) telah berjaya menemui sebuah manual berbahasa Arab tentang cara-cara memandu pesawat Boeing dalam sebuah van tidak jauh dari tempat kejadian. Lawak betul!

Oh, filem ini juga ada menawarkan comic relief terutama sekali pada watak penolong chef yang tidak putus asa berusaha untuk melamar teman wanitanya dan sekumpulan 'orang kuat agama' yang doa mereka hampir semuanya 'dimakbulkan'...secara tidak sengaja. 

Deja vu

Babak klimaks filem ini mengingatkan saya kepada babak yang sama dalam filem Armageddon. Ia melibatkan pengorbanan diri agar orang lain dapat terus hidup. Kepada yang pernah menonton Armageddon pasti boleh agak babak mana yang saya maksudkan. Kalau tidak dapat agak, apalagi...pergilah menonton "The Tower." Pasti puas hati.

Bintang

Saya berikan filem ini 4 bintang kerana berjaya membuktikan bahawa kejadian 9/11 itu penuh dengan tipu helah. Juga kerana perkembangan watak-watak utama yang agak baik dan jalan cerita yang agak bagus sehingga tiada satu momen pun yang membosankan dalam filem ini.

Untuk Amerika dan sekutunya yang paling rapat, saya berikan 1 bintang (atas dasar kasihan) atas usaha mereka mengaburi mata dunia dengan sebuah kisah dongeng yang tidak masuk dek akal. Bravo!