Sunday, January 05, 2014

Azam 2014

Tahun ini - seperti kebanyakkan tahun-tahun yang lepas - aku tidak membuat/menyenaraikan apa-apa azam yang mahu dicapai.

Jadi, apa signifikannya entri ini dengan tajuk di atas?

Entahlah.

Namun, izinkan aku bercerita (macam tajuk novel RAM pula) akan suatu penemuan yang pada pendapat aku amat berguna untuk dikongsikan dengan mereka yang tidak mempunyai ataupun tidak mahu menanam azam.

Pada suatu hari di penghujung tahun 2013, aku terbaca satu post di wall FB Sis Zabrina. Dia menulis yang dia baru sahaja selesai membaca sebuah buku yang membuatnya berasa pening-pening lalat.

Aku baca lagi statusnya itu. Katanya, dalam buku itu dinyatakan bahawa menanam azam tahun baru itu adalah suatu perkara yang sia-sia. *Terkejutnya....*

Ia (azam) jarang-jarang dapat dicapai. Baiklah, yang ini betul juga. Contoh paling dekat adalah diri aku sendiri. Jarang sangat aku dapat mencapai azam aku kecuali azam untuk tidak membuat azam. Masuk tahun baru sahaja terus tercapai azamku itu. Ahaks!

Rasa ingin tahu terus membuak-buak, jadi aku teruskan pembacaan.

Walaupun tanpa azam, itu tidak bermakna kita tiada arah tuju atau tiada apa-apa yang hendak dicapai untuk tahun tersebut. Disebabkan itu, penulis buku mencadangkan agar kita memilih satu perkataan untuk dijadikan panduan atau perangsang untuk kita mencapai cita-cita pada tahun tersebut.

Ya, satu perkataan sahaja.

Gembiranya rasa hati aku dapat tahu benda-benda sebegini. Sama rasanya seperti memenangi sebakul buah-buahan sebanyak 2 kali!

Jadi, tahun ini aku tidak akan menanam apa-apa azam. Aku cuma memilih satu perkataan sahaja untuk dijadikan perangsang untuk aku mencapai apa yang aku mahu capai --

DISIPLIN.

Itulah perkataan yang aku pilih untuk tahun ini. Disiplin dalam apa jua yang akan aku lakukan dalam hidup aku - tidak kiralah dalam membayar bil dan hutang tepat pada masanya, menyimpan duit setiap bulan, ataupun...menulis dengan lebih kerap (kalau boleh setiap hari...pergh!).

Begitulah ceritanya...

* Aku juga akan terus berdisiplin untuk menggunakan kata ganti nama 'aku' dalam entri-entri seterusnya, insya-Allah. Lagipun orang tak guna 'saya' dalam monolog atau ayat naratif dalam novel. Kan?