Hari Kedua - 24/4/2010
Panda Oh Panda!
Walaupun tiada penaja besar seperti Colgate, Sendayu Tinggi atau Air Asia - hanya pencungkil gigi cap Cikgu Ramlah dan petua awet muda serta tikar terbang sahaja - yang sanggup menaja travelog saya ini, saya tetap akan menyambungnya atas permintaan yang sedikit. Jangan risau.
Kita berbalik kepada keputusan penting yang harus saya buat. Sudah tentunya saya memilih untuk pergi ke Beijing Zoo (BZ) kerana memikirkan bahawa saya perlu merehatkan sebentar kaki yang sudah terlalu lenguh dan saya pasti Chik akan bersetuju 100% dengan keputusan saya ini. Dan memang ternyata Chik bersetuju dengan keputusan saya. Maka kami pun berpatah balik ke arah papan kenyataan tadi dan kemudian menyeberang jalan untuk ke perhentian bas. Di sana sudah ada bukan satu tetapi dua buah bas menuju ke BZ. Oh ya! Bas ke BZ adalah bernombor 103. Tempat perhentiannya pula ialah Dongwu Yuan seperti yang dinyatakan dalam papan kenyataan tadi.
Kami menaiki bas 103 yang berada di belakang bas 103 yang berada di hadapan. Naik sahaja saya agak terpinga-pinga sebab tidak tahu hendak membayar tambang kepada siapa. Bayar kepada pemandu baskah? Atau bayar kepada konduktor baskah? Atau masukkan ke dalam tabungkah? Bas tiada tabung, jadi saya harus beralih kepada pilihan yang pertama dan kedua. Saya memandang kepada pemandu bas dengan penuh pengharapan agar dia dapat menyelesaikan keresahan di jiwa saya tetapi pemandu wanita itu menuding ke belakang seolah-olah menyuruh saya terus masuk ke perut bas pula. Dengan perasaan hampa saya menuju ke arah yang dimaksudkan tetapi Chik segera menahan saya kerana konduktor bas sebenarnya sedang berdiri di belakang palang yang terletak di sebelah kiri pintu masuk bas. Patutlah saya tidak perasan kerana konduktor bas tersebut kecil orangnya sama seperti saya.
Saya nyatakan hajat saya hendak ke BZ untuk dua orang sambil menunjukkan isyarat 'peace' kepadanya, "Beijing Zoo...two."
Sekarang giliran konduktor bas pula yang terpinga-pinga. Ah, sudah! Tak mungkin dia tidak faham BZ tu apa. Tiba-tiba saya rasa keterujaan saya untuk melihat panda di BZ menurun dengan mendadak. Sudah beberapa kali saya dan Chik mengulang perkataan BZ kepada konduktor - beberapa kali itu juga dia tersengih-sengih sambil memandang ke arah pemandu bas dan bercakap dengannya seolah-olah meminta tolong.
Kemudian Chik meminta saya melihat semula apa yang saya telah salin di dalam kertas tadi. Di sebelah perkataan BZ ada ditulis Dongwu Yuan dalam kurungan. Oh, ini mungkin nama perhentian bas di mana terletaknya BZ. Kami sama-sama menyebut nama perhentian itu kepada konduktor bas.
"Ohhh...Dongwu Yuan. One yuan," kata konduktor bas tertunduk-tunduk sambil menunjukkan isyarat nombor 1. Wah, murahnya! RMB1 sahaja tambangnya? Wow wee~~
Saya membayar tambang dengan hati yang berbunga-bunga. Pada masa yang sama saya juga sudah boleh menarik nafas lega kerana hajat kami hendak melihat panda akan tercapai sebentar lagi. Kenapalah saya tidak terfikir hendak menyebut nama Dongwu Yuan sedari awal tadi? Memang sengaja hendak menyusahkan diri! Ah, biarlah. Jangan diungkit perkara yang sudah berlalu. Yang penting kami mesti sampai ke BZ. Panda, here we come!
Dongwu Yuan merupakan perhentian terakhir bas 103. Saya rasa caj tambang bas tersebut adalah sama untuk semua destinasi - RMB1. Alangkah bagusnya kalau semua pengangkutan awam di Malaysia caj tambangnya begitu - menggunakan sistem flat rate. Baharulah orang ramai berebut-rebut hendak menggunakannya. Betul tak?
Baiklah, lupakan fasal tambang dan teruskan dengan cerita saya. Seperti biasa, apabila sampai di tempat baharu kami jadi terpinga-pinga tidak tahu ke mana arah yang hendak dituju. Saya harus akui bahawa percutian kali ini memang amat mencabar kerana kami tidak mempunyai peta sebagai rujukan. Sikap orang China yang tidak ramah dengan orang asing (kemungkinan besar kerana kebanyakan mereka tidak boleh berbahasa Inggeris) memburukkan lagi keadaan. Namun, bukan semua begitu. Ini dibuktikan dengan kerjasama yang diberikan oleh dua orang gadis China apabila Chik bertanyakan di mana letaknya BZ. Walaupun kurang fasih berbahasa Inggeris dan mereka sendiri kurang pasti di mana lokasi sebenar BZ, mereka tetap membantu. BZ sebenarnya terletak hanya di seberang jalan dari tempat kami berdiri iaitu di hadapan stesyen bas Dongwu Yuan dan stesyen Subway Beijing Zoo.
Setelah mengucapkan terima kasih, kami menyeberang jalan menuju ke BZ. Sampai di hadapan Zoo, kami tercari-cari pula di mana letaknya kaunter tiket. Di tempat kami mula-mula sampai memang ada bangunan yang kelihatan seperti kaunter tiket, tetapi semua kaunter ditutup. Kami berjalan lagi hingga berjumpa dengan kaunter tiket yang dibuka. Akhirnya dapat juga kami membeli tiket masuk ke BZ. Harganya RMB20 seorang.
Masuk sahaja ke dalam Zoo kami terus menuju ke Panda House yang memang terletak berdekatan dengan pintu masuk utama. Dalam Panda House ini pula terdapat tempat kurungan - atau dipanggil Hall - Indoor dan juga Outdoor.
Kasihan...
Indoor Hall terbahagi kepada dua. Yang pertama kalau tidak silap saya dipanggil sebagai Asia Games Panda Hall dan yang satu lagi dipanggil sebagai Olympic Games Panda Hall (maafkan saya kalau tersilap nama sebenar kedua-dua kurungan tersebut...saya ingat-ingat lupa...haih..). Saya tidak tahu apa beza kedua-dua kurungan tersebut. Pada saya panda-panda yang ada di dalamnya kelihatan sama sahaja. Mungkin juga panda-panda tersebut ialah panda-panda sebenar yang menjadi maskot bagi kedua-dua acara sukan Asia dan Olimpik. Entahlah, saya main agak sahaja.
Agak sukar juga untuk orang yang kecil seperti saya untuk melihat panda dengan lebih dekat kerana sebaik sahaja kami sampai di tempat kurungan, cermin kaca yang menjadi dinding kurungan dikerumuni oleh pengunjung-pengunjung Zoo. Ironinya kebanyakan daripada mereka adalah merupakan orang-orang China sendiri. Tak bagi chance langsung! Hendak tengok panda pun terpaksa berebut-rebut. Setelah bertolak-tolak akhirnya dapat juga saya ke depan. Chik awal-awal lagi sudah berada di depan kerana berebut-rebut memang salah satu benda yang Chik sangat suka tetapi tidak bagi saya yang agak lembab sedikit.
Untuk pengetahuan, hall yang pertama agak kecil sedikit (mungkin itu bezanya antara Asia dengan Olympic Games Hall...hmmm...) berbanding dengan hall yang kedua. Apa-apa pun untuk melihat panda-panda yang berada dalam kedua-dua hall tersebut kami terpaksa bertolak-tolak dengan para pengunjung yang lain. Semasa di hall kedua seorang budak lelaki yang berdiri di sebelah kanan saya dengan selambanya telah bersin dan tempiasnya telah terkena tangan dan sedikit di dagu sebelah kanan saya. Bertuah punya budak! Perlukah saya menyumpahnya? Atau perlukah saya menghantuk kepalanya ke dinding kaca? Saya dapati diri saya tidaklah begitu kejam. Maka, cepat-cepat saya mengesat cecair tersebut daripada tempat yang terkena dengan tisu dan terus mencucinya dengan hand sanitizer yang saya sentiasa bawa di dalam sling bag saya. Risau betul saya kerana pada waktu itu wabak H1N1 sedang mengganas semula. Thanks Allah for the hand sanitizer.
Selepas melawat Indoor Hall kami keluar dan pergi ke Outdoor Hall pula yang lebih merupakan sebuah kandang. Saya merasa agak terkilan dan sedih kerana panda-panda yang berada di dalam kandang tersebut kelihatan seperti tidak mendapat penjagaan yang sempurna. Kasihan betul...
Setelah puas meronda Panda House, kami keluar dari kawasan Zoo. Kami tidak pergi ke seksyen lain Zoo kerana memang tujuan utama kami ke sana hanya untuk melihat panda sahaja. Binatang-binatang yang lain akan kami lawati di Zoo Negara pula...hahaha...
Destinasi Seterusnya
Masalah lagi. Ke mana pula arah tujuan kami selepas BZ? Sekali lagi Chik bertanya kepada saya. Sekali lagi juga kami mempunyai dua destinasi yang perlu dipilih. Mahu ke Stadium Olimpik atau ke Summer Palace? Untuk ke Stadium Olimpik, kami boleh menaiki Beijing Subway di mana stesyennya terletak di seberang jalan bersebelahan dengan stesyen bas Dongwu Yuan. Untuk ke Summer Palace pula, kami perlu menaiki bas bernombor 332.
Saya memilih untuk pergi ke Stadium Olimpik kerana hanya perlu menaiki tren. Ditambah pula saya tidak mahu mengulang semula kecelaruan semasa menaiki bas 103 tadi membuatkan saya memilih Stadium Olimpik.
Adakah mudah menggunakan perkhidmatan tren bawah tanah berbanding dengan bas? Nantikannya di episod akan datang. Sekarang saya mahu tidur. Pagi esok perlu keluar rumah untuk menghadiri kenduri kahwin...maklumlah cuti sekolah...uhuhuhu~