Sunday, June 20, 2010

Cuti-cuti China: Hari Kedua - Bahagian Akhir

Hari Kedua - 24/4/2010

Kempunan lagi 

Setelah puas berjalan dan bergambar di sekitar Stadium Bird's Nest dan Stadium Water Cube, tiba masanya untuk kami beredar dari sana. Dengan lemah longlainya saya berjalan menuju ke Stesyen Olympic Sports Centre. Destinasi kami yang seterusnya ialah Xidan Commercial Centre - salah satu kawasan membeli belah yang agak terkenal di Beijing...errr..itu seperti yang saya baca di internet, tidak tahulah benar atau tidak. Saya tidak teruja sangat hendak ke sana, tetapi disebabkan saya tidak membawa baju yang cukup, saya memaksa diri untuk mengikut Chik ke sana. Shopping memang aktiviti kegemaran Chik tetapi tidak bagi saya. Dan sebenarnya dari semalam Chik hendak pergi shopping tetapi akibat tidak sempat (di Beijing kebanyakan perniagaan ditutup seawal pukul 9 malam), kami menukar rancangan untuk shopping ke hari ini.

Semasa hendak pergi ke kaunter untuk membeli tiket, Chik berpesan kepada saya tidak perlu beritahu kepada penjual tiket ke mana tempat yang hendak dituju. Terus hulurkan duit tambang sahaja kerana dia merasakan bahawa  harga tambang telah ditetapkan pada harga RMB2. Memang benar sekali kerana sebaik saya menghulurkan RMB4 kepada penjual tiket tanpa berkata apa-apa, saya diberikan 2 tiket tren. 

Kagum betul saya dengan sistem pengangkutan awam di China. Sudahlah murah, sangat efisien dan menepati masa pula. Bak kata Chik , kalaulah China tahu apa yang kerajaan buat di Malaysia (mengenai tambang) mesti kami akan ditertawakan...hmmm...

Jadi dari Stesyen Olympic Sports Centre kami mengambil tren hingga sampai ke Stesyen XiDan yang berada di Line 1. Sebaik mendaki anak-anak tangga dan sampai di atas, saya terpandangkan sebuah bangunan besar berwarna coklat yang berada di sebelah kiri saya. Di tengah-tengahnya terpampang nama bangunan tersebut:

BEIJING BOOK BUILDING

Wahhhhhh!!! Saya rasakan mata saya bersinar-sinar seperti mata Spongebob apabila dia melihat atau mendengar benda yang dia suka. Saya pernah terbaca tentang bangunan tersebut dalam buku Lonely Planet: Beijing tetapi saya tidak ingat di mana. Rupa-rupanya ia berada di Xidan...dan sekarang ia berada betul-betul di hadapan mata saya. 

"Inilah Beijing Book Building yang orang cakap hari tu," kata saya kepada Chik. Masa dalam flight menuju ke Tianjin kelmarin, Chik ada bertanya kenapa saya tidak membawa apa-apa buku untuk dibaca. Saya cakap saya malas dan tidak mahu memberatkan beg. Lagipun saya kata di Beijing ada satu bangunan bernama Beijing Book Building yang menjadi tumpuan pecinta buku...kalau boleh saya teringin hendak ke sana tetapi tidak ingat ia terletak di mana.

Chik nampak tidak berminat dan sememangnya dia tidak berminat. Kalau boleh saya hendak mengajak dia ke sana tetapi dia telah terlebih dahulu bertanya di mana shopping complex yang hendak dituju. Nampaknya saya kempunan sekali lagi. Di masa itu saya mengharapkan di sebelah saya bukan Chik tetapi Puan Azrina atau mungkin Encik Zaiful kerana saya yakin belum sempat saya mengajak, mereka akan terlebih dahulu menarik saya untuk ke sana.

Maka dengan kaki yang penat dan lenguh kami menuju ke kanan ke sebuah kompleks membeli belah yang berbentuk empat segi berwarna putih yang tidak menarik langsung. Sebaik masuk melalui pintu berputar (tiba-tiba teringat rancangan 'Roda Impian' - saya putar Halim! Hahaha...), saya sudah merasakan aura orang-orang kaya berlegar-legar di dalam bangunan tersebut. Memang tempat itu tempat orang-orang kaya membeli belah. Melihat tag-tag harga di situ membuatkan saya rasa ingin pengsan. Memang saya dan Chik tidak layak berada di situ. Maafkan kami wahai bangunan-empat-segi-berwarna-putih-yang-tidak-menarik-langsung, kami tersesat! Saya cuma hendak mencari t-shirt yang berharga RMB20, bukan yang berharga RMB200 atau RMB2,000!

Selepas keluar daripada bangunan-empat-segi-berwarna-putih-yang-tidak-menarik-langsung, kami balik semula ke underpass menuju ke Stesyen XiDan. Saya teringat ada satu lagi kawasan membeli belah yang boleh dituju iaitu Wangfujing Street. Jadi kami akan ke sana pula menaiki tren dan berhenti di Stesyen Wangfujing. Saya tidak mahu bercerita panjang tentang Wangfujing Street kerana memang tiada apa-apa yang menarik hati saya di sana.

Pulang, Marilah Pulang Bersama-sama...

Saya tidak dapat juga membeli apa-apa di Wangfujing Street. Begitu juga dengan Chik kerana harga barangan yang masih tidak dapat ditampung bajet kami. Rasa menyesal pula kerana terlalu mendengar kata-kata Chik semasa di kedai cenderamata di Beijing Zoo. Saya sebenarnya hendak membeli sehelai t-shirt  lengan panjang yang dihiasi gambar panda di sana. Tetapi Chik kata tidak berbaloi kerana harganya mahal. Di luar sana kami boleh dapatkan t-shirt yang lebih murah. Yeah, right! Sekarang saya pulang dengan tangan kosong. Nasib baik masih ada sehelai dua baju lagi. Esok kena cari lagi.

Kami pulang ke hostel dengan menaiki tren. Destinasi kami ialah Stesyen Qianmen (Line 2). Semasa melepak menghilangkan lenguh di bangku di tepi sebuah kompleks membeli belah di Wangfujing Street, saya dan Chik berbincang tentang bagaimana hendak membeli tiket keretapi ke Xi'an kerana pada malam esok kami perlu bergerak ke sana. Agak sukar hendak pergi sendiri jadi saya mencadangkan kepada Chik agar kami meminta pihak hostel menempahkan tiket keretapi bagi pihak kami.

Maka, sebaik sampai di hostel, kami terus ke kaunter dan meminta staf hostel yang berada di kaunter pada ketika itu untuk menempahkan tiket bagi pihak kami. Harga tiket keretapi 'soft seat' (kami sebenarnya ingin menempah tiket keretapi 'soft-sleeper' tetapi tiket telah habis dijual) adalah RMB237 seorang tidak termasuk caj servis yang dikenakan oleh pihak hostel iaitu sebanyak RMB60 seorang.

Selesai dengan urusan tempahan, kami naik ke bilik. Kalau ikutkan Chik dia mahu terus pergi makan, tetapi memandangkan waktu itu sudah hampir maghrib saya mengingatkan Chik bahawa saya belum solat.

Namun keluar sahaja dari bilik air saya terus beritahu Chik kami sudah boleh keluar semula. 'Kawan baik' saya datang awal lagi. Arghh!! Risaunya saya...memikirkan keadaan tandas di China yang tiada air...malam esok pula perlu ke Xi'an menaiki keretapi semalaman. Waktu-waktu begini mulalah rasa betapa sukarnya menjadi perempuan. Harap-harap 'kawan baik' saya ini mendengar rayuan agar tidak menyusahkan saya sepanjang berada di sini...huhu...

Hot Pot Lagi?

Malam ini kami makan malam di restoran yang sama. Staf-staf restoran tersenyum gembira menyambut kedatangan kami. Layanan yang diberikan juga lebih mesra daripada semalam. Rasa malu pula. Saya masih terkial-kial melihat menu tetapi tidak tahu hendak makan apa. Ini menambahkan lagi rasa malu saya kepada pelayan yang sedang menunggu order daripada kami dengan penuh sabar. Takkan hendak order hidangan hot pot lagi? Memandangkan Chik order mee (mee rebus agaknya?), jadi saya pun order makanan yang sama.

Seharian tidak makan apa-apa kecuali biskut, jadi malam itu saya makan dengan berselera sekali. Selepas makan kami berjalan-jalan sebentar di lorong kecil yang kami kunjungi semalam. Setelah puas merayau kami pulang semula ke hostel.

Setelah membersihkan diri, seperti biasa orang yang paling awal tidur ialah Chik. Saya masih ada kerja yang perlu dilakukan iaitu mengira baki wang yang kami kongsi bersama sama ada masih cukup atau tidak. Memang menjadi kebiasaan kami untuk mengasingkan wang makan, tambang dan tiket untuk dipegang oleh salah seorang daripada kami sebagai 'pemegang amanah'. Selalunya sayalah yang akan dilantik menjadi pemegang amanah tersebut. Tidaklah saya tahu kenapa saya yang sering dilantik, tetapi saya menerimanya dengan redha.

Dan pada malam ini baharu saya tahu air conditioner di dalam bilik ada fungsi heater. Tiba-tiba saya rasa macam orang bodoh. Mungkin sebab sudah terbiasa dengan air conditioner di Malaysia yang cuma berfungsi sebagai pendingin hawa jadi semalam saya tidak menghidupkannya kerana tidak terfikir langsung  yang air conditioner di sini mungkin ada fungsi heater. Tidak fasal-fasal saya dan Chik kesejukan semalam. Hmmm...tidak mengapalah. Perkara pun sudah berlalu. Yang penting sekarang ialah saya perlu mengikut jejak Chik....saya mahu tidur lena malam ini. Diharapkan segala-galanya akan berjalan dengan lancar pada hari esok...               

7 comments:

AttOkz Dikulgai said...

'Di masa itu saya mengharapkan di sebelah saya bukan Chik tetapi Puan Azrina atau mungkin Encik Zaiful kerana saya yakin belum sempat saya mengajak, mereka akan terlebih dahulu menarik saya untuk ke sana.'

-- Org kenal mamat tu. Ensem n macho orgnya. Baik budi plak tu. hahahaha! Kalao org ada pun, sebelum touch down kat Tianjin lagi dah org angkut awk gi Beijing Book Building. Tak yah nak g tgk Panda ke tgk Stadium ke...tp tu la. Musykil sket. Takut buku tulisan China je byk. heh~

'kawan baik awk datang awl'? uhuhuhuhu! jadi secara tak langsung tak ble la solat maghrib ye mlm tu? iskh!

Sianye dia. Takpe, nnt bila kita g lagi...kita beli 2 dozen ye baju tshirt ada gmbr panda! :P

Siti R said...

Perasan :P

Eh, Beijing Book Building tu byk buku2 import termasuk English books...bkn buku2 tulisan China jer ada.

Yelah, xkan nak solat gak...iskh!

Ok :P

AttOkz Dikulgai said...

Really byk buku import?
Try nnt kite g, ada tak buku terbitan DBP ke, Alaf21 ke atau PTS?
:P

Pstt...org dh berjaya merekodkan 3 bulan tau. Tp tak tau la nak bt apa ntah. hahahaha! Statistical sungguh. Ngeeee~

Kurma said...

AttOkz.. apa yg rekod 3 bulan? Rekod kedatangan kawan baik Mak ET ke? ahahahah..

ohh.. terharunya akuu Siti hehehe.. yeee kalau aku ada memang aku tarik ko ke sana terus. Aku yang membaca ni pun terasa mataku bersinar2 hihii.. ala dah alang2 takleh soping nape tak ajak Chik pegi Book Building tu?

Siti R said...

AttOkz: Byk buku import berbahasa Inggeris. Xtau ler buku dr Malaysia ada ke x...kena siasat nnti..

3 bulan apa ni?

Kurma: Ya, aku tau...kita akan saling tarik menarik...hehehe...Aku x berani ajak Chik...dia x minat sgt buku2 ni

AttOkz Dikulgai said...

Cik Pn.Rin,
Ehem! Malu saya tau. Im blushing..piu piu piu! Kantoi den!
hahahahaahha!

Awk,
Ok. Nnt kena htr undercover g sana. Erk...hehehehe!

Siti R said...

Huh! Kantoi jugak...