Hari Kelima - 27/4/2010
Selamat Tinggal Qing Kang
Sebelum menghantar kami ke Moslem Street, Qing Kang terlebih dahulu membawa kami ke salah sebuah kedai yang terletak di deretan kedai yang terdapat di seberang Ancient City Wall di mana di belakang tembok itu terletaknya Xi'an Railway Station (cuba baca dalam satu nafas...fuh!). Dari kedai tersebut baharulah saya sedar bahawa Xi'an Railway Station itu rupa-rupanya sangat besar dan memanjang (sudah tentulah memanjang...nama pun stesyen kereta api...iskh!) bangunannya.
Saya tertanya-tanya di dalam hati mengapa pula Qing Kang membawa kami ke kedai tersebut. Ada benda yang mahu dia belikah? Rupa-rupanya di sana ada disediakan servis menyimpan bagasi. Kami diminta untuk meninggalkan bagasi kami di sana kerana selepas menghantar kami ke Moslem Street nanti, servis Qing Kang akan tamat. Dia tidak akan menunggu kami lagi. Itu yang diberitahu oleh Melanie kepada Chik melalui perbualan telefon. Sebelum mereka habis berbicara, saya berpesan kepada Chik supaya memberitahu Melanie untuk meminta Qing Kang menulis South Beijing Railway Station dalam tulisan Cina agar mudah kami tunjukkan sahaja kepada pemandu teksi apabila sampai di Beijing nanti.
Telefon bimbit beralih tangan. Giliran Qing Kang pula untuk menerima pesanan daripada Melanie. Selesai Qing Kang dan Melanie berbual di telefon, Qing Kang meminta pen dan kertas. Saya hulurkan pen dan buku nota yang saya sentiasa bawa kepadanya. Qing Kang terus menuliskan nama South Beijing Railway Station dalam tulisan Cina. Dia juga mengajar kami menyebut nama South Beijing Railway Station dalam bahasa Mandarin iaitu 'Beijing Nang Nja.' Qing Kang turut menuliskan nama kedai tempat kami menyimpan bagasi ke dalam buku nota saya walaupun tuan kedai ada memberikan resit bayaran kepada kami.
Selesai urusan di sana, Qing Kang membawa kami menuju ke Moslem Street. Qing Kang menurunkan kami di hadapan bazar yang terletak di Moslem Street. Setelah mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal kepada Qing Kang, kami pun turun dari mini van. Sekali lagi hanya tinggal saya dan Chik berdua sahaja untuk meneruskan saki-baki perjalanan kami di sini.
Patung-patung, Bukan Pepatung
Saya tidak banyak membeli. Selain tiada keperluan, saya amat lemah dalam bidang tawar menawar. Kadang-kadang kagum juga dengan Chik. Selalunya dia dapat menawar harga yang serendah-rendahnya daripada yang saya dapat tawar sebelum ini untuk barang yang sama. Memang saya langsung tidak berbakat. Hmmm...
Habis separuh bazar dijelajah, kami tiba di tengah-tengah bazar yang merupakan sebuah kawasan terbuka. Di sana kami disambut oleh patung-patung batu bersaiz manusia - seorang 'lelaki' sedang mencangkung sambil memegang mangkuk yang berisi 'makanan', di sebelah kirinya seorang 'lelaki tua' sedang menuangkan sesuatu daripada sebuah 'teko besar' di atas pedatinya ke dalam mangkuk yang dipegang di tangan kirinya, seorang 'kanak-kanak perempuan' sedang berdiri menghadap dan menghulurkan tangan ke arah 'lelaki tua' tadi, manakala seorang 'wanita' sedang duduk sopan di atas bangku di sebelah kiri 'lelaki tua' tersebut. Tidaklah saya tahu apa tujuan patung-patung tersebut diletakkan di sana. Mungkin untuk menunjukkan bahawa suatu ketika dahulu kawasan tersebut pernah menjadi kawasan penjaja makanan mencari rezeki. Kalau ikutkan, tarikan utama di Moslem Street adalah kepelbagaian juadah makanan yang terdapat di sana. Jadi, sebagai pelancong, kami tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama-sama dengan patung-patung tersebut (inilah yang dikatakan sebagai resmi pelancong. Ahaks!).
Selepas bergambar, kami bergerak lagi ke dalam bazar. Untuk pusingan kedua ini Chik lebih banyak membeli. Saya lebih banyak melihat-lihat. Dalam pada itu saya teringat akan pesan seorang rakan yang mengirim untuk membeli tulisan khat yang ditulis menggunakan seni kaligrafi China. Tidak tahu boleh jumpa atau tidak. Yang saya pernah jumpa sepanjang berada di Beijing dan Xi'an adalah hasil seni kaligrafi China semata-mata. Kalau tidak berjumpa, terpaksalah saya meminta maaf dengan dia atau lebih baik suruh dia pergi cari sendiri di China...ngeh...ngeh...ngeh...
Gerai Kaligrafi Imam Great Mosque
Namun tanpa disangka-sangka, di hujung bazar ada sebuah gerai yang menjual hasil kaligrafi tersebut. Alhamdulillah. Gerai tersebut dijaga oleh seorang wanita Muslim pertengahan usia. Beliau memperkenalkan dirinya sebagai isteri kepada imam besar Great Mosque yang terletak bersebelahan dengan Moslem Street. Apabila mendapat tahu kami datang dari Malaysia, beliau menunjukkan gambar suaminya sedang bersalaman dengan Pak Lah (yang ketika itu masih lagi menjadi Perdana Menteri Malaysia) yang tergantung di dinding gerai. Oh, saya tidak perasan pula gambar tersebut ada di sana jika beliau tidak menunjukkannya kepada kami. Ada juga beberapa gambar imam dengan pemimpin-pemimpin dunia yang lain. Nampaknya gerai kaligrafi tersebut memang sering dikunjungi oleh pemimpin-pemimpin dunia yang mungkin juga dibawa melawat ke Great Mosque. Jadi tidak hairanlah jika isteri imam tersebut boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan kami.
Menurut isteri imam tersebut lagi, hasil kaligrafi yang dijual di sana semuanya adalah merupakan tulisan suaminya sendiri. Subhanallah! Rambang mata saya dibuatnya kerana memang hasil seni tersebut cantik-cantik belaka. Namun akhirnya saya hanya membeli dua hasil kaligrafi yang sederhana kecil - satu untuk diberikan kepada rakan yang mengirim dan satu lagi untuk diri saya sendiri (setelah pulang rasa menyesal pula tidak membeli lebih banyak sedangkan wang belanja yang dibawa masih berbaki lagi. Saya rasa ia sangat sesuai untuk dijadikan cenderahati yang unik yang sukar untuk didapati di mana-mana...aishh...).
Kita Makan Dulu...
Gerai kaligrafi tadi merupakan gerai terakhir yang kami kunjungi di bazar tersebut. Masing-masing telah berpuas hati dengan hasil pembelian di hari terakhir kami di Xi'an. Kalau ikut perancangan, kami ingin meneruskan lawatan ke Great Mosque pula. Tetapi sebelum itu - kita makan dulu!
Kami memilih untuk makan di sebuah kedai makan yang terletak di luar bazar. Lagipun memang semua kedai makan terletak di luar bazar...hehe...
Seperti biasa kami tidak tahu hendak makan apa. Jadi kami memilih untuk order makanan yang sedang dimasak di hadapan kedai. Lagipun kami sudah beberapa kali terliur menghidu aroma makanan tersebut yang dimasak di banyak lagi kedai-kedai makanan sepanjang kami berjalan-jalan di kawasan Moslem Street ini. Saya sebenarnya tidak tahu bagaimana hendak menerangkan tentang makanan tersebut. Jadi tengok sahajalah gambarnya, ya (aha...pertama kali meletak gambar dalam travelog ini...).
Nyum! Nyum!
Sedap, memanglah sedap. Tetapi cepat pula terasa muak. Ditambah pula dengan mangkuknya yang besar itu agak menyukarkan kami untuk menghabiskan makanan tersebut. Saya rasa makanan inilah yang cuba digambarkan melalui patung-patung batu yang terletak di tengah-tengah bazar tadi. Mungkin ia merupakan makanan kegemaran masyarakat di Xi'an sejak turun temurun.
Setelah kenyang dan membayar harga makanan, kami bertanya kepada tuan punya kedai yang berbadan sasa (betul, tak tipu) arah ke
Great Mosque. Dia pun tidak berapa pasti kerana dia rupa-rupanya bukan seorang Muslim. Namun pekerja-pekerjanya terdiri daripada orang-orang Islam. Jadi dia bertanya kepada mereka. Mula-mulanya arah yang diberikan adalah salah. Katanya untuk ke masjid kami perlu berjalan ke kiri selepas keluar dari kedainya. Namun baharu sahaja beberapa langkah, dia memanggil kami semula. Rupa-rupanya
Great Mosque terletak di hadapan kedai sahaja. Yang memisahkannya ialah tembok yang mengelilingi masjid. Pintu masuknya betul-betul di hadapan bazar tadi (berdekatan pula dengan gerai kaligrafi imam besarnya). Setelah mengucapkan terima kasih untuk kali kedua, kami pun menuju ke sana.
* Untuk mengetahui apa yang terjadi di
Great Mosque...tunggu sambungannya, ya. Harap bersabar...uhuhuhu!