Monday, August 27, 2012

Umrah Ramadan: Pengalaman yang 'Menyeramkan'

Malam itu malam terakhir kami di bumi Madinah. Jadi, untuk kelainan kami semua bersepakat untuk menunaikan solat terawikh di laman foyer Masjid Nabawi.

Cuaca - seperti biasa - panas dan kering walaupun di waktu malam. Cuma kekadang angin akan bertiup sepoi-sepoi bahasa bagi mendinginkan tubuh kami yang sedang bersolat.

Setelah beberapa rakaat menunaikan solat, saya makin terasa panas di tapak kaki terutama sekali yang di sebelah kanan. Lapisan plastik biru yang dijadikan alas tidak berjaya mengurangkan kepanasan kaki. Sehingga sampai pada satu tahap saya terpaksa menjengketkan kaki sekali sekala untuk menghilangkan kepanasan yang dirasa.

Akibat tidak tahan, mungkin terlintas di fikiran saya (yang waktu itu masih sedang bersolat), atau mungkin juga merintih, "Ya Allah...tak tertahan rasa panas di tapak kaki ini. Alangkah bagus jika rasa panas ini bertukar kepada sejuk."

Rasanya tidak sampai seminit, apabila tiba-tiba tapak kaki kanan saya terasa sejuk dan nyaman. Terus terang saya rasa darah saya berderau. Mana mungkin 'permintaan' saya dimakbulkan dalam 'sekelip mata'? Betulkah apa yang saya rasa?

Usai memberi salam, terus saya periksa tapak kaki. Basah. Rupa-rupanya ada air zam-zam yang tertumpah lalu mengenai tapak kaki saya. Punca air daripada cawan seorang jemaah yang berada di saf belakang saya. Bukan betul-betul di belakang, tetapi dia berada di sebelah kiri belakang saya. Kalau diikutkan logik, air zam-zam yang tertumpah itu pasti akan mengalir ke hadapan kerana cawan yang tumbang menghadap ke depan. Tetapi air yang tumpah melencong ke kanan (agak jauh juga arah aliran air), lalu membasahi tapak kaki kanan saya.

Meremang bulu roma saya dibuatnya. Namun dalam hati tetap mengucapkan rasa syukur.

Peristiwa tersebut menambahkan keyakinan saya bahawa benarlah di Tanah Suci ini, segalanya diberikan atau dibalas secara 'tunai.'

6 comments:

niL said...

Wahh...saya seriau tetiba....

Allah itu Maha Besar!

Siti R said...

Ya, benar..

zatara said...

Ya. Sy pun turut seriau. Terima kasih utk info ini.

Siti R said...

Sama-sama...terima kasih kerana membaca.

Kurma said...

Teringat baca paper aritu, Ana Raffali pegi umrah dia cerita dia takut dengan burung apatah kat situ. Tup2 kena berak keceper atas telekung dia.

Siti R said...

Oh, ye ke? Isk3...