Hari Pertama - 23/4/2010
Salah Hotel
Sampai sahaja di Beijing South Railway Station, kami terus ke tempat menunggu teksi dengan berpandukan kepada papan tanda yang terdapat di dalam stesyen. Nasib baik semua papan tanda dalam dwi bahasa - bahasa Cina dan bahasa Inggeris. Kalau tidak, kami akan 'lost in translation' sekali lagi.
Menunggu teksi tidak mengambil masa yang lama kerana setiap masa ada sahaja teksi tiba untuk mengambil penumpang. Lagi pun ada penjaga yang berlagak seperti tentera yang mengerah para penumpang untuk menaiki teksi-teksi yang baharu sampai.
"Go, go, go, go!" kerah penjaga tersebut. Saya rasa seperti saya salah seorang tentera yang sedang dikerah untuk berperang (walaupun saya tidak pernah menjadi tentera...saya cuma imagine sahaja).
Setelah meletakkan beg-beg kami di bonet, kami lekas-lekas menaiki teksi. Kepada pemandu saya tunjukkan baucer hotel. Saya ingat dia faham kerana di dalam baucer tersebut ada tertulis alamat hotel dalam tulisan Cina. Namun saya lihat air mukanya seperti menunjukkan dia tidak tahu di mana hotel itu berada. Teksi bergerak, namun apabila hendak keluar ke jalan raya, pemandu memberhentikan teksinya di tepi jalan. Berkali-kali dia membaca alamat di baucer tersebut. Mukanya kelihatan tegang. Sekali sekala dia berbicara dalam bahasa Mandarin yang kami tidak faham langsung. Saya dan Chik mula merasa risau. Kemudian dia berpaling kepada saya sambil bercakap Mandarin. Jarinya menunjuk-nunjuk kepada nombor telefon hotel. Dia menyuruh saya menelefon hotel rupanya.
Saya mendail nombor yang tertera. Kemudian saya menghulurkan telefon bimbit saya kepadanya. Setelah selesai bercakap dengan pekerja hotel, dia memulangkan telefon bimbit saya sambil mengangguk-anggukkan kepala menandakan dia sudah tahu di mana lokasi hotel. Fuh! Leganya saya rasa.
Sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan pemandangan bandar Beijing. Pada waktu ini sedang musim bunga (Spring), namun tidak banyak pokok-pokok bunga yang berwarna-warni dapat dilihat. Kebanyakan pokok-pokok yang ada tidak berdaun. Mungkin kerana sekarang ini masa peralihan musim daripada musim bunga kepada musim panas. Entahlah. Saya agak sahaja.
Kemudian kami melalui kawasan di mana terdapat banyak gedung-gedung membeli-belah. Hampir mengangga saya apabila melihat satu gedung membeli-belah - Sogo. Sangat besar...tersangatlah besar! Saya rasa bangunan Sogo di KL sangat kecil jika dibandingkan dengan Sogo di bandar Beijing ini. Mungkin besarnya hanya 1/5 daripada Sogo Beijing. Saya terfikir bolehkah saya menggunakan kad Sogo saya sekiranya saya membeli-belah di sana...hehehe...
Tidak lama kemudian kami pun sampai di Jalan Qianmen. Harga tambang teksi RMB23 (semua teksi menggunakan meter) tetapi tambang sebenar yang perlu dibayar adalah RMB24. RMB1 adalah merupakan 'Bunker Adjustment Factor'. Jadi setiap kali membayar teksi kita perlu menambah RMB1 daripada harga tambang sebenar kepada pemandu. Pemandu teksi menunjuk-nunjuk arah hotel. Seperti dia menunjuk hotel berada dalam lorong kecil di sebelah kanan jalan. Saya pula memandang ke depan iaitu ke arah signboard yang tertulis 'Qianmen Cafe & Hostel.' "Bukan itukah hotelnya?" hati saya tertanya-tanya (tetapi nama hostel tersebut tidak sama dengan nama hotel yang tertera di dalam baucer tadi). Hostel tersebut pula betul-betul terletak di tepi jalan.
Kami pun berjalan menuju ke arah lorong yang ditunjuk oleh pemandu teksi tadi. Semasa kami berjalan memasuki lorong, banyak mata memandang ke arah kami...seolah-olah kami baharu datang dari Planet Zargus yang tidak tersenarai dalam mana-mana planet yang terdapat dalam Galaksi Bima Sakti. Mahu sahaja saya ucapkan, "Greeting, Earthlings. Live long and prosper," sambil mengangkat tangan mengikut gaya Mr. Spock (salah satu watak dalam Star Trek). Tetapi saya buat-buat tidak tahu sahaja. Beberapa langkah berjalan, kami tidak nampak tanda-tanda adanya Beijing Furun Qianmen (BFQ) Hotel di situ. Saya mengajak Chik berpatah balik dan pergi ke hostel yang kami nampak di depan jalan tadi.
Sebaik sahaja kami memasuki hostel, kami disambut oleh seorang lelaki yang saya kira merupakan pekerja hostel. Kepadanya saya tunjukkan baucer hotel. Dia tersenyum sambil menggelengkan kepala. Dengan bahasa Inggeris yang lancar dia mengatakan bahawa kami sudah salah tempat. Hotel yang tertera dalam baucer itu tidak jauh daripada hostel yang kami masuki. Ah, sudah!
Memandangkan kami sudah berada di situ, lelaki tersebut yang bergelar Ken menawarkan penginapan di hostel tersebut kepada kami. Harganya agak mahal sedikit daripada BFQ Hotel. Dia kata dia akan tunjukkan keadaan bilik kepada kami dan biarkan kami buat keputusan samada mahu menginap di situ atau pergi ke BFQ Hotel (dia sedia menunjukkan di mana letaknya BFQ Hotel sekiranya kami tidak mahu menginap di hostelnya).
Kami mengambil keputusan untuk menginap sahaja di hostel tersebut. Biliknya agak selesa juga dengan tiga katil dan bilik air persendirian. Ada juga bilik yang lebih murah tetapi bilik air kena share dengan penyewa lain. Kami tidak mahu bilik yang begitu. Tidak mengapalah kena bayar lebih asalkan ada privacy.
Setelah membayar sewa bilik, Chik bertanya kepada Ken di mana kami boleh mencari restoran Muslim di sekitar kawasan hostel. Ken kata tidak ada. Tetapi katanya ada satu kawasan di Beijing di mana di situ terdapat penduduk minoriti Muslim, jadi di sana mungkin terdapat banyak restoran Muslim. Dia menunjukkan lokasinya di dalam peta, tetapi malangnya dia tidak tahu bagaimana cara untuk pergi ke sana. Maklumlah dia bukan Muslim jadi dia tidak pernah menjejakkan kaki ke sana. Semangat kami hampir hilang terutamanya Chik yang sedang kelaparan. Tetapi tiba-tiba Ken bersuara. Dia baharu teringat sebenarnya ada satu restoran Muslim tidak jauh dari hostel. Dari hostel kami perlu ke kanan dan berjalan terus. "'It's just around the corner," kata Ken yang membuatkan hati kami berbunga-bunga kembali.
So Much for a Privacy
Kami kembali semula ke bilik dengan mengangkat beg-beg yang ditinggalkan di lobi semasa kami melihat-lihat keadaan bilik tadi. Bilik kami berada di tingkat tiga, jadi agak jenuh juga hendak mendaki anak-anak tangga yang agak curam. Saya perlu segera ke bilik kerana waktu Maghrib hampir menjelang tiba. Solat Zohor dan Asar belum ditunaikan lagi (waktu solat dan segala maklumat berkaitan dengan Islam/Muslim di China boleh dirujuk di islamichina.com). Masuk sahaja ke dalam bilik baharu saya perasankan sesuatu. Bilik air kami hanya berdinding kaca! See through, orang putih kata. Erkkk!!!
"Warghh, malunya. Macam mana ni?" saya terjerit kecil.
"Nak masuk bilik air kena beritahu...orang kat luar kena pandang tempat lain," kata Chik.
"Nasib baik orang bawa kain batik," kata saya. Kami tergelak-gelak. Nasib baiklah kami tidak berkongsi bilik dengan orang lain. Gila betul. Saya ingat bilik di Hotel Park Royal yang saya diami masa annual dinner tahun lepas sudah cukup membuatkan saya malu mengenangnya. Rupa-rupanya yang ini lebih teruk lagi.
Mari Makan Hot Pot
Usai solat, kami keluar semula dengan misi untuk mencari restoran Muslim yang disebut oleh Ken. Kami berjalan menyusuri kaki lima dan kemudian lebih kurang 10-20 meter dari hostel, kami membelok ke kanan memasuki sebuah lorong. Di mana-mana kami mendapati kami menjadi tenungan pejalan-pejalan kaki yang berselisih dengan kami. Di sini juga saya mula menyedari bahawa orang-orang Cina mempunyai satu lagi tabiat yang amat menjengkelkan dan menggelikan anak tekak saya. Ya, tabiat suka meludah. Bukan setakat meludah, tetapi meludah merata-rata beserta dengan bunyi sekali. Tahulah saya kenapa penyakit-penyakit berjangkit seperti SARS, selsema burung hatta Influenza A H1N1 begitu senang merebak di bumi China ini; kerana virus-virus tersebut 'dibebaskan' merata-rata. Aihh...risau pula saya sebab gelombang kedua Influenza A H1N1 sedang melanda pada ketika ini. Semoga saya dan Chik dijauhkan daripada ditimpa sebarang penyakit.
Setelah beberapa lama berjalan di lorong tersebut, kami masih tidak berjumpa dengan restoran yang dicari. Restoran memang banyak tetapi bukan restoran Muslim. Kami keluar semula dari lorong tersebut bagi meneruskan pencarian.
...yang tidak mengambil masa yang lama untuk ditemui. Berjaya! Saya dapat mengenal pasti restoran itu merupakan restoran Muslim melalui 2 kalimah syahadah yang digantung di atas pintu masuk restoran. Syukur malam ini kami tidak akan kelaparan. Masalahnya, masa melihat menu, kami tidak tahu hendak memilih makanan apa. Kami ikut apa yang dicadangkan oleh pelayan.
Menu utama di restoran tersebut adalah Hot Pot. Kami memilih daging kambing (ikut cadangan pelayan yang memberikan thumb's up untuk fresh mutton), sayur bayam dan perut lembu (tak tahulah macam mana boleh terpilih perut lembu...mungkin masa kami tunjuk-tunjuk di menu apa yang hendak dipilih, pelayan menyangka kami menunjuk kepada beef's belly barangkali) dengan perencahnya; pes kacang soya.
Kami makan dengan begitu berselera sekali. Tidak ada langsung yang berbaki. Semuanya licin kami bedal. Kenyang kami dibuatnya. Alhamdulillah...
Houhai Lake
Setelah menjamu selera kami pulang semula ke hostel. Masuk sahaja ke lobi kelihatan Ken sedang berdiri di hadapan kaunter penyambut tetamu. Kami berbual dengan Ken. Chik sempat bertanya Ken tentang aktiviti yang boleh kami buat sepanjang berada di Beijing. Ken memberikan cadangan kepada kami tentang aktiviti dan tempat-tempat yang menarik yang boleh kami lawati pada hari esok dan lusa.
"What about tonight? Is there any interesting place that we can go tonight?" tanya Chik kepada Ken.
Ken mencadangkan agar kami pergi ke Houhai Lake. Di sana kami boleh melihat 'kehidupan malam' penduduk Beijing. Kiranya ia merupakan tempat yang paling happening di Beijing.
"But you must go now," kata Ken sambil menuliskan nama Houhai Lake dalam tulisan Cina untuk kami tunjukkan kepada pemandu teksi nanti. "And don't forget this. Always carry it with you," sambung Ken lagi merujuk kepada brosur yang mengandungi maklumat, alamat dan peta hostel agar kami boleh tunjukkan kepada pemandu teksi setiap kali kami hendak pulang.
Kami naik semula ke bilik untuk mengambil jaket. Suhu di luar sudah bertambah sejuk.
Tiada apa yang menarik sangat tentang Houhai Lake pada pandangan saya. Di luar pintu gerbang tasik kami lihat ramai orang berkumpul untuk bermain satu permainan yang saya lihat seperti sepak raga. Cuma bolanya bukan bola rotan, tetapi semacam bulu tangkis (agaknyalah). Tasik ini pula dikelilingi oleh barisan-barisan pub-pub dan kafe-kafe. Kelihatan agak meriah juga. Di samping itu di ada juga kedai-kedai menjual pelbagai jenis barangan seperti cenderamata, baju-baju dan bermacam lagi yang terdapat di tasik ini. Semasa berjalan di deretan kedai-kedai inilah kami ditegur oleh satu pasangan dari Malaysia.
"Eh!! Orang Malaysia, ya? Orang Malaysia, ya?" Sungguh teruja mereka berjumpa dengan kami. Mereka juga sedang bercuti. Agak lucu juga bila wanita Malaysia itu meluahkan rasa seronoknya kepada kami kerana akhirnya dapat berbahasa Melayu - sedangkan dia berbangsa Cina. Suaminya (orang Eropah) juga boleh berbahasa Melayu sikit-sikit (mengikut apa yang dia cakap).
Setelah puas mengelilingi tasik, kami pulang semula ke hostel. Selepas berbincang tentang apa yang hendak dilakukan pada hari esok, Chik terus bersiap-siap untuk tidur. Saya pula bersiap-siap untuk solat. Selepas solat saya fikir hendak mengikut jejak Chik juga, tetapi akibat kesejukan saya mengambil keputusan untuk mandi air panas untuk menghilangkan gigil. Sementelah Chik sudah tidur, saya rasa selamat untuk mandi...hahaha...
Hmm...mandi air panas memang sangat berkesan untuk menghilangkan sejuk. Selamat malam Beijing...Saya dapat tidur dengan selesa sekali walaupun tidak berapa lena.
4 comments:
Whoaaa...
Baru abes hari pertama..pergkhhh!
Org cabar awk habeskan sampai touchdown balik umah...sampai sempat htr sms beday kat org, k.
Pastu org vote entri ni semua as travelog. Then, paksa Chik buat benda yang sama tp dari her point of view. compile. bg kat org..nnt ble terbitkan travelog. uhuhuhuhuh!
Oopps! Memang la Zargus bukan dari Milky Way. Setau org Zargus dari Dwarf Galaxies called Leo T. Heh~
but it fact tau dear.
Whoaaa...org suka la bilik yang ada bilik air camtu. uhuhuhhuhuuh! kuikuikuikui! weng weng weng...
*senyum *senyum *sengih.
"Nasib baik orang bawa kain batik," kata saya. --> kalau tak bawak? hahahahahaa! weng weng weng..
Apsal la org tak ble cover sengih sambil type komen kat awk ni? :)
Ok. org tggu sambungan travel log awk ni. Ke nak citer kat org je? :P
Perkhh...mandi air panas..psssttt! recycle guna kain batik tak?
HAHAHAHAAHAAHHAAAHAAHAHAHAA! weng weng weng.
Aduss...cabaran besau ni. Ok org cuba...tp bab nak soh Chik tulis tu pyh sikit. Org jamin Chik xkan tulis punya..
Owh, ye ke? Tau nama jer tp x penah tau pun mmg wujud. Thanks.
Uiks...suka ajer :P
No comment.
Sbb awk dah x siuman. Org x siuman jer yg suka sengih x tentu psl :P
Nnti org smbg la..uhuhu..
No comment.
Uwekksss!!
aku pun sengih.. otak kanan aku bergerak aktif plak ni..
Ko sama? Ish3...
Post a Comment