Pejam celik, pejam celik...diam tak
diam...kita sudah memasuki fasa terakhir bulan Ramadan. Semoga segala
amalan kita walaupun sedikit akan diterima Allah hendaknya.
Setiap
kali datangnya bulan Ramadan, saya selalu teringatkan pengalaman
berpuasa untuk tempoh yang panjang lebih kurang 5 tahun yang lepas.
Selalunya memori ini disimpan dalam hati (ewah, bahasa...) tetapi kali
ini saya ingin mengongsinya dengan khalayak umum.
Ramadan
1428 bersamaan September 2007, saya dan Chik antara hamba-hamba Allah
yang bertuah mendapat panggilan-Nya untuk mengerjakan umrah.
Pada
hari ketiga umat Islam di Malaysia menunaikan ibadat puasa, kami
berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah. Sebelum berangkat kami
diberitahu oleh pegawai yang mengendalikan pakej umrah bahawa atas
masalah teknikal, kami akan terpisah dengan mahram tumpang kami. Waktu
penerbangan kami adalah seperti yang dijadualkan iaitu pada pukul 12:45
tengah hari. Manakala mahram tumpang kami dan beberapa orang ahli jemaah
lain hanya akan berangkat pada petang nanti iaitu lebih kurang pada
pukul 4:00 petang.
Pegawai
tadi meminta kami menunggu mahram tumpang di kaunter Imigresen apabila
kami sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah nanti. Itu bermakna
kami perlu menunggu lebih kurang 5 hingga 6 jam sebelum kami boleh check-in
bersama-sama mahram tumpang kami. Ya, Allah...belum pun menjejakkan
kaki ke Tanah Suci kami sudah diuji sebegini. Apalah nasib. Namun
begitu, kami tetap redha.
Sambil memandang wajah saya yang suci ini pegawai tadi bertanya, "Kenapa? Takut?"
Eh, adakah wajah suci saya telah mula menunjukkan garis-garis ketakutan? Is it too obvious?
Saya bukannya takut apa...takut mengenangkan bagaimana keadaan di Tanah
Suci nanti. Maklumlah di sana nanti dengar katanya segala benda akan
dibalas secara 'tunai'...saya ini bukanlah seorang perempuan yang alim
lagi solehah. Takut, memang takut. Ini bukan kembara yang biasa-biasa.
Ini lebih kepada kembara spiritual!
Tetapi sebagai seorang yang boleh tahan tinggi juga egonya saya menjawab, "Eh, tak adalah. Mana ada takut..biasa je."
Maka,
pada tengah hari itu kami pun berangkat menaiki penerbangan
bersama-sama dengan ahli jemaah yang sama waktu penerbangannya dengan
kami.
Beberapa jam dalam penerbangan...
Lebih
kurang hampir waktu berbuka di Malaysia, para pramugara dan pramugari
kelihatan sibuk menghidangkan makanan kepada para jemaah umrah. Bau
makanan begitu menyucuk-nyucuk ke dalam lubang hidung saya. Perut pula
sedang mendendangkan nasyid. Tetapi dalam hati masih ragu-ragu dan
tertanya-tanya bolehkah saya berbuka puasa sekarang?
Salah
seorang ahli jemaah - yang gayanya seperti seorang ustaz - yang satu
rombongan dengan kami kelihatan sedang berlegar-legar di sekitar tempat
duduk ahli rombongan sambil menegur agar kami tidak berbuka puasa pada
waktu itu. Katanya belum sampai waktu lagi kerana langit masih cerah.
Saya melontarkan pandangan ke luar tingkap. Memang langit kelihatan
terang benderang.
Semasa
kursus umrah yang saya dan Chik ikuti sebelum memulakan perjalanan,
Ustaz Daud Che Ngah juga ada berpesan agar kami teruskan berpuasa
sekiranya semasa dalam penerbangan nanti langit masih cerah. Lagipun
pengertian puasa itu sendiri sudah jelas lagi bersuluh; menahan
diri daripada makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa
mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Namun katanya nanti
kami sudah termasuk dalam golongan musafir. Dan selayaknya sebagai
musafir, kami dibolehkan untuk berbuka puasa dan wajib menggantikannya
nanti.
Chik
begitu bertegas hendak meneruskan puasa walaupun makanan kami sudah
terhidang di hadapan mata. Saya pula masih di persimpangan dilema -
antara hendak berbuka dengan tidak. Seorang makcik yang duduk di barisan
kerusi tengah dan kerusinya bersebelahan dengan Chik (kerusi mereka
hanya dipisahkan oleh aisle), beria-ia cuba mengajak kami berbuka
sambil mulutnya sudah mengunyah makanan. Walaupun sedikit tergugat,
namun akhirnya saya mengambil keputusan untuk meneruskan puasa
bersama-sama dengan Chik. Makanan yang dihidang tadi kami simpan supaya
boleh dibuat santapan berbuka apabila sampai di Jeddah nanti.
Lebih
kurang pukul 10:00 malam waktu Malaysia (lebih kurang pukul 6:00 petang
waktu tempatan), kami akhirnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa
Jeddah.
Seperti
yang dipesan oleh pegawai pengendali pakej umrah semasa di Malaysia
tadi, saya dan Chik tidak beratur sebagaimana ahli rombongan yang lain
untuk pemeriksaan imigresen. Saya melihat sahaja barisan jemaah yang
sedang beratur di hadapan kaunter imigresen. Sayu mula terasa...
Ini tidak boleh jadi!
Chik
dan saya berpakat untuk bertanya kepada mana-mana ahli rombongan lelaki
yang sudi menjadi mahram tumpang kami secara bidan terjun. Namun hampa
kerana tiada seorang pun yang mahu menolong, termasuklah seorang jemaah
yang gayanya seperti seorang ustaz tadi. Cheh! Hati saya hampir
mengelegak. Sudahlah perut lapar, kaki pula sudah mula mengigil. Namun
saya sabarkan sahaja. Ini mungkin ujian Allah untuk kami berdua.
Tiba-tiba saya mendapat idea. Kepada Chik saya bentangkan idea tersebut, "Chik, apa kata kita cuba check-in juga. Kita pergi kaunter sama-sama. Mana tau boleh lepas."
Chik
terus sahaja bersetuju dengan cadangan saya itu. Maka, kami sama-sama
beratur di belakang barisan jemaah lain yang sudah semakin surut.
Akhirnya
tiba giliran kami. Kami sama-sama melangkah menuju ke kaunter
imigresen. Secara serentak kami hulurkan pasport kepada pegawai
imigresen yang duduk di belakang kaunter. Wajahnya begitu serius sekali.
Terasa hilang sedikit ketampanan beliau dek kerana wajahnya yang serius
itu.
Beliau
memandang kami dengan pandangan yang tajam. Seolah-olah mahu menelan
kami berdua. Saya cuba berlagak tenang. Kemudian beliau bersuara,
"Mahram! Mahram!"
Erk!
Saya pandang Chik, Chik pandang saya. Nampaknya beliau mahu tahu di
mana mahram kami. Secara jujur kami beritahu (semestinya dalam bahasa
Inggeris) bahawa kami terpisah daripada mahram kami yang ketika itu
masih dalam penerbangan menuju ke Jeddah. Namun beliau masih juga
mengulang-ulang perkataan mahram kepada kami. Berulang-ulang kali juga
kami beritahu bahawa mahram kami masih dalam penerbangan. Pada waktu itu
timbul rasa kesal dalam diri saya kenapalah saya tidak belajar bahasa
Arab secara betul-betul semasa belajar di sekolah agama dulu.
Tetapi
bak kata pepatah, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak
berguna. Memang tidak berguna langsung. Kami tetap tidak dapat
menyampaikan apa masalah kami kepada beliau. Terang-terang si pegawai
imigresen tidak tahu berbahasa Inggeris. Yang beliau tahu hanya
mengulang perkataan mahram yang diucap dengan suara yang tinggi. Rasanya
kalau saya ini burung unta, mahu sahaja saya berlari-lari ke luar
bangunan dan sorokkan muka ke dalam tanah. Rasa mahu menangis ada juga.
Rasa mahu marah diri sendiri pun ada juga - siapa suruh degil sangat
tidak mahu dengar pesan pegawai di Malaysia tadi.
Dalam
kami menadah telinga mendengar 'bebelan' pegawai imigresen tersebut,
tiba-tiba datang seorang lagi pegawai imigresen menuju ke arah kami
berdua. Dengan senyuman manis beliau memperkenalkan diri sebagai pegawai
atasan di situ dan bertanya apa masalah kami berdua. Syukurlah beliau
boleh berbahasa Inggeris. Untuk ke sekian kali, kami jelaskan situasi
yang sedang kami hadapi. Namun, walaupun sedang tersenyum manis, beliau
tetap nyatakan bahawa sudah menjadi peraturan wanita perlu datang
bersama dengan mahram. Kami masih lagi cuba memujuk beliau agar
'melepaskan' kami. Tidak lupa kami membuat muka kasihan.
Mungkin juga kerana kasihan, tiba-tiba beliau bertanya kami datang dari mana. Hampir serentak kami jawab, "Malaysia."
Daripada
senyum kasihan wajahnya berubah menjadi lebih ceria, "Oh, Malaysia!
Malaysia OK." Lalu dia bercakap dengan pegawai imigresen di belakang
kaunter dalam bahasa Arab.
Beliau jelaskan bahawa kami boleh check-in terus sambil memuji-muji betapa bagusnya orang Malaysia. Saya pula terasa seperti sedang bermimpi. Benarkah kami boleh check-in? Ya, Allah...syukur! Syukur dapat check-in tanpa mahram. Syukur kerana saya dilahirkan sebagai rakyat Malaysia.
Waktu itu barulah saya dapat rasakan betapa bangganya saya menjadi rakyat Malaysia. Terharu sungguh!
Selesai urusan imigresen, kami keluar ke bahagian bagasi. Sedih sungguh saya melihat beg kami berdua yang sudah diturunkan dari conveyor belt.
Kelihatan begitu terasing sekali. Syukurlah beg kami tidak hilang. Saya
hanya boleh mengucapkan terima kasih dalam hati kepada sesiapa yang
telah membantu menurunkan beg kami itu.
Setelah mengambil beg, kami berkumpul bersama-sama dengan ahli jemaah yang lain. Nasib baik kami sempat catch-up
dengan mereka. Mereka pula masih menunggu mutawif datang menjemput. Dan
elok-elok sahaja kami berkumpul bersama mereka, kedengaran bunyi azan
menandakan telah masuknya waktu Maghrib dan sekaligus waktu berbuka
puasa. Tiada apa yang menggembirakan hati orang yang berpuasa melainkan
apabila tibanya waktu berbuka. Saya tidak tahu Chik bagaimana, tetapi
pada waktu itu saya memang berasa sangat gembira - setelah hampir 18 jam
berpuasa...