Tuesday, March 23, 2010

Siri Bercakap Dengan...Kalendar

Lokasi: Pejabat tempat Siti R bekerja keras membanting tulang 
Waktu: Siang goyang

Siti R sedang membelek-belek cik Kalendar...

Siti R
Hari ini berapa haribulan ya, cik Kalendar?

Cik Kalendar
23 haribulan Mac

Siti R
(buat muka terkejut)
Ha! Ye ke? Betul ke cik Kalendar? Betul ke?

Cik Kalendar
(buat muka meluat)
Iyeee..

Siti R
Maksudnya, lagi sebulanlah saya akan pergi bercuti ke China? Wahhhhh!!! Macam tak percaya. Cepat betul masa berlalu...

Cik Kalendar
Ada aku kisah?

Siti R
Dah lama betul saya tak pergi travel. Tak sabarnya nak pergi...

Cik Kalendar
Ada aku kisah?

Siti R
Memanglah kau tak kisah. Kau tu kalendar. Bukannya tahu apa-apa. Tahu kira hari saja!

Cik Kalendar
Ada aku kisah?

Siti R
(hanya berbicara dalam hati - lebih baik diam daripada berkata-kata)

~Tamat~

Wednesday, March 17, 2010

Sempurna

Demi sahaja melihat wajah trainer pada petang tadi, kepala aku ligat menyanyikan lagu 'Halimah Jongang.'  Siap cakap kat Mirra pulak tu. Mirra kata dia pun tak terfikir; bila aku cakap barulah dia perasan.

Tiba-tiba aku rasa bersalah. Iskk!! Jahatnya fikiran aku. Maka, cepat-cepat aku mengawal diri dan bermuhasabah - aku ni sempurna sangat ke? Kekurangan diri teramatlah banyak kalau dibandingkan dengan orang lain.

Astaghfirullah al'azim. Bertaubat Siti R, bertaubat!

Nota kaki: Siapalah yang 'bagus' sangat buat siri/lagu Halimah Jongang tu? Kalau tak kerana selalu terdengar di TV, tak adanya aku terfikir apa yang aku fikir masa training tadi. I hate the series and I hate its theme song!

Monday, March 15, 2010

SMS Terlampau

Masa lalu depan meja Kak Yati tengahari tadi, dia panggil aku, "Ti, kau nak baca SMS ni, tak?"

Wah, apa hal tiba-tiba suruh aku baca SMS dia? Mesti ada cerita sensasi.

"Haaa..apa dia, apa dia?" dengan terujanya aku bertanya sambil dengan pantasnya mendekati meja Kak Yati. Kak Yati pun tunjuklah apa yang tertulis di skrin handphone dia.

Aku tak boleh tahan gelak sesudah membaca SMS tersebut yang dihantar oleh anak bongsu Kak Yati, Aliya. Dia tulis,

'Ibu adik nak masak Krabby Patty.'

"Apa dia ingat ni SpongeBob ke?" aku tanya Kak Yati sambil gelak-gelak. Kak Yati pun gelak. Dia dah tak tahu nak kata apa dah...

Manalah Aliya dapat resepi Krabby Patty (ejaan dia betul pulak tu)? Mr. Plankton pun dah berusaha tapi tak pernah dapat resepinya...alih-alih Aliya yang dapat. Dahsyat sungguh anak dara Kak Yati tu...hahaha...

* Aku rasa macam cute aje dia SMS ibu dia macam tu. Hilang tension aku.

Sunday, March 14, 2010

Ia Datang Lagi...

19 - 28 Mac 2010
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2010) 

Masa untuk menghabiskan duit datang lagi. Yahooo!!! \(^0^)/

Tak sabar nak serbu PWTC. Tak sabar juga nak jumpa cik Eny Ryhanna pada 27 Mac nanti. Nak tuntut buku-buku yang dia dah bertahun-tahun janji nak bagi. Dah lama orang bersabar ni, cik Eny. Harap-harap tahun ni hasrat tercapai. Rasanya bukan orang seorang saja yang tunggu...Chik pun mesti menunggu juga. Betul tak Chik? Bersiap sedialah cik Eny, ya! Jangan lupa lagi, tahu? 

19 Mac 2010 
UAL's Bowling Tournament 

Tak sabar nak tunjuk kepakaran aku masa perlawanan nanti.  Kepakaran membaling bola bowling ke dalam longkang. Hehehe... 

27 Mac 2010
Baca@Komuter 
Earth Hour 2010 

Bersempena dengan PBAKL 2010, aktiviti pertama Baca@Komuter akan diadakan pada tarikh ini. Walaupun secara rasminya aktiviti ini bermula di Stesyen Komuter Seremban, aku tetap akan menyokongnya dengan bermula di  Stesyen Komuter Rawang secara bersendirian. Hidup Baca@Komuter!

Pada sebelah malam pula, marilah kita beramai-ramai menyokong Earth Hour dengan menutup lampu-lampu utama di mana-mana sahaja. Bermula pada pukul 8.30 malam selama satu jam. Agak-agaknya di PWTC nanti lampu akan ditutup atau tidak, ya? Susah pula peminat-peminat buku hendak membeli-belah nanti. Hmmm...

Tuesday, March 09, 2010

Edisi Tension 2010

~Sigh~

Minta maaf, ya. Mengeluh kejap. Minggu lepas dan minggu ini merupakan antara minggu yang mencabar dalam hidup aku sebagai seorang pekerja yang berdedikasi. Kerja-kerja terpaksa ditanggung seorang diri memandangkan orang harapan aku sedang menjalani proses pemulihan selepas dibedah pada minggu lepas. Semoga dia cepat sembuh. I miss you, Mira (mendalam maksudnya ni...hehe...).

Sebenarnya aku tak mahu mengeluh. Tapi petang tadi masa tengah buat kerja, tiba-tiba aku bukan rasa macam nak terjun tiruk, tapi nak terjun bangunan. Memang tak waras fikiran aku masa tu.

Maka, cepat-cepat aku ingatkan diri aku akan ayat 6, Surah Alam Nasyrah yang bermaksud,

"Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan."

Yelah. Bersusah-susah dahulu. Bersenang-senang kemudian. Manalah tahu...selepas bersusah-susah ni, Allah nak bagi rezeki kat aku. Dapat bonus 6 bulan ke nanti. Appraisal pun dah nak dekat dah ni. Kena bodek bos...hahaha (gelak jahat).

Dan aku rasa kalau tak kerana aku teringatkan ayat di atas (dan bonus  tak kiralah berapa bulan yang mungkin berada dalam genggaman) aku mungkin dah terjun bangunan. Buat Bungee Jumping ke...BASE jumping ke...mesti best! Tapi lagi best kalau dapat humban semua kerja yang tengah menimbun atas meja tu...ada chance dengan bonus-bonus melayang sekali...hahaha...

Ermm...dah melalut pulak. Lebih baik aku berhenti di sini sebelum keadaan menjadi lebih parah.

~ Full stop ~

Sunday, March 07, 2010

Rindu

Entah mengapa. Rindu ini datang lagi. Dia bagai memanggil-manggil namaku. Andai ada sayap, ingin sekali aku terbang. Membelah awan agar dapat segera sampai ke pangkuannya.

Rindu serindu-rindunya. Ingin sekali aku merenungnya di depan mata. Buat pengubat rindu dendam...yang sudah tidak tertahan lagi. Alangkah bagusnya jika aku dapat 'teleport' terus ke sisinya. Kerana ingin sekali aku memeluknya, dengan segera. Sebagai ganti hajat yang tidak kesampaian pada waktu-waktu kami menghabiskan masa bersama tidak lama dahulu. 

Teringat pada kali pertama aku terpandang akan dia. Dia yang digilai oleh sesiapa sahaja kelihatan begitu biasa pada pandangan pertama itu. Mungkin ada rasa riak yang meninggi dalam diri. Namun setelah beberapa kali bersamanya, pandanganku mula berubah. Dia yang kelihatan biasa pada mulanya beransur-ansur menjadi sasa, gagah dan menawan. Saat-saat bersamanya merupakan saat-saat yang paling indah yang tidak mungkin luput daripada ingatan. Bahagia. Itulah yang dapat aku rasakan.

Namun sebagaimana pertemuan, perpisahan juga pasti akan terjadi. Dan, orang kata perpisahan itu suatu penyiksaan. Memang benar. Amat sukar sekali untuk aku mengucapkan selamat tinggal kepadanya di saat kami perlu berpisah. Air mata tidak mampu untukku tahan lagi. Tumpah jua akhirnya. Mengalir laju bagai tidak mahu berhenti. Bibir tidak berhenti berdoa...hati juga tidak berhenti mengharap. Andai ada jodoh dan panjang umur, pasti kami akan berjumpa lagi.

Semoga Allah memperkenankan.

* Ya Allah, rindunya aku kepada rumah-Mu; Kaabah. T_T