Wednesday, October 07, 2009

Mak Iti Yang Hampeh

Semalam pulang dari kerja, macam biasalah aku menaiki bas Metro. Konduktor bas pada petang tersebut merupakan seorang wanita dalam lingkungan 30-an tahun. Masa nak naik bas dia meminta aku duduk di kerusi depan sekali. Katanya anaknya duduk di sebelah kerusi tersebut, tapi dia tak ada ditempatnya kerana ke tandas. Memandangkan bas pun dah hampir penuh, aku penuhi permintaan konduktor tersebut. Mungkin dia tak mahu sembarangan orang atau pendatang asing terutama sekali lelaki duduk di sebelah anak gadisnya (aku tau dia ada sorang anak perempuan sebab pernah nampak dia dan anaknya sebelum ni).

Tak lama lepas tu anak gadis tadi balik semula ke tempat duduknya. Umurnya mungkin dalam lingkungan 5 ke 6 tahun. Comel. Berbaju serba pink, rambutnya panjang melepasi bahu.

Lepas membayar duit tambang dan mendapat tiket, anak gadis tadi berkata kepada aku dengan petahnya, "tiket simpan, jangan buang tau."

Aku angguk aje sambil tersenyum. Anak konduktor, dia tau protokol...tiket jangan dibuang sebab ada inspektor tiket yang akan naik untuk memeriksa tiket pada bila-bila masa.

Bas bergerak, aku pun mengeluarkan buku "Potrait of A Killer: Jack the Ripper, Case Close" tulisan Patricia Cornwell dari dalam beg untuk dibaca. Sebenarnya aku takde mood nak membaca, tapi aku baca juga sebab malas nak layan anak gadis tadi. Nampak macam dia nak bermesra dengan aku. Semasa aku membaca, sekali sekala aku perasan dia memandang buku yang aku baca dan memandang mukaku silih berganti. Mungkin bila dah bosan, dia duduk termenung sambil menopang pipi memandang ke luar. Tak sampai separuh jalan, aku sudah mengkhatam buku yang sebenarnya tak habis-habis dibaca sejak zaman Neolithic lagi tu. Nampak macam ada banyak helaian halaman lagi. Rupanya-rupanya yang selebihnya tu cuma senarai biblography dan index.

Aku simpan semula buku ke dalam beg. Anak gadis tadi mula bernyanyi-nyanyi halus. Sekejap dia pegang hujung tudung aku...macam nak rasa tudung tu dibuat daripada kain jenis apa. Sekejap lagi dia merasa-rasa pula kain baju kurungku...untuk menganalisa kain jenis apa juga gamaknya.

Aku pulak buat tak tau aje...membiarkan anak gadis bermain-main sendirian dan melayan dirinya sendiri. Asalkan dia tak mengganggu aku lebih-lebih, aku tak kisah sebagaimana tak kisahnya Aiman.

Kemudian dia terdengar ibunya berkata kepada 'pilot' bus yang dia hendak bekerja esoknya. Cepat-cepat dia berkata, "Mama cuti esok, ok! Mama kena cuti, jangan kerja. Mama tu dahlah asyik uhuk..uhuk...rehatlah. Mama kena rehat." (Masa dia cakap uhuk, uhuk, dia membuat gaya orang sedang batuk...so cute).

Aku rasa ibunya tak dengar apa yang dia cakap. Tiba-tiba aku rasa kagum dengan anak gadis ini. Umur masih terlalu muda tapi cukup prihatin dengan kesihatan ibu dia. Pandai pulak dia suruh ibunya berehat. What a wonderful girl...

Kemudian masa dah nak sampai ke destinasi, dia 'meneropong' muka aku dengan tangannya. Aku mendekatkan muka padanya sambil tersenyum. Dia pun tergelak kecil dan tersenyum gembira. Mungkin dia rasa akhirnya dapat juga ushar kakak ni...hehe...Dia tanya aku nak ke mana. Aku katalah aku dah nak turun. Dia nampak macam sedikit kecewa dan mengomel sendirian.

Kesian kat dia. Mesti dia kecewa dengan aku. Teruk betul aku ni, kan?

Tapi itulah kelemahan aku. Aku memang tak pandai melayan kanak-kanak. Kalau diikutkan logik akal atau dalil akli, aku sepatutnya merupakan seorang yang pandai melayan dan sukakan kanak-kanak. Maklumlah anak saudara berderet-deret macam gerabak keretapi...kalau tak panjang macam gerabak keretapi KTM Komuter, sekurang-kurangnya panjang macam LRT Star (LRT Putra tak boleh dijadikan metafora di sini sebab gerabaknya yang pendek).

Bukan aku bencikan kanak-kanak. Cuma memang aku agak kaku bila berhadapan dengan kanak-kanak. Tak pandai aku nak melayan mereka seperti mana yang dilakukan oleh kebanyakan wanita, malahan lelaki.

Tapi masalahnya budak-budak macam suka kat aku. Aku pun pelik sebab apa? Pernah sekali tu aku tengah berjalan, lalu sorang budak lelaki umur dalam lingkungan 3 ke 4 tahun dengan ibunya menegur "hi" sambil melambai-lambai dekat aku dengan cerianya. Tertoleh-toleh dia tengok aku sebagaimana tertoleh-tolehnya aku menengok dia sebab terkejut. Kecik-kecik dah pandai mengorat...dahlah comel, aku culik kang baru tau...hehe...

Paling banyak, aku kena tenung dengan budak-budak dan dilempar senyuman oleh mereka...tak kisahlah dalam bas ke, dalam tren ke ataupun di restoran. Kadang-kadang resah aku dibuatnya...haha...Paling koman aku senyum balik. Kalau rajin aku agah-agah...tapi amat jarang aku berbuat begini.

Agaknya lagi aku buat tak layan atau tak suka, lagilah diorang suka nak sakat aku, kot? Perasan jer aku budak-budak suka kat aku. Padahal diorang tu tertanya-tanya kenapa aku selalu buat dek aje dengan mereka. Diorang tenung tu mungkin sebab tengah berfikir dan hairan dengan perangai aku...senyuman yang diberi pun mungkin merupakan senyuman sinis...hmmm...

Itulah kisah aku yang tak pandai melayan kanak-kanak. Rasa macam hampeh pun ada. Mak Iti yang hampeh.

2 comments:

Kurma said...

walupun aku mak orang.. aku pun tak pandai layan budak.. hehe.. Nak cakap pelat2 lagila tak pandai..
u r not alone mak iti haha..

Siti R said...

Heheh...seb baik ada geng...