Friday, February 26, 2010

Salam Maulidur Rasul

Petang itu semasa sedang belajar matapelajaran Tauhid, Cikgu Awang yang ditakuti dihormati mula menyoal pelajar-pelajarnya akan sifat-sifat Allah yang 20 beserta dengan maknanya sekali. Sesiapa yang tak dapat menjawab dengan betul atau tidak tahu jawapan, akan didenda berdiri sehingga habis waktu belajar matapelajaran Tauhid. Soalan pula ditanya tidak mengikut turutan daripada sifat yang pertama hingga yang ke 20.

Untuk sifat yang keempat, Cikgu Awang menyoal aku. Terpaksa aku mengingat daripada sifat yang pertama hingga yang ketiga. Dalam hati mengingat-ingat...Wujud, Kidam, Baqa'... 

"Mukhalafatuhu lilhawadith, cikgu. Bersalah-salahan Allah dengan segala yang baru," jawabku dengan penuh yakin.

Cikgu Awang menyengih sambil menyuruh aku duduk. Gembira agaknya dia dengan jawapan betul aku kerana dah beberapa orang rakan sekelas yang lain gagal menjawab. Akibatnya mereka tidak dibenarkan duduk.

Setelah puas mendera menyoal, Cikgu Awang terus menyambung pengajarannya pada hari itu. Kali ini dia bercerita tentang sifat-sifat Nabi Muhammad SAW pula. Dia juga ada bercerita sebab musabab kenapa nabi-nabi dan rasul-rasul diutus daripada kalangan manusia; bukan daripada kalangan jin atau malaikat. Kalau dikira daripada logik akal atau dalil aqli, nabi-nabi daripada kalangan manusia sudah tentunya  sifat dan fe'elnya sama dengan manusia yang lain. Mereka juga makan, minum, tidur, berkahwin (sebut saja pasal kahwin, budak-budak lelaki mula mengekek-ngekek ketawa...yang perempuan pula tersipu-sipu. Padahal semua baru 10 - 11 tahun) dan sebagainya; cuma sifat mereka jauh lebih baik daripada manusia biasa. Kalau nabi-nabi dan rasul-rasul diutuskan daripada kalangan jin atau malaikat, sudah tentunya bersalahan dengan sifat manusia. Silap haribulan manusia jadi takut pula dengan mereka.

Habis mengajar, Cikgu Awang mengemukakan soalan terulung sebelum dia menamatkan kelas. Soalannya berbunyi begini. Kenapa Nabi Muhammad SAW diutus menjadi rasul?

Sekali dengar, macam susah nak jawab soalan tu. Mungkin ada kena mengena dengan sifat-sifat yang ada pada para Nabi - Siddiq, Amanah, Tabligh, Fatanah...Aku tengok muka masing-masing tegang terutama sekali mereka yang belum kena soal masa awal-awal tadi. Aku masih boleh rileks sebab sudah disoal tadi...jadi aku sudah ada imuniti...hahaha...

Kemudian aku menjadi bertambah rileks apabila aku rasa aku sudah menemukan jawapan kepada soalan penuh muslihat yang diberikan oleh cikgu. Seorang demi seorang kena soal. Belum ada yang dapat memberikan jawapan yang betul. Maknanya seorang demi seorang kena berdiri.

Akhirnya yang tinggal beberapa orang pelajar yang boleh dikira sebagai top students dalam kelas. Salah seorangnya, Mamat (pesaing terdekat aku...hehe...) dan kakaknya Shidah (yang duduk sebelah aku). Semasa cikgu menyoal Mamat, aku menoleh ke arahnya yang duduk di meja tengah di sebelah belakang (aku dan kak Shidah duduk di meja tepi barisan hadapan). Hendak ditolong, tetapi Cikgu Awang dah berdehem-dehem sambil memberi amaran tak ada sesiapa dibenarkan menolong kawan-kawan yang lain. Mamat mengalah...dia kata dia tak tahu jawapannya. Mamat tak dapat jawab soalan cikgu? Rasa macam tak percaya...

Sekarang yang tinggal cuma kak Shidah dan aku. Yang lain-lain semuanya kena berdiri akibat tidak menjawab dengan tepat. Yang memang telah sedia berdiri sebelum tu pun masih kena berdiri kerana mereka juga tidak dapat menjawab soalan tersebut. Kak Shidah resah gelisah kerana  dah tahu selepas ini pasti giliran dia kerana dia belum kena soal lagi. Dia menguis-nguis lengan aku apabila namanya dipanggil cikgu. Cikgu nampak. Dia menjegilkan matanya pada aku yang tengah tersengih-sengih macam kerang busuk. Kak Shidah juga tersengih-sengih sambil tertoleh-toleh ke arah aku.

"Apa jawapan dia?" tanya cikgu Awang sekali lagi. Kak Shidah kata dia tak tahu. Cikgu pandang satu kelas. Nampaknya satu kelas sudah berdiri kecuali aku.

Cikgu Awang pandang aku. Memandangkan semua tak boleh jawab, terpaksalah cikgu tanya aku juga walaupun aku sudah ada imuniti. Cikgu mengulang soalannya kepadaku sekali lagi, "Kenapa Nabi Muhammad SAW diutus menjadi rasul?"

Aku pun menjawab soalan cikgu seperti yang terlintas dalam fikiran aku beberapa ketika selepas dia mula-mula menyoal tadi.

Kalau tadi muka dia garang, kali ni cikgu tersenyum.

"Haaa...betulll...dudukkk..."

Sekali lagi aku selamat...hahaha...Budak-budak yang lain ada yang mengeluh, ada yang tepuk dahi, ada yang tertawa kecil. Ada yang berkata, "Laaa...itu ke jawapannya?"

Macam mana? Tahukah kawan-kawan apa jawapannya? Nak cuba jawab? Kalau betul, kawan-kawan akan mendapat sesuatu...

Salam Maulidur Rasul...

Wednesday, February 24, 2010

Berbatu Jauhnya...

Aku rasa betul-betul bengang a.k.a upset bila Ita menyampaikan kata-kata yang diluahkan oleh seseorang mengenai aku semasa di pejabat tadi. Apa orang itu ingat kalau dia cakap macam tu dekat aku, I would be in cloud nine? Cheh! Rasa nak makan coklat karamel Cloud Nine ada lah! 

Dah bengang ni, tiba-tiba rasa macam nak dengar lagu Miles Away nyanyian kumpulan Winger. Melankolik (baca: bengong) sungguh...huhu...Bengang tapi nak dengar lagu jiwang...hahaha...Siti R sudah tak siuman.

Apa-apa pun lagu ni merupakan salah satu lagu favourite masa zaman Jurassic dulu. Dengar secara akustik lagi best. Kip Winger still rocks!

Tuesday, February 23, 2010

Kisah Rahsia yang Penuh Rahsia

Sehari selepas menghadiri aktiviti baca@lrt bulan Februari, aku mengikuti pula aktiviti 'Secret Story' dengan tema "Memilih Pasangan Ideal" yang dipimpin oleh Tuan Imran Yusuf yang menulis buku "Bagaikan Khadijah di Hati Rasullullah." Itulah pertama kali aku mengikuti aktiviti 'Secret Story' yang merupakan aktiviti mengulas buku oleh penulis yang dijemput oleh pihak penganjur.

Tak banyak sangat yang dikupas oleh Tuan Imran. Kupasan rahsia lebih terarah kepada aktiviti berkumpulan yang mencabar mental dan fizikal. Aku pula tak mengambil apa-apa nota daripada 'slide show' yang disediakan oleh penceramah. Nampak sangat betapa malasnya aku pada hari tersebut.

Aku rasa ada dua benda sahaja yang aku dapat faham daripada pembentangan. Pasangan yang ideal hampir mustahil untuk ditemui sebelum berkahwin. Maka itu, selepas berkahwin pasangan perlu menyesuaikan diri antara satu sama lain.

Selebihnya mungkin kena 'gali' dalam buku "Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah" gamaknya.

Nota: Macam boringlah entri kali ni...

Monday, February 22, 2010

Orang Halimunan

Kau pernah menonton drama bersiri/filem Star Trek? Kalau ya, kau pasti tahu apa itu Klingon. Kalau tak, kau tanyalah kepada pakcik Google yang bijak bestari, ya. Bukan aku tak mahu memberitahu, aku cuma hendak menjimatkan sedikit masa aku (baca: malas); tak perlu menerangkan secara panjang lebar apa atau siapa makhluk Klingon tersebut. Yang aku nak beritahu di sini ialah, Klingon memiliki satu teknologi  yang pada pandangan rabun aku ni sangat hebat - fungsi Cloaking pada kapal angkasa mereka. Dengan mengaktifkan fungsi tersebut, mereka dapat menjadikan kapal angkasa mereka halimunan. Ya, halimunan.  How cool is that? 

Tapi itu fiksyen sains atau secara ringkasnya disebut sebagai sai-fai. Dalam dunia sebenar, dunia realiti bukan fantasi/sai-fai, bagaimana pula? Sebenarnya, usaha untuk menjadikan sesuatu benda itu halimunan sedang dijalankan dan sudahpun menampakkan hasil. Ya, sudah ada hasilnya! Kenapa? Tak percaya?

Kau kenal siapa David Smith? Aku pun tak kenal. Tak mengapalah. Menurut majalah Discovery Channel keluaran ketiga di mukasurat 58, David Smith ni  bekerja di Duke University, North Carolina. Tahu ke dekat mana ni? Aku pun tak tahu. Yang aku tahu dekat Amerika Syarikat (kenapa ya disebut Amerika Syarikat sedangkan ia sebuah negara, bukan syarikat? Kau tahu tak? Kalau tahu, bagilah aku tahu).

Kau tanya lagi siapa David Smith? Manalah aku tahu. Jawatannya pun tak dinyatakan di dalam majalah tersebut. Takkan tukang sapu pula? Rasanya bukan. Dia mungkin seorang saintis yang pakar dalam bidang fizik kerana dialah yang mengatakan untuk menjadikan sesuatu benda itu halimunan bukanlah sesuatu yang mustahil dan dia telah menemui caranya pada tahun 2006.

Apa? Kau nak tahu caranya? Baiklah, aku akan cuba terangkan mengikut kefahaman aku. Maafkan kalau ada salah dan silap. Aku bukan dari aliran sains tulen; hanya seorang bekas pelajar aliran perdagangan yang meminati sains (fiksyen). Bersedialah dengan bahasa berbaur sains tahap rendah aku ni...

Encik Smith menggunakan metamaterial (gabungan seramik, Teflon, komposit-komposit serat dan komponen-komponen logam yang terbenam dalam jaluran tembaga) untuk memesongkan cahaya di sekeliling objek lalu menjadikan ia halimunan dalam satu jarak gelombang tertentu. Apa yang Encik Smith buat  ialah dia menyediakan satu bekas berbentuk silinder yang terdiri daripada 10 gelungan memusat yang mengandungi metamaterial yang diletakkan mengelilingi satu objek. Apabila gelombang microwavelength ditujukan ke arahnya, ia akan 'menyaluti' seluruh objek tersebut lalu...ting! Objek itu hilang daripada pandangan. Hebat bukan?

...tapi ia tak sehebat satu rahsia yang aku hendak bocorkan di sini. Kau sudah bersedia untuk mendengar rahsia yang terhebat; lebih hebat daripada Secret Story? Sebelum itu, berjanjilah kepada aku. Jangan kau bocorkan rahsia ini kepada sesiapa pun terutama sekali kepada Encik Smith. Janji?

Baiklah. Memandangkan kau sudah berjanji, bersediakah kau untuk mendengarnya? Untuk pengetahuan kau, aku ialah seorang....jeng, jeng, jeng... 

...superhero. Kuasa aku? Aku boleh menjadikan diri aku halimunan...Ya, aku  ialah orang halimunan! Aku tak perlukan teknologi Cloaking atau Encik Smith untuk menjadikan diri aku halimunan. Itu semua mengarut! Aku ada teknologi aku sendiri yang masih menjadi rahsia yang akan terbongkar sedikit demi sedikit nanti. Jadi, teruskanlah pembacaan kau.

Lebih kurang sama seperti para superhero dalam siri Heroes, aku tidak sedar akan kebolehan luar biasa aku pada mulanya. Hanya setelah melalui beberapa peristiwa dan kejadian, barulah aku sedar betapa aku mempunyai kuasa luar biasa. Malangnya aku tidak dapat mengawalnya...ia berlaku bila-bila masa yang ia mahu dan hilang pada bila-bila masa ia mahu juga.

Antara kejadian yang begitu signifikan dan membuatkan aku sedar akan kuasa aku ni adalah semasa aku hendak membeli nasi lemak berdekatan dengan kawasan perumahan. Aku antara pelanggan yang dah lewat datang membeli. Nasi lemak sudah tinggal sikit sahaja lagi. Kakak yang menjual menganggarkan nasi lemak cukup untuk 3 orang lagi. Kalau ikut giliran, aku sepatutnya yang dapat dulu. Tapi kakak tu dahulukan orang yang di sebelah kanan aku. Aku tak syak apa-apa. Kemudian orang lain juga yang dapat dulu. Aku dah mula rasa tak sedap hati. Tinggal dua orang sahaja lagi...nasi lemak hanya cukup untuk seorang sahaja. Siapakah yang akan disingkirkan? Alhamdulillah, bukan aku. Kakak tu nyaris-nyaris hendak bertanya orang di sebelah aku dia mahu lauk apa, namun di saat-saat akhir dia menundukkan sedikit pandangan dan baru dia tersedar dan menuding jarinya ke arah aku, "Eh, adik ni dulu, kan?" Cepat-cepat aku mengangguk. "Mintak maaflah akak tak perasan tadi, orangnya kecik sangat," sambung kakak tu lagi. Aku tersenyum kelat. Kepada pelanggan seorang lagi, dia meminta maaf juga kerana nasi lemak sudah habis. Lega aku rasa. Mod halimunan aku tidak berpanjangan...kalau tak kebulur aku pagi tu yang sebenarnya dah nak masuk tengahari.

Yang terbaru - 2 hari lepas. Selepas acara baca@lrt, di kedai buku BookXcess, aku hendak bersalam dengan salah seorang orang kuat RAMFC. Namun salamku tak bersambut. Dia hanya memandang ke hadapan dan berbual-bual dengan salah seorang daripada kau orang; tidak langsung memandang ke bawah. Aku rasa aku sedang dalam mod halimunan...jadi aku pun buat tak tahu dan teruskan dengan aktiviti membelek buku-buku murah di tepi aku...

Sekarang kau dah tahu rahsia halimunan aku yang sebenar? Aku pun dah tahu. Tolong simpan rahsia ni sebaik-baiknya, ya.

Wednesday, February 17, 2010

Playgirl Yang Kuat Membaca

"You tak rasa you ni macam playgirl ke?" tanya Amir sebaik sahaja aku memasuki keretanya.

Eh, dia ni. Macam dia tahu sahaja yang aku hendak beritahu dia bahawa aku merasakan diri aku seperti seorang playgirl pada hari itu. Belum sempat aku hendak beritahu, dia sudah awal-awal tanya dahulu. Aku tersengih-sengih memandang Amir sambil mengiakan kata-katanya. Susah betul dapat kawan yang pandai baca fikiran aku ni...hendak sorok pun tak boleh.

Jangan salah faham. Aku bukan seorang playgirl (jatuh saham kalau betul aku macam tu...hahaha). Yang sebenarnya, tengahari itu aku keluar minum sekejap dengan kawanku yang bernama Najib (bukan PM Malaysia) kerana dia datang untuk memulangkan buku 9 Nyawa yang dipinjamnya tempohari. Balik rumah aku buat kerja yang dah terbengkalai sikit-sikit. Tidak lama kemudian si Amir pula SMS mengajak aku ke IKEA untuk menjayakan program jalan-jalan cari idea kami.

Maknanya, aku keluar dengan 2 orang lelaki dalam satu hari. Hebat tak aku?

Baik, kita tinggalkan kisah playgirl. Baik aku cerita buat apa aku dan Amir pergi ke IKEA pula. Kami ke sana bagi mencari idea untuk bilik bacaan di rumah baru aku nanti.

Di IKEA, kami meninjau-ninjau rak-rak buku yang dipamerkan. Belek punya belek, tengok punya tengok, aku masih tidak boleh hendak membuat keputusan rak buku yang bagaimana aku hendak pilih untuk bilik bacaan aku nanti. Idea Amir sangat menarik pada pendapat aku. Tetapi aku perlu ambil masa untuk memikirkannya. Seboleh-bolehnya aku hendak menjadikan bilik bacaan itu nanti seselesa mungkin kerana aku pasti akan menghabiskan banyak masaku di sana.

Apa-apapun, aku percaya Amir tidak akan menghampakan aku.  Aku juga mengharapkan semoga dia akan mengotakan janjinya padaku - hendak menjadikan rumah aku lebih cantik daripada rumah Chik...hehehe...

Jangan marah ya, Chik ~ peace no war ~ heheh..

Tuesday, February 16, 2010

16 & 24 Februari 2001

Hari ini, genap sembilan tahun emak meninggalkan aku dan adik beradik. Sayu rasa hati bila mengingat kembali apa yang berlaku pada sembilan tahun yang lalu.

Segala-galanya masih segar dalam ingatan, bermula daripada masa kakak mengkhabarkan berita buruk ini kepadaku sehinggalah kepada upacara pengkebumian. Seolah-olah baru semalam perkara ini terjadi.

Pertama kali dalam hidup, aku menangis sepanjang hari sehingga mata membengkak. Terasa seolah-olah hidup aku sudah tiada makna disebabkan kehilangan emak. Dalam hati tertanya-tanya, adakah aku sahaja yang berperasaan begitu? Aku tidak tahu. Yang ku tahu, ada seseorang yang ingin aku selami isi hatinya - abah.

Dalam kesedihan, aku sempat memerhatikan abah semasa jasad emak belum dikebumikan. Ingin juga aku ketahui apakah perasaannya bila emak sudah tiada. Seperti biasa, abah tidak menunjukkan sebarang reaksi. Dia hanya termenung memerhatikan jasad emak. Namun semakin diperhatikan, aku mula menyedari bahawa renungan matanya menunjukkan dia dalam kesedihan. Tidak semena-mena hatiku bertambah sayu. Mungkinkah abah sebenarnya masih menyayangi emak? Mungkinkah abah juga merasa kehilangan? Entahlah.

Tiada jawapan yang aku temui. Namun, empat hari kemudian, belumpun reda rasa sedih kehilangan emak, sekali lagi kami adik beradik mendapat berita buruk. Abah ditimpa kemalangan. Kalau tidak silap aku, abah dilanggar sebuah motorsikal. Pada 24 Februari 2001 iaitu setelah empat hari bertarung nyawa, akhirnya abah juga pergi menyahut seruan Ilahi.

Kalau tidak kerana emak baru sahaja pergi, aku tidak merasakan yang aku akan berasa sedih dengan pemergian abah. Kesedihan ditambah lagi dengan kata-kata seorang jiran yang begitu menyayat hati. Katanya mungkin emak dan abah pernah berjanji untuk sehidup semati...walaupun mereka tidak dapat hidup bahagia bersama di dunia, tetapi mereka mati dalam jarak waktu yang begitu hampir. Dia turut mendoakan agar mereka dapat bersatu di akhirat kelak...

Akhirnya emak dan abah disemadikan bersama-sama - jasad abah dikebumikan bersebelahan dengan kubur emak. Sebagaimana yang dikatakan jiran tersebut, aku juga mengharapkan agar mereka benar-benar dapat bersatu di akhirat kelak.

Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

Sunday, February 14, 2010

Na'vi Palestinian

I lost for words while watching these videos. If any of you read my entry here, you would probably figured out what I felt after watching the movie Avatar. I had mixed feelings and one of them is the thought of Palestine being oppressed and attacked by Israel without any mercy.

Even if it's only a demonstration, it's really heart breaking watching them defending and fighting for their rights in their own land... 

From You tube: 

"The village of Bilin reenacted James Cameron's new film Avatar during todays weekly demonstration. Five Palestinian, Israeli and international activists were painted blue, with pointy ears and tales, resembling the Avatar characters. Like Palestinians, the Avatars fight imperialism, although the colonizers have different origins. The Avatars presence in Bilin today symbolizes the united resistance to imperialism of all kinds."



Sunday, February 07, 2010

Rocker Juga Manusia

'Seurieus' kelakar video klip ini. Rasanya ini bukan lagu baru tetapi aku baru menontonnya malam tadi di MTV. Betul seperti yang dinyanyikan band ini; rocker juga manusia. Orang yang tak kenal aku mesti tak percaya, aku salah seorang peminat tegar muzik rock...hohoho...Jangan samakan aku dengan pisau belati, ya. Aku juga manusia.

Susah sebenarnya nak buang minat mendengar lagu rock...orang kata bad habit dies hard...Apa-apa pun kita berhibur dengan lagu Rocker Juga Manusia ni. Kalau hendak ikut menyanyi sekali, liriknya ada disertakan di bawah. Enjoy!



Mungkin orang menyangka ku tak pernah terluka
Tegar bagaikan karang tabu cucurkan air mata
Kadang kurasa lelah harus tampil sempurna
Ingin ku teriakkan…

Andai mereka tahu rasa dalam hatiku
Lembut bagaikan salju dan menghangatkan kalbu
Kadang kurasa lelah harus tampil sempurna
Ingin ku teriakkan…

Rocker juga manusia punya rasa punya hati
Jangan samakan dengan pisau belati
Rocker juga manusia punya rasa punya hati
Jangan samakan dengan pisau belati

Kadang kurasa lelah harus tampil sempurna
Ingin ku teriakkan…

Rocker juga manusia punya rasa punya hati
Jangan samakan dengan pisau belati
Rocker juga manusia punya rasa punya hati
Jangan samakan dengan pisau belati

Saturday, February 06, 2010

3 Kemusykilan

Kalau jalan-jalan dengan kawan-kawan, terutama sekali dengan Chik atau Jijah atau dulunya Lela, orang-orang yang tidak mengenali kami kadang-kadang akan menyangka kami adik beradik. Aku musykil...sebabnya aku rasa rupa kami tidak serupa. Seringkali kami menafikan kecuali Jijah. Jijah memang suka mengenalkan aku sebagai adiknya. Aku tak kisah. Kadang-kadang menyamar itu memang best.

Kalau jalan-jalan dengan kakak dan anak-anak mereka, orang-orang yang tidak mengenali kami akan menyangka aku anak kakak. Walaupun musykil, aku masih boleh tersenyum dengan senyuman yang lebar sampai ke telinga. Ingin mengiakan, tetapi cepat-cepat dinafikan oleh kakak. Aihhh...tak bagi 'can' langsung nak menyamar.

Baru-baru ini yang sebenarnya tidaklah baru sangat, aku dan dua orang anak saudara pergi melihat-lihat rumah baruku. Kami berjumpa dengan kontraktor. Kontraktor yang terlebih peramah bertanya apakah hubungan kami bertiga. Adik beradikkah? Aku kata dua orang tu anak-anak saudara dan aku emak saudara. Kontraktor macam keliru. Si Along cuba mengenalkan diri kami semula. Selepas itu dia macam faham. Sambil menuding ke arah Along, dia berkata, "ooo..you aunty la." Aku tidak sempat berasa musykil kerana tekakku gatal untuk mengeluarkan gelak manja-manja gitu. Sama juga dengan si Angah...hahaha...

Kadang-kadang silence is golden, kan Along?

Monday, February 01, 2010

Kisah Cinta Seorang Aku

Sebelum aku memulakan entri pada malam yang syahdu ini, ingin sekali aku mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wilayah kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Bagaimana cuti hari ini dihabiskan? Aku? Aku menghabiskannya dengan menonton televisyen. Selepas kenyang makan tengahari pula, aku membaca beberapa mukasurat novel "Takluk Jagat: Bisikan Ariasha" hasil tulisan Tuan Zaki Zainol sebelum mata ini terus terpejam tidak boleh dibuka-buka selama lebih kurang 4 jam tanpa henti (ini tiada kena mengena dengan novel tersebut...salah mata yang sudah sedia mahu terpejam sebelum aktiviti membaca dimulakan).

Baiklah, kita mulakan dengan entri yang aku hendak tulis pada malam ini sambil bertemankan bunyi kipas yang sedang berpusing di siling bilik betul-betul di atas kepala dan bunyi cengkerik di luar rumah. Tetapi bagaimana harus aku mulakan? Aku...aku sebenarnya malu kerana apa yang hendak ditulis di sini adalah berkenaan dengan kisah cinta aku. Sedangkan, aku tidak biasa membicarakan tentang cinta. Ahh...malunya...hikhikhik (gedik).

Aku mempunyai banyak pengalaman cinta. Cinta aku yang paling dalam adalah kepada 'jejaka-jejaka' dari barat - orang-orang Caucasian. Mereka ini memang pandai memikat dan mengambil hati aku. Hendak dilawan, tidak mampu untuk aku melakukannya. Hendak buat macam mana? Aku hanyalah seorang  wanita yang lemah imannya. Sering aku tertewas dengan pujuk rayu dan kata-kata indah yang mereka lafazkan. Lalu, aku menerima mereka dalam hidup aku. Yang menggembirakan aku ialah kebanyakkan daripada mereka tidak pernah mengecewakan aku. Hidup aku bahagia bertemankan mereka.

Namun sekarang, aku sudah agak jarang bersama-sama dengan mereka. Terasa cintaku telah beralih arah walaupun aku masih menyayangi mereka sepenuh hati. Aku kini mula terpikat dengan 'jejaka-jejaka' dari tanahair sendiri. Ya, 'jejaka-jejaka' yang lahir di bumi tercinta - Malaysia. Maafkan aku wahai 'jejaka-jejaka' Caucasian yang dikasihi. Aku bukan kacang lupakan kulit. Hakikatnya, aku bukan kacang, tetapi manusia semata-mata. Aku tidak kisah jika kamu semua menggelar aku sebagai seorang Playgirl...aku mengaku aku seorang Playgirl...jadi aku tidak berkecil hati dengan panggilan tersebut malah sangat mengalu-alukannya.

Siapakah mereka semua? Baik 'jejaka-jejaka' Caucasian, mahupun 'jejaka-jejaka' tanahair, mereka semua telah menghasilkan ubat guna-guna yang begitu kuat sekali sehingga berjaya mencairkan hati aku. Dari aksi ke thriller ke misteri. Ada juga fiksyen sains dan fantasi. Yang berbentuk humor juga ada.

Sebenarnya ada juga di kalangan mereka ini berjantina perempuan, tetapi amat kurang sekali.  Di bawah ini aku senaraikan ubat guna-guna mereka semua dan apa kesannya terhadap aku seperti yang ditulis dalam kurungan.

Senarai ubat guna-guna 'jejaka-jejaka' Caucasian
1. Timeline - Michael Chrichton (jatuh cinta)
2. Prey - Michael Chrichton (jatuh cinta)
3. Every Dead Thing - John Connolly (jatuh cinta)
4. Dark Hollow - John Connolly (jatuh cinta)
5. The Sword of Shannara - Terry Brooks (cinta tak kesampaian)
6. Angela Carter's Book of Fairy Tales - Edited by: Angela Carter (cintanya aku terima walau tidak dengan sepenuh hati)
7. The Lord of the Rings Trilogy - JRR Tolkien (jatuh cinta)
8. Seven Deadly Wonders - Matthew Reilly (cinta tak kesampaian)
9. State of Fear - Michael Chrichton (jatuh cinta)
10. The Observation - Jane Harris (jatuh cinta)
11. Angels and Demons - Dan Brown (jatuh cinta)
12. The Black Book - Orhan Pamuk (cintanya sukar difahami)
13. The Girls' Guide to Hunting and Fishing - Melissa Bank (cinta tak kesampaian)
14. The Killing Kind - John Connolly (jatuh cinta)
15. Congo - Michael Chrichton (jatuh cinta)
16. Confession of an Ugly Stepsister - Gregory Maguire (cintanya aku terima walau tidak dengan sepenuh hati)
17. Bad Men - John Connolly (jatuh cinta)
18. Endymion Spring - Matthew Skelton (cintanya sukar difahami)
19. Fortysomething - Nigel Williams (jatuh cinta)

Senarai ubat guna-guna 'jejaka-jejaka' tanahair:
1. Armada Azur - Firdaus Ariff (ubat guna-guna belum dibuka lagi)
2. Adi Gempa: Evolusi - Bahruddin Bekri (cinta tak kesampaian)
3. Parameter Aquila - Nuriazam Ismail (cinta tak kesampaian)
4. Mikhail - Ramlee Awang Murshid (jatuh cinta - kesayanganku kerana RAM ada meninggalkan tanda)
5. Meniti Maut - Eyman Hykal (jatuh cinta - kesayanganku kerana EH ada meninggalkan tandanya juga)
6. Transgenesis: Bisikan Rimba - Amir Husaini (jatuh cinta)
7. Advancer Si Peniup Ney - Faisal Tehrani (jatuh cinta)
8. GTO: Guru Terhebat Olan - AD Mirzai (jatuh cinta)
9. Galaksi Muhsinin - Azrul Jaini (cintanya aku terima walau tidak dengan sepenuh hati)
10. Tuhan Manusia - Faisal Tehrani (cintanya sukar difahami)
11. Ungu Karmila - Ramlee Awang Murshid (cintanya aku terima walau tidak dengan sepenuh hati)
12. 9 Nyawa - Ramlee Awang Murshid (jatuh cinta)
13. Takluk Jagat: Bisikan Ariasha - Zaki Zainol (sedang mengenali hati budinya tetapi aku sudah merasakan aku semakin jatuh cinta kepadanya)

Setelah membuat senarai-senarai di atas, baru aku sedar betapa aku telah kehilangan banyak ubat guna-guna. Itu tidak termasuk senarai ubat guna-guna bukan fiksyen yang lebih banyak jumlahnya daripada senarai di atas. Siapakah yang berani mencuri? Ada toyolkah? Ahh...geramnya!