Sunday, November 15, 2009

Orang Tamak Takkan Rugi Dalam Episod: Siti R's Believe It or Not? Macam Tak Percaya Sahaja!

Sedutan episod yang lepas...
"Makin banyak diklik, makin cerah peluang orang tamak ini untuk mendapat hadiah buku percuma. Bagi orang tamak ini, hadiah tersebut lebih berharga daripada emas permata, malah intan berlian sekalipun."
"Semoga usaha tidak seberapa orang tamak ini tidak sia-sia. Janganlah jadikan orang tamak ini rugi." 
Fuhh...!!! Sungguh mendebarkan, bukan? Apakah yang akan terjadi dalam episod kali ini? Yang pastinya, sesuatu yang tidak disangka-sangka telah dialami oleh orang tamak ini dan ia tidak tercapai dek akal fikiran tidak warasnya. Apakah yang telah berlaku? Adakah orang tamak ini diburu oleh pembunuh upahan? Atau adakah orang tamak ini menemui dirinya terlibat dalam kancah dunia perisikan antarabangsa? Nak tahu apa dia? Mari kita ikuti kisah seterusnya...
Orang tamak ini telah menghadiri satu majlis ilmu yang gilang-gemilang pada hari Sabtu lepas. Sungguh gilang-gemilangnya majlis itu sehinggakan orang tamak ini tidak sedar bahawa dia bukan sahaja asyik tersenyum kambing, malah tersenyum kucing akibat terlalu teruja merangkap seronok kerana dapat menimba ilmu  yang sangat berguna daripada pakar-pakar yang berkenaan. Kata orang-orang yang bukan orang, keadaan dirinya bagaikan dia sedang dilamun asmara. Sibuk sahaja orang-orang ini...diri tegak-tegak dalam sawah sudahlah, ada hati hendak menjaga tepi kain orang tamak ini! (Mungkin sebab dia tidak pernah memakai kain tetapi hanya memakai topi jerami dan baju kemeja kotak-kotak warna merah dan putih, maka dia sibuk hendak menjaga tepi kain orang lain).

Sesungguhnya tujuan orang tamak ini menghadiri majlis itu tidak mengharapkan apa-apa melainkan untuk menimba ilmu semata-mata. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini, orang tamak ini bukan sahaja tamakkan buku percuma, malah sangat tamakkan ilmu percuma dan tidak percuma. Pergolakan jiwanya bagaikan tidak dapat dibendung oleh apa-apa termasuk bendung berinfra-red sekalipun tidak dapat membendungnya. Sungguh kasihan melihat keadaan orang tamak ini.

Sepanjang majlis berlangsung, orang tamak ini perasan ada beberapa plastik berisi buku-buku yang masih baru dan berbalut diletakkan di belakang bilik kuliah. Hati orang tamak ini terdetik, mungkin lepas tamat majlis, pihak penganjur akan menjual buku-buku tersebut kepada para peserta yang berminat untuk membelinya. Mungkin mereka akan memberikan diskaun ke atas buku-buku tersebut. Pada masa yang sama, peserta yang membeli dapat pula meminta tandatangan daripada penulis-penulis buku-buku tersebut yang juga merupakan pakar-pakar yang memberikan training pada hari itu. Memang itulah yang orang tamak ini fikir setiap kali terpandangkan plastik-plastik tersebut. Sungguh menggiurkan orang tamak ini melihatnya tetapi dia sedar bahawa dia teramat 'kering' pada bulan ini. 

Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Pemurah. Tamat sahaja majlis, pihak penganjur membuat pengumuman yang membuatkan orang tamak ini hampir tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Buku-buku yang terdapat dalam plastik-plastik tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah untuk diagih-agihkan secara percuma kepada para peserta. P.E.R.C.U.M.A - percuma. Diulangi, PERCUMA. Percuma satu buku hasil tulisan setiap trainer. Maknanya orang tamak ini mendapat bukan satu, tetapi 2 buku PERCUMA. 

Hampir-hampir sahaja orang tamak ini melakukan pelbagai jenis lompatan yang ada dalam dunia ini apabila mendengar pengumuman tersebut. Lompat katak, lompat kijang, lompat jauh, lompat galah...semua hendak dibuatnya. Malah hampir juga orang tamak ini menyanyi lagu "Jump" daripada kumpulan Van Halen. Tetapi menyedari bahawa suaranya bakal menyebabkan semua orang (bukan orang-orang) mati tercekik, maka orang tamak ini membatalkan niat sucinya itu. Kalau tidak, tidak semena-mena dia akan menjadi buruan pembunuh upahan atau ejen-ejen risikan antarabangsa!

Maka pada petang Sabtu itu, pulanglah orang tamak ini ke rumah dengan hati yang berbunga-bunga dan gembira yang melangkaui tahap cipan dan tahap gaban. Tetapi di wajahnya masih lagi menunjukkan dia masih mendambakan sesuatu. Apa lagi yang orang tamak ini mahukan? Buku percuma sudah dapat, tandatangan penulis sudah dapat. Apa lagi yang dia mahukan?

Orang tamak ini dengan selambanya menjawab, "Saya merasa sangat bersyukur yang teramat di atas pemberian buku percuma ini. Tetapi, peraduan Saya Mahu Hadiah PTS: Baca & Menang masih berjalan. Jadi, saya masih mahu buku percuma  daripada PTS. Itu tidak akan berubah!" 

Hmmm...masih tamak lagi rupanya dia ini. Dasar orang tamak tidak sedar diri! 

Nota: 2 buku percuma tersebut adalah terbitan Alaf21. Buku tentang apa? Cubalah cari di sebalik entri di atas. Ada disebut menggunakan teknik foreshadow...heheh. (Amaran keras daripada pihak berkuasa: Rin, awak tidak dibenarkan untuk menjawab! Mengomen sahaja boleh...:)) 

Jumpa lagi di episod akan datang...

6 comments:

zool said...

First time ke sini..
Masih tak dapat tangkap motifnya

Siti R said...

Terima kasih krn sudi menjenggah blog yg x seberapa ini.

Nak tau motif kenalah baca entri sy bertarikh 13/11/09, edisi 'orang tamak takkan rugi'. Kalau masih x dpt tangkap...sy pendekkan cerita di cni sajalah...

Dlm entri yg pertama tu sy beria2 nak dptkan buku percuma...tp spt yg sy sebut Allah itu maha mendgr n maha pemurah. Apa yg kita minta mgkin dpt cpt atau dpt lambt atau x dpt lgsung tp Allah gantikan dgn yg lain. Mcm kes sy ni, x pyh tggu lama2 sy dah dpt bkn 1 tp 2 buku percuma wpun bkn drp PTS yg buat peraduan yg sy sebutkan tu...Mgkin sy xkan dpt buku percuma drp PTS, tapi sy ttp mengharap. Itu saja motif cerita ini ditulis.

Mgkin cara penyampaian sy tdk kena dgn cara pembacaan Tuan Zool yg mgkin lbh sukakan gaya penulisan yg serius n straight forward. Apa2 pun terima kasih krn sudi membaca.

Wassalam..

Kurma said...

kahkah.. ko kata dorang akan jual dan diskaun.. aku memula pikir gitu..tp lama2 aku lagi tamak dan prasan aku pikir dorang kasi FREE hahahaha.. prasan tahap gaban.. Memang Allah itu Mahal Pemurah.. :D

Aku punye sengih tak ingat takleh tahan.. tp aku tengok ko kewl je.. jadi terpaksala aku kontrol sengih aku.. penat gilela nak kontrolll... hahaha..

ooo dah terel teknik foreshadow haaa.. hahaha..

Siti R said...

ooo...ye ke? aku jelah yg lmbt tangkap niat baik dorg tu..hehe...

hehe...xdelah terer..prasan terer ada la...hehe..

Kurma said...

alamak typo.. Allah itu Maha Pemurah

Siti R said...

xpe2, dimaafkan...