Monday, December 19, 2011

Karya Terakhir Mendiang Michael Crichton

Ini adalah novel yang membuatkan saya berasa teruja, berbelah bahagi dan sedih pada masa yang sama.


14/12/2011, Suria KLCC

Selepas menonton filem "The Muppets" di TGV Suria KLCC, saya merayau-rayau pula di Kinokuniya. Lalu saya ternampaklah novel "Micro" seperti yang dipaparkan di atas. Saya sebenarnya tidaklah berniat hendak membeli apa-apa buku pada waktu itu memandangkan jiwa sedang kacau (walaupun baharu lepas bergelak ketawa menonton filem "The Muppets"). Saya sekadar mahu mencuci-cuci mata sambil menghiburkan hati dan menunggu Prince Charming menyelamatkan saya. Eh?

Saya berasa teruja apabila terpandangkan novel tersebut di rak buku. Ia merupakan novel terakhir yang ditulis oleh mendiang Michael Crichton; yang sebenarnya tidak sempat dihabiskan sebelum ajal terlebih dahulu menjemput beliau ke negeri abadi. Sebab itu ada nama Richard Preston di kaki kaver novel tersebut - penulis yang bertuah kerana dipilih untuk menyudahkannya. Masakan saya tidak mahu memilikinya. Namun, apabila terpandangkan harga novel tersebut saya berasa berbelah bahagi untuk membelinya.

Saya letakkan semula novel tersebut di raknya. Lalu saya merayau-rayau lagi di dalam Kinokuniya. Namun fikiran saya asyik pula teringat-ingatkan novel tersebut. Apatah lagi apabila memikirkan novel tersebut termasuk dalam promosi Reader's Rhapsody di mana pembeli akan mendapat diskaun 30% jika membeli apa-apa barangan lain (tidak kisah berapapun harganya) bersama-sama novel yang dipromosikan.

Apa barangan lain yang saya mahu beli? Tiada apa-apa yang saya perlukan rasanya. Hendak membeli novel-novel lain, tahu-tahulah harga novel di sini. Bukannya boleh dapat yang harganya kurang daripada RM10.

Pap! Tiba-tiba saya teringatkan novel klasik Collins Classic - "The Secret Garden" yang saya beli tidak lama dahulu di Kinokuniya. Harganya cuma RM9.90. Jadi, saya cuba membuat kira-kira dalam kepala. Tetapi tidak berjaya kerana saya bukanlah seorang yang pandai membuat kira-kira dalam kepala. Nasib baik ada handphone. Jadi saya menggunakan fungsi kalkulator dalam handphone untuk membuat kira-kira.

Harga sebenar novel "Micro" = RM64.90

Setelah ditolak diskaun 30% = RM45.43

Kalau ditambah dengan sebuah novel klasik Collins Classic dengan apa tajuk sekalipun saya cuma perlu membayar RM55.33 atau lebih tepat lagi RM55.35.

Lalu saya memilih tajuk "Grimms' Fairy Tales" (apa gelak-gelak?) untuk 'dipadankan' dengan novel "Micro" itu. Wah! Saya dapat membeli dua buah buku dengan harga yang lebih murah daripada harga sebuah novel "Micro"! Boleh tahan bijak juga saya ini...keh keh keh!

Tetapi setiap kali saya memandang novel tersebut, sedih pula saya rasa. Selepas ini tiada lagi novel baharu daripada Michael Crichton. Uhuk...uhuk...

* Saya belum lagi memulakan pembacaan. Saya harap Richard Preston tidak menghampakan. Jika menepati selera, mungkin selepas ini saya boleh cuba membaca karya-karya Richard Preston pula.

Tuesday, November 29, 2011

Cuti-cuti China: Hari Keenam - Penutup

Hari Keenam - 28/4/2010

Potong Memotong

Pagi itu kami tiba di Beijing lebih kurang pada pukul 7.30 pagi. Semasa berjalan di platform menuju ke dalam bangunan, cuaca begitu sejuk sekali. Ditambah dengan angin yang sekali sekala bertiup, menambahkan kedinginan di pagi itu. Sangka saya, semakin menghampiri musim panas, suhu pastinya lebih tinggi daripada hari-hari sudah. Nampaknya sangkaan saya meleset sama sekali. Sudahlah gerabak kami jauh daripada pintu masuk bangunan...mengigil-gigil saya dibuatnya walaupun sudah memakai baju sejuk.

Masuk sahaja ke dalam bangunan, kami terus menuju ke perhentian teksi. Alangkah terkejutnya saya melihat barisan manusia yang panjang sedang menunggu teksi. Terpaksalah saya beratur sambil menggalas backpack yang berat. Apabila difikir-fikirkan semula, ada baik juga mengikut cara Chik; membawa beg beroda. Tidak perlulah saya membawa bebanan yang banyak di bahu. Tetapi apabila difikir-fikirkan dua tiga kali, tidaklah namanya adventure jikalau membawa beg beroda. Entah apa-apa.

Sepanjang beratur, melihat orang lain dengan selambanya memotong barisan, kami juga ikut memotong. Siapa kata kami tidak dapat menyesuaikan diri dengan penduduk tempatan? Memang telah terbukti kami memang jenis yang mudah blend-in. Lagipun tiada siapa yang hendak marah. Maka, bertambah asyiklah saya memotong barisan sehingga tidak sedar Chik sudah tertinggal di belakang saya. Fuh! Memang tidak sia-sia saya menggalas backpack kerana saya mudah memotong dan juga menghalang diri daripada dipotong...hahaha! 

"Show & Go"

Agak lama juga kami 'beratur' sehingga sakit pinggang saya dibuatnya. Sampai sahaja giliran saya, terpaksa pula melepaskan beberapa orang di belakang terlebih dahulu disebabkan Chik berada 4, 5 barisan di belakang. Apabila para penumpang di hadapan Chik sudah lepas, baharulah kami sama-sama menuju ke teksi yang sedang menunggu.

Masuk sahaja ke dalam teksi, saya terus menunjukkan destinasi kepada pemandu teksi seperti yang telah ditulis oleh Qing Kang dalam buku nota saya. Terkumat-kamit mulutnya membaca tulisan Qing Kang, tetapi kemudian mengangguk-anggukkan kepalanya lalu terus memandu. Senang sungguh. Saya namakan sistem ini sebagai sistem "Show & Go" - hanya tunjuk dan kami sudah boleh bergerak.

Kami tiba di Beijing South Railway Station lebih kurang dalam pukul 9:30 pagi. Terus kami ke kaunter untuk membeli tiket bullet train ke Tianjin. Tren seterusnya akan bertolak pada pukul 9:40. Jadi, tidak perlulah kami menunggu lama. Alhamdulillah. 

The Best Special Effect

Seperti biasa, tren di China bertolak tepat pada masanya. Bukan sahaja waktu bertolak, waktu tiba juga tepat pada masanya. Jadi selepas berada selama 35 minit di dalam bullet train, kami akhirnya tiba di Tianjin.

Seperti biasa, kami memilih untuk menaiki teksi menuju ke Tianjin Binhai International Airport. Rancangan awal untuk pergi bersiar-siar dan membeli-belah di Tianjin terpaksa dilupakan kerana kami bimbang terlewat sampai di lapangan terbang pula nanti. Jadi kami mengambil keputusan untuk terus ke lapangan terbang.

Dengan menggunakan sistem "Show & Go" yang diguna pakai di Beijing tadi, saya menunjukkan "flight detail" Air Asia yang menunjukkan butiran penerbangan kami kepada pemandu teksi.  Tetapi malangnya walaupun saya show, teksi tidak juga go, go. Nampak sangat pemandu teksi itu langsung tidak dapat membaca apa yang ditulis di dalam kertas itu. Alahai. Mengapalah saya tidak terfikir orang-orang di China tidak biasa dengan tulisan roman? Dan mengapalah saya tidak terfikir hendak menyuruh Qing Kang menulis Tianjin Binhai International Airport dalam tulisan cina?

Sudahnya saya pandang Chik, dan Chik pandang saya. Saya memang sudah mati akal bagaimana hendak memberitahu pemandu teksi tersebut yang kami mahu ke lapangan terbang. Setelah terdiam seketika, tiba-tiba Chik mengeluarkan bunyi sambil tangan kanannya memberi isyarat kapal terbang hendak berlepas.

Muka pemandu teksi yang blur tadi tiba-tiba bertukar menjadi ceria. Dia juga meniru bahasa isyarat dan special effect yang dibuat oleh Chik beberapa kali sambil tergelak-gelak dan bercakap-cakap seolah-olah kami faham apa yang diperkatakannya. Kami juga ikut sama tergelak dibuatnya.

Setelah reda sedikit rasa lucu, dia pun mula memandu. Tiba di satu lampu isyarat, teksi kami berhenti di sebelah teksi lain. Pemandu teksi kami dengan ramahnya berbual dengan pemandu teksi sebelah. Dia menunjukkan special effect yang dibuat oleh Chik tadi kepada pemandu teksi sebelah sambil tergelak besar. Apa yang lucu sangat, tidaklah saya tahu. Mungkin dia tidak pernah terjumpa dengan penumpang yang menggunakan special effect seperti yang dibuat oleh Chik tadi. Entahlah.

Pemandu teksi sebelah tidak bercakap banyak. Dia hanya tersenyum-senyum sambil memandang kami di tempat duduk belakang. Setelah lampu isyarat bertukar hijau, kami pun meneruskan perjalanan menuju ke lapangan terbang. 

Air Asia yang Tipikal

Hampir sejam perjalanan, kami pun tiba di lapangan terbang. Keluar sahaja daripada teksi, saya rasa seperti mahu memecut masuk ke dalam bangunan lapangan terbang. Sejuknya bukan main. Teringat paparan papan tanda elektronik dalam tren tadi yang menunjukkan suhu di Tianjin - 12 darjah selsius!

Sementara menunggu waktu untuk check-in, saya dan Chik duduk di lobi lapangan terbang sambil melihat-lihat kerenah orang ramai dan juga membuat sedikit catatan.

Hampir jam 13:00, kami menuju ke kaunter Air Asia untuk check-in. Selepas selesai urusan check-in, kami terus menuju ke balai berlepas. Flight kami dijadualkan berlepas pada jam 15:50 dan perlu boarding ke dalam kapal terbang pada jam 15:05. Namun beberapa minit sebelum waktu boarding, kami diberitahu bahawa penerbangan kami ditunda untuk satu jangka masa yang tidak ditetapkan. Aduhai...semasa kami terlewat di LCCT tidak pula delay. Ini sudah menunggu awal, delay pula.

Nasib baiklah flight lewat tidak lebih dari sejam. Hampir jam 16:00, kami diminta untuk boarding ke dalam kapal terbang. Lebih kurang setengah jam kemudian kapal terbang pun berlepas meninggalkan Binhai International Airport.

Malaysia Tanah Airku

Tiada apa-apa kejadian yang berlaku semasa dalam penerbangan pulang ke Malaysia, kecuali kejadian seorang ah soh yang tidak mengunci pintu bilik tandas dan pintu dibuka oleh seorang apek yang menyangka tandas itu kosong. Melihat ada orang di dalam tandas itu, lekas-lekas dia menutup pintu semula. Kasihan saya dengan apek itu. Saya pasti dia akan trauma hendak menggunakan tandas dalam kapal terbang selepas daripada kejadian itu.

Kami tiba di LCCT selepas jam 23:00. Nasib baiklah tiba pada waktu malam. Saya pasti suhu tidaklah panas pada waktu malam begini (maklumlah sudah biasa sejuk...takut tidak biasa pula dengan cuaca panas di Malaysia...hehe!). Namun saya tersilap besar. Keluar sahaja daripada bangunan LCCT, sudah terasa bahang kepanasan. Tidak sangka pula suhu agak panas pada malam itu. Nasib baiklah driver (hehehe...) kami sudah sedia menunggu kepulangan kami di luar bangunan.

Kami mula bergerak pulang tepat pada jam dua belas tengah malam. Selepas menghantar ucapan selamat hari jadi kepada sahabat yang kebetulan merupakan orang yang paling banyak memberi galakan dan mengerah tenaga saya untuk menulis travelog ini, saya melihat kembali catatan ringkas yang ditulis semasa di lobi Tianjin Binhai International Airport.
"Sekarang saya berada di ruang menunggu Tianjin Binhai International Airport sementara menanti waktu boarding ke dalam kapal terbang pada pukul 3.05 nanti. Berakhir sudah perjalanan saya dan Chik di bumi China ini. Pelbagai pengalaman pahit manis yang telah kami lalui dalam jangka masa yang singkat ini. Ada yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Ada yang mahu dilupakan sampai bila-bila. Apa-apa pun, segala pengalaman yang dikecapi pasti amat berharga buat kami. "
Tamat.

Sunday, November 13, 2011

Cuti-cuti China: Hari Kelima - Bahagian Akhir

Hari Kelima - 27/4/2010

Risau Serisau-risaunya

Saya dan Chik melangkah keluar dari Great Mosque menuju ke arah jalan raya. Sebenarnya ia bukanlah jalan raya tetapi lebih kepada sebuah lorong atau jalan yang sempit.

Kami ingin mencuba nasib untuk menahan teksi yang boleh membawa kami ke Stesyen Keretapi Xian. Namun melihatkan keadaan di situ hati saya mula berasa risau. Setelah beberapa minit menunggu di tepi jalan tiada satu pun teksi yang lalu. Pada waktu begini, mulalah terfikir, alangkah bagusnya jika Qing Kang masih ada bersama kami.

Memandangkan hanya kereta dan motor sahaja yang lalu lalang di situ, kami mula berjalan perlahan-lahan menuju ke selekoh di hadapan. Apabila kami melalui selekoh itu, kami terpandang sekumpulan pemuda (dalam tiga, empat orang) sedang melepak bersama beca masing-masing. Mungkin mereka sedang menunggu pelanggan.

Melihat rupa paras mereka yang kelihatan agak meragukan, rasa teragak-agak pula hendak mendekati mereka. Melihat mereka tersengih-sengih memandang kami, lagi risau hati saya dibuatnya. Namun, saya cuba buang prasangka buruk jauh-jauh; mereka ini mencari rezeki dengan mengayuh beca, pasti mereka ialah orang yang baik-baik.

Saya dan Chik terus mendekati mereka. Chik yang berurusan dengan mereka. Saya hanya menunjukkan alamat kedai tempat kami menyimpan bagasi seperti yang ditulis oleh Qing Kang di dalam buku nota saya kepada pemuda berambut karat, memandangkan dia sahaja yang melayan Chik sedangkan yang lain-lain hanya mendengar 'perbualan' mereka sambil tersenyum-senyum.

Sebaik sahaja melihat alamat tersebut, dia terangguk-angguk sambil jarinya menunjukkan isyarat 'ok.' Dia juga menyebutkan harga tambang iaitu RMB25. Setelah bersetuju dengan harga tersebut, kami pun menaiki beca pemuda tersebut.

Sepanjang perjalanan saya berasa agak risau. Risau bolehkah pemuda berambut karat ini dipercayai? Tetapi apabila terpandangkan landmark yang saya hafal semasa dalam perjalanan ke Moslem Street sebelum itu, saya berasa lega. Nasib baik ada restoran McDonalds itu, mudah saya hendak mengingat arah ke kedai tempat bagasi kami disimpan. Akhirnya kami sampai juga ke kedai tersebut. Semasa hendak membayar tambang, saya risau jika pemuda berambut karat itu meminta bayaran lebih. Teringat kembali kejadian di Beijing West Railway Station.

"RMB25, right?" tanya saya meminta kepastian sekali lagi. Pemuda itu menganggukkan kepala sambil senyuman tidak lekang daripada bibirnya. Saya membalas senyumannya dan membayar harga tambang seperti yang telah dipersetujui. Lega rasanya. 

Risau Lagi

Selepas mengambil bagasi, kami menyeberang jalan untuk ke Stesyen Keretapi Xian. Seperti tadi, semasa meninggalkan bagasi di kedai, saya masih lagi merasa kagum melihat Stesyen Keretapi Xian yang besar itu.

Sampai sahaja di hadapan stesyen, saya dan Chik mula berasa keliru hendak masuk ke pintu mana. Papan tanda elektronik di atas semua pintu masuk ada menunjukkan nombor keretapi, destinasi dan masa bertolak. Nombor keretapi yang akan kami naiki juga ada dipaparkan di situ, cuma saya masih ragu-ragu hendak masuk di pintu yang mana. Apatah lagi melihat barisan yang panjang di setiap pintu. Risau lagi.

Sudahnya, kami berlegar-legar di hadapan stesyen. Kemudian saya ternampak seorang pemuda berpakaian uniform sedang berdiri di salah satu pintu masuk yang paling tepi (dan agak tersorok dengan kanopi yang diletakkan di hadapannya). Hampir tiada orang yang beratur di situ. Saya mengajak Chik untuk masuk ke pintu tersebut walaupun saya sendiri kurang pasti sama ada tiket yang kami pegang membolehkan kami masuk melalui pintu tersebut. Saya menunjukkan tiket saya kepada pemuda tersebut. Dia melihat sebentar dan kemudian tersenyum sambil mempersilakan kami masuk. Ah, leganya...

Setelah masuk ke dalam bangunan stesyen, agak mudah mencari tempat menunggu kerana papan tanda ditunjukkan dengan jelas dan tidak mengelirukan. Para penumpang yang menuju ke bandar-bandar besar dan jauh seperti Beijing diberikan sedikit keistimewaan. Kami ditempatkan di lounge terlebih dahulu sementara menunggu masa untuk menaiki keretapi. Di situ Chik dengan selamba mengemas begnya untuk menyusun semula baju-baju dan cenderamata-cenderamata yang dibeli sebelum itu. Banyak juga mata yang memandang sambil tersengih-sengih. Melihatkan keadaan itu, Chik membebel kepada saya (sebab saya seorang sahaja yang faham apa yang diperkatakan oleh Chik), "Aku dah tak peduli dah. Nak pandang, pandang ajelah. Jakun sangat!"

Lebih kurang setengah jam (atau lebih daripada itu) sebelum masa bertolak, kami dipanggil untuk menaiki keretapi. Nombor keretapi kami Z54 dan akan bertolak pada jam 20:10.

Gerabak kami tersangatlah jauh. Maklumlah gerabak no. 15 - antara gerabak yang paling hujung. Kami memasuki gerabak dan mencari tempat duduk seperti yang tertera di atas tiket. Saya berharap kali ini dapat duduk bersama dengan Chik setelah 'terpisah' tempat duduk semasa dalam keretapi ke Xian. Namun, alangkah hampanya saya apabila melihat tempat duduk kami. Hampa kerana walaupun dapat duduk bersama, kerusi kami mengadap dengan dua kerusi lain, manakala di tengah-tengah terdapat sebuah meja. Sungguh tidak seronok. 

Tentang Seorang Gadis dan Seorang Pemuda

Kerusi hadapan kami diduduki oleh seorang gadis dan seorang pemuda. Saya dan Chik sangkakan mereka berdua pasangan kekasih kerana sesampai sahaja di kerusi, kami melihat dia sedang meletakkan beg gadis tersebut di tempat menyimpan barang. Pemuda itu agak baik juga kerana membantu saya meletakkan beg di tempat menyimpan barang tanpa diminta.

Mula-mula memang rasa dia baik tetapi baharu beberapa ketika, saya dan Chik mula berasa jengkel dengan pemuda tersebut dan tekaan kami bahawa dia dan gadis tersebut sebagai pasangan kekasih adalah meleset. Saya dan Chik juga bersepakat merasakan gadis tersebut juga merasa jengkel dengan pemuda itu. Mana tidaknya, pemuda itu cuba duduk rapat dengan gadis tersebut. Dia kelihatan tidak selesa sambil cuba merapatkan dirinya dengan dinding keretapi. Bibirnya muncung sahaja saya lihat. Kasihan betul!

Apabila keretapi mula bergerak, pemuda itu membuat satu panggilan telefon. Punyalah kuat dia bercakap! Seperti sengaja dia berbuat begitu kerana saya lihat sekali-sekala matanya menjeling ke arah gadis tersebut. Gadis itu pula masih tetap memuncungkan bibirnya sambil berpeluk tubuh. Langsung tidak kagum dengan aset bernilai berjuta-juta RMB yang dimiliki oleh pemuda tersebut (agaknyalah).

Meluat sungguh kami melihat pemuda tersebut. Bertambah meluat apabila selesai berbual di telefon, dia mula memasang lagu daripada telefon bimbitnya itu tanpa menggunakan earphone. Earphone-nya hanya disangkutkan di bahu. Ya, sekadar hiasan; nama pun accessories, kan? Huh!!

Kami terdengar lagu yang dipasang oleh pemuda itu yang biasa kami dengar, lalu Chik bertanya, "Itu bukan lagu yang Qing Kang selalu pasang ke?"

Sambil tergelak kecil saya menjawab, "A'ah. Agaknya lagu ni tengah popular sekarang ni."

Kami terdiam sebentar. Tidak lama kemudian...

"Hish!! Dia ingat dia sorang aje ada lagu. Orang pun nak pasang lagu jugak!" 

Penangan Bullet For My Valentine

Chik mengeluarkan telefon bimbitnya sambil mula melihat-lihat senarai lagu MP3 yang disimpan. Saya turut sama menjenguk walaupun pada hakikatnya selera muzik kami agak jauh berbeza. Saya lebih menjurus kepada irama rock, manakala Chik lebih kepada irama pop. Kalaupun Chik ada minat terhadap rock, ianya jenis rock kontemporari seperti lagu-lagu Adam Lambert. Memang banyak lagu-lagu dendangan Adam Lambert semasa dia menyertai pertandingan American Idol berada dalam senarai lagu-lagu MP3 yang Chik simpan.

Tetapi apabila tiba pada satu tajuk lagu yang berada dalam senarai MP3 Chik, saya tidak dapat menahan mata daripada terbeliak. Nasib baik biji mata tidak terkeluar daripada soket.

"Wah...biar betul Chik! Sejak bila minat Bullet For My Valentine? Lagu Tears Don't Fall pulak tu."

"Eh, taklah. Ni budak office orang la ni. Dia cakap lagu ni sedap. Dia bluetooth suruh orang dengar."

Tergelak saya mendengarnya. Sungguh nakal officemate Chik itu.

"Orang pun ada lagu ni tapi acoustic version. Lagu ni kan heavy, Chik."

"Tulah...terkejut orang masa mula-mula dengar lagu ni." Ya, siapa yang tidak terkejut mendengarnya kerana Matt Tuck, penyanyi BFMV sudah terjerit panjang pada permulaan lagu.

"Orang nak pasanglah, biar mamat depan ni terkejut," kata Chik mengemukakan idea bernasnya.

Saya sangat suka dengan idea Chik itu lalu mengapi-apikannya untuk memasang lagu tersebut. Sebaik sahaja Matt Tuck 'menjerit,' memang kami lihat pemuda tersebut tersentak, tetapi dia tetap berlagak macho. Gadis di sebelahnya yang sudah tertidur sebelum itu, terjaga sebentar tetapi kemudian melelapkan matanya kembali. Manakala di belakang kami, seorang bayi tiba-tiba menangis.

Cepat-cepat Chik menghentikan lagu tersebut daripada terus dimainkan. Saya tidak tahan hendak ketawa. Begitu juga dengan Chik. Saya terpaksa menutup mulut dengan tapak tangan, namun tidak dapat menahan bahu daripada terhinggut-hinggut menahan gelak yang jika terlepas pasti akan menjadi gelak terbahak-bahak. Sungguh tidak sopan pula nanti.

Sungguh puas hati kami dapat 'mengenakan' pemuda tersebut walaupun terpaksa mengganggu ketenteraman orang lain juga. Apatah lagi dia sudah tidak memasang lagu lagi selepas itu. Berjaya! Hilang segala kerisauan yang dialami sepanjang siang tadi. Lagi senang hati kerana ada juga sahabat di Malaysia yang sudi menghantar SMS untuk bertanya khabar. Saya rasa malam itu saya tidur sambil tersenyum...

**Mahu dengar lagu original (bukan akustik) Tears Don't Fall? Play below video with maximum volume if you dare...hahaha!  

Friday, November 04, 2011

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Selamat Hari Raya Aidil Adha diucapkan kepada sanak saudara, handai taulan, dan juga para pelawat yang tersesat ke blog saya yang tidak seberapa ini.

Sempena hari raya ini saya ingin menghidangkan rakaman video suasana haji live dari Makkah untuk tontonan kita bersama.

Selamat menikmati!

** Jika mahu menontonnya secara terus dari You Tube, ini pautannya: hajjlive's Channel

Thursday, October 27, 2011

Juara Piala Dunia

Saya sepatutnya ke Sepanyol pada tahun ini...sempena Sepanyol menjuarai Piala Dunia pada tahun lepas. Tetapi memandangkan bajet tidak cukup, terpaksalah saya 'lepaskan' Sepanyol T_T

Pada pertengahan tahun 2011 ini, saya dan rakan jenayah (partner-in-crime?) saya mengambil keputusan untuk bercuti ke New Zealand pada tahun hadapan. Tiket kapal terbang sudah saya book. Insya-Allah kami akan terbang ke sana pada awal bulan Mei 2012.

Tup, tup saya dapat tahu New Zealand menang Piala Dunia pada hujung minggu lepas. Err...Piala Dunia Rugbi maksud saya.

Pergh! Tercapai juga hasrat saya hendak melawat negara yang menjadi juara Piala Dunia. Tidak kisahlah ia merupakan sukan Rugbi. Yang penting namanya Piala Dunia. World Cup. Geddit?

Monday, October 10, 2011

Cuti-cuti China: Hari Kelima - Bahagian 4

Hari Kelima - 27/4/2010

Masuk Adalah Percuma

Saya dan Chik baharu sahaja hendak masuk ke dalam kawasan masjid apabila kami dipanggil oleh seorang lelaki yang duduk di sebuah meja yang terletak di sebelah kanan pintu masuk. Saya melihat di atas meja tersebut terdapat bekas menyimpan duit dan beberapa risalah dan pocketbook.

"Eh, kena bayar ke?" tanya saya kepada Chik (walaupun saya tahu Chik juga pasti tertanya-tanya seperti saya) kerana saya menyangka lelaki tersebut memanggil kami untuk mengutip bayaran masuk ke masjid. Sementelah lagi saya melihat seorang pelawat lelaki (lelaki kaukasian) yang baharu sahaja membuat pembayaran kepada pemuda yang duduk di sebelah lelaki yang memanggil kami itu.

Saya mengeluarkan beg duit dan bertanya perlukah kami membayar untuk masuk ke dalam masjid dan berapa jumlah bayaran yang perlu dibuat.

"Muslim?" tanya lelaki tadi. Kami mengangguk sambil mengiyakan.

Dia menggeleng-gelengkan kepala sambil menggoyang-goyangkan tangan kirinya tanda kami tidak perlu membayar untuk masuk. Rupa-rupanya dia memanggil kami untuk memberi pocketbook yang mengandungi pengenalan serta sejarah ringkas Great Mosque sebagai rujukan kami semasa membuat lawatan. 

Great Mosque yang Hebat

Sebaik menerima pemberian lelaki tersebut kami terus memasuki kawasan masjid. Terasa tenang dan damai (tetapi bukankah itu perasaan yang biasa kita rasa apabila memasuki masjid?) sekali apabila kaki sudah melangkah masuk ke sana.

Masjid ini tidak sama rekabentuknya dengan masjid-masjid yang ada di Malaysia atau di mana-mana negara yang pernah saya kunjungi (pergh...ayat ini macam 'poyo'lah..kah kah kah!). Dipengaruhi oleh seni bina Cina, kawasan masjid dikelilingi oleh bangunan-bangunan dan struktur-struktur yang dibina sejak dari zaman Dinasti Tang (iaitu lebih kurang tahun 742 Masihi) yang kemudiannya dibaik-pulih dan diperbesarkan pada zaman Dinasti Song, Yuan, Ming, dan Qing. Jadi tidak hairanlah kawasan masjid ini agak luas, dengan jumlah keluasan 13,000 meter persegi.

Walaupun terdapat beberapa bangunan atau dewan di dalam sana, ruang atau dewan solatnya hanya satu iaitu terletak di bahagian hujung sebelah dalam masjid. Ruang solatnya tidaklah nampak begitu luas. Mungkin ini disebabkan bangunannya yang berbentuk memanjang.

Saya dan Chik tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar kenangan di dalam kawasan masjid. Buktinya, baharu beberapa langkah masuk, kami sudah mula bergambar. Saya rasa inilah masjid tertua yang pernah saya kunjungi sepanjang saya hidup di dunia ini. Untuk menunjukkan betapa tuanya masjid ini, saya mendapati salah satu gerbangnya yang terletak berdekatan dengan pintu masuk 'ditutup' dengan tali pita berbelang merah putih dan di hadapannya diletakkan tanda amaran "bahaya." Saya kira ia mungkin sedang dalam proses untuk dibaik-pulih.

Walaupun ghairah bergambar, kami tetap menjaga kesopanan dan kesusilaan kami. Awal-awal lagi saya sudah berpesan kepada Chik, "Dalam masjid ni kenalah posing sopan sikit, kan."

Chik pun bersetuju. Maka terhasillah posing-posing yang sopan ala-ala perempuan Melayu Terakhir dan ala-ala kumpulan nasyid, juga posing-posing berdiri tegak seperti sedang mendengar lagu Negaraku lagaknya. Tidak mengapalah. Janji kami menjaga prinsip kelima Rukunegara itu. 

Selamat Datang

Semasa kami berjalan-jalan di dalam kawasan masjid, jemaah masjid baharu sahaja selesai solat Asar. Semasa kami melalui salah satu gerbang yang ada di sana, beberapa orang jemaah baharu keluar dari dewan solat dan berselisih dengan kami. Tersenyum-senyum mereka melihat kami dan tersenyum-senyum juga kami melihat mereka. Rata-rata ahli jemaah terdiri daripada warga emas.

Seorang ahli jemaah yang paling akhir tersenyum mesra kepada kami. Pakcik itu bertanya sambil tangannya menuding ke arah kami, "Malaysia?"

Wah! Dia kenal rupa orang Malaysia? Pasti ramai pelancong Malaysia yang sudah mengunjungi Great Mosque yang membuatkan pakcik itu dengan penuh yakin meneka kami ini orang Malaysia.

"Selamat datang."

Wah! Sekali lagi saya tercengang-cengang mendengar kata-kata aluan pakcik itu. Fasih pula sebutannya. Entah siapalah yang telah mengajar dia menyebut ungkapan "selamat datang" itu? Kagum betullah!

"Xie xie," balas kami sambil tertunduk-tunduk hormat kepada pakcik itu. Dia juga tertunduk-tunduk hormat sambil berlalu pergi meninggalkan kami untuk meneruskan lawatan di Great Mosque yang indah ini. 

Paip Oh Paip

Setelah puas mengelilingi kawasan masjid dan bergambar, tiba masanya untuk kami beredar. Tetapi sebelum beredar, saya dan Chik menuju ke tandas. Hati saya berbunga-bunga kerana merasakan tandas di masjid ini pasti ada paip di dalam kubikel tandasnya. Jadi, tidak perlulah kami mengisi botol yang sentiasa kami bawa dengan air di sinki terlebih dahulu sebelum memasuki tandas.

Namun hampa apabila saya menjenguk ke dalam kubikel tandas. Sama sahaja seperti tandas-tandas lain di Beijing dan Xian...tiada paip di dalamnya. Hairan juga saya. Muslim di sini tidak menggunakan air untuk bersuci? Tetapi apalah yang hendak dihairankan. Sudah menjadi kebiasaan mereka untuk membersih dengan cara itu. Lagipun tidak salah beristinjak dengan menggunakan kertas/tisu (benda-benda kesat).

Maka, terpaksalah saya melakukan rutin biasa setiap kali sebelum masuk ke tandas; mengisi air dalam botol di sinki. 

"Libei"

Keluar sahaja dari tandas ada seorang makcik sedang berdiri di luar (tadi semasa hendak memasuki tandas, saya ada terperasan dia baharu keluar dari tandas). Dia berdiri seolah-olah sedang menunggu saya dan Chik. Hairan betul.

Tergamam sebentar saya melihat wajah makcik itu. Kemudian baharulah saya senyum kepadanya yang sudah sedia tersenyum manis kepada saya. Memang sungguh manis orangnya. Kecil molek juga seperti saya (hehehe!). Wajahnya dan kecil moleknya itu saling tidak tumpah seperti emak 'secret admirer' saya semasa di kampung dahulu (wah...buat saya teringat-ingat pula...hehehe!), dan kerana itulah saya tergamam sebentar tadi.

Masih dalam senyuman, dia mula bercakap dengan saya. Bercakap dalam bahasa Mandarin. Haih! Manalah saya faham. Mungkin kerana melihat muka saya yang sudah berkerut-kerut, dia mula menunjuk-nunjuk botol yang saya pegang sambil mengulang-ulang perkataan 'libei.' Saya menggeleng-gelengkan kepala sambil terus membuat mimik muka tidak faham. Kemudian dia mula menggosok-gosok kedua-dua tangannya pula seolah-olah dia sedang berwuduk. Oh...baharulah saya faham. Dia mungkin menyangka saya mahu berwuduk berdasarkan kepada botol yang saya pegang. Saya menggeleng-gelengkan kepala sekali lagi. Dia masih lagi menyuruh saya berwuduk kerana selepas itu dia menunjukkan kepada saya sebuah sinki besar beserta paip yang terletak di hujung tandas. 

Uzur

Saya menggeleng-gelengkan kepala sekali lagi. Saya lihat air muka makcik itu mula berubah. Daripada tersenyum mesra kepada saya senyumannya telah menjadi kelat. Mungkin juga senyum simpati. Simpati kerana dia menyangka saya seorang Muslim tetapi tidak mahu bersolat. Mungkin. Saya cuba memberitahunya saya sedang 'uzur.' Tetapi bagaimana?

"I'm having period," kata saya cuba memberitahu hal yang sebenar. Malangnya makcik itu tidak faham bahasa Inggeris. Chik pula masih berada di dalam tandas. Sungguh kecewa saya rasa pada waktu itu. Apa yang boleh saya buat hanyalah menggaru-garu kepala yang kadangkala memang gatal ini dan tersengih-sengih seperti kerang busuk.

Tidak lama selepas itu Chik pun keluar dari tandas. Dia bertanyakan kepada saya kenapa. Saya memberitahu Chik apa yang saya faham iaitu makcik itu mungkin menyuruh kami mengambil wuduk supaya kami boleh solat. Makcik itu cuba pula bercakap dengan Chik sambil mengulang-ulang juga perkataan 'libei.' Chik juga cuba memberitahu bahawa kami sedang 'uzur.' Namun apa yang hendak disampaikan tidak kesampaian...seperti ayam dengan itik sedang bercakap.

Melihatkan 'keengganan' kami untuk mengambil wuduk, dengan isyarat tangan seolah-olah berkata "ayuh," makcik itu mengajak kami keluar dari tandas. Kami mengekor sahaja ke mana makcik itu hendak membawa kami. Cemas juga saya rasa. Entah apalah yang dia hendak lakukan ke atas kami. Terasa diri kami ini seperti dua orang pesalah yang sedang dibawa ke muka pengadilan.

...dan 'hakim' kami sedang berdiri berdekatan dengan gerbang yang di hadapannya diletakkan tanda amaran "bahaya" itu. Memang terasa bahayanya. Tapi, eh! Itu pakcik yang menegur kami tadi. Kalau tadi pakcik itu tersenyum mesra semasa berselisih dengan kami, kali ini setelah mendengar penerangan yang diberikan oleh makcik itu, dia memandang kami dengan wajah yang penuh kerisauan. Kami juga bertambah risau dibuatnya. Dia tidaklah boleh berbahasa Melayu pun. Bagaimana hendak kami terangkan situasi kami kepadanya? 

Pemuda Harapan

Dalam pada kami 'bercakap-cakap' seperti ayam dengan itik, seorang pemuda Cina menegur saya dan Chik - dalam bahasa Inggeris. Alhamdulillah! Akhirnya ada juga orang yang boleh membantu kami menyelesaikan 'pertelingkahan' yang sedang kami hadapi ini. Menjadi mediator kami.

Kepadanya kami mengadu kami tidak faham apa yang sedang diperkatakan oleh kedua-dua orang tua tersebut. Dia bertanya dan mereka menjawab. Daripada apa yang diberitahu oleh pemuda tersebut kepada kami, makcik itu sebenarnya mahu menunjukkan kepada kami tempat solat untuk muslimah kerana menyangka kami sudah mengambil wuduk di dalam tandas tadi.

Dengan teragak-agak dan tergagap-gagap kami memberitahu pemuda tersebut bahawa kami sebenarnya tidak boleh bersolat disebabkan sedang period. Pemuda itu kelihatan terkejut dan kemudian tersipu-sipu, namun dia tetap menyampaikan mesej kami kepada pakcik dan makcik itu.

Setelah mendengar penerangan pemuda tadi, serta-merta kedua-dua makcik dan pakcik itu meminta maaf kepada kami. Berulang-ulang kali mereka mengucapkan "sorry" kepada kami dengan muka yang penuh rasa bersalah. Berulang-ulang kali juga kami mengatakan tidak apa-apa walaupun tahu mereka mungkin tidak faham. Kasihan pula dengan mereka. Setelah puas meminta maaf mereka pun berlalu pergi.

Setelah mereka beredar tiba-tiba satu perkataan muncul dalam fikiran saya. Haid. OMG! Hampir-hampir saya menepuk kepala sendiri. Kenapa saya tidak terfikir sebelum ini? Tapi kalaupun saya ada terfikir dan menyebut perkataan itu kepada makcik tadi, ada kemungkinankah dia akan faham? Entahlah. Tidak mahu saya memikirkan kemungkinan tersebut kerana apa yang berlaku sebentar tadi pun sudah agak memenat dan memeningkan kepala saya.

Sebelum kami meninggalkan masjid, Chik sempat menemu-ramah pemuda tadi. Dia juga pelancong seperti kami. Datang dari Singapura. Wah! Tidak sangka seorang lelaki Singapura sudi membantu kami. Selama ini saya sangka orang Singapura sombong-sombong belaka (jangan marah ya orang Singapura...nampaknya saya tersilap sangka...uhuhuhu), rupa-rupanya ada juga yang berhati mulia seperti pemuda itu. Menurutnya lagi, dia dan ahli rombongan lain sedang melakukan lawatan sambil belajar.

Setelah mengucapkan terima kasih, kami pun beransur meninggalkan kawasan masjid. Cabaran di masjid sudah berjaya dilalui. Sekarang bermula cabaran untuk mencari pengangkutan ke Stesyen Keretapi Xian pula.

Apa pulalah agaknya cabaran yang sedang menanti kami? Kita tunggu sambungannya...hehehe!  

Thursday, September 29, 2011

Nama-nama Bunga Yang Sesuai Untuk Dijadikan Sebagai Nama Anak

Semasa di surau office tengahari tadi, saya terdengar perbualan antara dua orang teman sepejabat. Seorang daripadanya sedang mengandung, di mana usia kandungannya sudah tujuh bulan.

Saya baharu usai solat dan sedang berdoa tetapi tertarik pula telinga saya mencuri-curi dengar perbualan mereka berdua. Kata teman yang mengandung, kalau dapat anak perempuan, suaminya berminat hendak memberi nama anak mereka dengan nama bunga.

Maka, keluarlah beberapa nama bunga seperti yang dicadangkan oleh teman yang seorang lagi.

"Dahlia."

"Sepupu dah ada nama Dahlia."

"Ros"

"Dah ada jugak."

"Jasmin"

"Dah ada juga sedara nama Jasmin."

"Cempaka...hehehe."

"Hehehe."

Saya pun tanpa sedar terfikir-fikir juga nama-nama bunga apa yang sedap didengar. Muncul nama-nama seperti Ixora dan Kenanga di kotak fikiran saya. Tetapi rasanya nama-nama tersebut sudah terlalu biasa digunakan. Kemudian saya berfikir lagi; ada atau tidak nama-nama bunga lain yang jarang digunakan sebagai nama orang.

Bekerja keras sungguh otak saya memikirkan nama-nama bunga yang ada. Kemudian....ya...muncul nama-nama berikut daripada otak saya yang bergeliga ini: 

Chrysanthemum

Daffodil

Bunga kantan

Bunga cengkih

Bunga lawang

Hmmm...hairan betul. Mengapa ya, tiada orang mahu menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama bunga di atas terutama tiga 'bunga-bunga' terakhir itu? Mahu sahaja saya cadangkan nama-nama tersebut kepada teman yang mengandung itu. Tetapi saya simpan sahaja hajat saya itu. Diam itukan lebih baik...lagipun saya sedang berdoa.

Kesimpulannya; saya tidak berdoa dengan khusyuk pada waktu Zohor tadi...isk...isk...isk...

Sunday, September 11, 2011

Cuti-cuti China: Hari Kelima - Bahagian 3

Hari Kelima - 27/4/2010

Selamat Tinggal Qing Kang

Sebelum menghantar kami ke Moslem Street, Qing Kang terlebih dahulu membawa kami  ke salah sebuah kedai yang terletak di deretan kedai yang terdapat di seberang Ancient City Wall di mana di belakang tembok itu terletaknya Xi'an Railway Station (cuba baca dalam satu nafas...fuh!). Dari kedai tersebut baharulah saya sedar bahawa Xi'an Railway Station itu rupa-rupanya sangat besar dan memanjang (sudah tentulah memanjang...nama pun stesyen kereta api...iskh!) bangunannya.

Saya tertanya-tanya di dalam hati mengapa pula Qing Kang membawa kami ke kedai tersebut. Ada benda yang mahu dia belikah? Rupa-rupanya di sana ada disediakan servis menyimpan bagasi. Kami diminta untuk meninggalkan bagasi kami di sana kerana selepas menghantar kami ke Moslem Street nanti, servis Qing Kang akan tamat. Dia tidak akan menunggu kami lagi. Itu yang diberitahu oleh Melanie kepada Chik melalui perbualan telefon. Sebelum mereka habis berbicara, saya berpesan kepada Chik supaya memberitahu Melanie untuk meminta Qing Kang menulis South Beijing Railway Station dalam tulisan Cina agar mudah kami tunjukkan sahaja kepada pemandu teksi apabila sampai di Beijing nanti.

Telefon bimbit beralih tangan. Giliran Qing Kang pula untuk menerima pesanan daripada Melanie. Selesai Qing Kang dan Melanie berbual di telefon, Qing Kang meminta pen dan kertas. Saya hulurkan pen dan buku nota yang saya sentiasa bawa kepadanya. Qing Kang terus menuliskan nama South Beijing Railway Station dalam tulisan Cina. Dia juga mengajar kami menyebut nama South Beijing Railway Station dalam bahasa Mandarin iaitu 'Beijing Nang Nja.' Qing Kang turut menuliskan nama kedai tempat kami menyimpan bagasi ke dalam buku nota saya walaupun tuan kedai ada memberikan resit bayaran kepada kami.

Selesai urusan di sana, Qing Kang membawa kami menuju ke Moslem Street. Qing Kang menurunkan kami di hadapan bazar yang terletak di Moslem Street. Setelah mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal kepada Qing Kang, kami pun turun dari mini van. Sekali lagi hanya tinggal saya dan Chik berdua sahaja untuk meneruskan saki-baki perjalanan kami di sini. 

Patung-patung, Bukan Pepatung

Saya tidak banyak membeli. Selain tiada keperluan, saya amat lemah dalam bidang tawar menawar. Kadang-kadang kagum juga dengan Chik. Selalunya dia dapat menawar harga yang serendah-rendahnya daripada yang saya dapat tawar sebelum ini untuk barang yang sama. Memang saya langsung tidak berbakat. Hmmm...

Habis separuh bazar dijelajah, kami tiba di tengah-tengah bazar yang merupakan sebuah kawasan terbuka. Di sana kami disambut oleh patung-patung batu bersaiz manusia - seorang 'lelaki' sedang mencangkung sambil memegang mangkuk yang berisi 'makanan', di sebelah kirinya seorang 'lelaki tua' sedang menuangkan sesuatu daripada sebuah 'teko besar' di atas pedatinya ke dalam mangkuk yang dipegang di tangan kirinya, seorang 'kanak-kanak perempuan' sedang berdiri menghadap dan menghulurkan tangan ke arah 'lelaki tua' tadi, manakala seorang 'wanita' sedang duduk sopan di atas bangku di sebelah kiri 'lelaki tua' tersebut. Tidaklah saya tahu apa tujuan patung-patung tersebut diletakkan di sana. Mungkin untuk menunjukkan bahawa suatu ketika dahulu kawasan tersebut pernah menjadi kawasan penjaja makanan mencari rezeki. Kalau ikutkan, tarikan utama di Moslem Street adalah kepelbagaian juadah makanan yang terdapat di sana. Jadi, sebagai pelancong, kami tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama-sama dengan patung-patung tersebut (inilah yang dikatakan sebagai resmi pelancong. Ahaks!).

Selepas bergambar, kami bergerak lagi ke dalam bazar. Untuk pusingan kedua ini Chik lebih banyak membeli. Saya lebih banyak melihat-lihat. Dalam pada itu saya teringat akan pesan seorang rakan yang mengirim untuk membeli tulisan khat yang ditulis menggunakan seni kaligrafi China. Tidak tahu boleh jumpa atau tidak. Yang saya pernah jumpa sepanjang berada di Beijing dan Xi'an adalah hasil seni kaligrafi China semata-mata. Kalau tidak berjumpa, terpaksalah saya meminta maaf dengan dia atau lebih baik suruh dia pergi cari sendiri di China...ngeh...ngeh...ngeh... 

Gerai Kaligrafi Imam Great Mosque

Namun tanpa disangka-sangka, di hujung bazar ada sebuah gerai yang menjual hasil kaligrafi tersebut. Alhamdulillah. Gerai tersebut dijaga oleh seorang wanita Muslim pertengahan usia. Beliau memperkenalkan dirinya sebagai isteri kepada imam besar Great Mosque yang terletak bersebelahan dengan Moslem Street. Apabila mendapat tahu kami datang dari Malaysia, beliau menunjukkan gambar suaminya sedang bersalaman dengan Pak Lah (yang ketika itu masih lagi menjadi Perdana Menteri Malaysia) yang tergantung di dinding gerai. Oh, saya tidak perasan pula gambar tersebut ada di sana jika beliau tidak menunjukkannya kepada kami. Ada juga beberapa gambar imam dengan pemimpin-pemimpin dunia yang lain. Nampaknya gerai kaligrafi tersebut memang sering dikunjungi oleh pemimpin-pemimpin dunia yang mungkin juga dibawa melawat ke Great Mosque. Jadi tidak hairanlah jika isteri imam tersebut boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan kami.

Menurut isteri imam tersebut lagi, hasil kaligrafi yang dijual di sana semuanya adalah merupakan tulisan suaminya sendiri. Subhanallah! Rambang mata saya dibuatnya kerana memang hasil seni tersebut cantik-cantik belaka. Namun akhirnya saya hanya membeli dua hasil kaligrafi yang sederhana kecil - satu untuk diberikan kepada rakan yang mengirim dan satu lagi untuk diri saya sendiri (setelah pulang rasa menyesal pula tidak membeli lebih banyak sedangkan wang belanja yang dibawa masih berbaki lagi. Saya rasa ia sangat sesuai untuk dijadikan cenderahati yang unik yang sukar untuk didapati di mana-mana...aishh...). 

Kita Makan Dulu...

Gerai kaligrafi tadi merupakan gerai terakhir yang kami kunjungi di bazar tersebut. Masing-masing telah berpuas hati dengan hasil pembelian di hari terakhir kami di Xi'an. Kalau ikut perancangan, kami ingin meneruskan lawatan ke Great Mosque pula. Tetapi sebelum itu - kita makan dulu!

Kami memilih untuk makan di sebuah kedai makan yang terletak di luar bazar. Lagipun memang semua kedai makan terletak di luar bazar...hehe...

Seperti biasa kami tidak tahu hendak makan apa. Jadi kami memilih untuk order makanan yang sedang dimasak di hadapan kedai. Lagipun kami sudah beberapa kali terliur menghidu aroma makanan tersebut yang dimasak di banyak lagi kedai-kedai makanan sepanjang kami berjalan-jalan di kawasan Moslem Street ini. Saya sebenarnya tidak tahu bagaimana hendak menerangkan tentang makanan tersebut. Jadi tengok sahajalah gambarnya, ya (aha...pertama kali meletak gambar dalam travelog ini...).

 Nyum! Nyum! 

Sedap, memanglah sedap. Tetapi cepat pula terasa muak. Ditambah pula dengan mangkuknya yang besar itu agak menyukarkan kami untuk menghabiskan makanan tersebut. Saya rasa makanan inilah yang cuba digambarkan melalui patung-patung batu yang terletak di tengah-tengah bazar tadi. Mungkin ia merupakan makanan kegemaran masyarakat di Xi'an sejak turun temurun.

Setelah kenyang dan membayar harga makanan, kami bertanya kepada tuan punya kedai yang berbadan sasa (betul, tak tipu) arah ke Great Mosque. Dia pun tidak berapa pasti kerana dia rupa-rupanya bukan seorang Muslim. Namun pekerja-pekerjanya terdiri daripada orang-orang Islam. Jadi dia bertanya kepada mereka. Mula-mulanya arah yang diberikan adalah salah. Katanya untuk ke masjid kami perlu berjalan ke kiri selepas keluar dari kedainya. Namun baharu sahaja beberapa langkah, dia memanggil kami semula. Rupa-rupanya Great Mosque terletak di hadapan kedai sahaja. Yang memisahkannya ialah tembok yang mengelilingi masjid. Pintu masuknya betul-betul di hadapan bazar tadi (berdekatan pula dengan gerai kaligrafi imam besarnya). Setelah mengucapkan terima kasih untuk kali kedua, kami pun menuju ke sana.

* Untuk mengetahui apa yang terjadi di Great Mosque...tunggu sambungannya, ya. Harap bersabar...uhuhuhu! 

Sunday, September 04, 2011

Hari Raya, Nasi Tomato dan Takdir

Aidilfitri tahun ini sebenarnya saya tidak bercadang untuk pulang ke kampung. Apa lagi apabila mendapat tahu kakak saya merancang untuk pulang ke kampung dua hari sebelum menjelang hari raya; sedangkan saya masih lagi bekerja sehari sebelum hari raya.

Kalau saya tidak pulang ke kampung tidaklah menjadi masalah kerana adik saya juga tidak pulang pada tahun ini. Tetapi ramai pula yang mempersoalkan kenapa saya tidak bercadang untuk pulang. Mungkin sebab saya perempuan, jadi kurang elok kalau saya beraya seorang diri (walaupun adik juga tidak pulang) di perantauan (konon). Cuma kakak saya yang tinggal di Putrajaya sahaja yang berterus-terang. Katanya anak-anaknya sedang menunggu duit raya daripada saya. Oh, sungguh menikam jiwa kenyataannya itu...uhuhuhu!

Saya bukannya apa. Kalau dapat pulang, syukurlah...itupun kalau kakak saya sudi untuk menunggu saya pulang dari kerja pada hari Isnin iaitu sehari sebelum hari raya nanti. Saya pun akan bekerja setengah hari sahaja nanti. Kalau dia tidak tunggu, hendak buat macam mana...saya redha sahajalah. Dalam pada itu saya ada tanam angan-angan juga. Kononnya kalau tidak pulang, saya hendak memasak pada pagi raya nanti..hikhikhik!

Menunya; nasi tomato dan ayam masak merah. Resepi sudahpun siap dicari dan disalin. Kalau menjadi, bolehlah di-post di blog ini atau di Facebook. Itu janji saya pada Chik. Hehehe!

Tetapi pada malam Isnin itu kakak saya belum juga berangkat pulang ke kampung. Pagi esoknya semasa saya hendak keluar bekerja, dia dan keluarganya masih ada lagi di rumah. Sehinggalah masa saya dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dia menelefon saya untuk bertanya lokasi saya sekarang. Belum berangkat lagi rupanya. Nampaknya masih ada peluang untuk saya ikut sama pulang ke kampung. Yahoo!

Petang itu, selepas Asar, kami pun berangkat pulang ke kampung. Memang kita tidak boleh melawan takdir. Telah ditakdirkan saya akan berhari raya di kampung juga pada tahun ini. Alhamdulillah. Selamat...tidak perlu masak nasi tomato. Hehehe!

Hari raya tahun ini biasa-biasa sahaja seperti tahun-tahun yang sudah. Yang luar biasanya mungkin sebab saya kurang sihat pada hari raya kali ini. Malam raya iaitu pada hari saya sampai di kampung, saya diserang sakit kepala. Alhamdulillah apabila bangun pada hari esoknya sakit kepala saya sudah hilang. Bolehlah saya beraya menziarahi sanak saudara.  Boleh makan puas-puas...sambil kumpul duit raya. Eh, ingat saya sudah tidak layak dapat duit rayakah? Memang sudah tidak layak, tetapi rezeki itu ada di mana-mana. Rezeki saya, di rumah ibu kepada sahabat kakak saya. Rezeki jangan ditolak, ya...walaupun hanya RM3. Hehehe!

Dalam gembira dan tidak percaya masih dapat duit raya, pada sebelah malamnya saya berduka pula. Sebabnya saya diserang sakit perut. Entah apa yang saya makan sehingga jadi begitu. Dua tiga kali juga saya terpaksa berulang alik ke tandas. Sudahlah saya sedang membaca novel "Yuda di Padang Maya"...agak menyeramkan juga novel tersebut (cerita tentang jin) ditambah dengan kesunyian dan keheningan suasana rumah di kampung; walaupun dalam rumah ada kira-kira 22 orang (ditambah keluarga kakak yang di Putrajaya dan Melaka yang sampai pada petang tadi) lagi yang sedang nyenyak tidur.

Sudahnya, pada hari raya kedua saya tidak ke mana-mana. Hanya duduk di rumah sahaja seorang diri. Rawatan yang digunakan agak tradisional juga...saya cuma minum teh pekat. Inilah ubat yang selalu arwah emak bagi kalau saya diserang cirit-birit dulu. Alhamdulillah setelah minum dan berehat seketika perut saya sudah tidak meragam lagi.

Hari raya ketiga, saya dan kakak berangkat pulang semula ke Kuala Lumpur. Begitu juga kakak saya yang tinggal di Putrajaya. Kakak saya yang tinggal di Melaka sudah pulang hari semalam. Jadi, kami akan singgah ke rumahnya dalam perjalanan pulang nanti.

Kami sampai di Melaka pada waktu tengah hari. Sedang elok untuk makan tengah hari. Abang ipar sedang sibuk memasak semasa kami sampai (kalau abang ipar yang masak, mesti mereka ada buat majlis 'makan-makan' untuk saudara mara dan jiran tetangga). Kalau hendak tahu abang ipar saya ini memang biasa memasak untuk kenduri terutamanya kenduri kahwin. Mesti sedap...tidak sabar saya hendak menikmati juadah yang akan dihidangkan nanti.

Jadi, apabila kakak saya panggil kami untuk makan, sayalah orang yang pertama pergi mengadap. Lauk pauk saya sudah nampak; ayam masak merah (wallawey!), gulai kurma daging, dalca, acar dan papadom. Tengok nasi....wallawey! Nasi tomatolah!

Maka, hari itu saya makan dengan cukup berselera sekali. Walaupun tidak menambah, saya makan 'nasi penuh.' Hehehe!

Mungkin ini juga boleh dikatakan takdir. Walaupun tidak dapat masak sendiri (yang belum tentu menjadi atau sedap), tetapi diganti pula dengan nasi tomato yang lebih sedap hasil tangan kakak dan abang ipar saya. Saya sangat berpuas hati. Alhamdulillah :)

Sunday, July 17, 2011

Liverpool is Coming to Town

Ramai yang tahu Liverpool datang ke Malaysia.

Ramai juga yang tahu Liverpool telah mengalahkan pasukan Malaysia dengan jaringan 6 berbalas 3.

Tetapi ramai yang tidak tahu saya adalah salah seorang peminat Liverpool yang telah berjaya mendapatkan tiket perlawanan tersebut dengan bantuan seorang rakan yang sama-sama meminati Liverpool.

Ramai juga yang tidak tahu di saat-saat akhir saya terpaksa 'melepaskan' tiket tersebut atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Tidak mengapalah terlepas peluang pada kali ini. Mungkin ada peluang-peluang yang lain untuk saya menonton Liverpool bermain secara live di hadapan mata. Tetapi kalau melepaskan perkara yang satu ini takut saya akan terlepas pula apa yang ada di hadapan mata. Boleh merana dibuatnya. Agaknyalah.

Apa-apa pun mari kita tonton gol-gol yang dihasilkan dalam perlawanan tersebut. Hebat juga pasukan Malaysia, ya. Syabas, syabas!



Nota: Saya mendapat SMS daripada sahabat baik saya iaitu Syira beberapa minit yang lepas memaklumkan makciknya iaitu Dr. Lo'Lo', meninggal dunia pada pukul 22:15 tadi. Innalillahiwainnailaihirajiun...Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarhamah.

Al-Fatihah...

Tentang Kamar Kecil

Melihat Wall Photo yang menunjukkan gambar papan tanda 'Kamar Kecil' (tandas dalam Bahasa Melayu) pada wall seorang penulis di Facebook, mengingatkan saya akan pengalaman saya dan Chik semasa mengembara di Tanah Jawa (Jakarta - Yogyakarta - Bandung) pada awal tahun 2006.

Di subuh yang hening itu, kami selamat sampai di Stesyen Keretapi Yogyakarta. Destinasi pertama yang kami ingin kunjungi sudah semestinya tandas; untuk membersihkan diri dan melepas hajat. Kami cuba mencari di mana letaknya tandas di dalam kawasan stesyen, namun tidak berjumpa pula dengan sebarang papan tanda yang menunjukkan di mana lokasinya.

Tidak mahu melengahkan masa, saya dan Chik menuju ke arah sebuah kedai barangan keperluan yang terdapat di hadapan platform untuk bertanya arah.

Dengan penuh sopan saya bertanya kepada wanita yang sedang menjaga kedai tersebut, "Tumpang tanya. Tandas di mana?"

Walaupun wanita tersebut tersenyum manis ataupun lebih kepada tersengih-sengih, wajahnya kelihatan keliru atau dalam Bahasa Melayu rendah disebut sebagai blur-blur.

"Apa? Tandas?" tanyanya kembali sambil tersengih-sengih walaupun dahinya kelihatan berkerut-kerut.

Kami mengulang pertanyaan di mana tandas. Dengan reaksi yang sama dia menggeleng-gelengkan kepalanya menandakan dia tidak faham apa yang kami sedang merepek (mungkin itu yang dia sedang fikirkan pada waktu itu).

Alamak! Orang Indonesia tidak tahu apa itu tandas? Kami cuba bertanya di mana 'toilet' pula. Reaksi yang sama diperlihatkan oleh wanita tersebut yang membuatkan kami juga jadi blur-blur.

Saya cuba mengingat kembali perkataan tandas dalam Bahasa Indonesia seperti yang saya jumpa di Jakarta sebelum itu. Berkerut-kerut juga dahi dibuatnya. Stres juga, apatah lagi melihat wajah wanita yang berada di hadapan kami itu sedang tersengih-sengih tetapi dahinya berkerut-kerut. Kami cuba bertanya lagi.

"Err...bilik air?" Pun tidak faham juga.

Saya rasa wajah saya dan Chik juga sama seperti wanita tersebut - tersengih-sengih tetapi dahi berkerut-kerut.

Tiba-tiba saya teringat dua perkataan - kamar kecil.

"Kamar kecil?" tanya saya kepada wanita tersebut.

Tiba-tiba wajah wanita tersebut kelihatan ceria dan berseri-seri.

"Oh...kamar kecil. Ya, di hujung sana," katanya sambil menunjuk ke arah kiri (atau ke arah kanan kalau dilihat dari posisi kami). Oh, yalah! Baharulah kami nampak papan tanda tandas di hujung sana.

Dengan rasa lega (walaupun belum benar-benar lega) dan setelah mengucapkan terima kasih kepada wanita tersebut, kami pun menuju ke sana...

Ingat ya, kawan-kawan. Di Indonesia tandasnya dipanggil sebagai kamar kecil atau WC.

Monday, June 13, 2011

13

Hari ini saya mendapat satu berita sedih dan dua berita gembira.

Berita sedih; nenek kepada bos saya meninggal dunia selepas maghrib malam tadi. Innalillah...

Berita gembira 1; teman sepejabat yang duduk di sebelah saya telah selamat melahirkan anak lelaki pada awal pagi tadi. Alhamdulillah.

Berita gembira 2; hari ini secara rasmi saya menjadi seorang nenek. Cucu lelaki saya lahir pada pukul 20:30 tadi.

Saya sudah lihat gambar anak teman sepejabat saya. Sungguh cun orangnya. Wajah cucu belum lihat lagi. Saya sedang menunggu anak saudara mengupload gambarnya di dalam Facebook. Apa-apa pun saya yakin orangnya pasti cun juga. Maklumlah...orang-orang yang lahir pada tarikh 13 memang tidak boleh dinafikan ke'cun'nan mereka.

* One life's gone...another just begun...

Tuesday, May 17, 2011

Tuah Ayam Nampak di Kaki...

Hari Keluarga dan Majlis Makan Malam syarikat tempat saya bekerja telahpun berlalu lebih kurang 3 hari yang lepas. Di sini saya ingin memberitahu bahawa impian untuk mendapatkan Ipad pada Majlis Makan Malam telah musnah sama sekali. Sudahlah tidak berjaya semasa Pesta Buku yang lepas, kali ini terkulat-kulat pula melihat orang lain naik ke atas pentas untuk menerima Ipad masing-masing (2 Ipad disediakan). Kecewa betul. Bukan setakat Ipad, apa-apa hadiah cabutan bertuah pun saya tidak dapat. Tidak bertuah sungguh saya pada malam tersebut.
Eh, tunggu dulu. Pada penghujung majlis, pengacara majlis membuat pengumuman ada beberapa orang masih belum menuntut hadiah cabutan bertuah mereka. Tanpa disangka-sangka nombor saya juga ada disebut. Wah! Bertuah juga rupanya, walaupun yang saya dapat bukan termasuk hadiah utama. Inilah yang dikatakan; tuah ayam nampak di kaki, tuah saya...dapat Baucer KFC, Pizza Hut & Ayamas. Makan pizza dan ayamlah nampaknya...woohoo~

Sunday, May 08, 2011

Cuti-cuti China: Hari Kelima - Bahagian 2

Hari Kelima - 27/4/2010

Manusia Memang Mudah Lupa

Kembali semula ke Xi'an...ahh...terasa singkat pula tempoh masa kami berada di kawasan pergunungan Huashan. Tidak puas rasanya menikmati keindahan di sana. Sudah tentunya saya yang tidak puas. Berlainan pula dengan Chik, dia nampaknya sangat berpuas hati. Yang dia tidak puas hati adalah tidak sempat membeli t-shirt pada hari semalam.

Jadi, seawal memulakan perjalanan Chik sempat berpesan kepada Qing Kang (dengan menggunakan kata kunci 't-shirt' dan 'terracotta') untuk singgah di Terracotta Warriors and Horses Museum supaya dia dapat membeli t-shirt di sana nanti. Qing Kang terangguk-angguk seperti faham dan mengucapkan 'ok, ok' beberapa kali.

Kemudian Chik mengalihkan pandangan ke arah saya yang duduk di sebelah kanannya. Sambil tersengih-sengih Chik berkata, "Siti, nanti kalau orang tak cukup duit orang pinjam duit Siti, eh."

Saya terkebil-kebil (mengikut seperti apa yang saya bayangkan), walaupun pada zahirnya saya tersengih-sengih. Dalam hati saya berkata, 'Eh, Chik dah lupa ke?'

---------------------------------------------------------
Imbas kembali perbualan telefon antara saya dan Chik (seperti yang saya ingat-ingat lupa) sehari sebelum berlepas ke China:

Chik: Siti, nanti boleh tak Siti tukarkan duit RMxxx. Pakai duit Siti dulu. Nanti orang ganti balik.

Saya: Ok. Cukup ke RMxxx?

Chik: Cukuplah. Orang dah tukar RMxxx tapi just in case tak cukup, orang mintak duit tu kat Siti. Orang nak tukar sendiri takut tak sempat.

Saya: Ok.

*Maklumlah, di sekitar tempat kerja saya ada banyak kedai pengurup wang. Pilih sahaja mana-mana yang berkenan.
---------------------------------------------------------

"Ok," jawab saya ringkas. Bagus juga Chik tidak ingat. Sekurang-kurangnya saya boleh sekat sedikit nafsu shopping Chik...muahahaha!

Hampir tiga jam perjalanan, Qing Kang berpaling ke arah kami sambil menyebut-nyebut T-shirt dan Terracotta. Kami mengiyakan sambil terangguk-angguk. Tidak lama kemudian Qing Kang memasuki satu lorong. Muka Chik berubah sambil berkata, "No, no," kepada Qing Kang.

"Ini bukan ke Terracotta Museum ni," rungut Chik kepada saya pula.

"Betullah ni jalan ke Terracotta Museum," kata saya kepada Chik pula.

"Bukanlah. Orang ingat lagi. Ni nak pergi factory ni," kata Chik merujuk kepada kilang membuat replika dan cenderamata Terracotta yang kami kunjungi semalam.

Saya rasa saya pun ingat jalan ke Terracotta Museum dan saya pasti memang lorong yang dimasuki oleh Qing Kang itu merupakan jalan masuk ke sana. Jadi saya pun tidak mahu mengalah, "Betullah ni. Bukan ke jalan masuk ke Terracotta Museum memang tak berapa elok macam ni."

Maka, dengan muka tidak puas hati Chik meninggikan suara, " Siti tu memang confident je lebih! Tapi selalu salah!"

Wah, wah! Baharu sekali saya silap di Great Wall, Chik sudah marah-marah sampai begitu sekali. 'Angin' juga saya dengan Chik tapi saya diamkan sahaja. Orang putih kata, don't fight fire with fire. Baiklah, kita lihat dahulu siapa yang salah, dan siapa yang betul!

...dan apabila Qing Kang memberhentikan mini van di hadapan sebuah bangunan, baharulah saya sedar...memang saya sebenarnya yang salah. Rupa-rupanya Qing Kang membawa kami ke kilang Terracotta dan bukannya Terracotta Museum seperti yang saya sangka. Opppsss...!! Patutlah Chik marah sangat...hehehe!

"Sorrylah...orang pun pelupa juga," kata-kata ini hanya mampu saya sebut dalam hati. Tidak berani saya hendak bersuara dengan Chik yang sedang marah. Lebih baik saya diam sahaja.

Akibat tidak puas hati Chik menyuruh Qing Kang menelefon Melanie. Chik bercakap dengan Melanie, kemudian Melanie bercakap dengan Qing Kang. Setelah habis percakapan tiga hala tersebut, kami meneruskan perjalanan ke Xi'an. Tidak jadi ke Terracotta Museum kerana menurut Melanie, kami boleh membeli-belah t-shirt dan lain-lain cenderamata (yang pastinya lebih murah) di sebuah bazar yang terletak berdekatan sahaja dengan Moslem Street. Jadi, ke sanalah tempat tujuan kami seterusnya sebelum pulang ke Beijing pada malam nanti.

Thursday, May 05, 2011

Naluriku Mengatakan...

Antara nasihat yang diberikan oleh trainer yang mengendalikan kursus NLP yang saya hadiri lebih kurang dua minggu yang lepas adalah kita harus belajar mempercayai naluri (intuition) kita sendiri. Percaya 100%. Kerana apa yang kita rasakan itu selalunya betul. Memang saya tidak nafikan perkara itu. Dalam banyak hal saya selalu juga mengikut naluri saya. Cuma kadang-kadang saya masih ragu-ragu dan tidak percaya dengan naluri sendiri kerana lebih mempercayai logik akal.

Semalam naluri saya mengatakan saya akan bertemu dengan seseorang yang ingin saya jumpa, pada hari ini. Jadi saya bersiap dengan seluar panjang dan blaus - tidak mahu berbaju kurung sebagaimana lazim dipakai pada hari bekerja kerana naluri saya mengatakan mungkin saya perlu berjalan jauh esok. Saya ikutkan sahaja.

Terbukti naluri saya betul. Kejadian yang berlaku pada pagi tadi memang membawa kepada saya bertemu dengan orang tersebut. Semuanya tidak dirancang. Dan memang saya perlu berjalan lebih pada hari ini. Terasa seperti bermimpi pula. Amazing, right?

Lagu di bawah tiada kena-mengena dengan apa yang berlaku pada hari ini. Cuma suka dengan klip videonya yang sangat lucu.

Wednesday, May 04, 2011

4 Mei 1939

Hari ini hari jadi emak saya yang ke 72 tahun...

...kalau dia masih hidup.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman...amin.

Al-Fatihah.

*I miss her so much*

Monday, May 02, 2011

Pasca PBAKL 2011

Dengki betul! Dengki saya tengok orang lain sibuk-sibuk tayang buku-buku yang mereka beli di PBAKL yang telah berakhir semalam. Jadi, saya mengambil keputusan untuk tidak menjadi orang yang ketinggalan dalam hal-hal tayang menayang ni. Sebab dengkilah kata, kan.

Inilah dia hasil pembelian saya. Tadaaaa!!

Ini buku-buku non-fiksyen

Ini pula buku-buku fiksyen

Ini pula buku...aiyakk!! Macam mana buku boleh bertukar menjadi kucing??

Iskh! Seramnya...tengok mata dia...tentu dia sedang cuba menyihir saya supaya melupakan buku-buku tadi!

Hei Kucing! Selagi buku-buku ini ada, jangan harap saya akan melupakannya.

Erkk!! Dia merajuklah...tak mahu pandang muka saya dah...huhuhu~

Nota: Daripada sumber yang boleh dipercayai, saya mendapat tahu PBAKL pada tahun depan akan berlangsung hampir sebulan iaitu dari 27 April hingga 22 Mei 2012. Apa? Tak percaya? Cuba tengok gambar di bawah betul-betul.

Haa...kan dah cakap...

Sunday, May 01, 2011

Pesta Buku dan Cerita-Cerita Sampingannya II

Semalam sekali lagi saya mengunjungi Pesta Buku yang diadakan di PWTC. Mengikut perancangan awal, saya akan ke sana bersama-sama dengan anak saudara. Tetapi rancangan terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir kerana dia perlu menghadiri kenduri.

(n_n)

Saya keluar rumah jam 13:00. Tidak sempat menghadiri Majlis Pelancaran Novel Sutera Bidadari hasil tulisan Tuan Ramlee Awang Murshid. Terasa rugi pula.

(v_v)

Saya sampai di PWTC lebih kurang pada jam 14:30. Punyalah ramai manusia!

(^0^)

Bersesak-sesak. Hampir-hampir juga saya terjatuh sebab terlanggar dengan orang ramai. Rasa hendak pitam pun ada.

(x_x)

Namun begitu sempat juga saya membeli beberapa buah buku yang sudah disenaraikan sebelum ini di booth PTS. Fuh! Hampir jam 15:00 saya bergerak ke Bilik Johor/Kedah kerana saya berhasrat untuk menyertai Bengkel Penulisan Fiksyen Sains dan Teknologi. Yes! Sekurang-kurangnya ada juga acara yang saya sempat sertai.

\(^o^)/

Oh, ya. Bengkel di atas diadakan sempena dengan Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi Musim Kedua anjuran Kumpulan Utusan dan UTM. Bengkel yang diadakan selama dua jam itu terasa seperti tidak cukup pula. Menarik. Suka dan kagum saya mendengar dan melihat penceramah iaitu Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin yang bersuara lantang dan berambut panjang. Oh, saya ada beritahukah saya ada 'soft spot' dengan lelaki yang berambut panjang? Walaupun rambut Prof. nampak keras dan mengerbang tetapi dia kelihatan sangat berkarisma; tidak nampak seperti penyangak. Eh, eh, jangan salah sangka. Saya kagum sahaja, tiada apa-apa yang lain.

(^_^)V

Adakah saya akan menyertai Sayembara tersebut? Entahlah. Saya pergi pun disebabkan oleh perasaan ingin tahu yang meluap-luap. Hadiah sangat lumayan. RM15,000 tempat pertama. RM7,000.00 tempat kedua. RM5,000.00 tempat ketiga. Dan tiga hadiah saguhati sebanyak RM1,000.00 setiap seorang. 'Melihat' hadiahnya tidak tentu arah saya dibuatnya. 

((((/^_^)/ .. \(^_^\))))

Tidak mengapalah. Saya patut beri laluan kepada orang-orang yang lebih berbakat. Siapalah saya, kan? Apa-apa pun, saya sudah melengkapkan koleksi novel-novel yang memenangi Sayembara pada musim pertama pada hari semalam (hari Jumaat saya sudah membeli novel yang memenangi tempat pertama. Selepas bengkel semalam, saya membeli novel yang memenangi tempat kedua dan ketiga). Wah! Terlebih semangat pula.

\((((^O^))))/ 

Monday, April 25, 2011

Pesta Buku dan Cerita-cerita Sampingannya

Sekarang sedang berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Saya hanya berkesempatan mengunjunginya semalam. Tidak memborong banyak buku, cuma membuat survey.

Sebenarnya saya ada juga membeli buku. Namun, buku yang dibeli semalam cuma tiga. Satu buku untuk dihadiahkan kepada seorang sahabat yang akan berhenti pada hari Khamis ini. Jangan bersedih, wahai Siti R!

T_______T

Dua buku lagi dibeli kerana harganya yang terlampau murah. RM5 untuk dua buah buku. Wow! Tapi...eh, betulkah saya yang beli buku-buku itu? Hmmm...

(0_o)

Tidak ketinggalan saya mencuba nasib di booth PTS untuk cabutan bertuah. Manalah tahu saya bertuah pada hari itu. Harapan saya semoga dapat membawa pulang Ipad lebih awal daripada yang dijangka (maknanya saya tidak perlu tunggu cabutan bertuah semasa acara dinner dan family day syarikat tempat saya bekerja pada bulan depan nanti). Saya 'menggaul' cebisan-cebisan kertas yang ada dalam kotak cabutan bertuah sebaik mungkin. Lalu mencabut satu kertas. Yang bertulis, "Terima kasih...bla, bla, bla" (tidak ingat apa yang tertulis selepas perkataan terima kasih). Harapkan Ipad...aiii button sahajalah yang saya dapat. Kena mandi bunga agaknya untuk persediaan dinner dan family day nanti. 

(-_-;)

Ada juga beberapa perkara sampingan lain yang terjadi semalam. Contohnya, cara saya melarikan diri daripada seorang ejen Linguaphone yang tidak reti bahasa. Dia ikut saya jalan, saya patah balik ke belakang. Dia ikut juga, saya patah balik ke depan. Dia ikut juga, saya patah balik ke belakang. Tiga kali pusingan. Akhirnya dia mengalah. Padan muka dia! Semoga dia sudah pandai membaca bahasa badan dan bahasa muka orang yang menyampah dengan dia. Huh! 

(>_<) 

Antara perkara-perkara lain yang terjadi di sana, ada juga yang membuatkan saya tergamam dan tidak terkata-kata. Pendek kata, permulaan PBKAL kali ini ada sedikit pelik dan saya meninggalkannya semalam dengan perasaan yang bercampur-campur. Perasaan yang saya sendiri tidak pasti...

Adakah ini?

(^_^?)

Mungkin sedikit ini?

(^_^)

Tapi yang pastinya lebih kepada ini.

(^_^;)

Sunday, April 17, 2011

Mode: Jiwang Karat

Masa zaman sekolah dahulu, Yngwie Malmsteen memang salah seorang pemain gitar pujaan saya kerana petikan gitarnya yang 'berhantu.' Itu dahulu. Lama juga saya tidak mendengar lagu-lagu Yngwie Malmsteen dengan grup beliau, Rising Force.

Akhir-akhir ini, salah satu lagu dendangan Rising Force sering bermain-main di fikiran saya - Dreaming (Tell Me)...hmmm... 

Nampaknya saya semakin rindukan lagu-lagu rock kapak zaman 80-an...



Ini lirik lagu di atas:

Shades of night fall upon my eyes
Lonely world fades away
Misty night, shadows start to rise
Lonely world fades away

In my dreams your face is all I see
Through the night you share your love with me

Dreaming
Visions of you
Feeling
All the love I never knew

Here we are on the crossroads of forever
Silent star lights the way

Walk with me on the winds of time
Love's mystery is for us to find

Dreaming
Visions of you
Feeling
All the love I never knew

Go on dreaming...

Until the day, until the day I find you
I won't rest, I won't let go
Somehow, some way
I know I'll be beside you
To warm my heart and fill my soul 

Go on dreaming...

Wednesday, April 13, 2011

Pra PBAKL 2011

Saya tidak pernah membuat senarai buku yang hendak dibeli setiap tahun Pesta Buku Antarabangsa akan berlangsung, sedang berlangsung apalagi setelah habis dilangsungkan. Selalunya saya membeli secara sesuka hati...bak kata orang putih, secara 'impluse buying.'

Tahun ini saya mahu cuba menyenaraikan buku-buku yang hendak dibeli. Setakat ini saya sudah senaraikan sebanyak 22 buah buku........yang kesemuanya diterbitkan oleh PTS........itu baharu PTS.........belum lagi termasuk buku-buku yang diterbitkan oleh syarikat-syarikat penerbitan yang lain......... 

...dan saya rasa senarai di atas akan bertambah dari sehari ke sehari. Oh...takutnya saya.....

Monday, April 11, 2011

Rango Mahawangsa

Rango

"I think the metaphor broke my spleen."

Itu kata Rango (bukan nama sebenar, nama sebenarnya tiada siapa yang tahu termasuk penulis skrip...percayalah) yang jelas sekali merupakan watak utama filem Rango. Maafkan saya kerana mengambil masa yang lama untuk mengulas filem yang saya sudah tonton hampir sebulan yang lepas (like anybody care...huh!).

Seperti kata Rango, saya mendapati filem ini penuh dengan metafora. Ini amat mengejutkan saya kerana melihatkan ia merupakan sebuah filem terbitan Nickelodeon. Sangka saya filem Rango pasti menghidangkan cerita komedi yang ringan dan dibuat sesuai untuk tontonan kanak-kanak seperti mana lazimnya filem-filem animasi yang lain. Jadi saya sangat tidak bersedia menghadam segala macam falsafah, kiasan, dan sindiran yang dimuatkan dalam filem ini yang membuatkan saya merasa sedikit bosan sepanjang filem ditayangkan.

Namun setelah difikir-fikirkan semula, saya rasa filem Rango sebenarnya sebuah filem yang bagus (apalagi setelah mendapat tahu bahawa filem ini diiktiraf sebagai 'fresh tomato' dalam laman web Rotten Tomatoes dengan mendapat 89% markah). Bagus dari segi perkembangan cerita dan watak dan juga...animasinya...apa yang boleh saya kata; sangat superb.

Menonton Rango juga membuatkan saya banyak terfikir dengan apa yang berlaku dalam dunia sekarang terutama sekali tentang sifat pemimpin yang tamak dan gilakan kuasa. Memang sangat tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak.

Hikayat Merong Mahawangsa (HMM)

Seminggu kemudian saya menonton pula filem Hikayat Merong Mahawangsa selepas menjayakan aktiviti gerakan rakyat; Baca@LRT kali ke-6. Lagi sekali, maafkan saya kerana mengambil masa yang lama untuk mengulas filem yang saya sudah tonton hampir sebulan yang lepas (like anybody care...huh!) - ayat copy paste.

Bagi saya ia merupakan filem Melayu terbaik yang pernah saya tonton (walaupun filem Melayu lain yang saya tonton di panggung wayang pada tahun ini hanyalah filem Khurafat...thehehe...manakala beberapa tahun yang lepas; Puteri Gunung Ledang...dan berbelas tahun yang lepas; XX Ray). 

Kudos to tiga beradik KRU yang berani menampilkan sesuatu yang segar dalam penerbitan filem Melayu. Mungkin ia tidak sehebat filem-filem epik dari Hollywood ataupun Hong Kong, tetapi `ia tetap sebuah filem yang boleh dibanggakan mengikut standard filem keluaran tempatan. Cuma yang menjadi masalah bagi saya, watak penjahat nampaknya lebih menonjol  dan meninggalkan kesan berbanding dengan watak Merong itu sendiri. Saya tak suka, saya tak suka! 

Rango Mahawangsa

Memang sengaja saya gabungkan kedua-dua nama filem ini. Kenapa? Kerana saya rasa sedikit sebanyak, kedua-duanya ada persamaan.

1. Kedua-duanya ada pencerita. Rango diceritakan secara berlagu oleh 3 ekor (eh, ke 4? eh, ke 3? eh, eh...) burung hantu, manakala HMM diceritakan oleh Sultan Muzaffar Shah yang merupakan keturunan Merong Mahawangsa, secara bertulis.

2. Kedua-dua Rango dan Merong Mahawangsa pada mulanya gagal dalam menjalankan amanah yang telah diberikan. Namun, kedua-duanya diberi 'kesedaran' yang akhirnya membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab mereka dengan jayanya.

3. Kedua-duanya diramal akan mati di penghujung cerita. Rango dikatakan akan mati oleh band burung hantu seperti yang disebut dalam no. 1 di atas. Manakala Merong Mahawangsa diramal kematiannya melalui pantun/gurindam yang disebut-sebut oleh beliau sendiri (ini seperti yang diberitahu oleh teman yang menonton bersama...kalau tidak saya pun tidak tahu mengenainya). Cuma yang berbezanya, Rango sebenarnya tidak mati tetapi Merong Mahawangsa memang menemui ajal di penghujung cerita.

4. Dalam kedua-dua filem, nama watak heroin sangat tidak best. Rango: Beans (kacang - macam bubur kacang). HMM: Embok (macam bubur lambok). Kedua-dua heroin juga ialah anak yatim.

5. Kedua-duanya pengsan di pertengahan cerita sebelum diselamatkan dan berjumpa dengan orang tua yang membantu memulihkan semangat mereka (berkaitan dengan no. 2 di atas). Rango berjumpa dengan Spirit of the West (yang kelihatan sangat real seperti manusia. Berkali-kali saya mengingatkan diri sendiri...Rango adalah filem animasi; tiada manusia sebenar yang berlakon di dalamnya). Merong Mahawangsa pula berjumpa dengan Pak Kesum (yang kelihatan seperti seorang rockstar. Berkali-kali saya mengingatkan diri sendiri...HMM adalah filem epik sejarah; tiada rocker yang berlakon di dalamnya).

Itulah dia 5 persamaan yang terdapat dalam kedua-dua filem yang saya dapat terangkan di sini buat masa ini. Jika ada yang terlintas nanti, akan saya tambah mungkin di ruang komen. Itupun kalau saya rajin.

Habis cerita. 

Sunday, March 13, 2011

Bacalah Di Mana-mana

Sudah seminggu saya tidak melawat Facebook. Rupa-rupanya ada aktiviti terbaharu untuk ahli-ahli Baca@LRT pada 20 Mac ini.

Malas hendak tulis panjang-panjang. Cuma berharap kali ini saya tidak demam (seperti semasa Baca@LRT: Massa, pada bulan Disember 2010) atau mendapat halangan (seperti semasa Baca@LRT: Beri, pada bulan April 2010 kerana dihalang oleh Laut China Selatan) untuk turut serta dalam Baca@LRT edisi pertama bagi tahun 2011 ini.

Di bawah saya turunkan titah ucapan daripada Tuan Zamri Mohamad, selaku Penyelaras Komunikasi Baca@LRT. Layannn...

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Dia tidak peduli sebagaimana kita

Terbukti, usaha Tuan dan Cik Puan mencipta keberanian luar biasa rakyat Malaysia!

Bukti rakyat Malaysia tidak segan membaca di LRT. Berlaku semalam jam 9.44 malam di LRT KLCC.

Klik foto eksklusif pertama ini http://on.fb.me/fgyGpK

Jika beliau dapat mencipta kegilaan ini, membaca buku tebal sambil bersila, bagaimana pula kita?

Pada 20 Mac 2011 jam 10.15 pagi dari Terminal Putra Gombak.

Usikan 'gerakan rakyat' terbesar para pembaca buku kepada rakyat Malaysia. Pasti terkejut penumpang pada hari itu.

Membaca secara spontan dalam LRT.

Ahad
20 Mac 2011
Jam 10.15 pagi
Terminal Putra Gombak LRT
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Cuti-cuti China: Hari Kelima - Bahagian 1

Hari Kelima - 27/4/2010

Pagi yang Gelap Kini Sudah Terang 

Alarm telefon bimbit berbunyi menandakan waktu untuk bangkit daripada mimpi yang tidak seindah mana pun. Kalau ikutkan waktu yang ditunjukkan (06:00 pagi), masih awal lagi. Tetapi di luar sudah hampir terang. Sudahlah katil saya di tepi tingkap, memang 'terang' katil saya dibuatnya. Dalam hati merungut-rungut dengan ketidakprihatinan pihak hotel kerana tidak memasang langsir di tingkap bilik. Sungguh-sungguh saya tidak puas hati. Adakah patut - sudahlah bayaran sewa mahal, tandas di bilik tidak boleh diguna, tingkap pula dibiarkan togel!

Dalam keadaan malas-malas saya bangkit dan duduk di pembaringan. Sambil menguap sambil melontarkan pandangan ke luar tingkap. Melihat sahaja ke luar, mulut saya terus-terusan 'menguap' seperti tidak boleh dikatup-katup lagi.

Whoaa! Subhanallah! Masya-Allah! Cantiknyaaaaa!!

Rupa-rupanya bilik kami betul-betul menghadap Mount Huashan. What a pleasant surprise! Malam tadi memang tidak nampak apa-apa di luar bilik. Sangat gelap. Atau mungkin saya tidak memandang langsung ke arah luar tingkap pada malam tadi. Hendak buat macam mana, dasar orang penakut memang begitu. Sebaik terpandang Mount Huashan yang tersergam indah, rasa seperti mahu melompat pun ada juga. Patutlah langsir tidak dipasang. Ok, saya tarik balik rungutan saya tadi. Pihak hotel sebenarnya prihatin - tetamu mesti dihiburkan di waktu pagi setelah melalui pengalaman 'ngeri' pada malam tadi.

Sebaik Chik terjaga, saya kongsikan penemuan saya itu kepadanya. Masing-masing rasa teruja hendak pergi ke Mount Huashan. Tetapi, sebelum itu kami perlu bersiap-siap. Bertabah untuk ke tandas di tingkat bawah..hurm... 

Pendakian Bermula!

Lebih kurang pukul 07:00 terdengar bunyi ketukan di pintu. Saya jenguk ke luar. Oh, Qing Kang rupanya. Dia sudah bersedia dengan memakai tracksuit. Macamlah dia yang hendak pergi mendaki. Saya dan Chik memakai T-shirt dan seluar jeans serta baju sejuk (kalau hendak berpakaian sukan boleh juga. Terserah pada citarasa masing-masing).

Setelah siap, kami turun semula ke tingkat bawah bersama-sama dengan Qing Kang. Kami menuju ke mini van. Bukan untuk menaiki mini van tetapi untuk mengambil air mineral yang disediakan. Kemudian Qing Kang membawa kami berjalan ke kiri hotel yang kami duduki iaitu ke arah gunung yang tersergam indah di hadapan sana. Rupa-rupanya beberapa meter di hadapan kami terletaknya kawasan perhentian bas yang akan membawa kami ke stesyen kereta kabel yang terletak di atas Mount Huashan. Qing Kang membelikan kami tiket bas yang berharga RMB40 seorang. Dan juga tiket untuk ke Mount Huashan yang berharga RMB100 seorang yang hanya laku untuk hari itu juga (hendak pergi ke gunung pun kena bayar...pandai sungguh kerajaan China mencari duit). Sebelum menaiki bas Qing Kang ada berpesan sesuatu. Baik saya mahupun Chik tidak faham apa yang dia cuba sampaikan. Tidak mahu memanjangkan cerita kami buat-buat faham sahajalah.

Lebih kurang pukul 07:30 bas pun bergerak. Bas kami penuh dengan pemuda pemudi China yang bermulut bising. Aduhai...terpaksa menanggung pencemaran bunyi lebih kurang dalam 15 - 20 minit. Nasib baiklah pemandangan begitu cantik. Kamera ada di tangan saya. Apalagi...snap, snap, snaplah kerja saya.

Sampai sahaja di stesyen kereta kabel kami cepat-cepat menuju ke kaunter tiket. Sifat suka berlumba-lumba begitu menebal dalam diri terutama sekali Chik. Bukan apa, kami takut nanti ramai orang kerana ada lagi bas-bas lain yang membawa para penumpang yang tidak kurang bisingnya, mengikuti di belakang bas kami tadi. Kami mendapatkan tiket pergi-balik yang berharga RMB150. Setelah tiket berada di tangan, kami terus menuju ke platform pula. Orang belum ramai, jadi sesampai sahaja di sana sudah ada kereta kabel yang sedia menunggu untuk dinaiki. Nampaknya kami berdua adalah antara orang yang terawal menaiki kereta kabel. Woohoo! Seronoknya...!

Pendakian dengan kereta kabel tidak mengambil masa yang lama. Tidak sampai 10 minit pun. Selepas ini tidak ada lagi kenderaan yang akan membawa kami ke puncak gunung. Kenderaan yang ada cuma kedua-dua belah kaki. Jadi, mahu tidak mahu kenalah mendaki sendiri. 

Boleh atau Tidak? Tidak Atau Boleh?

Itulah persoalan yang bermain di fikiran apabila Chik mengajak saya untuk mendaki lebih tinggi. Saya merasa agak keberatan sebenarnya. Hendak kata gemuk atau berat badan semakin naik, tidak juga. Saya takut saya tidak cukup stamina untuk mendaki hingga ke puncak kerana teringatkan pengalaman selepas mendaki Gunung Kinabalu (yang sebenarnya sampai KM 0.5 sahaja...hehehe!) lebih kurang dua tahun yang lepas di mana saya ditimpa sakit yang tidak serius.

Puas juga Chik memujuk saya untuk mendaki lagi. Hati saya berbelah bagi antara hendak dan tidak.

"Kalau Siti tak nak naik, Siti tunggu sini. Biar orang naik sorang-sorang."

Apa?! Hendak tinggalkan saya seorang diri di sini? Mana boleh! Rugilah saya kalau tidak mengikut jejak Chik. Jauh saya datang, takkanlah separuh gunung sahaja yang mampu saya daki (itupun dengan menaiki kenderaan). Ditambah pula dengan melihat makcik-makcik dan pakcik-pakcik, datuk-datuk dan nenek-nenek yang masih mampu dan bersemangat mendaki, membuatkan saya merasa tercabar. Kalau saya tidak mendaki...sungguh memalukan.

"Oklah, oklah! Orang naik jugalah...uhuhuhu!"

"Yay...! Bagus Siti, bagus..."

Maka, di kaki anak tangga itu (kerana melihatkan ketinggiannya) saya membaca Bismillah sekuat hati. Risau. Tetapi kepada Allah saya berserah. Sambil mulut meratip, "yes, I can," beberapa kali; cukup untuk memotivasi diri sendiri.

Chik pula menambah semangat dengan berkata, "Tak pe Siti. Slow, slow. Kalau penat kita rehat sekejap."

Beberapa kali juga saya dan Chik berhenti untuk berehat. Setiap kali, mesti kami terserempak dengan dua orang pakcik Cina yang juga berhenti rehat seperti kami. Bukan itu sahaja, semasa mendaki pun kami sering 'berlumba' dengan kedua-dua pakcik tersebut sehingga mereka pun perasan akan kami. Salah seorang pakcik tersebut agak peramah orangnya. Walaupun tidak boleh bertutur bahasa Inggeris, dia masih mahu menegur kami. Sambil menggengam tangannya dia memberikan kata-kata semangat kepada kami, "Chaiyok!" 

Cabaran Mendaki

Pendakian kami agak mencabar juga. Handrail besi yang dipegang sangat sejuk sekali. Seperti memegang ais. Patutlah ada orang menjual sarung tangan di perhentian bas tadi. Betapa bodoh sombongnya kami kerana tidak membelinya. Menyesal sungguh!

Sekali sekala angin bertiup kuat. Terasa seperti berada dalam sebuah filem seram kerana bunyi angin yang menakutkan. Ada masa apabila angin bertiup terlalu kuat, saya terasa seperti hendak melayang diterbang angin. Sungguh gila angin di sini. Terpaksa saya memegang erat handrail yang sejuk itu sepanjang menaiki tangga. Kalau tidak, tak fasal-fasal saya jadi Super Woman pula.

Kemudian ada pula di satu tempat kami perlu menaiki sebuah tangga besi yang dipasang di tebing yang curam. Yang ini memang saya sangat suka. Kalau ada banyak lagi tangga begitu pun bagus. Namun, sepanjang mendaki kami hanya perlu menaiki yang satu itu sahaja. 

Menuju Puncak

Dengan semangat yang ada, kami berjaya juga sampai hampir ke puncak gunung. Kami tidak terus mendaki ke puncak kerana bimbang tidak cukup masa. Kami berhenti di sebuah hotel yang terdapat di atas sana. Kalau kami sempat sampai awal semalam, saya pasti hotel ini yang akan kami sewa untuk bermalam sebelum keluar untuk menyaksikan matahari terbit. Terasa rugi pula. Tetapi tidak mengapa. Dapat mendaki pada waktu pagi begini juga tidak kurang menariknya. Pemandangan sekeliling memang sangat cantik. Terlalu cantik hingga sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Di atas tidak sesejuk semasa kami mula-mula mendaki dan semasa mendaki. Mungkin kerana kami sudah semakin dekat dengan matahari...errr..logikkah? Apa-apa sahajalah. Yang penting kami gembira. Dan yang penting saya berjaya juga mendaki dengan selamat. Tidak sangka pula saya mampu melakukannya. Alhamdulillah.

Di atas sana juga ada beberapa peniaga yang menjual 'pingat emas' kejayaan mendaki. Mereka akan embed tarikh kita berjaya mendaki Mount Huashan di atas 'pingat emas'. Saya tidak ingat berapa harga sekalung pingat kerana saya tidak membelinya. Terasa rugi pula tidak membeli...isk, isk, isk! Harap-harap tiada sesiapa yang mempertikaikan kejayaan saya mendaki Mount Huashan kerana tiada bukti fizikal. Yang ada cuma gambar-gambar yang diambil di atas sana.

Setelah puas berada di atas dan bergambar, kami beransur turun. Jika kereta kabel, kami membeli tiket pergi-balik, tiket bas tidak pula saya pasti sama ada ia tiket pergi-balik atau tiket sehala. Mungkin sebelum menaiki bas tadi, Qing Kang ada berpesan sesuatu mengenai tiket bas tetapi kami tidak faham. Sudahnya, kami tertanya-tanya sesama sendiri; hendak beli tiket atau tidak beli? Akhirnya kami mengambil keputusan untuk tidak membeli tiket. Terbukti  ia merupakan satu keputusan yang bijak kerana tiket yang dibeli Qing Kang itu memang merupakan tiket pergi-balik. Bijak, bijak!

Sampai di perhentian bas, kami hampir-hampir tersesat kerana tersalah lencong. Lupa pula hotel kami sebenarnya betul-betul berada di kiri perhentian bas. Jadi kami berpatah balik ke sana. Nasib baik kami tidak jauh tersesat seperti di Great Wall kelmarin. Memang betul-betul kami ini bernasib baik.

Sampai di hotel, kami terus mencari Qing Kang. Dia meminta kami membawa turun beg dan seterusnya check-out. Katanya, sekarang masa untuk kembali semula ke Xi'an...  

Sunday, March 06, 2011

Betul-betul atau Kebetulan?

Orang-orang tua kata, kalau kita tersedak masa tengah makan atau minum, maknanya ada orang yang sedang menyebut nama kita atau sedang mengumpat atau mengata kita. Boleh percaya ke ni? Atau ia mungkin hanya cakap-cakap kosong orang-orang tua zaman dulu.

Masa saya sedang belajar peringkat diploma dulu pula, ketua PBSM saya, Tuan Baha amat pantang jika ada orang menerima bulat-bulat kata orang-orang tua itu. Katanya benda itu mengarut. Kita tersedak semasa makan atau minum bukan disebabkan ada orang mengumpat tetapi disebabkan esofagus tersekat oleh makanan atau minuman yang hendak ditelan. Ia menutup laluan udara lalu kita pun tersedak. Disebabkan hujah yang diberikan berkaitan dengan anatomi tubuh manusia, saya percaya memang betul.

Lebih kurang seminggu yang lepas, seorang rakan sekerja yang rapat dengan saya, Ati (bukan nama sebenar) memberitahu bahawa pada hari saya bercuti, di waktu rehat, hampir semua rakan sekerja di unit saya (kecuali Ati kerana dia keluar makan dengan kawannya) 'bercerita' tentang saya. Tidak perlulah saya beritahu apa ceritanya, kerana apa yang diceritakan bukanlah benda yang tidak baik tetapi boleh juga masuk kategori gosip (mengumpat?) dan membuat spekulasi...dan yang pastinya nama saya banyak kali disebut-sebut. Macam artis pula...hahaha!

Macam mana Ati tahu mereka bercerita tentang saya sedangkan dia tidak berada di tempat di mana kejadian itu berlaku? Sudah tentulah ada salah seorang daripada yang terlibat dalam kejadian bergosip menyampaikan kepadanya kerana secara tidak langsung nama Ati turut disebut dalam kejadian tersebut. Jadi, apabila saya kembali bekerja pada keesokkan harinya, dia pula yang menyampaikannya kepada saya.

Pada mulanya saya tidak ambil pusing akan perkara tersebut. Lagipun tiada apa yang hendak dikisahkan. Tetapi kemudian saya teringatkan perkara yang berlaku pada hari semalamnya (hari saya bercuti dan hari kejadian bergosip berlaku).

xxxxxxxxxx

Flashback

Di sebuah bilik mesyuarat di waktu tengah hari saya sedang menyedut air minuman kacang soya. Tiba-tiba saya tersedak. Berkali-kali. Seksanya rasa kalau tersedak berkali-kali. Susahnya ia hendak berhenti. Rakan yang duduk di sebelah mengurut-ngurut belakang saya. Katanya saya ini lebih kurang sama seperti dia, gelojoh. Eee...saya tidak gelojoh pun. Dalam hati terdetik persoalan. Siapa pula yang menyebut-nyebut nama saya ni? Tetapi apabila teringat semula kata-kata Tuan Baha, saya anggap memang salah saya tidak minum dengan tertib (agaknya). Persoalan yang timbul diketepikan walaupun ia ada cuba-cuba untuk menghampiri sekali lagi.

xxxxxxxxxx

Akibat curious, saya bersoal jawab dengan Ati:

Saya: Agak-agak pukul berapa diorang bercerita tu? Pukul 12 lebih?

Ati: Entahlah, kak. Aku kan tak ada masa tu. Tapi rasanya lebih kurang masa tu lah.

Saya: Patutlah (lebih kepada bercakap dengan diri sendiri)...

Ati: Patutlah apa?

Saya: Patutlah aku tersedak masa minum air semalam. Mesti masa tu diorang tengah bercerita pasal aku, kan...

Ati: (Gelak besar)

Saya: Betullah...serius tersedak semalam.

Ati: Kau ni, kak...ada-ada aje...

Hmmm...adakah itu suatu suratan atau kebetulan? Sukar untuk dijawab. Apa yang pasti, kata-kata orang-orang tua ni jangan dipandang remeh. Ada betulnya juga. Terutama sekali apabila bukti ada di depan mata. Orang-orang tua zaman dulu memang hebat. Mendalam sungguh kajian mereka. Yang dikaji pula pada pendapat saya berkait rapat dengan sixth sense. Hebat, hebat.

Nota: Nak tahu hebat tak hebatnya orang-orang zaman dulu, saya teringat akan sebuah buku hikayat yang dipinjamkan (tetapi tidak sempat habis baca kerana gaya bahasa yang agak memeningkan...huhu) kepada saya. Gambaran perang dalam hikayat tersebut mengingatkan saya kepada kartun Voltron. Ya, saya tidak tipu. Orang zaman dulu sudah terlebih dahulu memikirkan konsep cantum-cantum badan supaya menjadi makhluk yang besar dan kuat lagi hebat untuk melawan musuh. Sungguh saya kagum. (Hmmm..nota ini rasanya sudah lari daripada tajuklah...cheh!).