Sunday, September 22, 2013

"Prisoners" yang Menjerat Jiwa

"Prisoners." Filem ini bukanlah menceritakan tentang kisah banduan yang berada dalam penjara. Bukan juga kisah banduan yang melarikan diri. Sebenarnya, tiada langsung watak banduan dalam filem ini.

Jadi, ada apa dengan Prisoners? Ada Hugh Jackman dan Jack Gyllenhaal...haha!

Ok, serius. Pertama sekali, filem ini berunsur suspens dan thriller. Namun selain daripada kedua-dua unsur tersebut, filem ini penuh dengan emosi. Dan emosi yang ditunjukkan oleh kedua-dua pelakon di atas melalui lakonan yang begitu mantap memang sangat mengesankan. Kita dapat rasakan apa yang mereka rasa. Bak kata pepatah; berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tidak dapat tidak kita akan berasa simpati dengan Keller Dover (Hugh Jackman) yang kehilangan anak perempuannya yang berusia enam tahun akibat diculik, dan Detektif Loki (Jake Gyllenhaal) yang seringkali menemui jalan buntu dalam tugasannya untuk mencari dan menangkap penculik sebenar kanak-kanak tersebut (dan juga kerana melihat matanya yang sering terkelip-kelip membuatkan saya terfikir dia hanyalah manusia biasa, bukan seperti watak detektif macho yang seolah-olah tiada kelemahan seperti yang sering digambarkan dalam filem-filem Hollywood yang lain...aih...).

Latar cuaca filem ini yang kelam dan suram - musim sejuk yang kadangkala diikuti dengan hujan lebat - juga sangat membantu menaikkan mood jiwa kacau yang dialami oleh setiap watak. Kita boleh rasakan kesedihan dan kegalauan yang dirasai oleh mereka. Bukan itu sahaja. Kesejukkan yang digambarkan dalam filem ini seolah-olah dapat saya rasakan (bukan sebab pendingin hawa dalam panggung) lalu membawa saya kembali merasai kesejukkan musim sejuk dan musim luruh semasa berada di negara orang. Brrr...sejuk betul...(eh, nak beritahu juga...hehe!).

Salah satu kekuatan filem ini pada pendapat saya adalah bergantung kepada dialognya. Walaupun tiada dialog yang boleh dikatakan memorable tetapi dengan dialoglah filem ini bergerak dengan pantas walaupun dari segi visualnya mungkin kelihatan agak perlahan (mungkin kerana faktor latar cuaca yang suram itu). Kalau penonton memberi sepenuh perhatian kepada setiap dialog yang diucapkan oleh para pelakon terutama sekali suspek utama dalam filem ini, saya percaya mereka mungkin dapat meneka dengan tepat siapa penculik sebenar. Saya dapat meneka, tetapi penulis skrip/pengarah sangat bijak mengelirukan dengan adanya suspek baru dan bukti-bukti baru. Memang sepanjang filem ini berjalan, kepala ini tidak berhenti-henti tertanya-tanya dan juga rasa geram dengan suspek utama yang tidak mahu bercakap. Dialognya banyak tergantung-gantung...sengaja hendak mengacau-bilaukan fikiran penonton. Satu lagi, setiap kejadian dan penemuan baru yang didapati walaupun nampak seperti tidak signifikan, namun sebenarnya ia mempunyai hubungkait dengan penculik sebenar.

Filem ini berdurasi hampir 2 jam setengah. Namun, saya tidak terasa langsung masa telah berlalu sepanjang itu. Alih-alih filem ini tamat begitu sahaja saat Detektif Loki terdengar bunyi tiupan wisel di sekitar kawasan rumah penculik. Walaupun sebelum itu anak Keller Dover yang diculik berjaya ditemui dan diselamatkan, tetapi nasib beliau sendiri tidak diketahui. Pengarah seolah-olah sengaja membiarkan para penonton tertanya-tanya dan membuat andaian mereka sendiri. Apakah Keller Dover akan diselamatkan? Ataupun adakah dia akhirnya akan mati sendirian dalam lubang bawah tanah milik penculik anaknya sendiri kerana Detektif Loki telah berlari lintang pukang akibat menyangka dia telah terdengar bunyi wisel yang ditiup oleh hantu kanak-kanak yang telah mati dibunuh penculik. Ahh...segalanya mungkin. Hal ini membuatkan saya terfikir, 'Prisoners' yang dimaksudkan sebenarnya adalah para penonton. Penonton dikurung dengan pertanyaan dan emosi yang masih kuat walaupun setelah habis menonton filem ini.

...dan sayalah penonton yang masih 'dikurung' dengan pertanyaan yang sangat mengganggu emosi itu. Arghhh!! Geramnya!

Geram-geram pun saya rasa filem ini berhak mendapat 4 bintang. Antara filem terbaik yang saya tonton pada tahun ini selepas "Star Trek Into Darkness."

2 comments:

Tengkubutang said...

done follow sini no.45
sudilah kiranya follow me back yea..
he2.. salam kenal.. keep in touch yea..=)

http://tengkubutang@gmail.com/

dan my 2nd blog
http://kucenkucenbelog.blogspot.com/

Siti R said...

Thanks :)