Saturday, October 30, 2010

Haji Muda

Malam ini rasa terpanggil untuk menyemak tahun aku layak menunaikan haji. Tak tahu kenapa. Mungkin sebab episod Majalah 3 pada malam ini memaparkan tentang pengurusan haji di Kompleks Haji Kelana Jaya.

Rasanya sudah 2 tahun aku membuat pendaftaran haji secara online. Mungkin itu yang menyebabkan aku lupa tahun bila aku layak menunaikan haji. Hasilnya agak mendukacitakan juga. Tahun layak adalah pada 1441H bersamaan tahun 2020 Masihi. Alamak! Sepuluh tahun lagi...sudah tua daa... T___T

Bayangkan, aku daftar lebih kurang 2 tahun lepas dan hanya layak berbelas tahun kemudian. Orang yang mendaftar pada tahun ini pula bagaimana, ya? Oh ya! Ada seorang staf di pejabat yang mendaftar pada tahun ini. Kalau tak silap aku, katanya dia hanya layak menunaikan haji pada tahun 1445H (tahun Masihi kira sendirilah). OMG! Betapa ramainya yang sedang tunggu giliran sekarang!

Kalau nak potong queue, kenalah berusaha mengumpul wang sehingga cukup dalam akaun Tabung Haji, kan? Tapi buku akaun aku sudah setahun tidak dikemaskini. Jadi, aku kurang pasti berapa simpanan sebenar. Setiap bulan memang ada buat potongan gaji. Hendak semak akaun pula tidak tahu di mana. Sekitar tempat kerja aku rasanya tiada pejabat Tabung Haji. Di mana aku boleh kemaskini buku akaun selain di pejabat Tabung Haji? Pejabat Pos? Bank? Ermmm...

Apa-apapun, diharapkan janganlah sampai aku kena tunggu sepuluh tahun baharu akan dijemput oleh-Nya untuk menunaikan haji. Tetapi layakkah aku pada 'pandangan' Dia? Fikir-fikirkanlah wahai Siti R...     

Sunday, October 24, 2010

Angan-angan Biarlah Berpadanan

Suatu waktu dahulu aku selalu juga berangan-angan; suatu hari nanti aku mahu membina rumah dalam kawasan hutan dan rumah tersebut mestilah bersebelahan dengan air terjun. Ermmm...seronoknya...hikhikhik (gedik).

Iskh...ini bukan angan-angan Mat Jenin, tau. Ini angan-angan seorang remaja yang sedang meningkat dewasa...chewah! Jadi, sebagai remaja (pada masa itu) pastilah aku suka membayangkan bagaimana suasana rumah dan kawasan sekelilingnya. Mana tahu ia akan menjadi kenyataan. Inilah yang dinamakan sebagai Law of Attraction...jangan tak tahu aku sudah lama menggunakan kaedah ini lama sebelum Rhonda Byrne dan Micheal J. Losier memperkenalkannya kepada khalayak umum.

Dan memang angan-angan aku ini sudah menjadi kenyataan. Rumah baharu aku, sebelum dibina merupakan kawasan hutan...hahaha...tetapi kawasan sekitarnya masih lagi dikelilingi hutan. Kiranya masih boleh diterima, kan? Cuba lihat gambar  di bawah ini kalau tidak percaya.

  Diambil dari balkoni bilik yang akan dijadikan perpustakaan mini.

Tapi kacau betullah kabel elektrik tu, kan? Mencacatkan sedikit pandangan mata aku. Kacau daun betul!

Apa? Air terjun mana? Oh...ada...heeheehee (gelak nervous). Urmmm...aaahh...memang ada air terjun di sebelah, tetapi ia cuma terjun kalau hujan turun sahaja. Walaupun tidak sama seperti yang aku bayangkan...rasa-rasanya yang ini pun masih boleh diterima juga, kan? Mari lihat bersama-sama >.<

 Diambil dari balkoni yang sama petang tadi semasa hujan turun dengan lebatnya. Best, kan 'air terjun' ini...

Itulah dia...akhirnya impian aku menjadi kenyataan...errr...pembetulan; hampir-hampir menjadi kenyataan. Apa-apapun, yang penting aku ada rumah sendiri. Tidak perlu lagi hidup menumpang. Syukur kepada Allah.

Jadi, moralnya di sini janganlah malu dan segan untuk membayangkan apa yang kita mahu dalam hidup kita...mana tahu kalau diizinkan Allah lambat laun kita akan memilikinya. Bukankah nikmat namanya tu? Maka, nikmat Allah yang manakah yang kamu dustakan? 

Nota: Suatu waktu dulu aku juga sering membayangkan aku sedang memandu kereta Satria berwarna biru. Alhamdullillah...kereta itulah yang menjadi kereta pertama aku. Cuma sayangnya jodoh kami tidak panjang. Aku terpaksa melepaskannya atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan...(maaf tiada gambar untuk tujuan menunjuk-nunjuk di sini..uhuhuhu~)

Thursday, October 21, 2010

I Laugh Until I Cry

Pagi tadi dalam bas, teringat masa aku masih di zaman kanak-kanak. Kalau aku bergelak ketawa yang tak ingat dunia dengan adik aku, mak mesti marah. Dia akan kata suka-suka sangat nak ketawa, nanti menangis. Bukan apa, dia marah sebab biasanya lepas bergurau dan bergelak ketawa, aku dan adik akan berkelahi yang akan menyaksikan sama ada aku yang menangis atau adik aku yang menangis atau dua-dua sekali menangis. Biasalahkan; budak-budak.

Tetapi aku rasa kata-kata arwah mak tu telah meninggalkan kesan abadi dalam diri aku sehingga sekarang. Mana taknya; setiap kali aku ketawa akibat rasa gelihati yang amat sangat, mesti mata aku berair. Orang lain sediakan tisu sebab menangis. Aku pula bukan setakat menangis, ketawa pun kena sediakan tisu. Orang putih kata, "I laugh until I cry."

Sebelum ni aku tak terfikir pula tentang kata-kata mak tu. Mungkin sebab bosan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas...macam-macam benda yang melintas dalam fikiran...huhuhu... 

Sunday, October 17, 2010

Bersihkan Sawang

Aih!! Sudah lama tidak update blog ini.

Ok, sudah update.

Sunday, October 03, 2010

Cuti-cuti China: Hari Ketiga - Bahagian 3

Hari Ketiga - 25/4/2010

Selamat Tinggal Badaling

Kalau orang bertanya apa yang bagusnya tentang China selain daripada tempat-tempat yang menarik, saya akan jawab saya sangat suka dengan sistem pengangkutan awamnya terutama tren. Sangat menepati masa. Begitu juga dengan perjalanan pulang ke Beijing. Tren bergerak tepat pada masa yang dijadualkan. Jadi, tidak sia-sialah saya dan Chik berkejar-kejar menuju ke stesyen tadi. Tapi apabila kami masuk ke koc dan menuju ke tempat duduk seperti yang tertulis dalam tiket, kami dapati tempat kami telah diduduki oleh orang lain. Bukan kami sahaja, malah tempat duduk dua orang gadis China yang di sebelah kerusi kami juga telah diduduki oleh orang lain. Tidak mahu memanjangkan cerita, dua orang gadis tadi pergi duduk di tempat lain yang masih kosong. Saya dan Chik juga duduk di kerusi di hadapan orang yang duduk di tempat kami. Dalam hati berkata-kata, "kalau tak ada apa-apa yang terjadi memang tak sah!"

Perjalanan pulang akan mengambil masa sejam lebih kerana kami dijangka akan tiba di Beijing pada pukul 14:29. Awal-awal perjalanan Chik sudah melelapkan mata. Saya pula seperti biasa berada dalam keadaan berjaga-jaga. Takut ada pemandangan yang menarik lagi, saya harus menangkap gambarnya. Namun, tidak banyak gambar yang dapat saya tangkap melainkan pemandangan Great Wall dari jauh pada awal perjalanan tersebut. Semakin jauh kami meninggalkan kawasan pergunungan di Great Wall, pemandangan menjadi biasa-biasa sahaja.

Hot Pot Terakhir

Sebaik sahaja sampai di Beijing North Station, kami terus ke stesyen Subway untuk pulang ke hostel. Kami perlu mengambil tiket keretapi ke Xi'an yang ditempah semalam dan seterusnya check out dari hostel. Jadi, sebaik sampai di hostel saya terus ke kaunter penyambut tetamu untuk mengambil tiket.  Sambil-sambil itu saya bertanya cara hendak ke stesyen keretapi  daripada  staf yang bertugas di kaunter. Selain daripada teksi, kami boleh menaiki bas untuk ke Beijing West Railway Station. Nombor bas ialah  673 dan menurut katanya, stesyen keretapi tersebut merupakan perhentian terakhir bas 673. Saya juga meminta dia menulis nama stesyen keretapi dalam tulisan China agar mudah untuk kami meminta pemandu teksi menghantar kami ke sana jika kami tidak menaiki bas.

Sementara saya berurusan di kaunter, Chik pula sibuk melayari internet untuk mencari restoran halal yang ada menghidangkan menu Peking Duck. Perut sudah lapar, tetapi Chik tidak berjaya mencari Peking Duck-nya. Saya pun cuba cari setelah selesai urusan tetapi tidak berjaya juga. Nampak gayanya kami terpaksa makan Hot Pot sekali lagi. Oleh itu, sebaik check out, kami meninggalkan beg di ruang tempat menyimpan bagasi di lobi hostel.  Mula-mula kami ingat hendak pergi ke Summer Palace dahulu, tetapi staf hostel kata kami tidak akan sempat ke sana kerana Summer Palace akan ditutup pada pukul 17:00 dan jaraknya dari hostel pula agak jauh. Jadi kami teruskan niat kami untuk mengisi perut dan terus berjalan menuju ke restoran yang biasa kami kunjungi untuk kali terakhir.

Seperti biasa apabila sampai di sana, kami disambut dengan senyuman mesra. Dan untuk kali terakhir kami berada di Beijing, kami memesan hidangan Hot Pot. Entah mengapa saya rasa hidangan kali ini tidak sesedap semasa pertama kali kami datang ke sini. Mungkin sebab salah memilih hidangan utama atau sebab salah memilih kuah cicah. Kuah cicah mengandungi kisaran bawang putih. Bayangkan betapa pedas kuah tersebut. Pedas cili saya boleh tahan, tapi pedas bawang putih buatkan saya rasa seperti hendak jelirkan lidah. Tapi tak boleh, nanti Chik ingat saya sudah buang tebiat pula jelirkan lidah depan dia. Atau lebih teruk dia ingat saya mengejek dia pula. Maka terpaksalah saya berlagak 'macho' dan menghabiskan makanan yang ada di depan mata. Orang kata rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Betul tak?

Sediakan Payung Sebelum Hujan

Sedang kami asyik menikmati hidangan makanan, hujan tiba-tiba turun. Patutlah cuaca mendung dari pagi tadi. Rupa-rupanya hujan hendak turun pada waktu petang. Risau pula rasa. Saya berharap hujan ini cuma sekejap. Janganlah membawa hingga ke malam. Susah pula kami hendak ke stesyen keretapi nanti. Sudahlah saya tidak membawa payung. Selalunya kalau kemana-mana, termasuk kalau travel ke luar negara saya sentiasa membawa payung setiap kali keluar berjalan-jalan. Entah kenapa kali ini saya tidak membawanya langsung. Saya tidak sangka pula bumi Beijing akan ditimpa hujan kerana sekarang ia sedang berada dalam fasa peralihan dari musim bunga ke musim panas. Nampaknya saya tidak boleh membuat andaian sendiri. Sekarang saya perlu belajar daripada kesilapan ini - saya perlu sentiasa sediakan payung sebelum hujan walau di mana bumi dipijak dan di mana langit dijunjung (walaupun saya rasa tiada sesiapa boleh menjunjung langit).

Hujan masih juga tidak berhenti walaupun kami telah lama berhenti makan.  Tidak mahu menunggu lama, Chik mengajak saya meredah hujan. Lalu kami berdua pun meredah hujan yang hendak kata lebat tidak juga, hendak kata  gerimis tidak juga. Sejuk tidak boleh cakaplah...sebab kalau bercakap bibir mengigil-gigil. Nasib baiklah jarak antara restoran dengan hostel tidak berapa jauh. Kata orang putih within walking distance walaupun saya tidak tahu berapa jarak maksimum walking distance yang sebenarnya. Ah, abaikan sahajalah persoalan tersebut kerana belum sempat saya memikirkan berapa jaraknya, kami sudahpun sampai di hostel.

Di lobi hostel sekali lagi kami terserempak dengan pasangan dari Malaysia yang menginap di hostel yang sama. Nampak seperti mereka hendak keluar. Kami bertegur sapa. Chik bertanya kepada wanita Malaysia tersebut (entah mengapa kami tidak teringat hendak bertanya namanya dan nama suaminya) sama ada dia tahu bagaimana hendak ke Silk Market. Tetapi dia tersalah memberitahu kami cara hendak ke Pearl Market dengan merujuk kepada guide book yang dipegangnya. Nasib baik dia menyedarinya tidak lama selepas itu. Kami pula tidaklah seratus peratus berpandu kepada apa yang diberitahunya kerana kami ada juga bertanya kepada staf hostel yang menjaga kaunter dari tadi. Chik juga sempat melayari internet untuk mencari bukan sahaja di mana dan bagaimana hendak ke Silk Market, tetapi dia juga mencari tempat-tempat membeli-belah di Tianjin kerana kononnya dia hendak shopping dahulu di Tianjin sebelum naik kapal terbang balik nanti.

Di luar, hujan masih turun mencurah-curah tanpa ada tanda-tanda menunjukkan ia akan berhenti. Kami bertanya kepada staf hostel di mana kami boleh membeli payung. Mula-mula dia tidak berapa faham apa yang kami mahu. Pelik juga saya rasa...mungkin perkataan umbrella tidak begitu popular di China sehinggakan wanita Malaysia yang berbangsa Cina itu terpaksa masuk campur.

"Ohhh...sal...sal..." kata staf hostel sambil terangguk-angguk. "You can buy it next door," sambungnya lagi.

Bagus juga dia tidak faham. Sekurang-kurangnya sekarang saya tahu dalam bahasa Mandarin, payung disebut sebagai sal (mungkin kena belajar cara sebutan yang betul). Maka kami pun terus ke kedai sebelah untuk membeli payung. Kepada jurujual kami memberitahu hajat kami hendak membeli payung. Dia terpinga-pinga tidak faham apa yang kami mahu kerana Chik menyebut umbrella. Saya rasa lagu Rihanna yang bertajuk 'Umbrella' tidak mendapat tempat langsung di China kerana jurujual tersebut merupakan orang China yang kedua yang tidak faham apa maksud perkataan ini. Kemudian masuk pula orang ketiga yang saya kira tauke kedai tersebut yang juga tersengih-sengih tidak faham apa yang dimaksudkan dengan umbrella. Kemudian saya teringat perkataan 'sal'. Sebaik sahaja saya menyebut perkataan magik tersebut, serta-merta kedua-dua mereka tertawa girang dan menyebut-nyebut perkataan yang sama sambil menunjuk ke arah depan pintu kedai. Rupa-rupanya koleksi payung diletakkan di pintu masuk kedai. Macam manalah kami boleh terlepas pandang semasa masuk tadi sedangkan saya rabun jauh bukan rabun dekat. Manakala Chik pula telah menjalani pembedahan Lasik untuk mengubati masalah rabunnya. Mungkin ini yang dikatakan - kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak. Kasihan... 

Saturday, October 02, 2010

True Blue

Just took a colour personality quiz. So, I'm happened to be a Relaxed person...just as I thought. Colour that suits me is none other than blue! No wonder I always inclined to this colour.

Oh, well...below is the result of the quiz:

"You are easy-going and likes to take on life at a relaxed pace. You have a deep need for peace and harmony in your life and don't like your feathers ruffled.

You are not impulsive or spontaneous - you always think before you speak and act and do everything at your own pace in your own time. You take time to process and share your feelings.

You don't like to draw attention to yourself - you prefer to be in the background. You are approachable and friendly, always making people feel welcome in your life."

Yup. Couldn't agree more. Now you know what kind of person I am. Don't you think now it's your turn to find out what is your true colour? Click here then.