Sunday, November 25, 2012

Orang Halimunan II: Skuad Halimunan

Sebelum ini saya pernah menulis tentang orang halimunan. Orang halimunan yang bukan sesiapa melainkan diri saya sendiri. Ya, saya ada kebolehan untuk jadi halimunan. Kalau tidak percaya, boleh baca di sini.

Sebenarnya saya sendiri tidak tahu macam mana saya boleh jadi halimunan. Antara teori yang saya kira paling logik adalah sebab saya ini kecil (baca: pendek) orangnya. Lama juga saya mencari kemungkinan kalau ada sebab lain yang menjadikan saya halimunan.

Cari dan terus mencari sehinggalah pada suatu hari saya membaca sebuah novel nukilan Tuan Bahruddin Bekri (Tuan BB), saya telah mendapat jawapannya. Jawapan yang saya cari selama ini rupa-rupanya ada dalam novel beliau yang bertajuk "Skuad Halimunan" (terbitan PTS Pop Sdn. Bhd., tahun 2011).

Dalam novel tersebut sifat halimunan bukan disebabkan oleh pemesongan cahaya. Tetapi di dalamnya ada menjelaskan tentang satu teori untuk menjadikan seseorang itu halimunan iaitu menggunakan sains di sebalik comel. Yes people, you read it right - comel! Hahaha!

Membaca satu perkataan itu sahaja sudah membuatkan saya tergelak-gelak (hei Siti R! Itu novel techno-thriller. Bukan novel humor. Yang engkau tergelak-gelak kenapa?). Apalagi ketika membaca penerangan seterusnya. Katanya, comel itu sifatnya menenangkan dan rangsangannya kepada otak adalah sama seperti rangsangan semasa kita merasa makanan yang lazat ataupun semasa menikmati dadah terlarang. Terlalu menikmati sehingga tidak sedar apa-apa. Lalok.

Dan ini yang paling penting; manusia halimunan bukan manusia comel yang biasa-biasa. Tetapi tahap kecomelannya sudah ditingkatkan berpuluh kali ganda. Bukan sahaja tentera musuh mudah dilembutkan dengan sifat kecomelan itu, malah haiwan paling buas di dunia pun akan berubah lembut.

Kiranya kecomelan manusia halimunan itu merupakan senjata yang paling ampuh. Satu cara untuk survival juga. Ini adalah kerana mimik wajah yang terlalu comel itu hanya muncul apabila manusia halimunan itu berada dalam keadaan mahu bertarung, berperang, bergaduh, dan yang seumpamanya. Kini barulah saya tahu mengapa ada masa saya tidak halimunan, dan ada masanya saya menjadi halimunan...hahaha!

Diceritakan juga bahawa manusia halimunan turut merembeskan bau badan yang bertindak sebagai hormon (pheromone? Pengaruh Pedang Setiawan, agaknya) yang akan merangsangkan saraf otak manusia biasa supaya menjadi tenang, dan berehat. Patutlah saya tidak suka minyak wangi. Rupa-rupanya saya bisa merembeskan hormon yang boleh menenangkan dan membuatkan manusia biasa berada dalam keadaan rehat. Lalok, tenang, dan rehat...dan pling! Saya pun terhijab daripada pandangan manusia biasa...hahaha!

Terima kasih kepada Tuan BB kerana telah menghiburkan hati saya dan pada masa yang sama membuatkan saya berasa lega. Saya rasa inilah teori yang paling tepat yang saya pernah jumpa mengenai 'kebolehan' saya ini...kahkahkah! *gelak guling-guling sambil tekan perut*

**************

Ulasan ringkas novel: Cerita dalam novel ini bermula dengan perlahan. Hanya pada pertengahan novel, barulah graf keterujaan saya naik sedikit demi sedikit. Namun masih tidak mencapai tahap maksimum. Terdapat satu dua nama watak yang tertukar, tetapi hanya sekali dua dan tidak kerap sebagaimana dalam novel Tuan BB yang bertajuk "Adi Gempa." Rasanya kali ini beliau lebih berhati-hati walaupun masih ada kesilapan yang sama yang terlepas pandang, mungkin.

Terus terang saya lebih suka Tuan BB menulis cerita-cerita berkisar kehidupan. Komedi kehidupan. Beliau lebih ke arah itu. Walau bagaimanapun, saya tetap akan terus menyokong apa sahaja novel-novel tulisan beliau.

Oh ya, cerita dalam novel ini tergantung. Adakah Tuan BB akan menyambungnya nanti? Kita tunggu dan lihat.  

Sunday, October 21, 2012

A Quiet Sunday

Strangers think I'm quiet
My siblings think I'm quiet
My relatives think I'm quiet
My friends think I'm quiet
My best friends think I'm quiet
But,
When I write...
I'm totally insane!

Happy Sunday everyone!

Sunday, October 14, 2012

Joe yang Pe-'Looper'

Sudah lama saya tidak menonton filem di pawagam. Rasa seperti sedang ditarik-tarik, maka saya pun masuk ke laman web TGV untuk meninjau-ninjau filem apakah yang menarik untuk ditonton. Saya nampak Looper. Oh yeah!

Kemudian saya masuk ke laman web Rotten Tomatoes untuk melihat berapakah markah yang diperolehi filem tersebut. 93%! Segar dari ladang. Oh yeah! Oh yeah!

Maka dengan itu, saya pun pergi menonton filem Looper sambil ber-oh yeah, yeah (tipu).

Sebenarnya, ada sebab lain saya mahu menonton filem Looper. Sebab Joseph Gordon-Levitt yang saya kenal (kenallah sangat...) melalui siri sitkom 3rd Rock from the Sun. Sudah banyak filem lakonan beliau saya ketinggalan kerana tidak sempat mengejarnya di pawagam. Kali ini saya tidak mahu ketinggalan lagi. Rata-rata yang saya baca, ramai memuji lakonan beliau dalam filem-filem lakonannya sebelum ini. Jadi, bertambah kuatlah keinginan saya untuk menonton Looper (sekali lagi terasa seperti ditarik-tarik).

Bagi saya Looper tidak mengecewakan dan ia sebuah filem yang bagus. Memang layak mendapat markah yang tinggi. Ia sebuah filem aksi/thriller futuristik kerana latar masanya pada tahun 2044 dan 2074; yang sekaligus melayakkannya dikategorikan sebagai filem sai-fai disebabkan unsur time traveling yang dibawa dalam filem ini.

Lakonan Joseph Gordon-Levitt? Orang putih kata, he gave a stellar performance. Benarlah seperti yang digembar-gemburkan. Beliau memang seorang pelakon yang hebat. Betapa hebatnya beliau sehingga saya berasakan yang saya benar-benar melihat wajah Bruce Willis semasa muda pada wajah beliau. Daripada senyum sengetnya hingga kepada ekspresi muka, memang sama dengan Bruce Willis. Eh, memang sebijilah! Pelik juga, macam mana Joseph Gordon-Levitt boleh sama mukanya dengan Bruce Willis?

...rupa-rupanya dia dipakaikan prostetik agar wajahnya menyerupai Bruce Willis! Betul-betul saya tertipu. Huh! Apa-apapun, saya rasa Joseph Gordon-Levitt berjaya menyerupai Bruce Willis bukan sahaja pada prostetiknya, tetapi pada gaya yang dipersembahkannya. Memang ada gaya Bruce Willis. Tak percaya, kena tengok sendiri.

Hendak tahu siapa lagi yang memberikan lakonan yang hebat? Bagi saya, pelakon kanak-kanak yang memegang watak Cid (future villain; Rainmaker) - Pierce Gagnon. Beliau sangat comel dan sangat pandai berlakon, okay! Pelakon-pelakon yang lain juga memberikan lakonan yang bagus termasuklah Bruce Willis. Cuma saya rasa beliau seperti ditenggelamkan oleh lakonan hebat Joseph Gordon-Levitt.

Hendak kata filem ini sempurna, tidaklah juga. Ada beberapa babak agak sedikit membosankan. Tetapi tahap kebosanan tidaklah seteruk filem Snowhite and the Huntsman yang saya tonton sebelum ini.

Ada kelainan dalam filem ini - babak-babak flash forward (pandai-pandai sahaja saya bagi istilah...entah wujud entah tidak...hehehe..). Sebenarnya ia lebih kurang sama dengan flashback. Cuma watak Joe yang sudah tua yang dipegang oleh Bruce Willis banyak mengimbau masa hadapan (yang sebenarnya masa lampau beliau) semasa dia berada dalam tahun 2044. Ada juga beberapa babak flash forward yang dibuat secara independent (tidak diimbas oleh mana-mana watak) dan bagi saya ia agak membantu dalam kita memahami jalan cerita. Keliru? Filem ini memang agak mengelirukan, jadi perlu hayati betul-betul jika mahu faham (untuk sinopsis, bolehlah klik perkataan Looper di perenggan pertama di atas...dasar pemalas...haha).

Walaupun agak berpuas hati dengan jalan cerita, tetapi ending-nya agak kurang memuaskan. Pendek kata, anti-klimaks. Reaksi saya (dalam hati), 'haaa..kenapa? Kenapa?' Punyalah tidak puas hati. Tetapi satu yang positif, apa yang berlaku semasa ending adalah sesuatu yang tidak dijangka. Ending yang tidak dijangka sebenarnya adalah sebuah ending yang bagus. Kan??

Akhir kata, saya bagi filem (dan juga Joseph Gordon-Levitt) ini 4 daripada 5 bintang. Jadi, jangan 'looper' untuk menonton filem ini, ya.

*Oh ya! Sebelum ter-looper, saya perlu bagi amaran. Filem ini agak ganas dan ada banyak unsur grafik. Sangat tidak sesuai ditonton oleh mereka yang cintakan kedamaian, yang lemah semangat, ibu-ibu mengandung, dan juga kanak-kanak. Sekian.       

Sunday, September 16, 2012

Khas untuk Peminat Liverpool

Tengah hari tadi saya menonton sebuah dokumentari pendek di TV AlHijrah (rancangan bermula sebaik sahaja selepas azan Zohor) berkenaan sukan/riadah yang merupakan salah satu sunnah Nabi Muhammad SAW. Saya tertarik dengan salah satu kisah yang diceritakan dalam rancangan tersebut.

Teruja sungguh saya hendak berkongsi kisah tersebut di sini khasnya kepada peminat-peminat Liverpool yang mungkin sedang berdukacita atau sedang menerima kutukan-kutukan daripada para peminat kelab bolasepak yang lain.

Baik. Saya ceritakan semula kisah tersebut di sini; mengikut apa yang saya ingat. Maklumlah saya tidak mencatatnya, hanya mengingatinya dalam kepala. Jadi jika ada salah dan silap harap maafkan saya di hari terakhir Syawal ini.

Kisahnya, Nabi Muhammad SAW ada membela seekor unta (ada disebut namanya tetapi tidak berapa ingat pula) yang sering dibawa berlumba. Unta baginda itu tidak pernah kalah dalam mana-mana pertandingan yang disertai.

Sehinggalah pada suatu hari, unta Nabi Muhammad SAW itu berlumba dengan seekor unta yang lebih muda yang dimiliki oleh seorang lelaki Badwi. Untuk pertama kali, unta baginda dikalahkan oleh unta lelaki Badwi tersebut.

Sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW semuanya berasa sedih atas kekalahan untanya itu. Masing-masing seperti tidak dapat menerima kenyataan yang sungguh pahit untuk ditelan itu. Mana mungkin unta baginda boleh kalah?

Tetapi Nabi Muhammad SAW menasihati sahabat-sahabat baginda agar tidak berasa sedih sebaliknya bergembira menerima kekalahan tersebut.

Biasalah. Ada masa kita menang, ada masa kita kalah. Biar bagaimana hebat pun kita, pasti ada masa kita akan kalah juga. Jadi terimalah kekalahan itu dengan perasaan gembira.

Apa yang penting? Semangat kesukanan (mungkin juga semangat kesunanan? Eh?)

Oleh itu kepada peminat-peminat Liverpool di luar sana. Bergembiralah. Hari-hari yang telah berlalu ini kita sekadar kalah atau seri sahaja. Hari-hari mendatang, siapa tahu? Lagipun kita sudah ada sejarah yang boleh dibanggakan. Semoga roda kegemilangan Liverpool akan naik semula. Segala-galanya mungkin dalam bolasepak. Ecece...

YNWA.

Nota: Banyak pula saya menulis tentang Liverpool semenjak dua menjak ini.

Nota 2: Kisah di atas mengikut garapan saya sendiri. Jadi, pasti ada banyak kekurangan daripada cerita sebenar yang lebih lengkap dan sedap didengar walaupun dalam bahasa Arab.

Monday, August 27, 2012

Umrah Ramadan: Pengalaman yang 'Menyeramkan'

Malam itu malam terakhir kami di bumi Madinah. Jadi, untuk kelainan kami semua bersepakat untuk menunaikan solat terawikh di laman foyer Masjid Nabawi.

Cuaca - seperti biasa - panas dan kering walaupun di waktu malam. Cuma kekadang angin akan bertiup sepoi-sepoi bahasa bagi mendinginkan tubuh kami yang sedang bersolat.

Setelah beberapa rakaat menunaikan solat, saya makin terasa panas di tapak kaki terutama sekali yang di sebelah kanan. Lapisan plastik biru yang dijadikan alas tidak berjaya mengurangkan kepanasan kaki. Sehingga sampai pada satu tahap saya terpaksa menjengketkan kaki sekali sekala untuk menghilangkan kepanasan yang dirasa.

Akibat tidak tahan, mungkin terlintas di fikiran saya (yang waktu itu masih sedang bersolat), atau mungkin juga merintih, "Ya Allah...tak tertahan rasa panas di tapak kaki ini. Alangkah bagus jika rasa panas ini bertukar kepada sejuk."

Rasanya tidak sampai seminit, apabila tiba-tiba tapak kaki kanan saya terasa sejuk dan nyaman. Terus terang saya rasa darah saya berderau. Mana mungkin 'permintaan' saya dimakbulkan dalam 'sekelip mata'? Betulkah apa yang saya rasa?

Usai memberi salam, terus saya periksa tapak kaki. Basah. Rupa-rupanya ada air zam-zam yang tertumpah lalu mengenai tapak kaki saya. Punca air daripada cawan seorang jemaah yang berada di saf belakang saya. Bukan betul-betul di belakang, tetapi dia berada di sebelah kiri belakang saya. Kalau diikutkan logik, air zam-zam yang tertumpah itu pasti akan mengalir ke hadapan kerana cawan yang tumbang menghadap ke depan. Tetapi air yang tumpah melencong ke kanan (agak jauh juga arah aliran air), lalu membasahi tapak kaki kanan saya.

Meremang bulu roma saya dibuatnya. Namun dalam hati tetap mengucapkan rasa syukur.

Peristiwa tersebut menambahkan keyakinan saya bahawa benarlah di Tanah Suci ini, segalanya diberikan atau dibalas secara 'tunai.'

Saturday, August 25, 2012

Yang Ditunggu-tunggu...

14 Disember...cepatlah datang. Sungguh aku tidak sabar menanti ketibaanmu...

Sunday, August 12, 2012

Umrah Ramadan: Puasa yang Panjang

Pejam celik, pejam celik...diam tak diam...kita sudah memasuki fasa terakhir bulan Ramadan. Semoga segala amalan kita walaupun sedikit akan diterima Allah hendaknya.

Setiap kali datangnya bulan Ramadan, saya selalu teringatkan pengalaman berpuasa untuk tempoh yang panjang lebih kurang 5 tahun yang lepas. Selalunya memori ini disimpan dalam hati (ewah, bahasa...) tetapi kali ini saya ingin mengongsinya dengan khalayak umum.

Ramadan 1428 bersamaan September 2007, saya dan Chik antara hamba-hamba Allah yang bertuah mendapat panggilan-Nya untuk mengerjakan umrah.

Pada hari ketiga umat Islam di Malaysia menunaikan ibadat puasa, kami berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah. Sebelum berangkat kami diberitahu oleh pegawai yang mengendalikan pakej umrah bahawa atas masalah teknikal, kami akan terpisah dengan mahram tumpang kami. Waktu penerbangan kami adalah seperti yang dijadualkan iaitu pada pukul 12:45 tengah hari. Manakala mahram tumpang kami dan beberapa orang ahli jemaah lain hanya akan berangkat pada petang nanti iaitu lebih kurang pada pukul 4:00 petang.

Pegawai tadi meminta kami menunggu mahram tumpang di kaunter Imigresen apabila kami sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah nanti. Itu bermakna kami perlu menunggu lebih kurang 5 hingga 6 jam sebelum kami boleh check-in bersama-sama mahram tumpang kami. Ya, Allah...belum pun menjejakkan kaki ke Tanah Suci kami sudah diuji sebegini. Apalah nasib. Namun begitu, kami tetap redha.

Sambil memandang wajah saya yang suci ini pegawai tadi bertanya, "Kenapa? Takut?"

Eh, adakah wajah suci saya telah mula menunjukkan garis-garis ketakutan? Is it too obvious? Saya bukannya takut apa...takut mengenangkan bagaimana keadaan di Tanah Suci nanti. Maklumlah di sana nanti dengar katanya segala benda akan dibalas secara 'tunai'...saya ini bukanlah seorang perempuan yang alim lagi solehah. Takut, memang takut. Ini bukan kembara yang biasa-biasa. Ini lebih kepada kembara spiritual!

Tetapi sebagai seorang yang boleh tahan tinggi juga egonya saya menjawab, "Eh, tak adalah. Mana ada takut..biasa je."

Maka, pada tengah hari itu kami pun berangkat menaiki penerbangan bersama-sama dengan ahli jemaah yang sama waktu penerbangannya dengan kami.

Beberapa jam dalam penerbangan...

Lebih kurang hampir waktu berbuka di Malaysia, para pramugara dan pramugari kelihatan sibuk menghidangkan makanan kepada para jemaah umrah. Bau makanan begitu menyucuk-nyucuk ke dalam lubang hidung saya. Perut pula sedang mendendangkan nasyid. Tetapi dalam hati masih ragu-ragu dan tertanya-tanya bolehkah saya berbuka puasa sekarang?

Salah seorang ahli jemaah - yang gayanya seperti seorang ustaz - yang satu rombongan dengan kami kelihatan sedang berlegar-legar di sekitar tempat duduk ahli rombongan sambil menegur agar kami tidak berbuka puasa pada waktu itu. Katanya belum sampai waktu lagi kerana langit masih cerah. Saya melontarkan pandangan ke luar tingkap. Memang langit kelihatan terang benderang.

Semasa kursus umrah yang saya dan Chik ikuti sebelum memulakan perjalanan, Ustaz Daud Che Ngah juga ada berpesan agar kami teruskan berpuasa sekiranya semasa dalam penerbangan nanti langit masih cerah. Lagipun pengertian puasa itu sendiri sudah jelas lagi bersuluh; menahan diri daripada makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Namun katanya nanti kami sudah termasuk dalam golongan musafir. Dan selayaknya sebagai musafir, kami dibolehkan untuk berbuka puasa dan wajib menggantikannya nanti.

Chik begitu bertegas hendak meneruskan puasa walaupun makanan kami sudah terhidang di hadapan mata. Saya pula masih di persimpangan dilema - antara hendak berbuka dengan tidak. Seorang makcik yang duduk di barisan kerusi tengah dan kerusinya bersebelahan dengan Chik (kerusi mereka hanya dipisahkan oleh aisle), beria-ia cuba mengajak kami berbuka sambil mulutnya sudah mengunyah makanan. Walaupun sedikit tergugat, namun akhirnya saya mengambil keputusan untuk meneruskan puasa bersama-sama dengan Chik. Makanan yang dihidang tadi kami simpan supaya boleh dibuat santapan berbuka apabila sampai di Jeddah nanti.

Lebih kurang pukul 10:00 malam waktu Malaysia (lebih kurang pukul 6:00 petang waktu tempatan), kami akhirnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah.

Seperti yang dipesan oleh pegawai pengendali pakej umrah semasa di Malaysia tadi, saya dan Chik tidak beratur sebagaimana ahli rombongan yang lain untuk pemeriksaan imigresen. Saya melihat sahaja barisan jemaah yang sedang beratur di hadapan kaunter imigresen. Sayu mula terasa...

Ini tidak boleh jadi!

Chik dan saya berpakat untuk bertanya kepada mana-mana ahli rombongan lelaki yang sudi menjadi mahram tumpang kami secara bidan terjun. Namun hampa kerana tiada seorang pun yang mahu menolong, termasuklah seorang jemaah yang gayanya seperti seorang ustaz tadi. Cheh! Hati saya hampir mengelegak. Sudahlah perut lapar, kaki pula sudah mula mengigil. Namun saya sabarkan sahaja. Ini mungkin ujian Allah untuk kami berdua.

Tiba-tiba saya mendapat idea. Kepada Chik saya bentangkan idea tersebut, "Chik, apa kata kita cuba check-in juga. Kita pergi kaunter sama-sama. Mana tau boleh lepas."

Chik terus sahaja bersetuju dengan cadangan saya itu. Maka, kami sama-sama beratur di belakang barisan jemaah lain yang sudah semakin surut.

Akhirnya tiba giliran kami. Kami sama-sama melangkah menuju ke kaunter imigresen. Secara serentak kami hulurkan pasport kepada pegawai imigresen yang duduk di belakang kaunter. Wajahnya begitu serius sekali. Terasa hilang sedikit ketampanan beliau dek kerana wajahnya yang serius itu.

Beliau memandang kami dengan pandangan yang tajam. Seolah-olah mahu menelan kami berdua. Saya cuba berlagak tenang. Kemudian beliau bersuara, "Mahram! Mahram!"

Erk! Saya pandang Chik, Chik pandang saya. Nampaknya beliau mahu tahu di mana mahram kami. Secara jujur kami beritahu (semestinya dalam bahasa Inggeris) bahawa kami terpisah daripada mahram kami yang ketika itu masih dalam penerbangan menuju ke Jeddah. Namun beliau masih juga mengulang-ulang perkataan mahram kepada kami. Berulang-ulang kali juga kami beritahu bahawa mahram kami masih dalam penerbangan. Pada waktu itu timbul rasa kesal dalam diri saya kenapalah saya tidak belajar bahasa Arab secara betul-betul semasa belajar di sekolah agama dulu.

Tetapi bak kata pepatah, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Memang tidak berguna langsung. Kami tetap tidak dapat menyampaikan apa masalah kami kepada beliau. Terang-terang si pegawai imigresen tidak tahu berbahasa Inggeris. Yang beliau tahu hanya mengulang perkataan mahram yang diucap dengan suara yang tinggi. Rasanya kalau saya ini burung unta, mahu sahaja saya berlari-lari ke luar bangunan dan sorokkan muka ke dalam tanah. Rasa mahu menangis ada juga. Rasa mahu marah diri sendiri pun ada juga - siapa suruh degil sangat tidak mahu dengar pesan pegawai di Malaysia tadi.

Dalam kami menadah telinga mendengar 'bebelan' pegawai imigresen tersebut, tiba-tiba datang seorang lagi pegawai imigresen menuju ke arah kami berdua. Dengan senyuman manis beliau memperkenalkan diri sebagai pegawai atasan di situ dan bertanya apa masalah kami berdua. Syukurlah beliau boleh berbahasa Inggeris. Untuk ke sekian kali, kami jelaskan situasi yang sedang kami hadapi. Namun, walaupun sedang tersenyum manis, beliau tetap nyatakan bahawa sudah menjadi peraturan wanita perlu datang bersama dengan mahram. Kami masih lagi cuba memujuk beliau agar 'melepaskan' kami. Tidak lupa kami membuat muka kasihan.

Mungkin juga kerana kasihan, tiba-tiba beliau bertanya kami datang dari mana. Hampir serentak kami jawab, "Malaysia."

Daripada senyum kasihan wajahnya berubah menjadi lebih ceria, "Oh, Malaysia! Malaysia OK." Lalu dia bercakap dengan pegawai imigresen di belakang kaunter dalam bahasa Arab.

Beliau jelaskan bahawa kami boleh check-in terus sambil memuji-muji betapa bagusnya orang Malaysia. Saya pula terasa seperti sedang bermimpi. Benarkah kami boleh check-in? Ya, Allah...syukur! Syukur dapat check-in tanpa mahram. Syukur kerana saya dilahirkan sebagai rakyat Malaysia.

Waktu itu barulah saya dapat rasakan betapa bangganya saya menjadi rakyat Malaysia. Terharu sungguh!

Selesai urusan imigresen, kami keluar ke bahagian bagasi. Sedih sungguh saya melihat beg kami berdua yang sudah diturunkan dari conveyor belt. Kelihatan begitu terasing sekali. Syukurlah beg kami tidak hilang. Saya hanya boleh mengucapkan terima kasih dalam hati kepada sesiapa yang telah membantu menurunkan beg kami itu.

Setelah mengambil beg, kami berkumpul bersama-sama dengan ahli jemaah yang lain. Nasib baik kami sempat catch-up dengan mereka. Mereka pula masih menunggu mutawif datang menjemput. Dan elok-elok sahaja kami berkumpul bersama mereka, kedengaran bunyi azan menandakan telah masuknya waktu Maghrib dan sekaligus waktu berbuka puasa. Tiada apa yang menggembirakan hati orang yang berpuasa melainkan apabila tibanya waktu berbuka. Saya tidak tahu Chik bagaimana, tetapi pada waktu itu saya memang berasa sangat gembira - setelah hampir 18 jam berpuasa...

Sunday, August 05, 2012

Sebakul Buah-buahan, Bakul-bakul Kebanggaan Sudah Berkurangan

Orang kata kali pertama itu akan diingati sampai bila-bila dan yang paling meninggalkan kesan. Kali kedua, sudah jadi suam-suam kuku. Maka, dengan sebab itulah saya lambat sedikit untuk meuar-uarkan di sini bahawa sekali lagi saya telah menang pertandingan write-up "Fruit of the Month" bagi bulan Julai pada hari Isnin lepas. Cerita tentang kemenangan pertama bolehlah dibaca di sini.

Syukur, Alhamdulillah. Nampaknya salah satu azam tahun baru saya sentiasa dipermudahkan oleh-Nya. Boleh recap apa azam saya itu di sini.

Okay, malas cerita panjang-panjang. Jadi, lihat sahajalah gambar-gambar di bawah berserta sedikit penerangan ringkas. Ewah-ewah..macam berlagak pula...hihihi!

 
Proses awal penulisan. Siap lukis-lukis wooo...macam hendak tulis novel. Padahal hendak tulis write-up yang mengandungi 150 patah perkataan sahaja..kahkah! *Siapa pandai cuba teka saya tulis tentang buah apa? Puan Azrina @ Kurma tidak dibenarkan untuk menjawab sama sekali..eheheh...

 
Inilah dia bakul buah-buahan yang dimenangi pada kali ini. Ini merupakan percubaan saya yang ketiga dalam pertandingan write-up. Kali kedua, kalah. Pertandingan ketiga saya gagal turut serta kerana kecewa tiada idea. Kali ketiga masuk pertandingan, barulah membuahkan hasil sekali lagi. Besar-besar pula buah-buahannya. Nyum, nyum!

 
Salah seekor intan-payung-gunung-meletup saya sedang cuba mensabotaj bakul buah-buahan. Cis!

 
Tak berjaya cara meniarap, cara duduk pula. Tak sabar hendak makan buah anggur agaknya.

 
"Ala Mak Iti! Cepatlah buka plastik buah ni! Kita nak makan buah anggur...meowww"

 
Sejam kemudian...
Oit! Sudah kenyang, dia bantai tidur pula! Malas solat terawihlah ni. Mengelat betul!

Sunday, July 29, 2012

Mimpi Berupa Ramalan

Saya tidak berapa ingat sama ada mimpi ini datang malam tadi atau awal pagi tadi. Saya juga sebenarnya tidak berapa ingat mimpi tersebut secara keseluruhannya. Kata orang, ingat-ingat lupa.

Begini.

Saya bermimpi Liverpool akan menjadi juara liga dalam EPL musim 2012/2013 yang akan datang nanti. Itulah mimpi yang saya ingat-ingat lupa, lupa-lupa ingat.

Kata orang, mimpi yang kita ingat-ingat lupa akan jadi kenyataan. Ditambah pula sekarang ini bulan puasa.

Termenung sekejap.

Kalau betullah...

Yahooooooooooooooooooooooooooo!!!

Nota: EPL hanya akan bermula lebih kurang dalam 2 - 3 minggu lagi, saya sudah bermimpi sebegini.

Nota 2: Saya hanyalah seorang peminat EPL yang sudah 'seasoned.'

Thursday, July 19, 2012

Nasib Sebatang Hanger

Kalau disebut cliffhanger, apakah yang terbayang di mata? Kalau saya, apa yang muncul ialah Sylvester Stallone. Betul...Sebabnya, bukankah beliau yang berlakon dalam filem yang bertajuk "Cliffhanger"?

Kalau disebut cliffhanger - selain Sylvester Stallone - saya juga membayangkan sebatang hanger tergantung di tepi sebuah tebing tinggi yang tegaknya 90 darjah dan ia dibuai-buai angin. Manakala di bawah tebing itu ombak laut sedang memukul-mukul tebing dengan ganasnya. Tidak diketahui apa untung nasib hanger tersebut. Sama ada ia akan jatuh ke dalam laut. Atau terbang bersama-sama angin yang tiba-tiba bertiup pada kelajuan 100 km sejam. Atau diangkat oleh seorang gergasi. Apa-apa pun boleh terjadi.

Suspens, kan? Dalam dunia nyata hanya Allah sahajalah yang boleh menentukan untung nasib hanger tersebut. Tetapi dalam dunia fiksyen, pencerita (sudah tentunya dengan ilham yang dikurniakan oleh-Nya) yang akan menentukan untung nasib hanger tersebut. Ombak yang memukul-mukul tebing itu bolehlah diibaratkan sebagai pembaca yang jiwanya sedang dipermain-mainkan oleh pencerita. Biar betapa ganas pun ombak memukul tebing, ia tidak mungkin akan dapat menjatuhkan hanger kerana bukan ombak yang 'berkuasa' ke atasnya.

Itulah nikmat menjadi seorang pencerita. Mengundah-gulanakan hati pembaca sebelum menyuap mereka dengan sebuah penamat yang mungkin sudah dijangka - hanger terjatuh ke dalam laut akibat ditiup angin. Atau yang tidak dijangka - hanger itu sebenarnya adalah jelmaan Sylvester Stallone yang sedang menyamar kerana takut dimakan oleh gergasi.

Nota: Saya masih tidak tahu apa motif entri ini ditulis...Apa-apa pun, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada semua yang sudi membaca blog ini. Semoga kita dapat meningkatkan amal ibadat kita pada bulan yang mulia ini. Insya-Allah...

Nota 2: Ramadan. Entahkan dapat bersua atau tidak? Entahkan dapat menjalaninya selama sebulan ini nanti? Entahkan dapat bertemu semula di tahun hadapan? Sekali lagi...cliffhanger...       

Monday, July 02, 2012

Terciptanya Sejarah...

Untuk kali pertama sejak terjebak dengan European Championship (EURO), saya tidak menonton perlawanan akhir untuk edisi kali ini. Sebenarnya saya tidur dengan hati yang senang. Seolah-olahnya saya tahu pasukan mana yang akan menang. Jadi, saya tidak terasa terkilan sangat walaupun terlepas peluang merasai kemeriahan perlawanan akhir tersebut.

Oleh itu, jangan kata Sepanyol sahaja yang telah mencipta sejarah. Saya juga telah mencipta sejarah tersendiri dalam bidang menonton EURO ini - sejarah tidak menonton perlawanan akhir. Eh, bukan perlawanan akhir sahaja. Sebenarnya semua perlawanan baik daripada peringkat kumpulan, suku akhir, hinggalah ke separuh akhir tiada satu pun yang saya tonton (kuat betul iman saya...dahsyat!).

Okey, itu sahaja yang saya mahu beritahu. Sejarah telah tercipta buat diri saya. Bangganya...(tangan di dada, mata pandang ke atas)

Nota: Sepanyol menang lagi. Yahoo!!!

Nota 2: Perlu cepat-cepat buat pelan tindakan sebelum Piala Dunia 2014. Fuh!

Monday, June 18, 2012

Antara Berasa dan Merasa

Berasa. Merasa.

Saya sebenarnya selalu keliru dengan penggunaan kedua-dua perkataan di atas. Bila masa perlu guna perkataan "berasa"? Bila masa pula perlu guna perkataan "merasa"?

Walaupun sudah lama keliru tetapi tidak pernah terfikir pun hendak bertanya kepada sesiapa. Kedua-duanya digunakan secara hentam keromo. Ikut sedap jari menulis atau menaip. Langsung tiada etika.

Hari ini barulah terfikir hendak mencari jawapan kepada persoalan yang sudah lama bermain di fikiran ini. Dengan bantuan profesor serba tahu Google, saya dipertemukan dengan temannya dalam bidang bahasa yang dikenali sebagai Dewan Bahasa dan Pustaka. Alahai...sudah lama saya mengenalinya juga. Mengapalah saya tidak terfikir untuk bertanya terus kepadanya sebelum ini?

Daripada apa yang saya diberitahu, makna kedua-duanya hampir sama. Dari segi penggunaannya pula - berdasarkan apa yang saya faham - perkataan "berasa" biasanya dikaitkan dengan perasaan atau rasa hati, dan mendapat rasa (yang dialami oleh badan) seperti rasa sakit. Perkataan "merasa" pula biasanya dikaitkan dengan perbuatan menikmati atau mencuba sesuatu; contohnya dengan lidah.

Apa yang boleh saya simpulkan adalah perkataan "berasa" boleh digunakan untuk menunjukkan rasa yang dialami oleh perasaan dan juga apa yang dirasai secara fizikal. Manakala perkataan "merasa" hanya boleh digunakan untuk menunjukkan apa yang dirasai secara fizikal sahaja.

Saturday, June 16, 2012

Seni Balutan Hadiah Terlampau

Tidak dinafikan sekarang saya dalam proses menghasilkan dan mengembangkan idea kreatif. Tetapi tidak sangka pula proses kreatif ini termasuk juga dalam seni balutan hadiah.

Entah kenapa saya boleh terjebak menghasilkan balutan yang sungguh aneh ini. Mungkin terpukau dengan lukisan kupu-kupu pada kertas balutan hadiah. Jadi, timbullah idea hendak memghasilkan balutan berbentuk kupu-kupu.

Disebabkan itu, maka terhasillah balutan seperti yang ditunjukkan di dalam gambar-gambar di bawah ini.

Pandangan dari hadapan. Kupu-kupu patah sayapnya.

Pandangan sisi. Macam helikopter pula saya tengok...hmmm...

Pandangan dari arah belakang. Eh, eh...macam ikan pun ada juga...

Pandangan dari udara. Kupu-kupu sedang 'terbang'...kah kah kah!

Saya namakan seni balutan hadiah ini sebagai: Seni Balutan "Kupu-kupu Mutant Yang Sedang Menjalani Proses Evolusi."

Fuh! Panjang betul namanya...hehehe!

Hmmm...melihatkan rupa bentuknya, mungkin saya perlu masuk kelas seni kraftangan selepas ini untuk menajamkan skil membalut hadiah. Eh, dalam kelas kraftangan ada subjek balutan hadiahkah? Rasanya macam tiada. Baik saya batalkan niat tersebut, kan? Buang masa sahaja.

Oh ya! Hadiah di atas adalah untuk Cikpuan Ita yang menyambut harijadinya yang ke *tutttt* pada hari ini; 16/6/2012. Tidak sabar saya hendak melihat reaksi Cikpuan Ita apabila saya menyerahkan hadiah ini kepadanya esok. Semoga dia tidak ketawa berguling-guling atas lantai. Aiyokk!!

Moral of the story: Just play with your imagination. You'll never know, you might surprise yourself just like what I did.  Hahaha!

Sunday, June 10, 2012

EURO 2012 Yang Tidak Mengujakan

Diam tak diam sudah dua hari EURO 2012 berlangsung dengan empat perlawanan yang berkesudahan dengan 1 seri dan 3 kemenangan.

Namun, saya masih lagi tidak berasa teruja seperti tahun-tahun yang sudah. Sebenarnya tiada satu perlawanan pun yang saya tonton. Kecuali perlawanan antara Belanda dan Belgium yang ditonton pada masa kecederaan.

Tahun ini juga saya tidak melekatkan jadual perlawanan di belakang pintu bilik seperti tahun-tahun yang sudah. Saya tidak mencari pun jadual perlawanan yang biasanya diselit di dalam akhbar-akhbar harian beberapa hari sebelum acara bermula, seperti yang lazim saya buat menjelang kejohanan.

Saya rasa mungkin sebab saya masih rindukan kemeriahan EURO 2008. Siapa yang boleh lupa dengan pasukan Turki yang menyerikan acara dengan semangat mereka yang luar biasa. Kalau pasukan Turki berjaya melayakkan diri pada kejohanan kali ini, pasti perasaan saya bertukar kepada 360 darjah.

Jadi, untuk menghilangkan kegundahan, saya menghantar SMS kepada abang angkat saya di Turki. Begini bunyinya:

"Salamualaikum, brother. How r u? Just thinking abt u since EURO 2012 had already started..Too bad Turkey didn't qualify. Hope all is well in Turkey.."

Ini balasan beliau:

"My sweet sister selamualeykum..long time no news..hope all ur family fine..yes we didnt join 2012..Destiny :) ..wait ur gd news always..Allah bless my sweet sister"

Alahai...bilalah dapat pergi ke Turki sekali lagi? Eh, terkeluar tajuk pula. Maafkan saya.

Baiklah, kita sambung semula.

Sebab yang lain mungkin kerana saya masih terlalu kecewa dengan tindakan Fernando Torres meninggalkan Liverpool dulu. Jadi, tahun ini saya tidak mahu menyokong Sepanyol. Kalau saya sokong pun, sebab ada pemain-pemain lain yang saya masih kagumi. Saya tidak mengharapkan Sepanyol menang lagi pada tahun ini. Tetapi kalau menang juga, itu petanda untuk saya betul-betul plan dan kumpul duit untuk mengembara ke Sepanyol pula nanti...heheh!

Atau mungkin juga sebab perubahan hormon. Saya rasa seperti perempuan tua yang sudah menopaus. Tidak teruja langsung dengan bolasepak. Saya tidak suka betul dengan perasaan ini. Stresnya!

Apa-apa pun saya akan terus menyokong acara-acara besar bolasepak. Mungkin tidak seaktif dulu, tapi sekurang-kurangnya dengan mengikuti perkembangan setiap perlawanan, saya masih dapat merasakan bahangnya lagi. Yang pasti saya masih akan menonton perlawanan akhir EURO 2012 nanti, insya-Allah. 

May the best team wins! 

Sunday, June 03, 2012

Ulasan Filem "Snow White and the Huntsman"

Ceritanya...

Secara tidak sengaja, saya telah menonton filem "Snow White and the Huntsman" pada hari Sabtu, iaitu semalam. Hari Sabtu yang sebenarnya hendak dihabiskan di pejabat akhirnya menghumban saya ke KLCC kerana pintu pejabat dikunci atas sebab yang tidak diketahui oleh diri saya ini.

Rezeki saya untuk menonton wayang, mungkin. Walaupun saya tidak tahu hendak menonton filem apa.

Dipendekkan cerita, semasa sedang beratur untuk membeli tiket, saya mengambil keputusan untuk menonton filem seperti yang dinyatakan di atas. Filem ini baru sahaja ditayangkan iaitu pada 31 Mei 2012. Ada dua filem lain yang menjadi pertimbangan - "Dark Shadow" dan "Men In Black 3." Tetapi saya terasa seperti Snow White sedang berbisik-bisik di telinga saya, "I'm the fairest. Watch me." 

Yang Saya Suka dan Tidak Suka Tentang Filem Ini 

Suka

Filem ini adalah berdasarkan kepada kisah pari-pari "Snow White and the Seven Dwarfs" tetapi telah diolah ceritanya menjadi sebuah kisah yang 'dark.' A dark fairy tale is so fascinating - to me.

Filem ini dimulakan dengan naratif. Entah kenapa saya sangat suka apabila sesuatu filem atau drama (contoh drama ialah Grey's Anatomy) itu ada suara orang yang bercerita pada permulaannya. Mungkin dengan cara itu, kita akan lebih memahami watak utama yang hendak ditonjolkan atau apa cerita yang hendak disampaikan. You can feel the story if there is a storyteller.

Watak Queen Ravenna sangat hidup di tangan Charlize Theron. Setiap kali skrin menayangkan wajah beliau, hati saya berbunga suka kerana beliau sangat jelita tetapi pada masa yang sama timbul rasa benci dengan perbuatan-perbuatan jahat beliau. Apa-apa pun, pada mata saya beliau tersangat cantik dan lebih menonjol daripada watak Snow White itu sendiri. She's the apple of my eyes, even though she gave a poisonous apple to Snow White.

Ada dua jejaka tampan dalam filem ini. Seorang bernama Eric the Huntsman, si pemburu yang kaki botol. Watak ini dipegang oleh Chris Hemsworth. Pasti ramai yang mengenali beliau melalui filem "Thor" dan juga yang terbaru, "The Avengers." Seorang lagi bernama William (Sam Claflin), anak kepada Duke Hammond yang menjadi sahabat baik Snow White. Namun mereka terpisah sebaik sahaja Queen Ravenna merampas takhta selepas kemangkatan King Magnus, ayahanda Snow White. Antara mereka berdua, saya lebih merasakan kesan watak Eric dalam cerita ini. Watak beliaulah yang ada menyuntik unsur-unsur humor dalam filem ini; selain daripada beberapa orang Dwarf. Seperti Charlize Theron, lakonan Chris Hemsworth sangat mengesankan. He's definitely worth watching.

Sesiapa yang sudah menonton filem ini pasti tahu bahawa ada beberapa ekor burung (kurang pasti burung apa; ia berwarna hitam dengan bahagian perutnya berwarna putih) telah 'membantu' Snow White melepaskan diri daripada penjara bawah tanah. Rupa-rupanya burung-burung tersebut menjadi 'rumah tumpangan' pari-pari. Pari-pari tersebut bukan seperti pari-pari yang biasa kita lihat; berbadan kecil dan bersayap. Tetapi pari-pari yang ini berbadan kecil, berkepala botak dan tidak bersayap. Macam toyol pun ada juga. Tetapi sangat comel terutama sekali apabila ia tersenyum. Saya rasa ini merupakan idea yang segar bagi menunjukkan rupa pari-pari. What can I say, they are not the ordinary fairies.

Saya suka dengan satu teknik mempertahankan diri askar-askar yang memecah masuk ke dalam kota yang ditunjukkan dalam filem ini. Mereka melindungi diri dengan perisai secara berkelompok dalam satu bulatan. Dengan cara itu mereka dapat masuk beramai-ramai di mana askar-askar yang berada di tepi bulatan yang memegang perisai dapat melindungi askar-askar yang berada di dalam bulatan. Totally brilliant!

Tidak lengkap sesuatu filem jika tiada lagu tema. Pertama kali mendengar lagu tema filem ini pada penghujung filem, terus saya jatuh cinta. Pada mulanya saya ingat lagu tersebut dinyanyikan oleh Evanescence. Setelah bertanya kepada professor serba tahu yang bernama Google, rupa-rupanya sangkaan saya itu meleset. Lagu tersebut dinyanyikan oleh grup yang bernama Florence + The Machine yang saya tidak pernah dengar namanya sebelum ini. Tajuk lagunya ialah "Breath of Life." Not a fairy song, but it's music to my ears.

    
Oh, baru saya perasan ada beberapa babak dalam video klip di atas telah dipotong dalam filem yang ditayangkan.

Tidak Suka 

Pacing filem ini bergerak dengan perlahan. Ada masanya sampai ke tahap membosankan. Sehingga tertanya-tanya sudah berapa jam filem ini berjalan. Rasanya seperti sudah lebih dua jam (walaupun durasi sebenar filem ini adalah 2 jam 7 minit). And then I heard Lenny Kravitz sings.."Baby, it ain't over till it's over..."

Filem ini terlalu dark sehingga tidak banyak jentikan humor. Itu tidak kisahlah. Saya masih boleh terima filem yang serius. Cuma, yang menjadi masalah kalau ada pun, lawaknya tidak cukup kelakar bagi saya dan juga penonton yang lain kerana jarang-jarang kedengaran orang ketawa. Lawak tidak menjadi? Me want good humour! 

Walaupun Charlize Theron dan Chris Hemsworth mempersembahkan lakonan yang cemerlang, namun saya kadangkala keliru dengan cara percakapan mereka. Loghat apa yang mereka gunakan? British-English atau apa? Maklumlah, seorang berasal dari Afrika Selatan (Charlize Theron), manakala seorang lagi datang dari Australia (Chris Hemsworth). Keliru betul saya dibuatnya. Atau masalah sebenarnya ialah saya yang sudah lama kurang pendedahan dengan bahasa Inggeris yang betul? Oh my English!

Sebenarnya saya keliru apa yang membuatkan Queen Ravenna berbuat apa yang dia buat (oh, kelirunya saya dengan apa yang saya tulis). Sama ada dia mahu kekal sebagai wanita yang paling cantik atau mahu menjadi seorang immortal? Rasanya plot cerita tidak berapa kuat. Atau sebab saya hilang fokus akibat bosan terutama semasa babak imbas kembali Queen Ravenna semasa kecil. Tetapi memikirkan ini adalah sebuah kisah pari-pari, saya abaikan sahaja. It's a fairy tale, after all. 

Kesimpulan 

Saya berikan filem ini 3 bintang. Hendak tengok boleh, tidak mahu tengok pun tidaklah rugi apa-apa.

Saya tidak sempat merujuk Rotten Tomatoes sebelum saya menonton filem ini. Maklumlah, saya menontonnya pun secara tidak sengaja...thehehe...

Jadi, selepas pulang daripada menonton saya merujuk kepada pusat rujukan saya ini. Markah yang ditunjukkan pada tomatometer adalah 46% sahaja. Jadi, kesimpulannya filem ini tidak sedap seperti tomato yang sudah busuk. Namun di kalangan penonton, 74% menyukainya. Jika angka tersebut terletak pada tomatometer, pasti ia diiktirafkan sebagai filem yang best.

Friday, May 04, 2012

Sebakul Buah-buahan, Berbakul-bakul Kebanggaan

Sungguh-sungguh saya tidak menyangka. Buah cempedak menjadi nangka. Bagaimana buah cempedak boleh menjadi nangka, tidaklah saya tahu proses-prosesnya. Apa yang saya tahu adalah penyertaan saya dalam satu pertandingan menulis yang tidak berapa berprestij yang dianjurkan oleh syarikat tempat saya bekerja telah membuahkan hasil. Saya telah dinobatkan sebagai pemenang untuk pertandingan yang julung-julung kali diadakan ini. Alhamdulillah.

Seumur hidup, saya tidak pernah memasuki mana-mana pertandingan menulis. Kalau pertandingan menulis dalam tulisan jawi pernahlah masa sekolah rendah dulu. Itupun tidak dapat menang tempat pertama. Sekadar berjaya mendapat hadiah saguhati sahaja.

Apa-apa pun saya rasa berbangga dengan diri saya. Pergh! Ayat macam poyo pula. Tapi kalau menang, mestilah rasa bangga, bukan? Walaupun hadiah yang dimenangi cuma sebakul buah-buahan. Rasanya seperti saya telah memenangi pertandingan sayembara menulis novel yang menawarkan hadiah sebanyak RM15,000.00 itu...

Lihatlah bakul buah-buahan saya menurut pandangan yang berbeza.

Pandangan sisi. Tiada buah cempedak, apalagi buah nangka di dalam bakul.

Pandangan dari atas. Nampak buah kiwi itu? Buah kiwi dan buah-buahan yang lain diimport dari New Zealand, ya. Kelasss...

Pandangan sisi yang satu lagi.



Anda semua tengok sahajalah, ya. Buahahaha (ketawa yang berbuah-buah).

***
Bersama-sama ini ingin saya kongsikan e-mel daripada CFO kepada saya. Terharu sungguh saya dibuatnya.

"Siti,

The way you mix the ingredients of our core values gently into the apple salad recipe was done with such professionalism.  You are truly gifted.  Keep up the excellent level of staff engagement.  Congrats!"

Sunday, April 01, 2012

Wawasan 2020

Kalau saya tanya apa itu Wawasan 2020, pasti ramai yang boleh menjawabnya, bukan? Kalau saya tanya apakah matlamat Wawasan 2020 pula, agak-agaknya ada sesiapa yang dapat menjawabnya atau tidak, ya? Kalau tanya saya, sudah tentulah saya tidak dapat menjawabnya jika tidak merujuk kepada mana-mana sumber, contohnya seperti di Wikipedia ini.

Sebenarnya saya bukanlah hendak memperkatakan tentang Wawasan 2020 sebuah negara Malaysia ini. Tetapi saya hanya hendak berkongsi Wawasan 2020 seorang Siti R.

Apa? Siti R ada Wawasan 2020?

Ya. Tentulah ada.

Wawasan 2020 saya adalah mahu menyempurnakan rukun Islam yang kelima iaitu mengerjakan haji di Makkah. Matlamat saya sudah tentulah hendak mendapatkan haji yang mabrur.

Saya baharu menyemak semula pendaftaran haji yang dibuat pada tahun 2008 untuk melihat kembali tahun giliran saya mengerjakan haji. Tahun yang tercatat adalah 1441H yang bersamaan dengan tahun 2020 (wah...baharu saya perasan kombinasi kedua-dua tahun sangat cantik). Insya-Allah.

Bertuahnya dapat mengerjakan haji pada tahun Malaysia menjadi sebuah negara maju. Saya terfikir adakah saya dan jamaah yang lain akan dibawa ke tanah suci dengan menaiki kapal terbang supersonik komersial nanti? Atau lebih hebat daripada itu? Wawawa! Ada 8 tahun lagi untuk mengetahuinya.

Nota: Sebab sebenar saya menyemak semula adalah kerana saya sedang menimbang-nimbang kemungkinan untuk membuat rayuan supaya giliran saya dipercepatkan. Bolehkah agaknya? Kalau tidak boleh, terpaksalah saya menunggu selama 8 tahun sehingga tiba giliran saya. Namun hati ini seperti sedang meronta-ronta..

Wednesday, March 28, 2012

Laporan Suku Pertama

Cepat sungguh masa berlalu. Diam tak diam kita sudah menuju ke penghujung suku pertama tahun 2012!

Suku pertama ini memang masa untuk saya berhibernasi dan memulihkan diri. Sehingga ke saat ini saya belum pulih 100% dan masih lagi menjalani terapi bulanan. Selepas dua kali terapi, sudah ada kesan sampingan yang dirasa. Buat masa ini saya hanya mampu bersabar sahajalah. Nasib baik terapi ini cuma perlu dijalani maksimum sebanyak enam kali. Jadi, ada lagi baki empat terapi yang perlu dijalani. Semoga ia berjaya mengekang cyst daripada berulang kembali...amin.

Diharapkan suku kedua akan lebih menarik kerana masa untuk mengembara sudah tiba kembali. Sudah terbayang-bayang travelog kedua yang bakal ditulis nanti...insya-Allah.

Woohoo!!

Sunday, February 26, 2012

Saya dan Ovarian Cyst - Satu Advencer 7

Sesudah Dibedah

Saya terjaga semasa sedang dipindahkan dari meja bedah ke pengusung. Keadaan saya antara sedar dengan tidak. Mamai. Suara-suara sekeliling terdengar sayup-sayup. Sekejap mata saya terbuka, sekejap lagi tertutup. Begitulah keadaan saya sepanjang diusung kembali ke wad.

Sampai di wad saya cuba memfokuskan penglihatan walaupun agak sukar. Bilik di mana saya ditempatkan semula agak familiar. Nampaknya saya ditempatkan semula di katil saya dan bukan di wad HD (High Dependency) iaitu merupakan mini ICU. Kemudian saya cuba melihat jam dinding yang terletak di atas pintu masuk bilik. Kalau tidak silap mata yang melihat, masa itu waktu sudah melepasi pukul 11.00 pagi.

Saya masih lagi diberi ubat bius/penahan sakit melalui satu mesin. Bahagian perut hingga ke kaki terutama kaki kiri terasa kebas - langsung tidak terasa apa-apa. Setiap kali saya memegang peha kiri, pasti saya teringatkan 'Spongebob Squarepants' kerana saya terasa seperti sedang memegang span. Disebabkan itu, urine catheter dipasang supaya saya tidak perlu pergi ke tandas. Saya juga mendapati bahawa saya mengalami bleeding walaupun tidak banyak.

Masuk waktu tengah hari saya tidak makan. Sebab saya tidak makan tengah hari adalah kerana tekak yang terasa sangat loya. Doktor ada memberitahu bahawa ada kemungkinan saya akan mengalami muntah-muntah jika saya alah atau tidak tahan dengan ubat bius yang diberikan. Sampai pada satu masa memang saya telah termuntah.

Semasa Dr. Siti Zaleha melawat saya selepas pembedahan, dia ada bertanya jika saya ada muntah. Setelah diberitahu bahawa saya ada muntah, doktor meminta supaya dos ubat dikurangkan. Saya juga baharu mendapat tahu bahawa ubat bius yang diberikan kepada saya adalah Epidural. Hah? Epidural? Saya ingatkan orang yang hendak bersalin sahaja yang boleh diberikan Epidural. Rupa-rupanya Epidural juga boleh digunakan untuk pembedahan di bahagian perut. 

Kehilangan

Semasa kunjungan itu juga doktor memberitahu apa yang dilakukannya sepanjang pembedahan. Doktor memberitahu, seperti yang dijangka, cyst saya telah melekat pada usus. Jadi, Dr. Sukumar Nadesan telah diberi tugas untuk memisahkan kedua-duanya. Sebelum cyst dibuang, doktor telah menyedut 'isi'nya terlebih dahulu. Kemudian doktor menyampaikan berita tidak baik. Ovari kiri saya terpaksa dibuang kerana telah rosak teruk. Bukan itu sahaja. Appendiks saya juga turut dibuang kerana sudah inflame. Masya-Allah. Betapa keputusan saya untuk meneruskan pembedahan amat tepat sekali. Kalau saya mengelak untuk dibedah, lambat-laun saya terpaksa juga menghadapinya. Kalau bukan kerana cyst, kerana appendicitis. Jadi pada perkiraan saya, untuk satu pembedahan itu, doktor telah melakukan 4 prosedur ke atas saya - Laparatomy (pembedahan perut), Cystectomy (membuang cyst), Oophorectomy (membuang ovari) dan Appendicectomy (membuang appendiks).

Doktor juga memberitahu bahawa terdapat cyst di ovari kanan saya. Tetapi ia merupakan jenis fluid jadi doktor hanya menyedutnya keluar. 

Hari-hari di Hospital

Hari pertama pembedahan saya hanya diberikan minum air kosong sahaja. Walaupun dos ubat telah dikurangkan, saya masih lagi muntah-muntah. Yang keluar hanya air sahaja kerana perut saya memang kosong.

Hari kedua selepas pembedahan, rasa loya telah berkurangan. Maka, pada pagi itu Dr. Sukumar yang melawat saya telah membenarkan saya makan bubur pada tengah hari nanti. Doktor berpuas hati kerana saya ada 'membuang angin' beberapa kali. Doktor juga memberitahu bahawa ubat bius saya akan dibuka pada tengah malam nanti. Seram sejuk saya mendengarnya. Seram memikirkan bagaimana sebenarnya rasa sakit di kawasan pembedahan itu nanti. Takut juga saya dibuatnya.

Dr. Siti Zaleha pula semasa melawat ada bertanya sama ada saya mahu melihat specimen cyst dan appendiks saya. Saya bersetuju untuk melihatnya. Selepas doktor meninggalkan saya, nurse yang diarahkan untuk mengambil kedua-dua specimen kembali ke katil saya untuk menunjukkannya kepada saya. Kedua-dua specimen telah dimasukkan ke dalam botol kecil yang berasingan. Saya hanya memandang sekali lalu sahaja sebelum menyerahkannya kembali kepada nurse tersebut.

Selepas tengah hari, seorang nurse yang berpangkat sister telah mendapati tangan kiri saya di mana jarum dipasang untuk IV drip dan untuk suntikan antibiotik semakin membengkak. Disebabkan itu, seorang nurse dipanggil untuk membuka jarum di tangan kiri. Jarum baharu dipasang di tangan kanan pula. Selepas ditukar ke tangan kanan, baharulah tangan saya tidak membengkak dan semasa suntikan antibiotik dibuat, saya tidak lagi merasa sakit. Saya rasa tangan kiri saya memang tidak kuat menahan sakit. Ini sesuatu yang saya perlu ingat di masa hadapan, sekiranya saya dimasukkan ke hospital lagi (harap-harapnya tidak).

Pada waktu petang, saya muntah lagi. Habis semua yang dimakan waktu tengah hari tadi dimuntahkan. Nasib baik selepas itu saya tidak muntah lagi.

Pada lebih kurang pukul 11.00 malam, ubat bius saya habis. Disebabkan Dr. Sukumar telah berpesan ubat bius saya perlu dihentikan pada tengah malam, nurse tidak menggantikan dos yang baharu tetapi terus menghentikannya. Tiub yang dipasang di tulang belakang juga dibuka. Lubang tebukan ditutup dengan plaster.

Pada pagi hari ketiga selepas pembedahan, jarum di tangan dibuka. Saya sudah tidak perlu IV drip lagi. Urine catheter juga dibuka. Pagi itu 'seksaan' pertama yang saya perlu tempuh; dipaksa bangun dari katil dan diminta cuba untuk duduk. Dengan bantuan 2 orang sister, saya bangun dan duduk di kerusi bersebelahan katil. Sementara itu, mereka menukar cadar katil saya. Kemudian, masa untuk ke bilik air. Sister hendak membantu tetapi saya tidak benarkan. Maka, berjalanlah saya dengan langkah yang kecil-kecil seperti orang yang baharu lepas bersalin.

Sepanjang berada di hospital saya hanya makan bubur sahaja. Dalam masa yang sama, saya perlu berjaga-jaga dengan apa yang dimakan. Atas nasihat ahli keluarga dan rakan-rakan, saya berpantang seperti orang lepas bersalin. 

Discaj

Pada pagi Sabtu, 31/12/2011, Dr. Siti Zaleha menggantikan plaster di tempat saya dibedah. Baharulah saya dapat lihat luka pembedahan. Ia tidaklah sepanjang mana; lebih kurang panjang pembaris pendek yang boleh dimuatkan dalam bekas pensel. Saya juga mendapati perut saya membuncit terutama sekali di sebelah kiri. Mungkin ia disebabkan oleh luka dalaman dan saya juga sudah menduganya selepas membaca di sini.

Atas permintaan, doktor membenarkan saya discaj pada hari tersebut setelah 5 hari duduk di hospital. Lebih kurang tengah hari urusan discaj selesai. Sepatutnya kakak saya yang menjemput, tetapi abang ipar saya terkandas dalam kesesakan lalu lintas pula. Nasib baik abang saya yang sulung datang melawat pada waktu itu, jadi saya pulang dengan beliau. Sebelum pulang, saya dibekalkan dengan ubat-ubatan dan sijil sakit. Saya diberi cuti selama 6 minggu bermula dari tarikh masuk hospital.

Saya ada satu bulan setengah untuk recover. Entah boleh, entah tidak...                

Thursday, February 23, 2012

Saya dan Ovarian Cyst - Satu Advencer 6

Pagi Hari Pembedahan

Seawal pagi, suasana di katil saya agak 'riuh' sedikit. Sekejap-sekejap ada nurse yang datang menjenguk. Hendak solat pun rasa tidak senang. Selepas saya solat pula ada nurse yang menghantar sarapan pagi saya. Disebabkan tidak boleh makan, saya diberikan cawan, teh uncang Lipton (atau Boh...tidak ingat pula saya) dan dua peket gula. Saya tidak terus membancuh teh. Entah apa yang saya buat, saya sendiri tidak ingat. Mungkin sedang duduk termenung atau sedang bersiap-siap untuk mandi.

Tidak lama kemudian datang seorang lagi nurse - membawa 'roket.' Untuk kosongkan perut katanya. Hendak tak hendak, terpaksa saya merelakannya. Setelah selesai, baharulah saya bancuh teh. Namun, baharu sekali hirup, terasa hendak ke tandas. Alang-alang hendak ke tandas, baik saya mandi terus.

Selesai mandi, saya menyambung sarapan yang tergendala sebentar tadi. Sambil itu saya menonton televisyen. Waktu itu sudah pukul 7 pagi. Tukar-tukar saluran, akhirnya saya berhenti di TV9. Rancangan "Tanyalah Ustaz." Alang-alang hendak bertarung nyawa (agaknyalah) nanti, baik saya menonton rancangan agama. Mungkin ia boleh menenangkan hati saya. Setelah benar-benar fokus kepada rancangan tersebut, betapa saya merasakan hidup ini penuh dengan ironi. Ustaz (tidak ingat siapa nama Ustaz tersebut) rupa-rupanya sedang membicarakan tentang persiapan kematian. Semasa rancangan berhenti untuk laluan iklan, saya ke tandas semula. Untuk 'menenangkan' perut.

Pukul 8 lebih, datang 2 orang nurse dengan membawa pengusung. Oh, masanya sudah hampir tiba. Namun, entah mengapa saya tidak lagi merasa berdebar atau takut. Sukar untuk dipercayai, tetapi saya berasa amat bersedia dan tenang sekali. Salah seorang nurse meminta saya menukar pakaian kepada gaun hospital. Setelah bertukar pakaian, datang seorang lagi nurse bertanya ada sesiapakah yang akan menunggu sepanjang saya dibedah nanti. Saya katakan tiada. Sedihnya rasa. Andainya saya meninggal dunia, saya akan meninggal sendirian atau bak kata orang putih, I'll die alone. Tragis sungguh.

Disebabkan tiada sesiapa yang menunggu saya, maka tiada sesiapa juga yang akan menjaga barang-barang berharga saya - dompet yang berisi wang sebanyak RM7.00 dan telefon bimbit yang bukan dalam kategori smartphone. Saya meminta nurse membuka safety box yang terdapat dalam almari di sebelah katil saya kerana ia telah dikunci oleh pesakit sebelum ini supaya saya boleh menyimpan barang-barang berharga tersebut.

Setelah berpuas hati semuanya OK, saya memakai sarung kepala dan kemudian berbaring di atas pengusung. Sepanjang saya diusung ke bilik bedah, saya hanya memandang siling hospital. Sudah lama saya hendak berbuat demikian. Perasan seperti berada dalam salah satu episod siri "ER" atau "Grey's Anatomy." Pergh!

Di Bilik Bedah

Tiba di bilik bedah, saya diangkat daripada pengusung ke meja bedah.

"Eh, kenapa tepi sangat ni?" tanya salah seorang nurse yang mengangkat saya.

"Ringan sangat dia ni," jawab seorang lagi nurse. Dia tersengih-sengih bersama-sama dengan rakan-rakannya yang lain. Mereka kemudian membetulkan kedudukan saya di atas meja. Hai...badan ringan pun jadi bahan. Kalau berat?

Tidak lama selepas saya ditempatkan di meja bedah, Dr. A Sappany muncul di sebelah saya. Beliau menyuruh saya mengiringkan badan dengan membelakanginya. Doktor membuat tebukkan di tulang belakang saya. Kemudian beliau memasukkan tiub ke dalam lubang yang telah ditebuk dan mula mengalirkan ubat bius melaluinya. Beberapa minit kemudian doktor bertanya sama ada kaki saya sudah terasa 'berat.' Sebelum menjawab pertanyaannya, saya cuba mengangkat kedua-dua kaki saya. Memang benar, kaki saya sudah menjadi 'berat.' Saya langsung tidak boleh mengangkatnya. Soalan doktor itu saya jawab dengan anggukkan sahaja.

Sebaik sahaja saya menjawab soalan Dr. A Sappany, Dr. Siti Zaleha pula memunculkan diri dan memberi salam. Sebaik salam dijawab, saya mengucap seberapa banyak kali yang boleh di dalam hati. Dalam waktu-waktu kritikal itu boleh pula saya terfikir mungkin umur saya panjang lagi kerana mudah benar saya mengucap. Kemudian, tanpa sebarang amaran atau pemberitahuan, Dr. A Sappany memasangkan mask ke muka saya. Dan dengan hanya dua kali nafas, saya terus tidak sedarkan diri...     

Saturday, February 18, 2012

Saya dan Ovarian Cyst - Satu Advencer 5

Hari Pertama di Hospital

Akhirnya, hari yang dinanti-nantikan pun tiba. Pagi Isnin, 26/12/2011 itu saya ke hospital dengan ditemani oleh kakak dan keluarganya. Selesai mendaftar di bahagian Kemalangan dan Kecemasan (bahagian "Admission" ditutup kerana hari itu merupakan hari ganti cuti Krismas), saya terus dibawa ke wad kerana menurut staf yang mengendalikan pendaftaran, doktor sedang menunggu kedatangan saya.

Sampai sahaja di luar wad yang terletak di tingkat 7, saya berasa sedikit terkejut. Nama wad memang sedap; Lavender namanya. Tetapi yang tidak menyedapkan hati adalah apa yang tertulis di bawahnya - Maternity Ward ataupun dalam bahasa Melayu, "wad bersalin." Betulkah?

Mahu sahaja saya berkata kepada staf tadi, "Encik, rasanya kita sudah tersalah wad." Tetapi saya tidak mahu memandai-mandai pula. Nanti diri sendiri yang termalu. Kakak saya pula sudah tergelak-gelak. Cis! Tiada rasa kasihan langsung!

Staf tadi meninggalkan kami di bilik no. 713, iaitu bilik dengan 4 katil. Saya ditempatkan di katil no. 1 yang terletak berdekatan dengan pintu masuk bilik. Tidak lama kemudian, ketua nurse yang dipanggil Sherry yang menjaga shift pagi datang menemui saya untuk memberi sedikit taklimat dan mengambil bacaan tekanan darah dan suhu badan saya. 

Nurse Sherry juga menyerahkan satu borang yang saya perlu isi dan tandatangani. Borang ditinggalkan kepada saya untuk dibaca dengan teliti. Setelah faham dan bersetuju dengan isi kandungan borang, baharulah saya diminta untuk menandatanginya dan memanggil beliau apabila saya mahu menyerahkan kembali borang tersebut. Secara ringkasnya, borang tersebut merupakan borang akuan bahawa saya membenarkan pihak hospital melakukan pemindahan darah sekiranya keadaan memerlukan, dan tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap mereka sekiranya didapati darah yang dipindahkan tersebut sudah tercemar terutama sekali dengan HIV. Pandai betul! Tetapi saya tandatangani juga borang tersebut kerana kemungkinan untuk perkara itu berlaku teramatlah rendah ataupun rare. 

Anaesthetist Review

Sebelum Dr. Siti Zaleha datang menemui saya, terlebih dahulu saya dikunjungi oleh Dr. A Sappany yang merupakan pakar bius yang akan bertugas semasa pembedahan saya nanti. Beliau mengambil bacaan tekanan darah dan denyutan nadi saya (mungkin juga kadar pernafasan saya). Sebelum meninggalkan bilik, beliau meminta saya mula berpuasa pada pukul 12 tengah malam nanti.

Itu sahaja? Cepat sungguh, ya? 

Konsultasi Terakhir Sebelum Pembedahan

Selang beberapa minit Dr. A Sappany meninggalkan saya, Dr. Siti Zaleha pula yang datang 'berziarah.' Doktor memeriksa perut dan sekali lagi melakukan ultrasound ke atas saya untuk melihat keadaan cyst.

Doktor berpesan agar saya jangan terlalu risau. Tanpa berselindung saya katakan kepadanya bahawa saya sebenarnya berasa takut. Doktor menasihati saya supaya banyak-banyak berdoa dan berzikir. Juga membaca Yasin dan ayat Kursi. Sejuk hati mendengarnya. Memang itulah yang sedang saya usahakan. 

Lawatan Pakar Jantung

Pada sebelah petang pula saya menerima kunjungan daripada Dr. Zul Hilmi, doktor pakar jantung. Katanya, beliau diminta oleh Dr. Siti Zaleha untuk memeriksa saya. Rasa pelik juga mengapa seorang pakar jantung diminta untuk memeriksa saya? Teringat pada tengah hari tadi, selain darah saya diambil, nurse di wad juga ada membuat ujian Resting ECG ke atas saya. Rasanya 2, 3 kali juga dia mengulang membuat ujian tersebut seperti ada yang tidak kena. Sebab itukah Dr. Zul Hilmi dipanggil?

Doktor bertanya sekiranya saya ada masalah jantung sebelum ini atau pernah mengalami sakit dada? Sakit dada kadang-kadang memang ada, tetapi tiada kena-mengena dengan jantung. Kemudian beliau memeriksa saya dengan menggunakan stetoskop. Setelah berpuas hati, beliau meyakinkan saya bahawa keadaan jantung saya OK dan tiada masalah untuk saya menjalani pembedahan pada esok pagi. Alhamdulillah. Buat saspens sahaja. 

Waktu-waktu yang Berbaki

Sewaktu sedang makan malam sekali lagi Dr. Siti Zaleha mengunjungi saya. Beliau bertanya sama ada Dr. Zul Hilmi ada datang memeriksa? Saya katakan ada dan bertanya apa yang tidak kena? Menurutnya bacaan graf ECG saya ada sedikit kurang normal. Sebab itu beliau meminta Dr. Zul Hilmi memeriksa saya. Tetapi katanya saya tidak perlu risau kerana mungkin bacaan yang tidak berapa normal itu disebabkan elektrod yang dipasang tidak menurut turutan (setiap elektrod ada nombor turutan) atau terbalik.

Saya tidak suka betul apabila doktor menyebut tidak perlu risau kerana secara otomatik saya akan merasa risau. Betullah apa yang saya belajar di kelas NLP dulu. Minda bawah sedar kita tidak 'kenal' perkataan negatif seperti "tidak" atau "jangan." Rasanya bukan minda bawah sedar sahaja begitu. Minda sedar juga sama. Jadi, perkataan yang sepatutnya doktor sebut adalah saya perlu bertenang. Bukankah itu lebih sedap didengar? Ececece...cakap belakang bolehlah. Depan doktor tidak berani pula saya menegur begini...hehehe!

Selepas doktor meninggalkan bilik, saya meneruskan makan malam. Berselera sungguh saya makan (sebenarnya setiap kali makan memang saya sentiasa berselera...hehe!). Licin sungguh. Maklumlah mungkin ini kali terakhir saya boleh makan dengan berselera sehinggalah saya sembuh daripada pembedahan nanti. Huhuhu! Sehabis makan, tray makanan saya diangkat. Kemudian, nurse meletakkan tag di atas meja makan saya yang bertulis 'FASTING FROM 12 MN.'

Selepas makan malam tadi memang saya tidak memakan apa-apa pun. Masa saya dihabiskan dengan menonton televisyen sahaja. Terasa tidak dapat fokus, saya tutup televisyen. Dan semakin masa berlalu, semakin berdebar rasanya. Dalam pada melayan debaran itu, saya tidak sedar pukul berapa saya sudah terlelap.     

Monday, February 13, 2012

Saya dan Ovarian Cyst - Satu Advencer 4

Konsultasi Kedua

Selepas nama saya dipanggil dan diberikan filem CT Scan, saya naik semula ke tingkat 5 untuk berjumpa dengan doktor. Sampai di klinik doktor, filem tadi saya serahkan kepada pembantunya.

Beberapa minit kemudian saya dipanggil masuk ke bilik doktor. Tidak banyak yang doktor boleh komen dengan hanya melihat filem tersebut. Tetapi katanya, saya tidak perlu terlalu risau kerana beliau berpendapat cyst saya akan dapat dibuang dengan jayanya dan ia kelihatan tidak 'mengganggu' organ-organ yang lain. Cuma beliau menambah bahawa nanti beliau akan meminta seorang in-surgeon (tidak tahu sama ada ejaan saya ini betul atau tidak kerana saya hanya mendengar doktor menyebutnya sebagai "in-surgeon") untuk standby sekiranya cyst saya melekat pada usus. Daripada kes-kes yang pernah beliau tangani sebelum ini, doktor mengatakan memang terdapat beberapa pesakit di mana cyst mereka melekat pada usus. Jadi tugas in-surgeon tersebut adalah untuk memisahkan cyst daripada usus sebelum ia dapat dibuang oleh doktor.

Untuk ujian CA-125, keputusan tidak akan keluar pada hari yang sama. Jadi, doktor menyarankan supaya saya datang semula bertemunya dalam masa dua hari. Saya bersetuju sahaja dengan cadangan beliau. Maka, pada hari Rabu, 14/12/2011 nanti saya akan menemui doktor untuk mendapatkan keputusan ujian CA-125 tersebut.

Sebelum menamatkan sesi konsultasi itu, doktor bertanya sama ada saya mahu menjalani pembedahan di Hospital Tawakkal atau hospital lain? Saya jawab saya akan menjalaninya di Hospital Tawakkal. Disebabkan itu beliau berpesan kepada saya untuk mula memikirkan tarikh yang sesuai untuk saya menjalani pembedahan. Beliau mahu saya membuat keputusan dan memberitahunya pada temujanji kedua nanti. Sekali lagi beliau berpesan jangan tangguh lama-lama apabila saya bertanya apa akan jadi kalau saya biarkan sahaja cyst itu. Katanya lagi, cyst saya akan semakin membesar apabila saya datang bulan nanti.

Sungguh saya rasa terbeban kerana terpaksa membuat keputusan sekali lagi. Dalam perjalanan pulang, teman saya banyak memberikan kata-kata perangsang dan nasihat (begitu juga semasa menunggu untuk menjalani ujian CT Scan tadi). Syukurlah saya dikurniakan teman yang sentiasa ada semasa senang dan juga semasa susah. Terasa ringan sedikit beban yang ditanggung...

Temujanji Kedua

Seperti yang dijanjikan, hari Rabu saya bertemu semula dengan Dr. Siti Zaleha. Doktor memberikan salinan keputusan ujian CA-125 kepada saya. Bacaan ujian naik sedikit. Bacaan normal adalah bawah 35. Bacaan ujian saya adalah 35.8.

Doktor kata saya tidak perlu risau kerana mungkin tiada apa-apa. Beliau kata apa-apa pun, keadaan sebenar cyst saya cuma boleh diketahui semasa beliau melakukan pembedahan nanti. Semasa pembedahan juga baharu doktor akan tahu sejauh mana ovari saya telah rosak. Seperti yang telah diberitahu sebelum ini, doktor akan reconstruct ovari mengikut berapa bahagian yang masih elok. Jika sudah rosak terus, doktor akan membuangnya.

Kemudian doktor bertanya soalan yang paling saya tidak suka dan kalau boleh hendak dielakkan. Beliau bertanya bila saya hendak menjalani pembedahan. Saya beritahu doktor bahawa saya mahu menghabiskan kerja-kerja saya sehingga akhir bulan Disember. Jadi, mungkin bulan Januari saya bersedia untuk menjalani pembedahan.

Doktor melihat jadual beliau. Seketika kemudian beliau bertanya mengapa tidak saya menjalaninya pada penghujung bulan Disember. Saya telan air liur. Saya tanya doktor, paling lama sampai bila saya boleh tangguh pembedahan. Doktor kata sampai bulan hadapan (Januari). Tetapi itupun doktor tidak berani jamin. Lagipun katanya bulan Januari nanti beliau agak sibuk.

Disebabkan saya baharu pertama kali hendak dibedah dan baginya kes saya ini agak straight forward, doktor mencadangkan agar saya menjalani pembedahan pada hujung bulan Disember. Sekali lagi saya telan air liur. Beliau melihat jadualnya sekali lagi dan mencadangkan tarikh 26/12/2011 sebagai tarikh saya masuk hospital dan 27/12/2011 sebagai tarikh saya akan dibedah. Saya tidak mahu berfikir panjang lagi, jadi saya bersetuju sahaja dengan saranan doktor.

Disebabkan saya telah bersetuju, doktor juga memberitahu masa saya akan dibedah iaitu pada pukul 9 pagi. Tetapi itu bergantung jika bilik pembedahan tidak penuh. Jika tidak, beliau akan membedah saya pada waktu petang. 

Urusan Pra-Kemasukan Hospital

Setelah keluar dari bilik doktor dan menunggu sebentar di luar, pembantu doktor meminta medical card saya. Mujurlah saya ada medical card, dapat juga masuk hospital swasta. Kalau tidak, masuk hospital kerajaanlah jawabnya.

Pembantu doktor memulangkan filem CT Scan yang sebelum ini dipegang oleh doktor kepada saya. Katanya saya perlu membawanya pada hari kemasukan nanti.

Ada dua borang yang perlu saya tandatangani pada hari itu. Yang pertama ialah surat kebenaran untuk melakukan pembedahan. Di dalamnya juga ada disebut bahawa sekiranya keadaan memerlukan, saya bersetuju mana-mana organ saya dibuang. Sedih rasa semasa membaca ayat itu, tetapi apakan daya. Sekiranya ditakdirkan ovari saya terpaksa dibuang, saya redha sahaja. Selepas habis membacanya, baharulah saya menandatangani borang tersebut.

Borang yang kedua ialah borang pra-kemasukan hospital yang telah diisi oleh doktor. Saya cuma perlu tandatanganinya sahaja. Untuk pengetahuan, borang ini bukan dikeluarkan oleh syarikat insurans, tetapi dikeluarkan oleh syarikat yang menjadi pengantara antara syarikat insurans dengan hospital yang dikenali dengan panggilan Third Party Administrator (TPA). Rasa pelik pula, kerana saya biasa melihat borang tersebut di pejabat untuk kes-kes tuntutan yang dihantar oleh TPA kami. Kali ini saya pula yang perlu menandatanganinya.

Sebelum pulang, pembantu doktor menyerahkan sekeping sampul surat yang mengandungi borang kemasukan yang saya perlu tunjukkan kepada bahagian Kemasukan pada 26/12/2011 nanti dan juga surat akuan daripada doktor sekiranya saya memerlukan Guarantee Letter daripada majikan (yang ini tidak perlu sebenarnya kerana saya sudah menggunakan medical card). Dia juga memberitahu bahawa memang sudah confirm saya akan dibedah pada pukul 9 pagi, 27/12/2011. 

Penantian Suatu Penyeksaan

Begitulah, bagaimana dalam masa tidak sampai sebulan cyst ini 'ditemui' saya diberitahu bahawa ia sudah sampai tahap perlu dibuang. Kalau dihitung, saya ada masa tidak sampai dua minggu untuk menghabiskan kerja-kerja di pejabat. Jadi, sementara menunggu tarikh keramat itu, saya hanya fokus terhadap kerja-kerja dan juga mula train rakan yang akan back-up saya semasa ketiadaan saya nanti.

Tangan kiri saya yang dicucuk jarum semasa ujian CT Scan pula masih terasa lenguh. Ambil masa seminggu lebih juga untuk ia benar-benar hilang.

Dan semakin dekat tarikh pembedahan, semakin berdebar saya dibuatnya. Apa yang saya mampu lakukan adalah berdoa semoga segalanya selamat...

Sunday, February 12, 2012

Sesudah Enam Minggu

Pada satu hari di tahun 2011, seorang rakan baik saya bercerita bahawa salah seorang rakan sepejabat saya telah menyaksikan suatu kemalangan yang berlaku bersebelahan dengan pejabat saya. Sebuah bas RapidKL telah melanggar seorang gadis yang sedang menyeberangi jalan untuk ke tempat kerja.

Dia bercerita bahawa walaupun gadis itu cedera di mana bahagian kakinya luka teruk, dia cuba menolak apabila ada orang menawarkan diri untuk membawanya ke hospital. Alasan yang diberikan, dia ada banyak kerja yang perlu disiapkan di pejabat. Nampaknya, dalam menanggung kesakitan dia lebih risaukan kerjanya yang banyak di pejabat daripada dirinya sendiri. Saya pula boleh tidak merasa hairan dengan kata-kata gadis itu. Kepada rakan saya tadi saya katakan, kalau perkara itu terjadi kepada saya (minta-minta dijauhkan), rasanya saya juga akan ucapkan perkara yang sama seperti gadis tersebut. Nampaknya kerja benar-benar telah menguasai diri saya.

Namun, selepas apa yang terjadi kepada diri saya baru-baru ini, saya mula sedar bahawa sebenarnya saya tidaklah gila kerja seperti gadis tersebut, malah merasa amat lega apabila dapat 'berhenti' kerja buat sementara ini. Seperti kata seorang rakan baik yang lain, sebenarnya pembedahan yang telah saya jalani itu merupakan suatu perkara yang baik bagi saya kerana saya dapat berehat lama dan sekaligus saya tidak perlu merasa stres dengan kerja lagi. Ya, saya rasa itu salah satu daripada hikmahnya saya diberi ujian ini. Lagipun saya rasa stres ini merupakan salah satu penyumbang masalah cyst saya dulu semakin teruk.

Terus terang saya tidak merindui langsung pejabat saya, apalagi kerja-kerja yang sedang menanti. Tetapi malam tadi saya ada termimpikan rakan-rakan sepejabat, termasuk rakan yang bercerita tadi yang juga merupakan bekas rakan sepejabat.

Hahaha! Inilah salah satu simptom orang yang sudah hendak masuk kerja semula setelah bercuti panjang agaknya. Dulu masa zaman sekolah, saya selalu mimpi pergi sekolah sehari atau dua hari sebelum sekolah akan dibuka semula selepas cuti. Sekarang terbawa-bawa pula ke alam bekerja.

Kesimpulannya, saya hendak beritahu bahawa esok saya akan mula bekerja semula. Oh tidakkkk!!!   

Friday, February 10, 2012

Saya dan Ovarian Cyst - Satu Advencer 3

CA-125

Pertama sekali, saya perlu pergi berjumpa dengan Drakula. Eh, bukan. Saya pergi ke Lab di tingkat 6 hospital di mana darah saya diambil untuk ujian CA-125 (CA = Cancer Antigen), yang merupakan 'penanda' bagi kanser ovari.

Darah diambil daripada urat yang terdapat di pelipat tangan. Sama sahaja prosedurnya semasa darah saya diambil untuk ujian di MJ Health Screening Centre sebelum ini. Selesai darah saya diambil, saya bergerak pula ke tingkat 1 menuju ke bahagian Diagnostic Imaging untuk menjalani ujian CT Scan pula. 

CT Scan

CT Scan perlu dilakukan untuk doktor melihat kedudukan sebenar cyst dan juga ukurannya. Doktor juga hendak melihat sekiranya cyst ini telah merebak atau menjangkiti organ-organ lain di bahagian abdomen.

Setelah menyerahkan dokumen di kaunter, saya diminta untuk menunggu kerana mereka perlu memastikan sama ada CT Scan sedia untuk digunakan pada petang itu. Agak lama juga menunggu (nasib baik saya tidak lagi keseorangan pada waktu ini), iaitu lebih kurang setengah jam, baharulah seorang yang saya kira merupakan pembantu perubatan berjumpa dengan saya untuk memberitahu bahawa saya akan di-scan pada petang itu. Dia juga memberitahu bahawa nanti saya akan diberi minum 'ubat' atau dye (supaya organ-organ dalam badan boleh dilihat dengan jelas dalam filem x-ray nanti) dan juga tangan saya akan dicucuk jarum untuk tujuan disuntik dye.

Setelah diberi penerangan ringkas itu, sekali lagi saya diminta untuk menunggu. Tidak pula saya sangka begitu rupanya prosedur untuk menjalani CT Scan. Selama ini saya fikir sekiranya seseorang hendak di-scan, tidak kira apa jenis scan pun, kita cuma akan di-scan begitu sahaja; tidak perlu minum apa-apa atau disuntik apa-apa. Kalau beginilah caranya untuk menjalani CT Scan, untuk menjalani ujian MRI entah bagaimana pulalah caranya, ya? Hmm...

Tidak lama kemudian, saya terdengar nama saya dipanggil dari kaunter. 'Minuman' saya sudah siap! Saya diminta untuk menghabiskan air yang sebanyak setengah tumbler itu. Nurse memberitahu saya tidak perlu tergesa-gesa untuk menghabiskan air tersebut, ambillah seberapa banyak masa pun yang saya mahu. Setelah habis bolehlah pulangkan kembali tumbler tersebut di kaunter. 

Dugaan Menimpa-nimpa

Memang saya mengambil masa untuk menghabiskan air tersebut. Bukan sebab apa pun, sebab sebelum itu saya sudah pun minum air mineral. Air yang diberikan pula tidak ada bezanya dengan air kosong - ia tidak berwarna, cuma ada sedikit rasa payau.

Habis sahaja, saya terus pulangkan semula tumbler itu ke kaunter. Sekali lagi saya diminta untuk menunggu. Sementara menunggu, sempat juga teman saya bergurau, "Siti R nak kena CT Scan."

Lebih kurang begitulah katanya. Ya, ya, ya...very funny. Huh.

Akhirnya, saya dipanggil untuk masuk ke dalam bilik CT Scan. Setelah menukar pakaian kepada gaun hospital dan berbaring, tiba-tiba saya ditanya oleh staf di bilik CT Scan itu sama ada tangan saya sudah dicucuk. Saya kata belum. Patutlah saya rasa macam ada sesuatu yang tertinggal. Staf tersebut tidak pula memeriksa lebih awal. 'Panas' juga rasa kerana saya perlu menukar pakaian kembali (kerana saya tidak mahu keluar dengan berpakaian gaun hospital ke bahagian Kemalangan dan Kecemasan yang terletak bersebelahan dengan bahagian Diagnostic Imaging).

Di bahagian Kemalangan dan Kecemasan pula, nurse yang hendak menyucuk jarum ke tangan saya menghadapi kesukaran. Ini kerana katanya urat saya terlalu halus. Puas dia menepuk-nepuk tangan kanan saya, tetapi urat seperti tidak mahu timbul. Dia beralih pula ke tangan kiri saya. Masih lagi masalah yang sama. Pelik juga saya rasa; tidak mungkin dia tidak pernah berhadapan dengan pesakit yang berurat halus seperti saya sebelum ini? Atau memang tiada orang yang berurat halus seperti saya? Wah! Kalau begitu, saya sudah lebih kurang sama taraf dengan Cinderella yang berkaki 'halus' (entah apa kaitannya saya pun tidak tahu).

Disebabkan tidak berjaya, dia memanggil seorang nurse lelaki yang kebetulan berada di hadapan wad Kemalangan dan Kecemasan itu untuk menolongnya. Pergh! Tenaga lelaki memang tidak boleh disangkal kuatnya. Habis tangan saya dijerutnya. Nasib baik dia berbasa-basi dengan saya, "Minta maaf ya Kak...maklumlah tenaga orang lelaki."

Saya hanya mampu tersenyum kelat menahan rasa kebas di tangan dan juga rasa malu akibat menjadi perhatian (ini kerana semua nurse yang berada di hadapan wad juga berkumpul mengelilingi katil saya sambil memerhati penuh minat. Saya rasa memang sahlah mereka semua belum pernah lagi berjumpa dengan pesakit seperti saya). Nasib baik juga nurse lelaki yang bernama Hafiz itu agak kacak juga orangnya, jadi hati saya tidaklah terasa kebas sangat. Ahaks!

Setelah nurse Hafiz berjaya membuatkan urat saya timbul, nurse yang mula-mula tadi (maklumlah perempuan, saya tidak ingat pula namanya...hehe!) menyambung kerjanya yang tertangguh tadi iaitu menyucukkan jarum ke tangan saya. 

Di Bilik CT Scan

Setelah selamat tangan saya dipasang jarum, saya kembali semula ke bilik CT Scan. Sekali lagi saya bertukar pakaian. Kali ini saya dilayan oleh dua orang staf yang kedua-duanya perempuan. Staf yang tadi berada di sebelah bilik yang dipisahkan oleh dinding separuh kaca kerana dia perlu mengendalikan komputer yang akan merakamkan imej-imej scan nanti.

Saya dibiarkan berbaring dahulu sementara kedua-dua staf tadi ke ruang sebelah. Mungkin sedang melakukan persiapan. Pada masa sedang berbaring itu baharulah saya sedar bahawa seluruh badan saya sedang menggigil dengan kuatnya. Bukan sebab takut, tetapi disebabkan suhu bilik yang terlalu sejuk. Puas saya cuba menenangkan diri tidak mahu melawan rasa sejuk. Tetapi saya tenang sebentar, kemudian menggigil semula. Begitulah keadaan saya buat beberapa minit.

Tidak lama kemudian salah seorang daripada staf tersebut masuk semula dan memberitahu bahawa sebentar lagi mereka akan mula menyuntik dye melalui jarum yang dipasang di tangan saya. Saya juga ditanya sama ada telah membuang air kecil selepas minum air tadi. Tentulah tidak kerana saya tidak mahu minum semula air tersebut. 

'Deraan-deraan' Kecil

Staf tadi keluar sebentar. Beberapa ketika kemudian dia masuk semula sambil memegang borang arahan doktor yang saya serahkan di kaunter tadi.

"Doktor suruh Puan scan bahagian abdomen dengan pelvis, kan."

Daripada intonasinya saya tidak pasti sama ada dia sedang menerangkan atau sedang bertanya kepada saya. Saya hanya mengangguk-anggukkan kepala. Dengan muka seperti orang bersalah dia menyambung lagi bahawa doktor telah memintanya untuk melakukan satu lagi prosedur ke atas saya supaya organ-organ di bahagian pelvis dan abdomen akan kelihatan lebih terang dan jelas dalam filem x-ray nanti. Caranya adalah dengan memasukkan dye melalui dubur. Boleh pula dia bertanya boleh atau tidak.

Terkedu saya mendengarnya. Maka, dengan rasa berat hati saya merelakannya.

Selepas melakukan prosedur yang tidak saya jangka tadi, jarum saya disambungkan ke sebuah mesin yang terletak di tepi stretcher tempat saya berbaring. Mesin inilah yang akan menyuntik dye ke dalam tubuh saya. Sebelum suntikan dimulakan, dia memberitahu bahawa saya akan merasa sakit sedikit pada permulaan dye disuntik.

Suntikan pertama - memang benar pada mula-mula dye disuntik masuk ke dalam urat, memang sangat terasa sakitnya. Seolah-olah urat saya mengembang dan saya boleh rasa aliran dye masuk ke dalamnya. Nasib baiklah staf tadi sudah sedia memegang dan mengurut-ngurut tangan saya. Walaupun sakitnya cuma sebentar, tetapi agak 'menyengat' juga. Selepas suntikan pertama, saya dibiarkan berehat sebentar. Seperti juga sebelum suntikan pertama, dia memberitahu suntikan kedua juga saya akan merasa sakit yang sama. Aduhai.

Suntikan kedua - sekali lagi saya merasa sakit yang sebentar, tetapi begitu 'menyengat' itu. Selepas disuntik, sekali lagi saya dibiarkan berehat sebentar.

Suntikan ketiga - sebelum disuntik saya diberitahu bahawa suntikan kali ini lebih kuat dan saya akan merasa sedikit panas pada permulaan suntikan. Ya, suntikan ketiga dan yang terakhir ini memang lebih menyakitkan sehinggakan saya mengaduh kesakitan. Sama seperti kedua-dua suntikan tadi, sakitnya cuma sebentar. Namun saya tidak terasa panas seperti yang didakwa oleh staf tadi.

Saya tidak tahulah sama ada saya ini memang jenis manusia yang tidak boleh menahan sakit, atau ini perkara biasa yang perlu ditanggung oleh semua pesakit yang perlu menjalani CT Scan? Apa-apapun, perkara ini membuatkan saya terfikir. Untuk mengetahui tahap mana penyakit yang dihidapi, saya perlu merasa sakit. Tidakkah itu ironi namanya? 

Scanning Bermula

Setelah berehat sebentar, proses scanning pun dimulakan. Disebabkan saya hanya perlu di-scan di bahagian abdomen dan pelvis, maka tempat saya berbaring digerakkan secara mekanikal agar bahagian itu sahaja yang berada di bawah 'gelung' CT Scan tersebut. Tangan saya pula diangkat ke kepala.

Saya diminta untuk mendengar dan mengikut arahan yang akan diberikan semasa proses scanning nanti. Kemudian staf tadi beredar ke ruang sebelah lalu menutup pintu.

Saya sudah bersiap sedia. Tanpa diminta, saya memejamkan mata kerana ada terbaca arahan yang terdapat di 'gelung' CT Scan supaya pesakit tidak memandang sinar x secara terus. Selepas memejamkan mata buat beberapa ketika terdengarlah suara wanita (rakaman) memberi arahan seperti yang dimaksudkan oleh staf tadi.

"Tarik nafas," saya pun menarik nafas.

"Hembus nafas," nafas tadi dihembus.

"Tahan," saya menahan diri daripada bernafas semula.

Seketika kemudian terdengar bunyi (tidak tahu pula bagaimana saya hendak menerangkan bunyinya seperti apa) keluar dari CT Scan dan suasana dalam bilik terasa seperti terang walaupun saya sedang memejamkan mata.

Apabila keadaan kembali seperti biasa, terdengar lagi arahan yang saya tidak berapa dengar sangat butir bicaranya. Saya rasa ia menyuruh saya bernafas seperti biasa. Jadi, saya bernafas seperti biasa.

Demikianlah, proses di atas diulang sebanyak dua kali lagi. Selesai di-scan, staf tadi datang menyelimutkan saya. Sekali lagi saya dibiarkan berbaring sambil menunggu. Walaupun diselimut, saya masih lagi merasa sejuk yang amat.

Beberapa minit kemudian, staf tadi masuk ke bilik untuk bertanyakan keadaan saya. Tanpa berselindung saya mengadu saya berasa terlalu sejuk dan perlu ke tandas. Setelah meminta kebenaran, saya dibenarkan menukar pakaian dan kemudian menggunakan tandas staf. 

Masa Berlalu Tanpa Kumenyedari

Oleh kerana proses scanning sudah tamat, saya diminta untuk ke bahagian Kemalangan dan Kecemasan untuk menanggalkan jarum yang telah dipasang di tangan tadi. Semasa di muka pintu bilik, staf tadi sempat menasihatkan saya agar banyak minum air untuk membuang dye yang masih lagi ada di dalam tubuh.

Lalu saya menuju ke bahagian Kemalangan dan Kecemasan dan memberitahu nurse yang berada di sana bahawa jarum di tangan saya perlu ditanggalkan. Fuh! Leganya rasa setelah ia ditanggalkan. Namun saya dapati, di sekitar pergelangan tangan saya sudah mula membengkak dan terasa sakit dan lenguh.

Kembali semula ke bahagian Diagnostic Imaging, saya bertanya di kaunter sama ada saya perlu berjumpa dengan doktor sekali lagi. Staf di kaunter meminta saya menunggu dahulu kerana katanya doktor sedang solat pada waktu itu dan dia tidak pasti sama ada filem x-ray saya sudah siap atau belum. Betapa cepat masa berlalu, rupa-rupanya sudah masuk waktu Asar. Ini bermakna saya telah menghabiskan masa selama lebih tiga jam di bahagian Diagnostic Imaging!

Berdebar juga rasa kerana terpaksa menunggu lagi. Entah apa pula kata doktor apabila saya berjumpa dengannya sekali lagi selepas ini? Hmmm...

Tuesday, February 07, 2012

Saya dan Ovarian Cyst - Satu Advencer 2

Berjumpa Pakar

Mati akal saya dibuatnya. Tiada pengalaman dimasukkan ke hospital membuatkan saya tidak tahu hendak merujuk situasi yang saya hadapi ini kepada siapa atau hospital mana. Banyak masa saya dihabiskan dengan membaca tentang Complex Ovarian Cyst di internet dan juga membuka laman web-laman web  hospital swasta yang terlintas di fikiran saya. Namun masih juga saya tidak dapat membuat keputusan untuk merujuk ke mana.

Dalam pada kebuntuan, tiba-tiba saya teringat bahawa berdekatan dengan taman perumahan saya ini terdapat sebuah Klinik Pakar Wanita. Kenapalah saya tidak terfikirkannya awal-awal lagi? Maka, pada hari cuti ganti Maal Hijrah, iaitu pada 28/11/2011, saya merujuk kes saya di sana.

Sekali lagi ujian ultrasound dilakukan ke atas saya. Doktor yang bernama Achaiah Kumar Rao mengesahkan apa yang ditemui sebelum ini. Beliau berpendapat bahawa Complex Ovarian Cyst saya ini adalah daripada jenis endometrioma (secara ringkasnya ada tiga jenis Complex Ovarian Cyst - dermoid cyst, endometrioma dan cystadenomas).

"Tapi doktor, kenapa saya tak rasa sakit?" tanya saya ingin tahu.

"Cyst biasanya memang tak menyakitkan. Kalau sakit maknanya (ia) dah teruk," jawab doktor dengan selamba.

Disebabkan saiznya yang telah besar doktor juga berpendapat saya perlu dibedah. Apabila saya bertanya adakah Laparoscopy (pengalaman mengendalikan kes-kes tuntutan insurans sebelum ini membolehkan saya mengetahui serba sedikit jargon-jargon perubatan) sesuai untuk membuang cyst tersebut? Doktor menggelengkan kepalanya dan mengatakan ia tidak sesuai kerana saiz cyst yang besar itu. Well, size does matter after all...sigh.

Selepas perut saya di-scan, doktor menuliskan surat rujukan untuk saya. Sepanjang masa itu, saya hanya berdiam diri dan melihat doktor menulis, tetapi tiada tanda-tanda doktor merasa gementar. Saya fikir mungkin beliau sudah biasa ditenung begitu. Ahaks! 

Membuat Temujanji

Walaupun sudah mendapat surat rujukan, saya masih buntu hendak merujuk kes saya ini di hospital mana. Lalu saya mengadukan hal saya ini kepada Kak Ferry (bukan nama sebenar), rakan sekerja yang berpengalaman luas dalam hal tuntutan insurans. Jadi saya kira dia pasti boleh mencadangkan kepada saya di hospital mana saya boleh rujuk kes saya itu.

Nampaknya Kak Ferry memang tidak menghampakan. Bukan sahaja dia mencadangkan hospital, tetapi dia turut membantu saya mencari nama Pakar Perbidanan dan Sakit Puan (kerana saya ada beritahu bahawa saya hanya mahu doktor perempuan) beserta nombor telefon dan nombor sambungan kliniknya sekali. Akhirnya saya membuat temujanji untuk berjumpa Dr. Siti Zaleha, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan di KPJ Tawakkal Specialist Hospital (Hospital Tawakkal) pada hari Isnin, 12/12/2011. 

Hari Temujanji

Pada hari yang dijanjikan, saya bertemu dengan Dr. Siti Zaleha di Hospital Tawakkal. Setelah menyerahkan surat rujukan dan bercerita serba sedikit tentang 'sejarah' cyst saya seperti yang diminta oleh doktor, sekali lagi saya di-scan.

Semasa sedang di-scan, doktor bertanya sama ada saya akan berkahwin dalam masa terdekat ini. Dalam terhairan-hairan kerana merasakan soalan doktor tidak relevan dengan penyakit yang dihidapi, saya menjawab tidak. Rupa-rupanya soalan doktor itu agak relevan kerana selepas itu beliau menerangkan bahawa sekiranya saya berkahwin dalam masa terdekat ini, ada kemungkinan cyst itu akan 'tidur.' Masih dalam kehairanan saya bertanya apa yang dimaksudkan oleh doktor sebagai cyst itu akan 'tidur'?

Maksudnya, sekiranya saya mengandung, cyst itu akan 'tidur' sepanjang saya mengandung, iaitu ia tidak akan membesar lagi. Oh...begitu rupanya. Tetapi sebenarnya saya masih lagi berasa hairan. Sepanjang pembacaan saya mengenai cyst, kebanyakannya mengatakan bahawa cyst ini antara penyebab wanita sukar mengandung. Tetapi daripada apa yang doktor cakap, seolah-olah tiada masalah atau mudah untuk mengandung walaupun saya ada cyst. Namun, mulut saya ini tidak ringan pula hendak bertanya lebih lanjut. Anggap sahajalah itu sebagai salah satu daripada rahsia Tuhan. Habis cerita. Cuma...terasa sayang sungguh kerana saya tidak akan berkahwin dalam waktu terdekat ini. Ahaks! 

Endometrioma

Sebagaimana Dr. Achaiah, Dr. Siti Zaleha juga berpendapat bahawa cyst saya ini adalah daripada jenis endometrioma. Katanya cyst ini terjadi disebabkan darah haid saya yang tidak 'turun' habis semasa datang bulan, sebaliknya ia berkumpul di kantung yang tumbuh di ovari (dalam kes saya di sebelah kiri). Proses ini dikenali juga sebagai "retrograde menstruation." Lama-kelamaan darah yang berkumpul itu bertukar warna menjadi coklat, sebab itu ia juga dikenali sebagai Chocolate Cyst. Setiap kali haid, cyst akan membesar disebabkan darah yang terkumpul itu. Pelik juga saya, bagaimana aliran darah tersebut boleh melawan graviti? Sungguh-sungguh misteri. Lebih misteri daripada misteri nusantara.

Dr. Siti Zaleha juga sependapat dengan Dr. Achaiah, saya memang perlu dibedah. Dan perlu dibedah dalam masa yang terdekat ini. Ada beberapa kemungkinan yang boleh terjadi sekiranya dibiarkan. Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, ada kemungkinan cyst akan pecah atau bersimpul (twisted) di ovari. Doktor juga khuatir jika ia akan banyak 'memakan' atau merosakkan ovari saya. Jika masih OK, doktor akan reconstruct ovari mengikut berapa banyak bahagian yang masih elok. Kalau rosak teruk, ada kemungkinan ovari perlu dibuang terus! Gerun juga saya mendengarnya, sama gerunnya semasa saya mendengar bahawa saya perlu dibedah.

Doktor juga menasihatkan saya supaya mula mengatur dan menguruskan kerja saya di pejabat. Ini adalah kerana saya perlu berehat selama satu hingga dua bulan selepas dibedah. OK, yang ini saya tidak gerun mendengarnya tetapi terasa seperti hendak melompat-lompat kegembiraan...hehehe!

Namun, doktor tidak mahu terburu-buru untuk membedah saya. Beliau mahu memastikan keadaan sebenar cyst saya itu. Seperti yang diberitahu kepada saya, beliau tidak mahu ada 'surprise' semasa saya dibedah nanti. Jadi, beliau meminta saya menjalani dua ujian bagi beliau menganalisa keadaan saya. Saya perlu menjalani ujian Tumor Marker CA-125, dan juga CT Scan pada hari tersebut.

Maka, sekali lagi, bermulalah hari yang panjang bagi saya...