Sunday, September 16, 2012

Khas untuk Peminat Liverpool

Tengah hari tadi saya menonton sebuah dokumentari pendek di TV AlHijrah (rancangan bermula sebaik sahaja selepas azan Zohor) berkenaan sukan/riadah yang merupakan salah satu sunnah Nabi Muhammad SAW. Saya tertarik dengan salah satu kisah yang diceritakan dalam rancangan tersebut.

Teruja sungguh saya hendak berkongsi kisah tersebut di sini khasnya kepada peminat-peminat Liverpool yang mungkin sedang berdukacita atau sedang menerima kutukan-kutukan daripada para peminat kelab bolasepak yang lain.

Baik. Saya ceritakan semula kisah tersebut di sini; mengikut apa yang saya ingat. Maklumlah saya tidak mencatatnya, hanya mengingatinya dalam kepala. Jadi jika ada salah dan silap harap maafkan saya di hari terakhir Syawal ini.

Kisahnya, Nabi Muhammad SAW ada membela seekor unta (ada disebut namanya tetapi tidak berapa ingat pula) yang sering dibawa berlumba. Unta baginda itu tidak pernah kalah dalam mana-mana pertandingan yang disertai.

Sehinggalah pada suatu hari, unta Nabi Muhammad SAW itu berlumba dengan seekor unta yang lebih muda yang dimiliki oleh seorang lelaki Badwi. Untuk pertama kali, unta baginda dikalahkan oleh unta lelaki Badwi tersebut.

Sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW semuanya berasa sedih atas kekalahan untanya itu. Masing-masing seperti tidak dapat menerima kenyataan yang sungguh pahit untuk ditelan itu. Mana mungkin unta baginda boleh kalah?

Tetapi Nabi Muhammad SAW menasihati sahabat-sahabat baginda agar tidak berasa sedih sebaliknya bergembira menerima kekalahan tersebut.

Biasalah. Ada masa kita menang, ada masa kita kalah. Biar bagaimana hebat pun kita, pasti ada masa kita akan kalah juga. Jadi terimalah kekalahan itu dengan perasaan gembira.

Apa yang penting? Semangat kesukanan (mungkin juga semangat kesunanan? Eh?)

Oleh itu kepada peminat-peminat Liverpool di luar sana. Bergembiralah. Hari-hari yang telah berlalu ini kita sekadar kalah atau seri sahaja. Hari-hari mendatang, siapa tahu? Lagipun kita sudah ada sejarah yang boleh dibanggakan. Semoga roda kegemilangan Liverpool akan naik semula. Segala-galanya mungkin dalam bolasepak. Ecece...

YNWA.

Nota: Banyak pula saya menulis tentang Liverpool semenjak dua menjak ini.

Nota 2: Kisah di atas mengikut garapan saya sendiri. Jadi, pasti ada banyak kekurangan daripada cerita sebenar yang lebih lengkap dan sedap didengar walaupun dalam bahasa Arab.

4 comments:

fndrocka said...

biasanya lawan man utd boleh menang

Siti R said...

Kena suggest kat BR...terapkan dlm minda players...anggap setiap pasukan yg dilawan adalah man utd...mesti menang ajelah lps ni.

Ok tak idea ni? Brilliant, kan? Haha

Kurma said...

Suruh dorang tido je.. mimpi menang..

Siti R said...

Eh, dah menang besar dah last weekend. Lepas ni akan menang dan menang dan menang...sampai akhirnya berjaya menjadi juara EPL...pergh