Thursday, August 26, 2010

Tak tahu Nak Letak Tajuk Apa

Dulu masa zaman kanak-kanak, aku tak tahu kenapa emak suka cakap dia pungut aku dari tong sampah. Lepas tu dia akan ketawa mengekeh-ngekeh. Lawak emak memang lawak paling brutal dalam dunia ni. Aku pula jadi serba salah - nak ketawa samakah atau nak rasa kecil hati? Jadi aku ambil jalan tengah; ketawa tidak, rasa kecil hati pun tidak. Paling koman pun aku cakap, "apalah emak ni," sambil merengek-rengek dan memukul-mukul tangannya mengikut kudrat seorang budak kecil.

Dulu masih di zaman kanak-kanak, aku ingat lagi masa kakakku yang ke-enam hendak melahirkan anak sulungnya. Emaklah orang pertama yang lari dari bilik (kakak bersalin di rumah), tak mahu menemani kakak yang sedang menanggung sakit hendak bersalin. Emak kata dia tak berani tengok orang bersalin. Hairan betul aku dengan emak. Mananya aku tak hairan, emak dah melahirkan 10 orang anak berderet-deret tapi takut hendak tengok orang bersalin? Bukan orang lain pun. Anak dia juga. Musykil, musykil. Atok Mak  (nenek aku merangkap emak kepada emak aku) pun rasa musykil. Kenapa kami emak beritahu, dia tak sanggup melihat kakak. Nanti dia yang akan rasa sakit sebab dia memang dah terasa-rasa sakitnya walaupun bukan dia yang hendak bersalin. Perbuatan emak membuatkan aku jadi curious.

Maka, senyap-senyap aku mengintai kakak dari balik langsir pintu. Tapi, ya Allah...rasa menyesal tengok. Tapi nak tengok juga walaupun aku stres. Punyalah payah dia meneran baby supaya keluar. Dia teran, aku tahan nafas. Dia ambil nafas, aku lepas nafas. Macam aku pulak yang nak bersalin (patutlah emak tak sanggup tengok). Bila dah keluar baby, terus dia terkulai tak bermaya. Touching sungguh aku melihatnya T___T

Masa itu baharu aku tahu susah rupanya hendak melahirkan anak. Tapi aku hairan, ada juga orang yang sangat mudah melahirkan anak iaitu perempuan-perempuan yang mengandung secara tidak halal atas kelemahan sendiri. Dulu aku ada dengar orang cakap, mereka sangat mudah melahirkan anak sebab syaitan yang jadi bidan. Iskh...betul ke? Macam cerita seram pula. Wallahu'alam.

Tapi kalau bulan puasa macam sekarang ni macam mana pula? Syaitan dah kena ikat. Dan aku tak rasa mereka amalkan bacaan doa untuk mudah bersalin. Jadi, aku rasa mereka ini diberi kesenangan untuk bersalin bukan sebab apa. Sebab mereka memang tidak layak pun untuk merasa sakit (kecuali mungkin kalau mereka dah bertaubat). Kenapa? Sebab setahu aku wanita yang mula rasa sakit hendak bersalin, diberikan pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah. Kemudian kesakitan yang dirasai pada setiap urat sarafnya pula, Allah kurniakan pahala satu haji. Mana nak dapat pahala macam tu punya best kalau tidak secara yang halal?

Apa-apapun, itu cuma pendapat peribadi aku. Betul atau tidak, hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui.

Nota: Sekarang, kalau baca tentang bayi-bayi dibuang dalam tong-tong sampah (atau di mana sahaja...dah merata-rata), aku mesti teringatkan lawak emak tu. Kalau perkara ni dah berlaku secara berleluasa sejak aku di zaman kanak-kanak lagi, aku yakin emak tidak akan berani hendak buat lawak seperti di atas.

Wednesday, August 18, 2010

Cuti-cuti China: Hari Ketiga - Bahagian 2

Hari Ketiga - 25/4/2010 

Baju Sejuk 

Sebelum meneruskan perjalanan ke Great Wall, kami membeli tiket balik ke Beijing. Waktu balik adalah 1.10 petang. Harga tiket sama sahaja dan kami membeli tiket first class sesuai dengan orang yang ada class seperti kami. Disebabkan ada class, paras keegoan turut meningkat naik.

Maka, dengan penuh rasa keegoan saya mengajak Chik meneruskan perjalanan ke Great Wall yang terletak sejauh 800 meter dari stesyen keretapi. Walaupun kesejukan, saya rasa saya masih mampu bertahan berjalan kaki dalam cuaca yang sejuk. Maklumlah, ego...lagipun saya ada shawl. Chik memandang saya dengan penuh curiga apakah saya benar-benar boleh bertahan dalam keadaan sekarang.

"Siti, hidung tu dah merah," kata Chik merujuk kepada hidung mancung saya.

"Hah! Ye ke?" tanya saya buat-buat terkejut. Dalam kepala sudah terbayang wajah badut.

Mungkin kerana risaukan saya, Chik mencadangkan agar kami berpatah balik ke stesyen keretapi. Mungkin di sana ada kedai yang menjual baju sejuk. Saya tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju dengan cadangan Chik kerana saya memang sedang mengigil dengan kuatnya. Ego ditolak ke tepi. Nyawa lebih penting. Nasib baiklah kami baharu berjalan tidak sampai 10 meter meninggalkan stesyen, jadi hendak patah balik tidaklah jauh sangat.

Di stesyen cuma ada satu sahaja kedai serbaneka. Sebenarnya nak kata kedai, tak macam kedai. Nak kata kiosk, tak macam kiosk juga. Macam kaunter pertanyaan adalah. Cuma dalam 'kaunter' itu ada bermacam-macam barangan yang dijual daripada makanan, cenderahati hinggalah kepada baju sejuk. Ya, baju sejuk. Itulah yang saya cari walaupun terpaksa menunggu mamat-mamat dan minah-minah China yang mengerumuni depan 'kaunter' untuk membeli mee segera selesai dengan urusan mereka.

Sebaik sahaja mereka berlalu, saya dan Chik pun pergi ke depan 'kaunter'. Jurujual di situ merupakan seorang wanita dalam lingkungan umur 40-an. Di atas meja di 'kaunter' memang sudah ada diletakkan contoh baju sejuk. Saya mengambil baju sejuk itu. Perkara pertama yang saya check adalah saiz baju. Kening saya terangkat apabila melihat saiznya. Saya lihat baju dan kemudian saya pandang seorang lelaki caucasian bertubuh besar yang berada di sebelah kiri saya yang sedang mencuba baju sejuk yang mungkin bersaiz sama dengan baju yang sedang saya pegang. Kepada jurujual saya bertanya adakah baju yang bersaiz 'S' sambil menulis huruf 'S' di atas meja menggunakan jari telunjuk saya. Dia juga menulis huruf 'S' di atas meja dengan menggunakan jari telunjuknya. Kemudian tangannya diangkat ke paras dada dan digerakkan ke kiri dan ke kanan sambil mengeleng-gelang kepala. Saya hampa; tiada saiz 'S'. Bagaimana pula dengan saiz 'M'? Saya bertanya dengan cara yang sama. Dengan cara yang sama juga dia kata tiada saiz 'M' dalam stok. Hampa lagi.  Dia kata cuma ada satu saiz sahaja yang tinggal sambil menunjuk baju-baju sejuk yang ada di atas meja dan yang bersusun di belakang 'kaunter'.

Chik menggesa saya membelinya walaupun tiada saiz yang sesuai dengan saya. Katanya lebih baik pakai yang ini dahulu daripada saya mati kesejukan. Sungguh tidak sayang mulut betul si Chik ni. Tapi betul juga apa yang dikatanya. Saya hanya perlu memakai sementara sahaja baju sejuk tersebut. Apabila sampai di Great Wall nanti, pasti ada banyak lagi kedai yang menjual baju-baju sejuk yang mungkin sesuai dengan saiz badan saya. Jadi, mahu tidak mahu saya terpaksa membeli baju sejuk di situ dahulu walaupun saiznya begitu besar - XXXL! 

Akhirnya...Great Wall! 

Baju sejuk yang dibeli terus disarungkan ke badan. Saya rasa diri ini seperti sebiji nangka yang disarung guni untuk diperam sehingga masak. Tetapi tidak mengapa, yang penting saya tidak lagi kesejukan. Jadi perjalanan sejauh 800 meter tidaklah begitu menyeksakan sangat.

Lebih kurang 15 - 20 minit kemudian kami pun sampai di Badaling. Memang benar ada banyak terdapat kedai-kedai di sepanjang jalan menuju ke pintu masuk Great Wall. Sekali lagi saya membeli baju sejuk. Kali ini ada banyak pilihan dan yang penting ada saiz yang sesuai dengan saya. Alhamdulillah.

Setelah membeli dan setelah mengambil gambar-gambar yang sebenarnya tidak patut, kami menuju ke kaunter tiket. Harga tiket masuk ke Great Wall ialah RMB45 seorang. Tiket sudah berada dalam tangan. Dengan penuh rasa teruja (sayalah tu, Chik relaks sahaja sebab ini kali kedua dia ke Great Wall) kami menuju ke sana.

Rasa macam tidak percaya akhirnya saya sampai juga ke Great Wall yang sudah berusia 2000 tahun itu. Kami berjalan di atas tembok sambil sakan bergambar. Binaan Great Wall memang sangat hebat...tetapi pada pendapat saya, pemandangan di sekitar Great Wall adalah berkali-kali ganda hebatnya. Sukar hendak dibayangkan betapa indahnya pemandangan di sana ditambah pula dengan cuaca yang sejuk, menambahkan lagi suasana indah dan nyaman. Apatah lagi apabila kami sampai di puncak antara yang tertinggi di bahagian tembok Badaling ini...pemandangannya sungguh breathtaking, bak kata orang putih.

Panjang Great Wall kalau tidak silap saya adalah lebih daripada 6000 kilometer. Disebabkan masa yang tidak mengizinkan, maka saya dan Chik tidak dapat menghabiskan perjalanan sejauh 6000 kilometer itu. 6000 meter yang bersamaan dengan 6 kilometer (eh, betul ke?) pun tidak mampu dihabiskan, inikan pula 6000 kilometer. Gila apa? Jadi, apabila jam sudah menunjukkan pukul 12, Chik mengajak saya untuk pulang segera ke stesyen keretapi kerana seperti yang telah dinyatakan awal-awal tadi, tren ke Beijing akan bertolak pada pukul 1.10 petang. 

Berada Dalam Kesesatan 

Dengan lenggang kangkung kami beransur pergi dari Great Wall. Tetapi sebelum itu sempat juga saya memberikan pose istimewa untuk seorang lelaki mat salleh yang berminat hendak mengambil gambar saya (nak beritahu juga tu..hahaha). Kami berjalan keluar dari Great Wall dan berjalan terus ke hadapan. Sambil-sambil berjalan, sambil-sambil bergambar. Tak puas-puas bergambar. Setelah berjalan beberapa minit, Chik bertanya adakah jalan yang kami lalui sekarang memang jalan menuju ke stesyen keretapi. Saya pun tidak berapa pasti. Saya bertanya balik kepada Chik, ada nampak jalan yang lainkah? Rasa macam tiada. Chik pun kata macam tiada. Maka, kami pun teruskan juga perjalanan kami.

Namun, semakin jauh terasa seperti jalan tersebut semakin tidak familiar. Seperti lain daripada jalan yang kami lalui semasa hendak ke Great Wall pada pagi tadi. Sehinggalah kami sampai ke sebuah terowong di hujung jalan, baharulah kami sedar yang kami telah tersesat jalan. Oh tidak! Di kiri kanan bahagian dalam terowong berderet peniaga-peniaga memperagakan barangan jualan mereka. Kepada salah seorang peniaga yang gerainya terletak di hadapan pintu terowong, Chik bertanya arah ke stesyen keretapi. Nasib baik peniaga wanita tersebut boleh berbahasa Inggeris, jadi tidak ada masalah untuk dia beritahu bahawa kami sepatutnya mengambil jalan yang satu lagi. Dan untuk berpatah balik ke sana sahaja akan mengambil masa lebih kurang setengah jam lagi. Jam pada waktu itu pula sudah menunjukkan pukul 12.30 tengahari!

Kami berpatah balik. Saya sudah merasa risau...takut ketinggalan tren. Jalan tidak pandang kiri kanan. Chik yang berjalan di belakang pun saya tidak pandang. Takut. Mesti dia marah saya. Tidak lama selepas itu Chik potong saya. Muka masam mencuka. Sah, dia memang marah sayalah tu. Saya biarkan dia. Saya tidak akan tegur dia or else she will burst out. Tapi dalam hati ada rasa tidak puas juga, kenapa hendak marah saya pula sedangkan dia pun sama tidak ingat jalan.

Jadi apabila sampai di luar kawasan Great Wall semula, saya biarkan dia membuat silap. Kami sepatutnya berjalan terus melalui terowong pendek yang berada di hadapan untuk keluar semula dan bukannya belok ke kiri seperti yang dilakukan oleh Chik. Tetapi saya ikut sahaja. Mungkin apabila dia sedar bukan itu jalan yang sepatutnya diambil, dia akan bercakap semula dengan saya. Dan memang betul pun telahan saya. Setelah perasan itu adalah sebenarnya jalan menuju sebuah bangunan, baharulah Chik bersuara.

Kami keluar dari situ dan meneruskan perjalanan pulang. Kali ini kami agak berhati-hati dengan memastikan jalan yang diambil adalah betul berdasarkan kepada papan tanda yang disediakan. Sebagaimana pantasnya kami berjalan semasa berpatah balik tadi, pantas juga kami berjalan menuju ke stesyen keretapi. Ada sekali Chik merasa ragu-ragu. Katanya mungkin kami tidak sempat mengejar tren. Tapi saya berkata-kata dalam hati, 'we will make it, yes we can' sambil mempercepatkan lagi langkah.

Ya, Malaysia boleh! Memang kami sempat sampai ke stesyen keretapi sebelum tren bertolak. Jangan tidak percaya kami sampai di sana lebih kurang dalam pukul 1.00 petang. Tapi penatnya tak boleh nak cakap...rasa seperti mahu tercabut kepala lutut saya. Apa-apapun saya bersyukur sangat-sangat sebab masih sempat sampai...kalau tidak, terpaksalah kami membeli tiket baharu dan menunggu tren seterusnya yang kalau tidak silap saya akan bertolak pada pukul 3 lebih.

So Beijing, we are coming back for our next adventure...

Monday, August 16, 2010

Cerita Ramadan II

Bila tiba Ramadan aku bukan sahaja teringatkan Samdol, tapi teringat perangai 'samdol' anak buah aku masa dulu-dulu. Masa masih kanak-kanak. Masa masih sweet, sweet, gitu. Kenakalannya hampir membuatkan aku jadi cacat seumur hidup. 

Kejadian berlaku sudah lama. Semasa aku baharu sahaja melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti yang terkenal di tanahair. Aku pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri. Biasalah sudah hujung-hujung Ramadan adik beradik yang lain juga sudah pulang bersama-sama dengan keluarga masing-masing. Meriah, memang meriah. 

Dan aktiviti kegemaran kami (malah semua orang, mungkin) adalah bermain bunga api dan mercun beramai-ramai. Aku punya standard cuma main bunga api sahaja. Mercun memang aku tak berani main. Tengok mereka main, beranilah. 

Anak buah aku yang hiperaktif (rasanya semua anak buah aku hiperaktif), Aya namanya, sedang bermain bunga api yang jenis macam fireworks...ala yang letak tegak atas tanah lepas tu nyalakan sumbu  dan bunga-bunga api akan keluar macam fireworks. Tapi si Aya ni tersangatlah kreatif, dia tidak letak atas tanah...bunga api itu dipegang dan apabila dinyalakan ia jadi seperti pistol...lalu mulalah dia buat aksi tembak menembak (kids, don't try this at home!) ke arah abang dan sepupu-sepupunya. 

Entah macam mana nasib tak baik, tembakan dia terkena telinga sebelah kiri aku. Menjerit aku nama Aya. Tapi dia dan yang lain-lain buat dek dan  terus bermain macam biasa. Telinga dah terasa panas...rambut pula dah terbakar sikit. Nasib baik aku tidak panik...maklumlah sebagai ahli Persatuan Bulan Sabit Merah aku tahu apa yang perlu dibuat. Cepat-cepat aku pergi tadah kepala bawah paip. Lecur mesti diredakan secepat yang mungkin. Cara yang terbaik ialah membiarkan air mengalir di tempat yang tercedera lebih kurang dalam 10 minit. 

Rasa dah cukup masa, aku naik ke rumah. Mak bertanya dengan penuh concern kenapa aku menjerit tadi lepas tu naik dengan muka monyok. Aku tunjuk telinga aku yang dah merah sambil cerita apa yang telah terjadi. Mak sapukan ubat hijau kat telinga aku. Sambil tu mulutnya membebel-bebel. Macam-macam dia membebel, yang paling tak tahan tu dia kata inilah balasannya untuk aku yang tak mahu pakai tudung. Telinga yang sudah sedia pedih dan panas menjadi bertambah panas dibuatnya. Sungguh ironik sekali.

Untuk beberapa minggu telinga aku jadi hitam. Buruk sungguh. Risau juga kerana aku perlu balik ke kolej dengan telinga yang masih cedera. Nasib baik rambut aku panjang, jadi kecederaan ditutup dengan rambut sahaja. Lebih kurang 3-4 minggu kemudian, kulit yang rosak tertanggal sendiri dan diganti dengan kulit yang baharu. Lega...telinga aku tidak cacat. Alhamdulillah...    

Sunday, August 15, 2010

Cerita Ramadan I

Setiap kali tiba bulan Ramadan aku mesti teringatkan Samdol (bukan nama sebenar), bekas staf yang bekerja satu department dengan aku dulu. Dia berketurunan Sikh tetapi sangat baik dengan kebanyakan staf Melayu.

Aku pula memang kamceng dengan Samdol. Dia aku anggap seperti seorang abang, maka aku memanggilnya sebagai Abang. Ada sahaja cerita yang dia kongsikan dengan aku; tidak kisahlah yang berkaitan dengan kerja atau yang berbentuk personal dan aku pula sentiasa menjadi pendengarnya yang setia. 

Pada suatu hari di bulan Ramadan yang aku tidak ingat tahun bila, dia pulang dari makan tengahari dengan berwajah muram. Hairan juga aku rasa. Dalam kehairanan aku beritahu dia supaya return call Dogol (bukan nama sebenar). Dia angguk dan terus menelefon. Telefon Dogol barangkali. Selepas meletak gagang telefon, wajahnya daripada muram bertukar menjadi seperti wajah orang yang sedang dalam keadaan disgusted.

Susah hati juga apabila melihat dia begitu. Sebagai seorang adik yang busybody prihatin aku bertanya, "Kau kenapa, Bang?"

Dia pandang aku sekilas. Lepas tu dia pandang PCnya kembali. Lepas tu dia menggeleng-gelengkan kepalanya sambil mengepal-ngepal tangannya. Apabila dia memandang aku kembali, aku mengangkat kening sebagai isyarat bertanya kenapa. Dia pula mengisyaratkan tangannya kepada aku untuk datang ke mejanya. Meja kami bersebelahan sahaja. Jadi apabila dia sudah mengisyaratkan begitu, aku terus sahaja pergi ke sana; seperti biasa menonggeng di mejanya jika ada gossip sesuatu perkara penting yang hendak disampaikan.

Dengan suara yang perlahan takut ada orang dengar - maklumlah bulan puasa ramai yang tidak keluar dari pejabat pada waktu tengahari - dia memulakan cerita. Bla, bla, bla, bla dia bercerita. Siap dengan gaya tangan...siap dengan ekspresi muka. Habis mendengar cerita, aku balik semula ke tempatku dengan perasaan malu yang amat.

Mananya tak malu. Samdol kata dia fed up. Fed up dengan siapa? Dengan Dogollah...sudahlah tak puasa, lepas tu suruh dia belikan makanan di kedai mamak. Sudahlah suruh belikan makanan, dia minta Samdol guna duit dia sendiri dulu. Dia call tadi pun sebab nak tanya berapa harga makanan kerana semasa Samdol deliver bungkusan makanan tadi di basement (tempat filing yang biasa menjadi medan lepak budak-budak lelaki), dia tiada di situ. "Tak tahu malu punya orang," kata Samdol. Samdol kata bukan Dogol sahaja, malah salah seorang daripada orang atasan pun pernah meminta dia belikan makanan kerana tidak berpuasa. Dan dia sangat tidak senang dipergunakan begitu. Cuma memikirkan mereka ini kawan dan juga sebab hormatkan orang atasan yang membuatkan dia tetap menolong mereka.

Sungguh-sungguh aku tidak sangka, buah cempedak menjadi nangka. Eh, apa kena-mengenanya buah cempedak dengan nangka dalam cerita ini? Tiada apa-apa kaitan pun. Baiklah berbalik kepada cerita...aku memang malu...malu kerana saudara seagama aku sanggup mempergunakan seorang non-muslim untuk kepentingan perut diri sendiri. Tiadakah rasa malu dalam hati mereka? Aku sebagai perempuan dan ada masa diberi kelonggaran untuk tidak berpuasa pun tidak tergamak hendak melakukan perkara yang sama; masih tetap berpuasa seperti orang lain, tau.

Dalam pada aku duduk mengelamun memikirkan hal Dogol, tidak lama selepas itu dia datang ke tempat kami. Aku pandang dia sambil tersenyum, dia pula macam mahu mengelak tapi tak sempat lalu dia pun tersenyum...tapi macam senyum yang dibuat-buat. Dia ke meja Samdol...sambil sedaya upaya membelakangkan badannya daripada aku. Aku tidak berapa dapat menangkap perbualan ringkas mereka tetapi daripada gesture badannya aku rasa seperti dia sedang melakukan transaksi dengan Samdol (bayar hutang makanan tadilah tu).

Sebaik sahaja Dogol berlalu, Samdol memandang aku. "Tengoklah tu, tak malu," sambil tangannya menunjuk ke arah Dogol.

Aku senyum kambing. Dalam hati berkata nasib baiklah hubungan kami tak menjadi. Syukur.

Saturday, August 14, 2010

Can You Keep a Secret?

A good friend of mine asked me, "If I ask you, what do you want in your life? Would you be able to tell me now or do you need to think first?" 

Without hesitation, I said, "I need to think first." And can't help but feeling like a loser. 

I've been in this world like for ages but still couldn't figure out what I want in my life? If that doesn't sound pathetic, I don't know what is.

Saturday, August 07, 2010

Aku Menulis Bukan Kerna Nama...

Sudah lama sangatkah aku (tukar semula gantinama 'aku'...lagi best!) tidak menulis sehingga ada orang mengugut hendak bom blog ini sekiranya aku tidak membuat entri baharu? Aku tengok entri terakhir ditulis lebih kurang 2 minggu yang lepas. Tidaklah lama sangat. Atau mungkin orang yang mengugut itu rindu dengan hasil tulisan aku yang tidak seberapa tetapi dia tidak mahu mengaku? Mungkin juga, kan? Terharunya! Disebabkan itu, aku mengambil keputusan untuk menulis semula...kerana aku memang ada sesuatu yang hendak dikongsikan di sini...kisah tentang nama... 
Kepada kawan-kawan yang mengenali diri aku secara personal, pasti tahu nama sebenar aku. Kepada kawan-kawan yang mengenali aku hanya sebagai Siti R, pasti tidak tahu nama sebenar aku. Tetapi rasanya daripada nama blog ini sendiri pasti kalian dapat mengagak, bukan? Ya, nama aku Siti Rahmah. Selamat berkenalan... 
Kalian rasa nama aku tidak glamour? Kalian sama sahaja dengan kakakku yang bernama Siti Rafidah. Masa kecil-kecil dulu dia yang paling suka mengejek-ngejek nama aku. Katanya dalam adik beradik kami, nama aku yang paling tidak best...macam nama orang tua-tua. Sudahlah macam nama orang tua-tua, kalau disebut banyak-banyak kali lama-lama daripada Rahmah terus jadi lemah. Hendak tahu kenapa dia begitu menjadi-jadi mengata-ngata nama aku sebegitu sekali? Sebab masa itu ada lagu Lefthanded bertajuk 'Rafidah dan Sejarah'. Ya, lagu yang mengabadikan nama dia sebagai tajuknya. Mahu dia tidak perasan? Katanya namanya sungguh sedap sehingga boleh dijadikan tajuk lagu. Katanya lagi, kalau nama aku diabadikan dalam lagu, pasti lagu itu tidak laku. Pada aku lagu 'Rafidah dan Sejarah' tidaklah best sebagaimana lagu-lagu Lefthanded yang lain...lembab! Tak percaya dengarlah sendiri. You'll be the judge.

Kalian mesti fikir aku rasa down apabila kakak aku mengusik aku begitu. Sebenarnya tidak. Aku katakan kepadanya aku tidak kisah kalau tiada lagu yang menggunakan nama aku sebab nama aku begitu banyak disebut di dalam Quran. Lagu cuma sementara sahaja popularnya. Lama-kelamaan orang akan bosan. Tetapi Quran, sepanjang masa orang baca. Bukan di Malaysia sahaja, tetapi di seluruh dunia. Ada ke nama atau perkataan Rafidah disebut dalam Quran? Rasanya tiada... 
Masa aku kecil-kecil dulu juga emak ada bercerita semasa aku baharu dilahirkan abah baharu pulang daripada menunaikan haji. Emak kata, semasa di tanah suci abah sering mendengar nama Siti Rahmah disebut-sebut. Kebetulan pula apabila pulang ke tanahair, dia mendapat anak perempuan yang comel tiada bandingan. Maka, dinamakanlah anaknya itu sebagai Siti Rahmah. Pada masa itu aku tidaklah tahu mengapa nama Siti Rahmah selalu disebut-sebut semasa abah menunaikan haji. Mungkin ramai jemaah wanita yang bernama Siti Rahmah menunaikan haji pada waktu itu. Entahlah. Aku pun tidak tahu. Sehinggalah... 
...aku melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma di salah sebuah institusi pengajian tinggi yang terkenal di seluruh Malaysia. Pensyarah kelas Intermediate English yang aku rasa namanya Puan Syarifah (cik Chik or cik Eny, please correct me if I'm wrong. I really have problem remembering names...huhu), suka sangat mengusik aku. Katanya apabila melihat aku, dia pasti teringat pengalamannya semasa menunaikan umrah. Di hadapan kelas dia bercerita tentang bagaimana peniaga-peniaga Arab menarik perhatian wanita-wanita terutamanya yang datang dari Malaysia atau Indonesia. Kebanyakan peniaga tersebut pandai berbahasa Melayu. Jadi mereka akan memanggil-manggil wanita-wanita tersebut untuk membeli barangan jualan mereka yang kononnya murah-murah dengan panggilan Siti Rahmah. Mereka memanggil begini, "Siti Rahmah! Siti Rahmah! Murah! Murah!"
Satu kelas ketawa, termasuklah aku. Ada baik dan ada buruknya Puan Syarifah bercerita kepada kami tentang 'Siti Rahmah'. Yang baiknya, akhirnya aku tahu mengapa abah namakan aku dengan nama ini. Yang buruknya, selepas itu aku menjadi bahan usikan rakan-rakan sekelas (lelakilah). Pantang nampak aku, 'Siti Rahmah Murah, Murah' mereka panggil aku. Dasar lelaki! Sudah besar panjang pun masih nakal lagi. Tetapi nasib baik tidak lama. Dua tiga minggu selepas itu mereka tidak lagi mengusik aku. Mungkin mereka merasa bosan sebab aku tidak memberikan apa-apa reaksi jika mereka memanggil aku begitu melainkan menunjukkan muka bosan. Nampak gayanya taktik aku memang menjadi...hahaha!
Hampir 3 tahun yang lepas, aku pula berpeluang menunaikan umrah. Pengalaman Puan Syarifah sudah menjadi pengalaman aku pula. Ya, benar. Peniaga-peniaga Arab ini memang memanggil wanita-wanita dari Malaysia/Indonesia dengan panggilan Siti Rahmah. Pertama kali mendengar nama ini dipanggil, berderau juga darah aku. Terpinga-pinga juga kerana aku merasa musykil bagaimana mereka tahu nama aku? Tidak lama selepas itu, baharu aku tersedar...namaku cuma gelaran untuk jemaah wanita sahaja. Pheww!!
Tetapi seronok juga. Untuk pertama kali dalam hidup, aku merasa seperti seorang Rockstar. Semua orang kenal aku (lelaki pula tu...hehehe). Aku tidak lagi halimunan. Kiri, kanan, depan, belakang...semua memanggil-manggil nama aku. Tetapi tiba-tiba...seorang peniaga memanggil, "Ya Siti Nurhaliza..." 
What?! Siti Nurhaliza? Potong stim betul!
Apa-apapun aku bersyukur diberikan nama ini. Walaupun kakak aku kata nama aku tidak sedap, yang penting maknanya baik dan tetap  glamour seperti seorang rockstar di Mekah dan Madinah. Dan yang penting, aku tidak merasa malu apabila nama aku dipanggil untuk ditimbang amalan semasa di akhirat kelak. Semoga amalan yang aku  bawa juga bergemerlapan seperti 'rockstar' di sana nanti...Kalau tidak buat malu sahaja. Nauzubillah...