Sunday, April 06, 2014

Sisi Terang "Star Trek Into Darkness"


Star Trek Into Darkness. Sudah hampir sebulan yang lepas aku menonton filem ini (nota 2014: sebulan yang telah melangkau hampir setahun pada hari ini), tetapi baru hari ini berkesempatan untuk merebiunya (alasan). Filem ini adalah antara filem yang aku tunggu-tunggu tarikh tayangannya - dengan penuh debaran - sebagaimana tertunggu-tunggunya seorang bakal pengantin kepada tarikh pernikahannya...hahaha!

Apa yang boleh aku kata, filem ini sangat bagus dan melangkaui jangkaan. Perkara ini sangat-sangat menggembirakan kerana semasa muda-muda dahulu aku memang meminati "Star Trek" melalui siri "Star Trek: The Next Generation."

Filem ini merupakan kesinambungan kepada filem "Star Trek" yang diterbitkan pada tahun 2009. Walaupun filem ini hanya sebuah fiksyen sains, tetapi ada beberapa kekuatan yang aku lihat melaluinya.

Kekuatan pertama filem ini adalah pada plot twist-nya yang sangat berkesan. Watak Khan (Benedict Cumberbatch yang sangat omphh...heuheu) dan Admiral Marcus (Peter Weller) amat mengelirukan sehinggakan aku berasa was-was siapa sebenarnya yang berada di pihak yang benar. Walaupun kesudahannya boleh diagak dan semua peminat "Star Trek" tahu siapa Khan sebenarnya, tetapi apa yang berlaku di tengah-tengah cerita sehingga membawa kepada klimaks adalah sesuatu yang tidak terjangka. Jadi, kepada para penulis (termasuk penulis skrip) yang mahu belajar mencipta dan menulis plot twist yang bagus, aku sarankan agar mereka menonton filem ini sebagai salah satu rujukan. Berbaloi-baloi!

Kekuatan kedua filem ini terletak pada lakonan mantap hampir setiap pelakonnya. Bukan sahaja lakonan yang mantap, tetapi keserasian (chemistry) setiap pelakon begitu menyerlah. Seronok dapat melihat keakraban di antara Captain Kirk (Chris Pine) dan Mr. Spock (Zachary Quinto). Hubungan 'bromance' mereka memang menjadi. Namun yang paling menyerlah pada pandangan aku sudah tentunya watak Khan yang dibawa oleh Benedict Cumberbatch. Walaupun menyerlah, aku rasa lakonannya tidaklah sehingga menenggelamkan watak Captain Kirk. Ada keseimbangan.

Kekuatan ketiga filem ini terletak pada dialog-dialog yang diucapkan oleh para pelakon. Ada yang suka bermetafora (watak Bones), dan banyak juga dialog-dialog yang surreal. Aku paling suka babak di mana Spock cuba menerangkan kepada Uhura mengapa dia memilih untuk tidak beremosi. Ia momen yang surreal dan sangat mengesankan sehinggakan aku rasa aku yang terlebih emosi menonton babak itu. Ironik sungguh.

Banyak sebenarnya yang boleh dipelajari daripada filem ini (maksud aku dari aspek penulisan semestinya). Bagi aku, ia adalah antara filem yang terbaik yang pernah ditayangkan pada tahun 2013. Titik.

Nota kaki: Lama betul aku simpan entri ini dalam draf. Ini merupakan entri yang sepatutnya habis ditulis pada tahun lepas. Ada sedikit yang aku tak habis tulis. Bukan banyak pun. Tapi baru hari ini dapat habiskan sebab rasa semangat dapat tengok semula filem "Star Trek" 2009 pada malam tadi...hahaha!

Nota kaki tangan: Selepas menonton filem ini aku jadi minat gila dengan Benedict Cumberbatch. Dah lama tak ada perasaan macam ni...kakaka!

2 comments:

Kurma said...

Salam.. I'm back Cucumberback hahaha..
rindunya nak baca blog ko dan nak update blog aku. Aku ingat nak sambung anniversary-tidak-update-blog nanti.. sikit lagi 1 tahun aku tak update blog. hehehe

Siti R said...

Walaikumussalam, Cucumberback...hahaha!

Adoiyai...nak jugak cukupkan setahun tu...Update laju2 ye..asyik nampak tajuk yg sama je...hehe...Aku pun rindu nak baca blog ko...