Wednesday, November 25, 2009

Lalak Si Lalok

Semalam aku melalui perjalanan pulang yang cukup panjang. Nasib aku memang tidak baik. Sudahlah aku terpaksa berdiri lebih kurang separuh perjalanan, jalan pula jem di banyak tempat. Lebih kurang 3 jam baharu sampai ke rumah - lebih kurang sama perjalanan balik ke kampung. Kalau macam ini lebih baik balik kampung.

Aku sebenarnya bukan hendak bercerita panjang tentang jalan yang jem. Atau betapa penatnya aku berdiri dalam bas. Atau disebabkan lambat sampai rumah aku terlepas waktu Maghrib. Tetapi aku hendak bercerita tentang salah seorang penumpang bas yang agak 'jem' otaknya yang membuatkan otak aku rasa penat, lebih penat daripada kena berdiri lama.

Dalam entri aku sebelum ini, aku ada menyenaraikan perkara-perkara yang menjengkelkan aku. Kalau tidak percaya, silalah baca di sini (rujuk poin no. 3). Perkara yang menjengkelkan tersebut telah berlaku semalam. Sebenarnya bukan semalam sahaja...ada juga masa lain perkara ini terjadi. Tetapi semalam amat berlainan sekali.

Sekali sekala lagu dimainkan oleh hamba Allah tersebut daripada handphonenya. Ada lagu rock kapak. Banyak pula lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dimainkan. Peminat muzik-muzik klasik rupanya. Ini pertama kali aku jumpa peminat tegar Allahyarham.

Apabila jumlah penumpang makin berkurang, aku akhirnya mendapat tempat duduk di kerusi depan hamba Allah tersebut. Amat malang sekali nasib aku. Bila penumpang sudah tidak ramai, dia semakin galak memasang lagu kuat-kuat...sehinggakan terasa seperti dia sengaja mendekatkan handphonenya di belakang telinga aku. Kalau ikutkan daya imaginasi aku yang agak serupa dengan Ally McBeal, aku sudah belasah dia cukup-cukup dengan seni kungfu yang aku tidak pernah belajar pun. Tetapi itu hanya imaginasi, realitinya aku cuma mampu bersabar menahan amarah. Penumpang yang duduk di sebelah aku pun kelihatan gelisah dan sekali-sekala merengus. Mungkin dia juga seperti aku, cuma berani marah di dalam hati.

Agaknya selepas bosan mendengar lagu, hamba Allah tersebut mula menyanyi pula. Volume suaranya lebih kurang sama dengan volume lagu yang dipasang melalui handphone tadi. Apa dia ingat dia sedang beraksi dalam Akademi Fantasia? Kalau Hattan dengar mesti dia akan suruh hamba Allah tersebut terjun ke laut. Ogy pula akan suruh dia gali kubur sendiri. 

Daripada lagu-lagu evergreen Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, dia menyanyi lagu-lagu rock kapak secara medley. Antara lagu yang membuatkan aku terkejut mendengarnya adalah lagu Sakinah (agaknyalah sebab dia asyik melalak sebut nama Sakinah). Aku tidak pernah dengar lagu tersebut. Itulah pertama kali aku mendengarnya. Apa yang membuatkan aku terkejut sangat? Sebab Sakinah merupakan salah satu watak dalam novel GTO: Guru Terhebat Olan. Dalam salah satu babak novel, cikgu Olan ada mendendangkan lagu tersebut kepada Sakinah. Agaknya suara cikgu Olan sama sumbangnya dengan suara hamba Allah tersebut?

...dalam pada itu aku ada terbau sesuatu yang berbau kuat. Rasa macam pernah  terbau sahaja...tetapi di mana, ya? Nampaknya otak aku yang 'jem'?

Si hamba Allah pula masih dengan konsert syok sendirinya. Sekali sekala dia berhenti. Setiap kali dia berhenti menyanyi, setiap kali itu juga aku terbau bau misteri itu. Kemudian terdengar pula seperti dia sedang menyedut-nyedut sesuatu daripada plastik. Mungkin dia sedang minum? Tetapi akal genius aku mengatakan tidak mungkin dia sedang minum. Sudah berapa kali aku dengar dia seperti menyedut-nyedut...tidak habis-habiskah airnya?

Kemudian...seperti ada tangan halimunan 'menepuk' kepala aku. Bau itu...bau itu adalah bau gam! Sebelum ini aku pernah menonton rancangan 360 di mana Tuan Mazidul membuat liputan tentang penghidu gam. Untuk menghidu gam, mereka meletakkan cecair gam di dalam plastik minuman agar senang untuk dihidu.

Ingin sekali aku menoleh ke belakang untuk memastikan apa yang aku syak itu betul. Tetapi rasa seperti terngiang-ngiang suara David Teoh memberi amaran, "adik, you Jangan Pandang Belakang woo...walaupun hantu tidak ada, mayat hidup mungkin ada, wooo..."

Maka aku terpaksa menahan kepala aku daripada membuat pusingan 360 darjah (gilakah aku?). Tetapi aku cuma membuat pusingan lebih kurang 36 darjah, itupun sebentar cuma. Tetapi ia cukup menyakinkan aku bahawa hamba Allah tersebut sedang menghidu gam kerana dia kelihatan tertunduk-tunduk dengan kepalanya ditutupi hood baju sejuknya.

...bau gam terus menerus menusuk-nusuk hidung dan bunyi plastik menikam-nikam telinga...

Sungguh berani betul dia menghidu gam di dalam bas. Mungkin bas yang sudah lengang membuatkan dia berani? Tidak ada sesiapa pun yang akan menegur atau menangkap dia...dia pula duduk di kerusi yang kedua paling belakang. Entahlah. Sedih juga aku rasa. Tetapi aku cuma mampu berdoa; semoga Allah memberi hidayah dan menyelamatkan dia daripada terus khayal dan kembali ke jalan yang benar...amin...  

3 comments:

KUNTONG said...

Siti R,

1. Tentang penumpang dalam bas tu, memang agak kurang ajar. Agaknya dia tengah "berdengung ler tu" .

2. Harap dapat tunjukkan imej anda, senang ler...kot-kot terserampak dgn anda di mana-mana.

fndrocka said...

time dia tgh feel tu kau jgn kurg ajar lak.dia bukan waras tu.bahaya..bahaya...

tapi kau ada silat.takpela

Siti R said...

Pakcik Kuntong:
1. mmg betul tu
2. saya pemalu orangnya...hehe..

fndrocka: x, aku mmg x berani nak krg ajar..kang aku yg kena ajar kang..huhu...