Friday, January 06, 2012

Rahsia Agenda Alam Hitam: Kelahiran Mufrad

Ini merupakan novel pertama yang saya berjaya habiskan selepas menjalani pembedahan. Ia merupakan karya Zehann Ur Rakhie. Saya rasa ramai yang tidak begitu mengenali penulis ini. Begitu juga dengan saya. Sebenarnya saya ada beberapa kali mendengar tentang novel ini dan nama penulisnya, tetapi belum berkesempatan untuk mendapatkannya. Apabila sudah dapat, saya tidak lengah-lengah memulakan pembacaan walaupun agak mengambil masa juga untuk menghabiskannya.

Novel ini hendak dikatakan seram, tidaklah seram sangat. Hendak kata tidak seram, seramlah juga. Itulah keistimewaan cerita dalam novel ini. Cuma saya rasa kalau penulis boleh perbaiki cara beliau menulis, cerita ini akan jadi lebih menarik untuk dibaca. Apa yang saya maksudkan dengan perbaiki cara menulis adalah kerana kadang-kadang ceritanya melompat-lompat daripada satu babak ke babak yang lain tanpa ada pembahagi (entah betul atau tidak istilah ini) babak. Jadi saya rasa ada sedikit rasa 'kucar-kacir' apabila membaca babak yang melompat-lompat ini.

Kalau saya yang menjadi editor novel ini (perasan sekejap) saya akan menyuruh penulis buat seperti saranan saya di atas dan juga saya akan menyuruh beliau tambah lebih banyak bab. Bukan bermaksud dia perlu memanjangkan lagi cerita tetapi membuat bab baharu di babak-babak yang sesuai. Bayangkanlah...novel ini ada 653 mukasurat, tetapi cuma ada 22 bab! Untuk novel yang setebal itu saya rasa jumlah bab yang sesuai adalah dalam 50 - 60 bab atau lebih.

Dari segi gaya bahasa, penulis menggunakan bahasa yang mudah difahami walaupun cerita dalam novel ini berlatarkan akhir kurun ke-15 hingga akhir kurun ke-17. Lega betul saya rasa. Gaya bahasanya pun tidaklah begitu 'sastera.' Terus-terang saya suka dengan gaya bahasa yang digunakan. Pada saya, novel ini memang 'sedap' dibaca.

Berkenaan dengan watak utama. Sepanjang saya membaca, tertanya-tanya juga siapa sebenarnya watak utama dalam novel ini? Adakah Syeikh Ibrahim, seorang pendakwah yang disegani di Kg. Lubuk Gua? Atau Slamat, seorang Sakai yang menjadi anak angkat dan pengikut setia Syeikh Ibrahim? Atau Kiai Jamal, seorang alim yang saya kira mempunyai karamat dan merupakan sahabat baik Syeikh Ibrahim? Atau Radin Indra Gurana, Raja Alam Hitam itu sendiri? Rupa-rupanya watak utama/hero hanya muncul hampir di penghujung novel ini. Dialah Massurya Syah anak kepada Radin Indra Gurana yang dibela oleh Syeikh Ibrahim. Beliau ini yang dikatakan akan menentang Alam Hitam itu sendiri. Sebagai seorang yang lahir dari keturunan Alam Hitam tetapi menjadi penentangnya yang paling utama, saya ada dua perkataan sahaja untuk beliau - anda seksi! Boleh dikatakan Massurya Syah ialah hero daripada novel berbahasa Melayu yang paling seksi selepas Mikhail. Atau mungkin lebih seksi daripada Mikhail...hmmm...maafkan saya Tuan RAM.

Keseluruhannya, saya sangat berpuas hati dengan novel ini. Tetapi ada lagi satu dua perkara lagi yang saya tidak puas hati dengan penulis. Wahai Tuan Zehann Ur Rakhie, perkara mungkar dan 'kecantikan dan kejelitaan' seseorang wanita itu tidak perlulah ditulis secara terperinci. Sebabnya dalam novel ini ada cerita tentang alim ulama', ada disebut ayat Quran dan hadis, tetapi ada pula dua perkara di atas. Bukankah lebih elok jika ia diceritakan secara umum atau secara metafora?

Apa-apapun, bagi peminat-peminat novel genre seram/thriller/misteri/fantasi...dapatkanlah novel ini. Novel ini ada sambungannya iaitu Rahsia Agenda Alam Hitam: Vamprha. Saya belum ada lagi novel ini. Agaknya ada sesiapa tak yang sudi menghadiahkannya kepada saya? Hikhik... 

5 comments:

zatara said...

pinjam??
sy dah gila bc novel nih..adeii..laksamana sunan dah khatam dah...huhu

Siti R said...

Sewa...haha!

Wah...dahsyat! 5 buku dah habis baca ke? Coming soon buku last; Sunan Musafir...siap sedia la ye.
Sy pun belum khatam psl Laksamana Sunan ni..

zatara said...

Haha... berapa RM sehari ??

A'ah..dah habis bc 5 buku. Fiksyen 302 on the way nak khatam. Ya, Sunan Musafir last buku Laksamana Sunan. :)

AttOkz Dikulgai said...

owh dah habis baca ye.
dapat kat mana ye novel RAAH I ni?
:P

*RAAH II...lebih advencer.

Siti R said...

Turun dari langit.

RAAH II pun nak tunggu turun dari langit...hehe