Sunday, December 13, 2009

Pena Kut dan Pena War: Misi Tersangkut

Bersempena dengan COP15: Copenhagen, Siti R yang tiada publishing house mempersembahkan sebuah cerpen yang bertajuk "Pena Kut dan Pena War: Misi Tersangkut"  
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
Di sebuah planet yang berjuta-juta kilometer jauhnya daripada Planet Bumi, kelihatan beberapa makhluk sedang duduk bermesyuarat. Nampaknya seperti ada perkara yang begitu penting lagi menggemparkan sedang diperbincangkan oleh mereka.

Si pengerusi memandang wajah mereka yang berada di dalam dewan mesyuarat satu per satu. Ada seramai enam makhluk semuanya tidak termasuk dirinya yang duduk di meja bulat di dalam dewan yang sebesar-besar alam itu. Mereka adalah Pemimpin-pemimpin Tertinggi di planet yang bernama Planet Pa (disebut sebagai fa bersempena dengan huruf ke dua puluh dalam abjad arab). 

Dengan dahi berkerut si pengerusi berkata, "Saya tidak faham mengapa kamu semua beria-ia hendak menjadikan dua budak hingusan sebagai utusan kita ke Planet Bumi? Tidak ada lagikah daripada kalangan kita yang lebih berkelayakan untuk dijadikan utusan?"

"Mereka adalah pakar dalam segala hal ehwal Planet Bumi, tuan. Sebab itu kami sepakat untuk memilih mereka. Mereka telah menguasai lebih daripada lima puluh istilah dalam bahasa Bumi, bukan lima! Jadi mereka memang layak!" jawab si tua yang berjanggut putih.

Benar. Di Planet Bumi diberitakan bahawa jika seseorang itu dapat menguasai sekurang-kurangnya lima puluh istilah dalam sesuatu bidang, maka dia sudah boleh dianggap sebagai pakar dalam bidang tersebut. Maka dasar inilah yang digunapakai oleh ahli mesyuarat tersebut tanpa pengetahuan si pengerusi.

Si pengerusi kelihatan terkejut bukan kepalang, "Benarkah lima puluh? Hebat sungguh. Apakah antara istilah yang mereka tahu? Ingin benar saya mengetahuinya."

"Antara yang popular yang saya juga sering mendengarnya adalah  World!, 1Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan, poyo, sengal, gila kentang dan banyak lagi yang saya belum kuasai. Maklumlah, walaupun sudah tua saya masih belum layak jadi pakar Planet Bumi," kata si tua yang berjanggut putih sambil mengeleng-gelengkan kepalanya lalu terus menangis tersedu-sedu sehingga terjongket-jongket bahunya.

Si pengerusi menggeleng-gelengkan kepala melihat si tua yang berjanggut putih yang sedang menangis tersedu-sedu. Kemudian dia terangguk-angguk pula kerana merasa kagum dengan kepakaran dua budak hingusan seperti yang diberitahu oleh si tua yang berjanggut putih. 

Akhirnya, mesyuarat yang mengambil masa tiga hari dua malam itu sampailah ke penghujungnya. Setelah saling berbalah pada hari-hari dan malam-malam sebelumnya mereka telah pun menemui kesepakatan yang diharap-harapkan. Sambil tersenyum si pengerusi menutup mesyuarat dengan berkata, "Dengan ini saya umumkan, kita bersurai."
xxxxx

ER atau nama sebenarnya Eryna Raniyah sedang mengelamun. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini wajah tampan Remy Ishak dan Ashraf Muslim sering terbayang-bayang di ruang matanya. Dia tidak faham mengapa perkara itu terjadi. Adakah kerana dia sudah mula beransur-ansur melangkah ke alam dewasa? 

Mungkin juga. ER baharu sahaja mendapat keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendahnya. Lima matapelajaran di ambil, semuanya berkeputusan 'B'. Bagi ER itu sudah cukup baik kerana menurutnya 'B' bermaksud bijak. 5B - dia lima kali lebih bijak daripada rakan-rakannya yang lain yang semuanya mendapat 5A. Oleh yang demikian dia merasakan adalah bijak jika dia mula memikirkan calon suami yang bagaimana yang sesuai dengan jiwanya andai kata dalam Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia nanti dia mendapat keputusan 'B' atau 'C' semuanya. Tetapi 'C' juga tidak menjadi masalah kepada ER kerana bukankah 'C' bermaksud cerdik?

ER tertawa kecil apabila memikirkan kemungkinan tersebut. Namun kemudian dia cepat-cepat beristighfar. Nampaknya mudah sungguh dia terjerumus dalam godaan syaitan dengan berangan yang bukan-bukan. Namun ER tidak berganjak dari tingkap di ruang tamu rumah. Walaupun tidak mahu mengelamun tetapi dia masih mahu merenung langit yang ditaburi dengan bintang-bintang. Sungguh luar biasa cantiknya kerdipan bintang pada malam ini. Masakan ER mahu berganjak?

Kemudian, secara tiba-tiba ER berteriak kecil sambil tangannya menuding ke langit, “Wah! Tahi bintang!”

ER mengalihkan pandangan kepada ibunya, puan DJ atau nama sebenarnya Dahlia Julia yang sedang melipat kain sambil menonton rancangan “Wakenabeb.” Wajah ER yang pada mulanya kelihatan teruja bertukar menjadi tegang. Begitu juga dengan puan DJ.
xxxxx

Pena Kut dan Pena War, dua budak hingusan yang telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi utusan penduduk Planet Pa sedang berada di konsul kawalan kapal angkasa yang sedang membawa mereka menuju ke Planet Bumi. Walaupun dipanggil budak hingusan oleh Pemimpin-pemimpin Tertinggi Planet Pa, mereka sebenarnya bukanlah budak-budak, apalagi mempunyai hingus. Mereka dipanggil budak hingusan kerana mempunyai pengalaman diplomatik yang kosong.

“Anggaran pukul berapa kita akan sampai ke Planet Bumi?” tanya Pena War kepada rakannya Pena Kut.

“Pukul 11 malam waktu Malaysia di Planet Bumi,” jawab Pena Kut tanpa melepaskan pandangannya ke arah luar kapal angkasa.

Pena Kut kelihatan bimbang. Ini pengalaman pertamanya keluar dari Planet Pa. Begitu juga dengan Pena War. Tetapi Pena War lebih tenang jika dibandingkan dengan Pena Kut yang bukan sahaja kelihatan bimbang malah jelas riak ketakutan di wajahnya. Entah mengapa dia dipilih untuk mengetuai misi ini? Mungkin kerana Pena Kut lebih arif tentang Bumi, fikir Pena War yang sedang cuba menyedapkan hatinya sendiri.  

Kurang sejam waktu Bumi, mereka berdua akan mendarat di sana. Malaysia akan menjadi tempat pendaratan kerana di sana sedang berlangsung suatu acara yang sangat penting. Di samping itu, didapati tempat tersebut memperkenalkan konsep Islam Hadhari. Islam Hadhari bermaksud ajaran Islam yang memberi tumpuan kepada kehidupan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat bertamadun dan mempunyai peradaban yang unggul bagi menghadapi cabaran alaf baru seperti ledakan teknologi maklumat, dunia tanpa sempadan, ekonomi global, budaya materialisme, krisis identiti, jati diri serta penjajahan pemikiran. Itu yang telah dikaji oleh Pena Kut dan dia berpendapat sudah tentunya Malaysia merupakan tempat yang paling bertamadun jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain di Planet Bumi. Ini pasti akan memudahkan urusan mereka di sana nanti.

“Pena War, bersedia! Kita akan memasuki atmosfera Bumi dalam masa…” belum sempat Pena Kut menghabiskan ayat, terasa bagaikan kapal angkasa mereka dihentak dengan kuat. Kepala Pena Kut terhantuk ke konsul kawalan kapal angkasa. Pena War yang sedang berdiri pula jatuh terduduk kemudian terlentang di atas lantai kapal angkasa.

Mereka sebenarnya telahpun memasuki atmosfera Bumi lebih awal beberapa minit daripada yang dijangka. Kapal angkasa sedang menjunam dengan lajunya. Pena Kut memejamkan mata. Pena War yang baharu bangkit dari lantai pula terbeliak matanya. Masing-masing menyesal kerana selalu ponteng kelas memandu kapal angkasa yang diwajibkan oleh kerajaan Planet Pa ke atas setiap warganya yang telah mencecah usia 20 tahun. Sudahnya mereka hanya bergantung kepada penerbangan secara automatik lebih kurang sama seperti mod auto pilot kapal terbang di Planet Bumi.

“Matilah kita, Pena Kut…”
xxxxx

“Penakut…penakut,” usik puan DJ kepada ER. Memang ER sangat penakut sifatnya. Selepas ER ternampak ‘tahi bintang’ yang jatuh dari langit, mereka berdua terdengar bunyi seperti durian gugur di luar kawasan rumah mereka. Puan DJ yang terlebih berani pula, mengajak ER untuk mencari dari mana datangnya bunyi durian gugur itu sedangkan sekarang bukannya musim durian. ER pula dengan tanpa rela terpaksa mengikut puan DJ keluar menyiasat kerana dia tidak mahu tinggal seorang diri di rumah pada waktu-waktu kritikal begini.

Pena Kut yang sedang bersembunyi di sebalik rimbunan semak berdekatan kawasan pendaratan pula merasa berdebar-debar. Sudahlah tadi dia berdebar-debar semasa kapal angkasa menjunam ke Bumi. Namun dia bersyukur kerana dia dan Pena War terselamat daripada terhempas kerana rupa-rupanya di tapak kapal angkasa mereka telah dipasang dengan penyerap hentakan yang sungguh canggih. Jadi mereka telah mendarat dengan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal. Cuma Pena War sahaja yang pengsan akibat terkejut dan masih berada di dalam kapal angkasa mereka. Kemungkinan besar dia akan mengalami kecederaan mental.  

Sekarang, Pena Kut merasa berdebar-debar dan hairan bagaimana manusia Bumi mengetahui namanya walaupun dia belum memperkenalkan dirinya lagi. Siap dipanggil-panggil manja pula.

“Betul punya penakut. Nanti ibu carikan penawar untuk ER, ya,” kata puan DJ sambil tertoleh-toleh memandang ER yang sedang bersembunyi di belakangnya. Lampu suluh pula ditala-tala ke depan dan tepat mengenai tempat persembunyian Pena Kut.

‘Ah! Mereka sudah dapat mengesan aku dengan tepat. Sekarang mereka hendak mencari Pena War pula. Hebat sungguh manusia ini. Entah cahaya apa yang mereka gunakan untuk mengesan aku. Lebih baik aku berkenalan dengan mereka sekarang. Untung-untung dapat belajar benda baharu,’ bisik Pena Kut kepada dirinya sendiri.

Pena Kut keluar dari tempat persembunyiannya. Dengan wajah mesra dia menyapa puan DJ dan ER, “Salamualaikum manusia bumi. Boleh kita berkenalan?”

Puan DJ melopong. Sejak suaminya meninggal dunia 10 tahun yang lepas tidak pernah ada lelaki yang begitu berani berterus terang hendak berkenalan dengannya. ER pula sudah menggeletar seluruh tubuh. Walaupun pada pandangan matanya lelaki yang berada di depan mereka mirip Remy Ishak, tetapi dahinya kelihatan kemik. Sungguh menakutkan.

“Berdosa kalau tidak menjawab salam,” ujar Pena Kut yang masih tersenyum mesra.

Terketar-ketar bibir puan DJ. Hendak menjawab salam, dia tersasul menyebut Alhamdulillah. Setelah disiku oleh ER baharulah dia menyedari kesilapan diri sendiri. Cepat-cepat dia menjawab salam Pena Kut dengan betul. Mukanya terasa panas.

“Tuan ini siapa? Dari mana datangnya? Apa tujuan datang ke mari? Datang seorang dirikah?” bertalu-talu soalan keluar daripada mulut puan DJ.

“Eh, bukankah awak sudah tahu siapa saya? Dari mana saya datang, apa tujuan saya datang, malah dengan siapa saya datang pun awak sudah tahu,” jawab Pena Kut dengan penuh yakin.

ER menjingkitkan kakinya lalu berbisik sesuatu ke telinga puan DJ. Puan DJ tersipu-sipu malu. Sambil itu matanya melilau memandang ke sekeliling.

“Alahai, malunya saya. Di mana kameranya Encik Remy Ishak? Din Beramboi tidak mahu keluarkah? Wa dah kena…Wakenabeb!” puan DJ terlompat-lompat girang kerana menyangka dia telah ‘dikenakan’ dalam rancangan kegemarannya, “Wakenabeb.”  

Pena Kut menggaru-garu dahinya yang kemik, “Remy Ishak? Din Beramboi? Wakenabeb? Saya tidak faham. Bukankah tempat ini namanya Copenhagen?”

Di kala itu kelihatan Pena War berlari-lari anak menuju ke tempat Pena Kut sedang berdiri. Tercungap-cungap dia apabila sampai di sisi Pena Kut.

“Masalah, masalah.”

“Apa masalahnya?”

“Kita sudah salah tempat. Persidangan Perubahan Cuaca bukannya di adakan di sini, tetapi di Copenhagen”

“Betullah. Bukankah tempat ini namanya Copenhagen?”

“Nama tempat ini Kampung Copenhagen. Persidangan yang awak sebut itu berlangsung di Copenhagen, Denmark,” celah puan DJ. “Apa sebenarnya yang berlaku ini? Ashraf Muslim sudah keluar. Di mana pula Din Beramboi?” sambung puan DJ yang masih menyangka dia berada di dalam salah satu episod “Wakenabeb.”

“Maafkan kami kerana kita tidak sempat berkenalan. Kami terpaksa pergi sekarang. Selamat tinggal.”

Maka berlari-larilah Pena Kut dan Pena War kembali ke kapal angkasa mereka. Mereka perlu segera terbang ke Copenhagen, Denmark untuk menghadiri Persidangan Perubahan Cuaca yang ke-15. Jika tidak, musnahlah harapan mereka untuk memberi amanat penting Pemimpin-pemimpin Tertinggi Planet Pa kepada pemimpin-pemimpin Planet Bumi.

Puan DJ dan ER pula terpinga-pinga apabila ditinggalkan begitu sahaja.

“Mulai hari ini ibu tidak akan menonton rancangan Wakenabeb lagi,” kata puan DJ kepada ER.

ER mengangguk-anggukkan kepalanya. “ER pun sudah tidak minat Remy Ishak dengan Ashraf Muslim lagi.”

Dengan itu, pulanglah mereka ke rumah dengan perasaan hampa.   

No comments: